Tuesday, July 29, 2008

Pindaan AUKU jangan 'sekerat-kerat'

Jimadie Shah Othman | Jul 28, 08 8:44pm

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikemukan oleh kerajaan mesti menyeluruh dan "bukan sekerat-sekerat", kata Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

"Kami bukan hendak sangat terlibat (dalam pindaan AUKU). Tetapi, hak-hak mahasiswa mesti dijamin betul-betul, bukan sekerat-sekerat.

"Perkara ini penting, mahasiswa (di masa depan) akan menentukan kepimpinan negara," kata penyelidik perundangan gabungan itu Faridzul Nasarudin yang turut mewakili GMMA bertemu ahli-ahli politik, termasuk timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Harun.

Pertemuan yang bermula 17 Julai lalu bertujuan membincangkan pindaan akta tersebut yang dijadualkan dibahaskan Ogos depan.

Pihak lain yang ditemui termasuklah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) dan Pakatan Rakyat.

Menurut Faridzul, yang juga presiden Persatuan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, aktivisme mahasiswa dalam politik "biar terlibat sepenuhnya", termasuklah dalam persatuan berasaskan politik dan program-program politik.

Alasan bahawa pembabitan itu boleh mengganggu prestasi akademik pelajar tidak boleh diterima, tambahnya.

"Selama ini prestasi (akademik) tidak juga bagus. Mungkin dengan formula baru ini (terlibat dengan politik) akan memberi kebaikan kepada mahasiswa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, GMMA mahukan AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru – termasuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan gabungan itu dalam 'Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008'.

Pada 25 Jun, GMMA mengemukakan "akta alternatif" itu kepada kerajaan yang dianggap dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.

Akta alternatif ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Faridzul yang turut terlibat dalam penyelidikan merumus piagam itu berkata dokumen itu diserahkan kepada kepada Idris dalam pertemuan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan itu, lima ahli BNBBC termasuk pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim.

GMMA disertai sepuluh wakil termasuk penyelarasnya Teh Yee Keong dan anggota-anggota persatuan bawah gabungannya.

Pemansuhan akta itu seperti mereka bawa bagaimanapun, menurut Faridzul, tidak dipersetujui oleh Idris dan wakil-wakil BNBBC.

Faridzul mencadangkan AUKU dimansuhkan dahulu sebelum menggubal akta baru.

"Akta-akta baru tentang pentadbiran dan kebebasan akademik, (boleh) fikirkanlah (kemudian). Yang penting, mansuhkan dulu (AUKU), kemudian kalau ada bahagian yang sesuai, ambil. AUKU mesti dimansuhkan. AUKU telah lama menghantui mahasiswa," katanya.

Perkara lain yang dipersoalkan oleh gabungan itu, kata Faridzul, termasuklah bidang kuasa menteri dalam "mengklasifikasikan halal-haram sebuah persatuan".

Menurutnya, dalam pertemuan, Idris mempertahankan peranan kementeriannya untuk menguruskan pentadbiran universiti.

Mereka juga menuntut kerajaan menubuhkan jawatankuas khas membincangkan pindaan AUKU tetapi idea itu tidak dipersetujui kerana BNBBC menganggap cadangan GMMA "merupakan idea pembangkang".

Aduan dan cadangan mereka mereka tentang tatacara pilihanraya kampus bagaimanapun diberikan perhatian oleh BNBBC, tambah Faridzul.

Sehari selepas itu, GMMA bertemu wakil-wakil DAP dan PAS untuk tujuan yang sama.

GMMA merancang mengadakan forum kebangsaan membincangkan pindaan AUKU pada 8 Ogos melibatkan wakil kerajaan, pembangkang dan wakil mahasiswa, kata Faridzul.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, cadangan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin kelmarin untuk membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang menyampaikan ceramah di kampus yang ada kaitan dengan sesuatu bidang pengajian akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

"Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea," kata exco akademik persatuan itu Mohd Ridzuan Mohammad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setelah meneliti cadangan pindaan akta tersebut, PMIUM berharap dapat melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pindaan itu juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Monday, July 28, 2008

PINDAAN AUKU: BENARKAN MAHASISWA BERPOLITIK?


Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pada 26 Julai baru-baru ini yang akan membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang masuk ke kampus untuk tujuan pengajian dan akademik dilihat akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

Cadangan itu akan terlaksana setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan selepas bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini. Cadangan untuk meminda akta ini diutarakan oleh Datuk Seri Khalid Nordin pada akhir bulan Mac lalu setelah dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang baru.

Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea.

Sebagai contoh, zaman 70-an hingga 90-an, kampus Universiti Malaya (UM) membenarkan pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang untuk berdebat secara ilmiah berkenaan isu-isu menyentuh aspek ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Saya memetik kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, kelonggaran yang perlu di berikan membenarkan mahasiswa mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan.

“Mahasiswa adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Senario ini menjadikan mahasiswa lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global” ujarnya.

Semalam (27 Julai), Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata “ larangan mahasiswa menganggotai parti politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum apabila mahasiswa yang layak mengundi akan memilih parti politik tertentu”.

Beliau yang juga bekas pemimpin mahasiswa UM berkata, “Saya bersetuju jika mahasiswa dilarang memegang apa-apa jawatan dalam parti politik, tetapi benarkan menganggotai parti politik pilihan mereka. “Saya tidak mahu kerajaan terus digelar ‘double standard’ atau tidak adil kerana mahasiswa tidak dibenarkan menganggotai parti politik sebaliknya mahasiswa di luar negara diberikan kebebasan itu.”

Sebelum ini, banyak pihak, samada ahli akademik, pemimpin politik, pemimpin mahasiswa dan individu tertentu mencadangkan supaya AUKU dipinda kearah yang lebih positif untuk kebaikan mahasiswa pada masa akan datang. Sebagai mahasiswa, saya melihat hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh banyak pihak berkenaan kesan positif pindaan ini wajar dijadikan asas yang kukuh kearah melahirkan modal insan yang berkualiti.

Tan Sri Prof Dr. Khoo Kay Kim, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pernah berkata, pindaan (AUKU) itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan (mahasiswa) untuk lebih bersedia berdepan dunia global.

Mengimbas pelaksanaan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus.

Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing.

Saya telah meneliti pindaan akta tersebut baru-baru ini dan mendapati ia menyentuh beberapa seksyen dalam AUKU antaranya melibatkan seksyen 15 yang berkaitan penglibatan mahasiswa dalam pertubuhan, badan dan persatuan pelajar.

Kami di peringkat mahasiswa berharap pindaan akta tersebut itu kearah membentuk mahasiswa yang mampu memimpin persatuan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain badan untuk manfaat mahasiswa serta masyarakat. Selain itu, ia juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara.

MOHD RIDZUAN MOHAMMAD
EXCO AKADEMIK & INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
2008/09

Friday, July 25, 2008

BOLA SEPAK PERSAHABATAN: PMIUM 3-2 SUKSIS UM

Bergambar sebelum perlawanan pasukan PMIUM (kuning) dan pasukan SUKSIS UM (biru)
YDP PMIUM menyampaikan medal cenderahati kepada wakil pasukan SUKSIS UM
aksi selepas tamat perlawanan

Hari ini (24 Julai 2008) pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan SUKSIS UM. Perlawanan tersebut diadakan sempena penganjuran Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA) anjuran Persatuan Siswa/i Islam Perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Pergigian UM, PMIUM dan Pertubuhan Jururawat Pelatih PPUM.

Perlawanan yang diadakan di Padang C, Padang Varsiti itu menyaksikan perlawanan seimbang kedua-dua pasukan. Separuh masa pertama pasukan PMIUM ketinggalan 1-2 sebelum berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan ini juga, dua pemain bola sepak UM beraksi untuk pasukan PMIUM. Setelah tamat perlawanan, YDP PMIUM, Saudara Haafizuddin Abirerah telah menyampaikan medal cenderahati kepada barisan pemain kedua-dua pasukan. Tahniah kepada Exco Sukan & Rekreasi PMIUM, Saudara Muhaimin Mohd Nasir kerana telah mengaturkan perlawanan ini.

Wednesday, July 23, 2008

SOROTAN SEMINGGU…KEBAJIKAN PMIUM, AUKU & FUTSAL KOSMO

Untuk ruangan kali ini, saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai aktiviti yang saya sertai sepanjang minggu lepas…Pertama, minggu lepas adalah minggu ‘add drop’ bagi subjek semester ini. Saya menghadapi masalah untuk pendaftaran subjek ‘Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan Islam’ di Fakulti Pendidikan. Subjek tersebut hanya ditawarkan pada semester ini dan merupakan subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Islam. Setelah berusaha dan berbincang dengan Dr. Habib, pensyarah subjek tersebut, Alhamdulillah selesai juga akhir. Semester ini juga, saya mengambil subjek ‘Kepimpinan Diri & Organisasi’ di Fakulti Pendidikan. Pensyarah bagi subjek ini ialah Prof Dr. Sufean Hussin, bekas Dekan Fakulti Pendidikan. Pada pandangan saya, beliau bijak menghuraikan teori-teori mengenai kepimpinan dengan merujuk kepada situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Menyentuh mengenai jenis modal insan, beliau mengaitkan dengan beberapa individu dalam kepimpinan negara pada hari ini untuk dijadikan contoh.

Melawat Mangsa Kebakaran Kg. Kerinchi
YDP PMIUM, Sdr. Haafizuddin sedang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran
Tempat kebakaran di Kg. Kerinchi

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pimpinan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kg. Kerinchi. Mangsa-mangsa kebakaran tersebut ditempatkan di Stadium Hoki Bangsar berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) dari Kuala Lumpur. Saudara Haafizuddin Abirerah mewakili PMIUM dan saudara Ridhwan Bakar mewakili Maaruf Club UIAM telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Kebakaran yang berlaku pada 12 Julai itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar juga sempat melawat mangsa kebakaran itu pada masa tersebut.
Berjumpa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Minggu lepas juga, saya dan beberapa orang rakan saya berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Idris Haron. Perjumpaan tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka berdekatan KL Central. Perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sebelum perjumpaan itu, pada sebelah paginya YB Dato’ Idris Haron baru sahaja membuat pembacaan kali pertama pindaan AUKU dalam Dewan Parlimen. Saya memuji keterbukaan beliau dalam membincangkan isu ini. Selain beliau, terlibat sama dalam perjumpaan tersebut, Pengerusi BN BBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Muar, YB Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Semasa mengiringi YB Dato’ Idris berjalan ke kenderaan beliau, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai isu Sturbucks yang ingin dibawa masuk ke dalam kampus. Beliau menjawab, media memutarbelit kenyataan beliau mengenai isu tersebut. Beliau hanya mencadangkan supaya kemudahan wi-fi dan tempat lepak yang selamat untuk dikunjungi oleh pelajar. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, saya memuji sikap beliau yang mudah mesra untuk dibawa berbincang dalam pelbagai perkara mengenai mahasiswa.

Berjumpa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen
Bergambar bersama ahli parlimen Rasah dan Serdang dari DAP

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan saya dari kampus UIAM dan UPM pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai pindaan AUKU. Semasa di lobi parlimen, YB Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami sebelum membuat kenyataan akhbar bersama mengenai isu AUKU. YB Nurul Izzah terpaksa pulang awal disebabkan ada sidang media mengenai isu bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai membuat kenyataan akhbar, kami terus ke tingkat 13 parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen DAP di pejabat pembangkang bagi DAP. Perbincangan mengenai AUKU tersebut memakan masa selama 45 minit. Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Parlimen Serdang terlibat dalam perjumpaan tersebut. Banyak lontaran idea dan pandangan mereka mengenai isu AUKU.

Kemudian setelah selesai solat zohor, kami terus ke Kafe Parlimen untuk makan tengahari sambil menunggu kehadiran YB Solahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk mewakili PAS. Kami sangat terharu kerana kesanggupan YB Solahudin untuk keluar dewan sementara, semata-mata untuk berbincang dengan kami mengenai isu AUKU. YB Solahudin berjanji untuk terus memperjuangkan isu ini semasa perbahasan dalam persidangan ketiga Dewan Rakyat nanti.

Mengiringi Pasukan Futsal PMIUM ke UPM
pasukan PMIUM


pasukan SUKSIS UM

Pada hari Sabtu (19 Julai 2008), saya mengiringi pasukan futsal PMIUM yang bertanding dalam pertandingan futsal Inter-Varsity Kosmo yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah selesai mendaftar pasukan, kami terus ke papan jadual untuk melihat siapa lawan kami nanti. Setelah diteliti, kami diundi dalam kumpulan M bersama pasukan ‘Acah-Acah FC’ dan ‘Helang Rentung’ kedua-dua pasukan ini, saya tidak pasti dari kampus mana.

Selesai majlis perasmian, sementara menunggu perlawanan pasukan PMIUM yang dijadualkan perlawanan ke-19, kami menuju ke gelanggang kedua dalam dewan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Suksis UM. Suksis UM berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-0. Namun dalam perlawanan kedua pasukan Suksis UM, tercetus satu pergaduhan setelah pemain pasukan Suksis UM dikasari. Nasib baik pergaduhan tersebut sempat dikawal dan dua pemain pasukan Suksis UM telah dilayan kad merah.

Penyertaan pertama kali pasukan PMIUM dalam kejohanan ini, nyata tidak bernasib baik setelah tumpas 2-4 kepada pasukan ‘Helang Rentung FC’ dan 0-1 kepada ‘Acah-Acah FC’. Apapun pujian wajar diberikan kepada pemain-pemain pasukan PMIUM kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dalam dua perlawanan tersebut.

Tuesday, July 15, 2008

EKSPO BUKU DBP DI UM DAN BUDAYA MEMBACA

Penerbit UM: " Menjana Imprin Ilmiah"
Gambar. ehsan blog Rabiatul Adawiyah

Minggu ini bermulanya Ekspo Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di tempat letak kereta Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya (UM). Ekspo yang bermula 14 hingga 25 Julai itu menawarkan pelbagai tawaran menarik untuk mahasiswa. Buku terbitan tahun 1996-2000 diberi diskaun 60%, buku terbitan tahun 2001-2002 sebanyak 40% dan diskaun 20% bagi buku terbitan tahun 2003-2008.

Semalam (14/7/08), setelah selesai kuliah di Fakulti Pendidikan saya terus ke ekspo ini untuk melihat buku apa yang menarik untuk dibeli. Setelah tawaf dan membelek beberapa buah buku, hanya empat buah buku sahaja yang berkenan untuk dibeli. Pertama, buku tulisan Dr. Wahbah al-Zuhaili, ‘Fiqh & Perundangan Islam’ jilid 1, kedua, buku ‘Kegawatan Ekonomi, Impak Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah’ hasil tulisan Noraini Haji Idris et al.

Buku ketiga yang saya beli, juga hasil tulisan Noraini Haji Idris et al. ‘Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia’ dan terakhir, Kamus Dewan DBP edisi keempat yang sebelum ini tertangguh untuk dibeli kerana masalah kewangan. Berfikir sejenak, bijak juga strategi DBP ini membuka ekspo ketika awal sesi baru bermula. Apa tidaknya, mahasiswa baru sahaja mendapat pinjaman dan biasiswa selain semangat berkobar-kobar mahasiswa tahun satu untuk menambah ilmu. Tidak salah kita keluarkan sedikit duit untuk perkara berfaedah ini daripada digunakan untuk perkara yang sia-sia.

Minggu lepas saya sempat membeli dua buah buku di Pekan Buku UM, buku pertama Jurnal Pemikir Utusan Karya bertajuk ‘UMNO Selepas Pilihan Raya Ke-12’ dan buku ‘Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) 2006-2010’. Bagi saya, kedua-dua buah buku ini sangat menarik untuk diketahui isinya kerana melibatkan analisis PRU ke-12 dan untuk mengetahui sejauh mana hasil pelaksanaan RMK 9 setakat ini.

Petang tadi (15/7/08), selepas kuliah Dr. Suffean Hussin bagi subjek Kepimpinan Dalam Organisasi, saya terus ke Akademi Pengajian Islam (API) untuk membeli sebuah buku mengenai Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya membeli tersebut yang bertajuk ‘Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad’ hasil tulisan Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. Antara kandungan menarik dalam buku tersebut ialah perjalanan politik Mahathir, retorik dalam komunikasi, persoalan ekonomi dan banyak lagi.

Selain buku tersebut, saya juga membeli sebuah buku pandang sisi Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘Belajar Dari Dua Umar, Kenyangkan Perut Rakyat’ dan sebuah novel Habiburrahman El-Shirazy, ‘Ketika Cinta Bertasbih’ episod 2. Membelek novel ini teringat saya kepada Encik Henri Nurdi dari Indonesia.

Sebelum ini, saya berkesempatan berjumpa dengan beliau yang juga editor Majalah Sabili dari Indonesia. Pertemuan tersebut diatur oleh seorang sahabat saya, Zulzaidi. Banyak pengalaman dan ilmu yang diberikan oleh beliau menyebabkan saya dan beberapa sahabat saya yang ikut serta pertemuan tersebut bersemangat untuk menambah ilmu melalui pembacaan buku. Bagi saya, beliau individu yang sangat menarik, kerana mencabar kami untuk menambah pembacaan selepas pertemuan tersebut.

Thursday, July 10, 2008

DEBAT PERDANA: ANWAR IBRAHIM LAWAN SHABERY CHEEK!


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Chik akan beraksi atas pentas debat pada 15 Julai nanti. Debat tersebut yang membincangkan isu kenaikan harga minyak akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada jam 9 malam. Datuk Johan Jaafar, pengerusi DBP akan bertindak sebagai moderator debat pada malam itu.

Dato’ Seri Anwar telah membuat permintaan supaya Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri yang berdebat dengan beliau. Permintaan tersebut dibuat selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) di kediaman beliau. Setakat ini, tidak ada jawapan dari pihak PM ataupun TPM terhadap pelawaan Dato’ Seri Anwar. Namun begitu, Dato’ Seri Anwar tetap akan menyertai debat tersebut walaupun permintaan beliau tidak disambut oleh PM dan TPM. Pada masa yang sama, Datuk Shabery menyatakan isu minyak seharusnya di bincangkan dalam program tersebut bukannya di buat bantahan di jalan raya.

Pimpinan PR meminta supaya debat tersebut di buat secara langsung melalui stesen TV seperti TV3 dan RTM. Difahamkan pihak Astro Awani dan TV3 sudah bersetuju untuk menyiarkan program tersebut secara langsung. Manakala RTM1 pula difahamkan akan membuat siaran tertunda debat tersebut atas nama rancangan “ Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak”. Pihak penganjur, agendadaily.com hanya membuka 200 orang untuk masuk termasuk 50 jemputan dari Anwar dan 50 dari Shabery.

Debat mengenai kenaikan harga minyak telah diadakan sebelum ini, debat pertama antara YB Solahuddin Ayub, ahli parlimen Kubang Kerian merangkap Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan YB Datuk Shahrir Samad, Menteri Hal Ehwal Pengguna yang disiarkan secara langsung oleh RTM1. Debat yang kedua melibatkan ahli parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar dengan YB Datuk Mohamad Aziz, ahli parlimen Sri Gading yang disiarkan oleh TV9 melalui rancangan “Hujah”.

Anwar seharusnya menjadikan medan ini untuk meyakinkan rakyat berkenaan agenda pembaharuan yang dibawa oleh beliau. Rakyat akan menilai kemampuan kedua-dua wakil dari Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam berhujah. Sekiranya Anwar gagal mempamer aksi sebagaimana yang sepatutnya, rakyat akan hilang keyakinan terhadap beliau. Keterbukaan media sejak akhir-akhir ini wajar dipuji dan pimpinan PR seharusnya mengambil manfaat ruang yang ada untuk mempamer kemampuan memimpin dari segi berhujah.

Friday, July 4, 2008

FILEM ‘Farzand-e Sobh’ MENGISAHKAN PERJUANGAN IMAM KHOMEINI


Behrouz Afkhami, pengarah filem dari Iran sedang menyiapkan sebuah filem mengenai perjuangan Imam Khomeini. Filem tersebut yang memulakan pengambaran pada tahun 2004 dijangka ditayang kepada umum pada bulan Februari tahun 2009 bersempena ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. Watak Imam Khomeini telah ditugaskan kepada aktor Iran, Abdol Reza Akbari. Filem kisah perjuangan Bapa Revolusi Islam Iran itu yang berjaya menumbangkan Rejim Shah Iran bertajuk ‘Farzand-e Sobh’ (The Morning’s Son).

Presiden Iran sekarang, Mahmoud Ahmadinejad merupakan salah seorang murid yang dilatih oleh Imam Khomeini sebelum berlakunya Revolusi Iran. Imam Khomeini atau Ayatullah Ruhullah Khomeini mengidamkan sebuah pemerintahan Islam yang menggunakan Quran sebagai panduan. Selain Ahmadinejad, murid beliau yang lain ialah Murthada Mutahhari, Ali Khameni Mohammad Bahesti dan Hasyemi Rafsanjani. Murid-murid beliaulah yang banyak memainkan peranan semasa beliau diusir ke luar negara.

Ceramah beliau yang popular semasa berada di Najaf, Iraq iaitu ‘Velayate Faqih’ dianggap sebagai manual revolusi telah dibukukan untuk disebar menjelang tahun 1978 hingga 1979. Kekuatan pergerakan strategi murid-murid beliau dan semangat berteraskan kerohanian telah menjatuhkan pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlevi. Revolusi yang berlaku pada tahun 1979 itu mengubah sistem pemerintahan negara Iran daripada monarki kepada sistem Rebuplik Islam.

Monday, June 30, 2008

SEPANYOL JUARA EURO 2008

Gol Kemenangan Sepanyol keatas Jerman oleh Fernando Torres
Torres meraikan jaringannya pada minit ke-33

EURO 2008 di Switzerland dan Austria kali ini menjadi milik pasukan Sepanyol setelah menewaskan pasukan Jerman 1-0 awal pagi tadi. Gol jaringan Fernando Torres pada minit ke-33 mengesahkan piala Eropah tersebut akan dibawa pulang ke Sepanyol. Ketiadaan David Villa tidak menganggu rentak cemerlang pasukan Sepanyol pada perlawanan akhir tersebut. Penjaring terbanyak EURO kali ini juga menjadi milik David Villa. Gandingan Cesc Febregas dan Torres berjaya membuatkan benteng pertahanan Jerman terpaksa berkerja keras untuk menahan asakan gandingan tersebut. Kesilapan Philipp Lahm gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum Torres untuk gol kemenangan.

Sunday, June 29, 2008

JUARA EURO 08’: JERMAN ATAU SEPANYOL?


Pukul 2.45 pagi nanti(30/6/08) bakal terjawab pasukan manakah bakal bergelar juara EURO 2008. Pasukan Jerman yang berjaya menewaskan pasukan Turki 3-2 pada perlawanan separuh akhir sudah pasti mahu menebus kembali kegagalan pada EURO 2004 di Portugal. Rekod tanpa kalah pasukan Sepanyol pada kejohanan kali ini juga harus diberi perhatian oleh pasukan Jerman.

Pada peringkat kumpulan B, Jerman menang 2 perlawanan keatas Poland 2-0 dan Austria 1-0 serta tumpas kepada Croatia 1-2. Pada peringkat suku akhir, Jerman menewaskan Portugal 3-2 sebelum menewaskan Turki dengan keputusan yang sama. Ramai yang mengatakan kejayaan Jerman layak ke final kali ini lebih bergantung kepada nasib.

Manakala Sepanyol pula, pada peringkat kumpulan D lagi sudah menampakkan keyakinan untuk membawa pulang piala berprestij Eropah ini ke Madrid. Sepanyol menang semua perlawanan peringkat kumpulan dengan menewaskan Russia 4-1, Sweden 2-1 dan Greece 2-1. Di peringkat suku akhir pula, Sepanyol menang ke atas Itali melalui penentuan sepakan penalti 4-2 setelah terikat tanpa jaringan sebelum menumbangkan Russia 3-0 pada peringkat separuh akhir.

Jerman akan tampil pada perlawanan akhir dengan barisan terkuatnya yang diketuai oleh Michael Ballack. Lukas Podolski, Bastian Schweinsteiger, Philipp Lahm dan Miroslav Klose akan membantu Ballack untuk memecahkan benteng pertahanan Sepanyol yang setakat ini hanya bolos 3 gol. Difahamkan penjaring terbanyak setakat ini, David Villa tidak akan diturunkan oleh Sepanyol kerana mengalami kecederaan dan tempatnya akan diganti dengan Cesc Febregas.

Walaupun tanpa kelibat David Villa pada perlawanan nanti, ia tidak mematahkan semangat anak buah Luis Aragones untuk berhadapan dengan Jerman. Sepanyol masih lagi mempunyai barisan yang mampu menggugat pasukan Jerman, iaitu, Fernando Torres, Marcos Senna, Xavi Hernandez, Sergio Ramos dan Carles Puyol. Dengan ketiadaan David Villa, memberi peluang kepada Lukas Podolski untuk bergelar penjaring terbanyak kali ini sekiranya mampu menjaring dua gol pada malam ini.

Sebelum ini saya menjangkakan pasukan Belanda dan Portugal akan bertemu di perlawanan akhir, tetapi jangkaan saya meleset, setelah Belanda dan Portugal tewas di peringkat suku akhir. Untuk perlawanan akhir nanti, saya memilih pasukan Sepanyol untuk menjuarai EURO kali ini dengan jaringan 2-1. Beberapa orang sahabat saya juga memilih pasukan Sepanyol sebagai juara edisi kali ini, antaranya, Nik Razak menjangkakan Sepanyol menang 3-2, Faisal 3-1, Nik Affendy 2-0 dan Muhaimin 2-1.

Selain itu, beberapa orang jurulatih tempatan juga memilih pasukan Sepanyol, antaranya Mat Zan Mat Aris (jurulatih KL Plus) dan Azrai Khor Abdullah (jurulatih Kedah) meramalkan menang 2-1. Berlainan pula dengan pilihan Irfan Bakti (jurulatih Perlis), Dollah Salleh (jurulatih Selangor) dan Ismail Ibrahim (jurulatih PKNS Selangor) yang lebih cenderung memilih Jerman sebagai juara EURO 08’. Apapun ramalan dan jangkaan, keputusannya akan diterjemahkan oleh kedua-dua pasukan awal pagi nanti.

Tuesday, June 24, 2008

PERKONGSIAN IDEA PROF. TAN SRI DR. KHOO KAY KIM BERSAMA PMIUM

Dari kiri: Saya(Ridzuan),Prof. Khoo Kay Kim, Haafizuddin(YDP), Fariza(NYDP) dan Farahuda
Dari kiri: Saya(Ridzuan), Prof. Khoo Kay Kim, Haafizuddin(YDP), Norazali dan Rahman Jabir

Baru-baru ini saya dan rakan-rakan pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sempat berjumpa dengan Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. Perjumpaan tersebut diadakan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Sebelum ini, PMIUM telah berjumpa dengan Naib Canselor (NC) UM, Bonda Rafiah Salim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Prof Azrae, Mufti Perlis, Dato’ Asri Zainul Abidin dan Ketua Keselamatan UM, Encik Ismail. Perjumpaan-perjumpaan tersebut bertujuan untuk membina hubungan dan juga membincangkan beberapa perkara penting.

Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, sememangnya dikenali ramai kerana kepakaran beliau dalam bidang sejarah, penganalisis sukan serta antara ahli akademik yang banyak memberi pandangan terhadap isu-isu yang berlaku di Malaysia. Bagi saya, Prof. Khoo Kay Kim sangat mudah untuk dibawa berbincang dan terbuka dalam memberikan pandangan.

Banyak input yang kami dapat daripada Prof. Khoo Kay Kim. Antaranya menyentuh mengenai gerakan mahasiswa, isu-isu semasa yang berlaku di negara kita dan juga perkongsian pengalaman beliau. Menyentuh mengenai gerakan mahasiswa, beliau berkata, semasa Anwar Ibrahim (Dato’ Seri) bergelar mahasiswa UM iaitu akhir 60-an dan awal 70-an, berlaku perbalahan antara Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Perbalahan tersebut berpunca daripada tindakan PBMUM mengecat semua papan tanda berbahasa Inggeris yang terdapat dalam UM. Tindakan tersebut tidak dipersetujui oleh PMUM. Beliau telah dipertanggungjawab untuk menjadi pengerusi kepada majlis untuk mendamaikan dua persatuan tersebut.

Selain itu, beliau berpandangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyebabkan gerakan mahasiswa dan suara mahasiswa hari ini menjadi lesu. Beliau juga sempat memberi pandangan berhubung isu kenaikan harga bahan api di negara kita dan memberi idea untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat.

Banyak lagi isu yang dibangkit oleh rakan-rakan pimpinan PMIUM untuk dijawab oleh beliau, antaranya berhubung penglibatan beliau sebagai panel siasatan kes VK Lingam, kualiti akademik dan sikap mahasiswa pada hari ini. Akhir perjumpaan tersebut, beliau mengakui tidak menganut mana-mana agama kerana tidak mahu menghambakan diri kepada manusia samaada kepada ulama’ ataupun paderi dan mahu berhubung terus kepada Tuhan.

Beliau juga mengatakan Islam tidak mengharamkan minum arak, tapi jangan minum sampai mabuk. Salah faham beliau terhadap Islam ini telah diperbetulkan oleh YDP PMIUM dan beliau menerima secara terbuka. Terima kasih kepada Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim kerana sudi meluangkan masa untuk berbincang dengan PMIUM.

Thursday, June 19, 2008

SPEAKER’S CORNER, DULU DI UM SEKARANG DI KB

Kalau dahulu di Universiti Malaya (UM) wujudnya ‘Speaker’s Corner’ yang digunakan oleh mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan juga kritikan. Zaman 60-an dan 70-an yang dikatakan zaman ‘Mahasiswa Menggugat’, ‘Speaker’s Corner’ digunakan sebaik mungkin oleh mahasiswa untuk menyatakan pendirian mereka terhadap sesuatu isu yang belaku. Namun setelah sekian lama pentas itu diwujudkan, hari ini istilah ‘Speaker’s Corner’ tidak lagi kedengaran.

Sekiranya kita membaca buku tulisan Mohammad Abu Bakar iaitu ‘Mahasiswa Menggugat’, beliau menyebut ‘Speaker’s Corner’ digunakan untuk memanaskan pentas pidato di kalangan mahasiswa dan untuk menaikkan semangat mahasiswa sebelum turun berdemonstrasi terhadap sesuatu isu. Kenapakah hari ini ‘Speaker’s Corner’ tidak lagi diwujudkan? Adakah ia tidak membantu budaya intelektual di kalangan mahasiswa? Ataupun boleh mengancam keselamatan negara?

Hari ini, usaha untuk mewujudkan kembali ‘Speaker’s Corner’ telah dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan. Idea tersebut dicetuskan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertujuan mahu memberi peluang kepada rakyat terutama golongan muda untuk meluahkan pandangan mereka. Difahamkan Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan digunakan untuk tujuan tersebut dan akan diadakan pada setiap petang Jumaat dan Sabtu.

Saya berpandangan dengan kewujudan pentas ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengasah bakat mereka berpidato. Budaya ini sepatutnya dihidupkan supaya golongan muda tidak ketinggalan memberi pandangan mereka dalam sesuatu isu dan masalah. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita sepatutnya mewujudkan kembali ‘Speaker’s Corner’ untuk memberi ruang kepada mahasiswa menyatakan pandangan, teguran dan juga pendirian mereka. Budaya ini akan melahirkan mahasiswa yang tercabar dari sudut minda dan juga pemikiran.

PASUKAN MANAKAH BAKAL BERGELAR JUARA EURO 2008?


Kejohanan Piala Eropah 2008 (EURO 08’) kali ini yang dianjurkan bersama oleh Austria dan Switzerland cukup menarik walaupun tanpa kehadiran pasukan England. kekalahan pasukan England kepada pasukan Croatia semasa kelayakan peringkat kumpulan menyebabkan pasukan tersebut gagal layak ke kejohanan kali ini. Persoalannya, tanpa England, pasukan manakah bakal membawa pulang piala berprestij Eropah tersebut? Adakah Portugal? Sepanyol? Jerman? ataupun Belanda?


Mungkin ramai dikalangan peminat bola sepak sudah membuat ramalan dan jangkaan pasukan mana yang akan layak ke final. Ada yang mengatakan final nanti Sepanyol akan lawan Portugal, tidak kurang yang mengatakan Jerman lawan Belanda. Adakah pasukan Turki dan Croatia yang layak ke suku akhir akan membuat kejutan sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Greece semasa Euro 2004 di Portugal?


Bagi saya, saya menjangkakan pasukan Belanda akan bertemu pasukan Portugal di final nanti. Antara sebabnya, kerana pasukan Belanda sudah menunjukkan aksi yang konsisten di peringkat kumpulan C, dengan menewaskan pasukan Itali 3-0, Perancis 4-1 dan Romania 2-0. Kehebatan yang ditunjukkan oleh Ruud Van Nistelrooy, Arjen Robben, Robin Van Persie dan ketangkasan Edwin Van Der Sar juga dilihat satu sebab mengapa saya memilih pasukan ini untuk layak ke final.


Manakala pasukan Portugal pula dilihat mempamerkan aksi yang cukup menarik semasa peringkat kumpulan A walaupun tewas 0-2 kepada Switzerland pada perlawanan terakhir. Kemampuan pasukan Portugal menewaskan pasukan Turki 2-0 dan Republik Czech 3-1 pada peringkat kumpulan menjadi indikator penyebab saya memilih pasukan Portugal untuk layak ke final di Vienna pada 30 Jun nanti.


Euro kali ini menyaksikan pasukan Perancis tersingkir pada peringkat kumpulan setelah tewas kepada Itali 2-0 pada perlawanan penentuan. Selain itu, Euro kali ini juga menjadi medan setiap pasukan untuk mempersembahkan bintang-bintang masing-masing. Portugal tampil dengan Cristiano Ronaldo dan Deco, Jerman pula dengan Lukas Podolski, Michael Ballack dan Phillip Lahm dan pasukan Sepanyol tampil bergaya dengan aksi David Villa dan Fernando Torres.

Monday, June 16, 2008

KAGUM DENGAN SIKAP DAN KEPIMPINAN MATSUSHITA

Sudah lama saya tidak berbicara di ruang maya ini, untuk kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan mengenai kehebatan seorang tokoh korporat dari Jepun. Mungkin ramai di kalangan kita sudah mengetahui mengenai kehebatan tokoh ini. Namun, sebagai perkongsian saya cuba juga untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang belum mengenali tokoh ini. Tokoh yang saya maksudkan adalah Konosuke Matsushita.

Matsushita merupakan pengasas Jeneral Elektrik Jepun: Matsushita Electric Corporation (MEC). Beliau membina kekayaan dan empayar perniagaan yang besar setelah melepasi pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupannya. Ujian yang beliau hadapi dalam kehidupan dan dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang cekal dan tabah serta tak mudah tewas dengan cabaran. Jenama barangan elektronik yang kita guna pada hari ini di Malaysia antaranya Panasonic dan National merupakan antara hasil dari keluaran MEC.


Maklumat beliau saya peroleh dari sebuah buku hasil tulisan John P. Kotter, seorang pensyarah Universiti Harvard yang juga penulis buku ‘Our Iceberg Is Melting’. Konosuke Matsushita di lahir pada penghujung akhir abad ke-19 iaitu 27 November 1897 di kampung pertanian Wasamura dalam wilayah Wakayama, Jepun. Beliau merupakan anak hasil perkahwinan Masakusu dan Tokue Shimamoto. Keluarga beliau pada zaman tersebut boleh dikatakan hidup mewah dengan sumber pendapatan bapanya yang memiliki tanah sawah seluas 150 ekar.


Anak bongsu dari 8 orang adik beradik ini pada peringkat awal semasa keluarga beliau menetap di Wasamura tidak pernah disuruh membuat kerja berat. Matsushita sendiri menggambarkan kehidupan awalnya “penuh kedamaian dan kebebasan”. Sehinggalah keluarganya terpaksa berpindah ke sebuah rumah kongsi berhampiran dengan Wakayama disebabkan masalah ekonomi keluarga pada tahun 1899. Masalah tersebut berpunca dari tindakan bapanya menceburkan diri dalam pasaran komoditi.


Dengan masalah tersebut ibarat bencana menghadapi keluarga beliau. Pelbagai masalah timbul antaranya masalah kekurangan makanan dan juga masalah kesihatan. Bermula dari saat ini seorang demi seorang ahli keluarga beliau meninggal dunia, bermula dengan kematian Hachiro(anak ke-4:lelaki). Layanan ibu dan bapa Matsushita sudah mula berubah. Pada umur sembilan tahun, beliau telah dihantar ke Osaka untuk bekerja enam belas jam sehari dan tinggal dengan majikannya.


Bayangkan pada umur sembilan tahun beliau di arah pergi ke kota besar Osaka seorang diri. Anak kecil mana yang sanggup pergi ke kota besar tanpa ditemani oleh orang dewasa. Kalau kita di Malaysia, ibarat seorang anak kecil dari kampung diarah pergi ke bandar Kuala Lumpur. Tetapi, bandar Osaka lebih besar dari Kuala Lumpur. Setelah menempuhi pelbagai pekerjaan, akhirnya beliau memutuskan untuk berhenti kerja selepas tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pegawai kilang tersebut. Beliau bercadang mahu menubuhkan sebuah kilang sendiri yang mampu mengeluarkan barangan elektronik.


Ketika kilang Matsushita mula beroperasi pada 1917 beliau menggunakan wang simpanannya sebanyak 100 yen iaitu bersamaan lima bulan gaji penuhnya di Syarikat Lampu Osaka (Kilang tempat beliau bekerja sebelum ini). Pembukaan kilang bermodalkan 100 yen adalah sangat sedikit berbanding modal yang digunakan usahawan lain untuk menubuhkan kilang pada ketika itu. Sebagai contoh Noguchi Jun, pengasas Nippon Chisso Hiryo, memulakan perniagaan sebanyak 100,000 yen dan Kiichiro Toyoda melancarkan perniagaan kereta sebanyak sejuta yen. Walaupun modal yang digunakan oleh beliau sangat sedikit, tetapi itu tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus maju kedepan.


Beliau meneruskan juga usaha walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi semasa peringkat awal penubuhan kilang ini antaranya kerugian, masalah pemasaran, keyakinan pembeli dan juga penarikan diri dua orang sahabat baik beliau dari kilang tersebut, iaitu Isaburo Hayashi dan Nobujiro Morita. Namun, ujian ini tidak melemahkan semangat beliau untuk meneruskan rancangannya. Setelah mengharungi pelbagai ujian akhirnya perniagaan beliau mula menampakkan hasil setelah beliau bersetuju untuk menghasilkan plat penebat kepada Syarikat Elektrik Kawakita. Bermula dari saat itu perniagaan beliau semakin berkembang dan membesar. Beliau menerapkan kepada semua pekerjanya pengurusan yang tersusun dan budaya kerja melalui pembacaan ikrar setiap hari.


Untuk pengetahuan rakan-rakan, beliau kehilangan semua orang tersayang, iaitu kematian semua adik-beradik dan ibu bapanya sebelum beliau menubuhkan kilang. Setelah berkahwin dengan Mumeno Iue, beliau dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Seperti sebelum ini, anak lelakinya juga meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan. Kemudian perniagaan beliau semakin maju sehinggakan pendapatan mencecah USD65 bilion setahun. Perniagaan beliau banyak dibantu oleh adik iparnya, Toshio Iue, yang kemudiannya menubuhkan perniagaan sendiri.


Setelah Konosuke Matsushita meninggal dunia perniagaan ini diserahkan kepada menantunya, Masaharu Matsushita yang berkahwin dengan anak perempuannya, Sachiko. Sikap dan kepimpinan beliau seharusnya di jadikan contoh kepada kita bagaimana beliau tidak menjadikan kemiskinan, masalah keluarga dan kematian sebagai alasan untuk berjaya.

Tuesday, May 20, 2008

BERBICARA TENTANG KHAIRY JAMALUDDIN


Khairy Jamaluddin satu nama yang tidak asing bagi kita. Menantu kesayangan Perdana Menteri, Pak Lah Badawi yang sekarang ini menjadi Ahli Parlimen Rembau merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Kelab Bola Sepak UPB FC-My Team, sebuah pasukan dalam Liga Super Malaysia. Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini, beliau berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisyam Zaharin bagi Parlimen Rembau.

Sejak akhir-akhir ini timbul persoalan di minda saya, kenapa tiba-tiba imej Khairy sedikit berubah. Mungkin kita boleh katakan gaya sekarang ala pejuang Mujahidin di Afghanistan. Adakah Khairy sudah berubah dan insaf? Ataupun sekadar mahu membersihkan imej beliau yang tercalar ekoran keputusan PRU ke-12 baru-baru ini? Ataupun Khairy ini mempunyai tabiat yang sama dengan David Beckham(Pemain bola sepak England dan LA Galaxy) yang suka mengubah gaya penampilan? Pelbagai andaian muncul di minda saya.
Baru-baru ini saya sempat berjumpa dengan beliau di Lobi Parlimen untuk menyerahkan lencana dan memorandum mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kepada semua ahli parlimen. Beliau sempat mengajukan beberapa persoalan kepada saya mengenai AUKU.
Saya cukup tertarik dengan ucapan beliau dalam sidang dewan negara minggu lepas, beliau menyebut ‘satu negeri telah meluluskan Projek Khinzir Raksasa atau singkatannya P.K.R ‘(Parti Keadilan Rakyat). Apabila ramai ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangun untuk mencelah dan mempertikaikan ucapannya, beliau langsung tidak memberi ruang. Mungkin ketika itu, beliau berfikir ahli parlimen PR sudah tidak mampu lagi untuk membalas kenyataan beliau.

Ahli parlimen Pokok Sena (PAS) Mahfuz Omar bangun dan berkata, ini bukan Projek Khinzir Raksasa (PKR), tapi Projek Babi Negara (Projek BN). Malangnya, Khairy cepat sangat melatah apabila terkena batang tubuh sendiri, beliau terus meminta Mahfuz menarik balik, sedangkan beliau sebelum itu sangat bangga menggunakan perkataan menyindir PR sesuka hati.

Selain isu perubahan gaya penampilan dan gelagat beliau di Dewan Negara, Khairy juga sedang memasang strategi bagaimana mahu mendapatkan jawatan ketua pemuda UMNO. Bukan mudah untuk beliau mendapat jawatan tersebut, ini kerana terlalu banyak ahli UMNO tidak berpuas hati dengan beliau termasuk Tun Dr. Mahathir yang baru mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli UMNO.
Antara nama-nama yang disebut mahu bertanding jawatan tersebut semasa pemilihan Agung UMNO nanti, Dato’ Mukhriz Mahathir (gambar sebelah) dan Dr. Khir Toyo(bekas MB Selangor). Selain nama tersebut, nama Dato’ Norza Zakaria juga dikatakan akan bertanding, walaupun kita semua maklum Dato’ Norza sendiri merupakan team Khairy. Mungkin Dato’ Norza akan digunakan oleh Khairy untuk mendapat jawatan tersebut. Beberapa persoalan ingin saya lontarkan sebelum mengakhiri perkongsian ini, adakah insan yang bernama Khairy Jamaluddin ini mampu meneruskan karier politik ketika Pak Lah tidak lagi bergelar Perdana Menteri? Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kepada Khairy nanti….

Friday, May 9, 2008

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR DALAM PARLIMEN

menyerah memorandum dan berbincang mengenai mansuhkan AUKU dengan YB Fuziah Salleh (YB Kuantan) dan YB Nurul Izzah Anwar (YB Lembah Pantai)
8/5/08- berbincang dengan YB Salahuddin Ayub (YB Kubang Kerian) mengenai AUKU

8/5/08- dari kiri Khairuddin, Shazni, Shahir dan saya


5/5/08-Saya (kanan) dan Muhaimin (kiri) bergambar bersama bekas presiden PMIUM, Dato' Shabery Chik, sekarang sebagai Menteri Penerangan

Tuesday, May 6, 2008

KALI PERTAMA MASUK DEWAN PARLIMEN

Saya (kanan) dan Hasbi(kiri) bergambar bersama Dato' Shabery Chik, Menteri Penerangan (bekas Presiden PMIUM)

Hari ini, hari bersejarah buat saya kerana pertama kali menjejak kaki ke Dewan Parlimen. Sudah lama merancang untuk pergi ke sana, tetapi jadual peperiksaan memaksa saya menangguh hasrat tersebut. Alhamdulillah, hari ini berjaya juga akhirnya... Sebelum masuk dewan sempat juga berselisih dengan beberapa orang bekas menteri, Kak Pidah (YB Dato' Seri Rafidah Aziz), Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor. Saya, Hasbie dan Muhaimin tercari-cari pintu yang boleh kami masuk, bukan tak jumpa, tapi takut buka-buka terus tempat Yang di-pertua Dewan Rakyat. Pepatah melayu ada mengatakan 'malu bertanya sesat jalan'. Jadi kami ambil keputusan tanya seorang akak yang mengawal dekat pintu masuk..
Bergambar bersama Muhaimin dalam Dewan Rakyat

Kami menyangka sebelum ini Dewan Rakyat besar, rupanya kecil je..perbahasan yang menarik di kalangan ahli parlimen membuatkan kami tidak rasa sedikitpun mengantuk. Perbahasan petang tadi, giliran YB Dr. Mohd Puad Zarkashi, BN Batu Pahat yang juga bekas pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) untuk memberi ucapan. Antara isu menarik yang disentuh oleh beliau, isu ISA, rasuah, pekerja, alam sekitar serta kekuatan BN dan Pakatan Rakyat (PR). Saya memuji sikap yang ditunjukkan oleh YB Dr. Puad dalam memberi ruang kepada YB-YB PR mencelah isu-isu yang dibincangkan. Saya juga kagum dengan kehebatan YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), YB Khalid Samad (PAS-Shah Alam), YB Saifuddin Nasution (PKR-Machang), YB Mohd Yusmadi Yusuff (PKR-Balik Pulau) dan YB Dr. Dzulkfli Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang berhujah dengan bijak dan berfakta.
Suasana dalam Dewan Rakyat

Kadang-kadang ada juga YB Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) bangun mencelah untuk turut serta berbahas, walaupun nampak kurang bijak dalam berbahas. Secara peribadi, saya agak tidak bersetuju dengan cara YB Azmin Ali (PKR-Gombak) mempertahankan Dato' Seri Anwar Ibrahim, walaupun hujahnya mantap dan tepat tetapi nampak terlalu bias kepada Dato' Seri Anwar. Perbahasan petang tadi tamat tepat pukul 5.30 petang.

Semasa berada di luar dewan, kami disapa oleh YB Mohammad Hussin (PAS-Pasir Puteh) dan YB Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang merupakan bekas pimpinan PMIUM. Ketika kami sedang merancang untuk berjumpa dengan YB Dato' Shabery Chik (BN-Kemaman), YB Saifuddin Nasution sempat berhenti di depan kami, dan berbual dengan kami walaupun nampak agak sibuk. Sebelum beredar beliau sempat juga memperkenalkan kami kepada YB Yusmadi...

Sebelum pulang, kami cuba juga untuk berjumpa dengan YB Dato' Shabery. Apabila kami memperkenalkan diri daripada PMIUM, beliau secara tiba-tiba bersemangat untuk berbual dengan kami. Lupa nak bagitahu, YB Dato' Shabery Chik juga bekas presiden PMIUM zaman 80-an. Ketika berbual, beliau berkongsi sejarah zaman beliau menjadi pimpinan kampus dahulu...

Saturday, April 26, 2008

KERANA CHELSEA, MALAYSIA SANGGUP TERIMA WARGA ISRAEL?


Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Saya tertarik untuk memberi respon mengenai isu kehadiran pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke Malaysia pada bulan Julai nanti. Lawatan pasukan elit tersebut menimbulkan masalah dan menjadi isu bukan kerana tidak ada rakyat Malaysia yang menyokong pasukan Chelsea, tetapi pasukan tersebut mempunyai dua warga Israel. Pengurus pasukan, Avram Grant dan juga pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan dua orang rakyat Israel.

Sebagaimana yang kita maklum, polisi negara kita tidak membenarkan mengadakan hubungan diplomatik dan juga perdagangan dengan negara haram Israel. Rakyat Malaysia juga dilarang untuk melawat negara tersebut. Tetapi entah kenapa dalam isu ini kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mahu membenarkan rakyat Israel datang ke negara ini.

Sebelum ini, kita tidak kisah pun mana-mana pasukan ternama luar negara berkunjung ke bumi Malaysia, kerana mereka tidak mempunyai pemain atau pegawai dari negara Israel. Sebagai contoh, sebelum ini dua pasukan terkuat Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester United (MU) dan Arsenal pernah datang ke Malaysia untuk tujuan yang sama. Cuma dalam isu lawatan pasukan Chelsea ini kita tidak boleh bertolak ansur kerana melibatkan sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

Pasukan Chelsea dijadualkan akan menentang pasukan kebangsaan Malaysia pada 29 Julai ini. Pasukan dari barat London ini sememangnya terkenal dengan kehebatan bintang mereka, seperti Didier Drogba, Frank Lampard, Nicolas Anelka, Claudio Pizzaro dan lain-lain. Ketua eksekutif Chelsea, Peter Kenyon mengugut tidak akan hadir ke Malaysia sekiranya Grant dan Ben Haim tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Namun begitu, timbul beberapa persoalan dalam isu ini, adakah kerana terlalu minat kepada pasukan Chelsea kita sanggup menggadai maruah umat Islam? Ataupun kerana sikap tolak ansur kerajaan Malaysia ini lahir dari semangat kesukanan yang terlalu tinggi? Mungkin tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia membenarkan atlit kriket Israel memasuki ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) juga atas dasar semangat kesukanan.

Saya ada memetik beberapa kenyataan pemimpin yang menyokong kehadiran dua warga Israel ini. Pertama, kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 31 hb Mac lalu yang menyatakan agak malang sekiranya bidang sukan di campuri unsur politik. Selain Timbalan Perdana Menteri, kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad pada 3hb April lalu juga dilihat mengetepikan soal perasaan umat islam.

Antara kenyataan beliau, “Kita mengharapkan sukan adalah sukan, tidak perlu dicampuradukkan dengan politik”. “Kehadiran Chelsea adalah untuk menghiburkan rakyat dan untuk peminat Chelsea yang ramai di negara ini. Ia adalah salah satu program pembangunan sukan bola negara,”.

Selain itu, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Datuk Rais Yatim pada 14hb April baru-baru ini juga dilihat berpihak kepada dua warga Israel tersebut. Beliau berkata “Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia dan dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka”. “Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah dan tidak wajar untuk campurkan antara politik dan sukan,”.

Betulkah urusan politik tidak boleh menganggu bidang sukan? Sebelum ini Amerika Syarikat pernah memboikot kejohanan sukan anjuran negara Russia atas dasar perbezaan politik. Terbaru tindakan aktivis Tibet seluruh dunia menganggu kelancaran perarakan larian obor olimpik Beijing juga kerana membantah sikap China menindas rakyat Tibet.

Bagi saya ini bukan setakat soal politik sahaja, tetapi melibatkan soal agama Islam dan maruah umat Islam di Palestin khususnya. Jangan kita hipokrit terhadap saudara kita di bumi Palestin, membantah pencerobohan Zionis Israel terhadap Palestin tetapi pada masa yang sama membenarkan negara kita di’cerobohi’ oleh rakyat Israel.

Kenapa Malaysia dan FAM berkeras juga mahu membawa pasukan Chelsea ke Malaysia? Sedangkan banyak lagi pasukan-pasukan ternama yang tidak ada warga Israel boleh dijemput datang ke Malaysia seperti Manchester United, Arsenal, AC Milan, Barcelona ataupun Real Madrid. Adakah dengan membawa beberapa orang pemain bola sepak Israel ini boleh meningkatkan mutu bola sepak Malaysia?

Wednesday, April 16, 2008

CADANGAN PINDA AUKU: ADAKAH KPT AKAN TUNAIKAN?

Oleh: Mohd Ridzuan Mohammad
Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada akhir bulan Mac lepas sepatutnya dilaksana segera. Perkara ini hangat di bincangkan selepas cadangan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin yang ingin meminda akta tersebut. Antara sebab akta tersebut perlu dipinda, Datuk Seri Khalid berkata kerana menyekat kreativiti mahasiswa dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.

Namun perkara itu seolah-olah hanya tinggal cadangan semata-mata kerana tidak nampak perubahan positif kearah pelaksanaan cadangan tersebut. Banyak pihak tertanya-tanya terutama, di peringkat mahasiswa, mengenai sejauh mana kesungguhan cadangan ini ingin dilaksanakan. Antara pihak yang memberi respon berkenaan cadangan ini, Profesor Universiti Malaya, iaitu Prof Dr Khoo Kay Kim. Beliau berkata pindaan itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan untuk lebih bersedia berdepan dunia global.

Mengimbas pelaksanan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus. Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing.

Selain beliau, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak juga berpendapat sebarang kajian semula atau perubahan terhadap AUKU perlu memberi fokus kepada usaha penambahbaikan akta itu bagi kepentingan penuntut dan universiti dari semasa ke semasa. Beliau juga berkata, kalau apa-apa tindakan atau perubahan ia mesti bersifat penambahbaikan dan perubahan untuk menjadikan AUKU lebih relevan dengan tuntutan masa.

Manakala Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali berkata, kelonggaran yang perlu di berikan membenarkan mahasiswa mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan. “Mahasiswa adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Senario ini menjadikan mahasiswa lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global” ujarnya.

Selain itu, hasil undian yang dijalankan oleh TV3 juga menunjukkan 91 % menyokong akta tersebut dipinda. Melihat kepada respon positif banyak pihak ini, Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya melaksanakan cadangan tersebut secepat mungkin. Kerana ia penting untuk melahirkan modal insan berkualiti yang mampu bersaing di peringkat global, memberi pandangan yang bernas serta mampu bergiat aktif dalam kegiatan yang membina aspek kepimpinan mahasiswa.

Tuesday, April 8, 2008

TAHNIAH!!!

Atas: Haafizuddin, Bawah (kiri): Juani, Amin, Izzat dan Khalil


Tahniah dan takziah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang terpilih menjadi Yang Di Pertua (YDP) persatuan-persatuan mahasiswa di Universiti Malaya.

1) Mohammad Haafizuddin Abirerah
- Akademi Pengajian Islam (tahun ke-2)
- Berasal dari Pahang
- YDP Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

2) Izzat Amin Md Nasir
-Akademi Pengajian Islam (tahun ke-2)
-Berasal dari Kedah

-YDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM)
- merangkap ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

3) Mohd Khalil Abdullah Zawawi
- Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (tahun ke-3)
- YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)

4) Amin Che Amat

- Akademi Pengajian Islam (tahun ke-2)
- YDP Persatuan Mahasiswa Kedah Universiti Malaya (PERMADAH)

5)Juani Munir Abu Bakar
- Akademi Pengajian Islam (tahun pertama)
- YDP Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK)

Seterusnya kepada sahabat-sahabat yang lain, Shukor Darusa, Akademi Pengajian Islam tahun ke-2, dilantik menjadi YDP Persatuan Mahasiswa Terengganu Universiti Malaya (PERMATA) dan juga kepada Faruqi Razali, Fakulti Kejuruteraan tahun ke-2 dilantik sebagai YDP Angkatan Kejuruteraan Islam Universiti Malaya (AKIUM).

Saturday, April 5, 2008

MAHASISWA KECAM TINDAKAN BIADAP WILDERS DAN BELANDA

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Setelah selesai solat Jumaat tadi (4/4/08) kira-kira 100 orang mahasiswa dan ahli jemaah masjid ar-Rahman berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan biadap Geert Wilders dan kerajaan Belanda. Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan isu penyiaran filem pendek Fitna’ oleh Geert Wilders, seorang ahli parlimen Belanda, yang menghina agama Islam. Filem tersebut mengandungi beberapa ayat suci al-Quran dan diselitkan dengan imej peristiwa 11 September di New York, imej letupan bom di stesen keretapi di Madrid, Sepanyol serta imej kartun menghina Rasulullah yang pernah di siarkan oleh akhbar Denmark.

Bantahan tersebut diadakan di hadapan masjid ar-rahman iaitu bersebelahan pintu masuk ke Universiti Malaya (UM). Perhimpunan dimulakan dengan laungan takbir, seterusnya ucapan Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru di lantik Saudara Haafizuddin Abirerah, wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Saudara Faisal Abd Aziz, wakil KARISMA, Saudara Zulhilmi, Naib Yang Di Pertua (NYDP) PMIUM Saudari Nur Fariza Zahrin dan diakhiri dengan ucapan wakil Teras Keupayaan Melayu (TERAS) UM Saudara Zulzaidi Mahmood.

Perhimpunan tersebut diadakan untuk membangkitkan kesedaran dan sensitiviti umat Islam terhadap isu tersebut yang menghina Islam dan Rasulullah SAW. Umat Islam disarankan supaya memboikot produk keluaran Belanda sebagai tanda bantahan terhadap penerbitan filem tersebut sebagaimana pandangan yang dikeluarkan oleh ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Thursday, April 3, 2008

FILEM FITNA MENGUJI SENSITIVITI UMAT ISLAM

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Tindakan seorang ahli parlimen Belanda, Geert Wilders (gambar) menyiarkan filem pendek anti Islam, Fitna di internet pada 27 Mac lalu boleh di sifatkan sebagai tindakan biadap. Wilders tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab, tetap bertegas mempertahankan tindakannya walaupun umat Islam seluruh dunia membantah dan mengecam tindakannya. Tindakan tidak bertamadun tersebut boleh menimbulkan ketegangan antara agama, menjejaskan hubungan antara dunia Islam dan dunia barat serta boleh mencetuskan keganasan.

Sebelum ini kita sebagai umat Islam di kejutkan dengan penyiaran kartun menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark iaitu Jyland-Porsten. Tapi kali ini, barat seolah-olah cuba membuka kembali luka lama itu dan mahu menguji sensitiviti umat Islam sekali lagi dengan tindakan menyiarkan filem ini. Filem yang memuatkan petikan beberapa ayat al-Quran serta diselitkan imej serangan 11 September 2001 di Nem York dan imej serangan bom di stesen keretapi bawah tanah di Madrid, Sepanyol pada 2004. Dalam filem tersebut juga disiarkan kembali gambar kartun menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark dan beberapa petikan ceramah jihad oleh pejuang Islam.

Sejurus selepas filem ini disiarkan di lamanweb Liveleak.com umat Islam di beberapa buah negara seperti Pakistan, Iran dan Indonesia mengadakan demonstrasi mengecam dan membantah tindakan Wilders tersebut. Selain itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Prof Ekmeleddin Ihsanoglu serta Kesatuan Eropah (EU) membantah penyiaran filem tersebut.

Kerajaan Belanda dan Wilders sepatutnya memahami sensitiviti umat Islam dan juga memikirkan keselamatan rakyat negaranya yang berada di negara lain. Belanda mesti menarik balik penyiaran filem ini dan memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia. Saya juga bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad menggesa umat Islam memboikot semua barangan Belanda.

Wednesday, April 2, 2008

SEJAHTERA BERSAMA PMIUM

Oleh: Mohd Ridzuan Mohammad

Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru dilantik pada 30hb Mac yang lalu. Mesyuarat Agung PMIUM diadakan di Fakulti Kejuruteraan pada pukul 8.15 malam. Pada malam tersebut Yang Di Pertua (YDP) PMIUM yang baru, Saudara Haafizuddin Abirerah dari Akademi Pengajian Islam (API), Naib Yang Di Pertua (NYDP), Saudari Nur Fariza Zahrin (Fakulti Sains), Setiausaha Agung, Saudara Mohd Faisal Mustaffa (API) dan Bendahari Kehormat, Saudara Mohd Hasbie Muda (Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran).

Pada malam tersebut saya cukup tertarik dengan tema Mesyuarat Agung PMIUM pada kali ini iaitu “ Sejahtera Bersama PMIUM”. Pada sesi lepas PMIUM menggunakan “PMIUM untuk Semua” sebagai tema. Pada pandangan saya, tema PMIUM sesi lepas boleh dikatakan hampir mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, program PMIUM adakan melibatkan penyertaan bangsa Melayu, Cina dan India seperti Minggu Mahasiswa Hadhari dan yang terbaru dalam Mesyuarat Agung PMIUM. Pada Mesyuarat Agung PMIUM juga seorang Mahasiswa bangsa Cina iaitu Foo Hou Teck dipilih untuk menerima anugerah khas YDP PMIUM.

Mungkin timbul persoalan di benak pemikiran kita, kalau PMIUM boleh diterima oleh semua bangsa dan golongan, adakah sejahtera kita bersama PMIUM? Sepanjang saya menjadi ahli PMIUM saya melihat PMIUM banyak menyediakan ruang untuk ahlinya meningkatkan potensi diri. Pada pandangan saya banyak aktiviti yang dijalankan oleh PMIUM memberi manfaat kepada ahlinya samada dari aspek tarbiyah, dakwah, siasah serta kebajikan.

Sebagai contoh PMIUM menyediakan program tarbiyah seperti usrah, daurah, kem kerohanian dan juga kuliah ilmu. Dalam aspek dakwah PMIUM menyediakan program seperti Program Ziarah Mesra (PZM) ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Down to Earth sekitar kampus UM dan juga perkhidmatan khidmat kebajikan yang dikendalikan oleh Unit Sukarelawan PMIUM. Semasa Pilihan Raya Kampus, aspek siasah ditekankan oleh PMIUM dengan menyediakan medan untuk ahlinya mengasah bakat dari sudut kepimpinan dan juga strategi.

Namun begitu, ada beberapa pandangan dan juga cadangan ingin saya lontarkan kepada semua pimpinan dan juga ahli PMIUM. Pertama, ubah minda warga UM yang melihat PMIUM hanya dimonopoli oleh Mahasiswa API sahaja bahkan untuk semua fakulti. Kedua, perkasakan lagi program yang dijalankan supaya dapat menarik seramai mungkin mahasiswa UM untuk bersama PMIUM.

Tuesday, April 1, 2008

JADIKAN KISAH SUFIAH SEBAGAI PENGAJARAN

Semalam kita dikejutkan dengan pendedahan oleh akhbar tempatan mengenai kehidupan Sufiah Yusuf (gambar) sekarang. Kalau dahulu kita cukup berbangga melihat kehebatannya yang di kenali sebagai kanak-kanak genius matematik dan mendapat tempat di Universiti Oxford seawal usia 13 tahun. Dia yang cukup dikenali suatu ketika dahulu di Malaysia kerana kerana kepintaranya disebabkan ibunya, Halimahton iaitu wanita kelahiran negeri Johor yang berkahwin dengan rakyat Pakistan, Farooq.
Dalam laporan online News of The World keluaran 30 Mac 2008 mendedahkan mengenai kehidupannya sekarang yang memperoleh pendapatan melalui hasil pelacurannya. Pendedahan yang dilakukan ini selepas seorang wartawan News of The World menyamar sebagai pelanggan. Difahamkan dia menawarkan perkhidmatan seks melalui internet dengan kadar £130 (RM828.99) kepada pelanggannya di sekitar Salford, Manchester. Sebelum ini dia pernah lari dari rumah disebabkan tekanan hidup dengan cara penjagaan oleh bapanya, Farooq yang terlalu ketat dan mengongkong. Selain itu, dia juga pernah berkahwin pada tahun 2004 pada usia 19 tahun dengan seorang peguan muda, Jonathan Marshall berusia 24 tahun dan akhirnya bercerai.

Kita doakan moga Sufiah dapat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan dapat menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Semoga dengan apa yang berlaku kepada Sufiah menjadi pengajaran kepada kita semua supaya perkara ini tidak berlaku kepada seorang lagi kanak-kanak genius matematik di Malaysia sekarang iaitu Adi Putra.

Oleh: MOHD RIDZUANMOHAMMAD

Monday, March 17, 2008

KEPUTUSAN PRU 12: IMPIAN BN KELANTAN TIDAK KESAMPAIAN

Melihat kembali kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Barisan Nasional (BN) di negeri Kelantan seolah-olah menunjukkan Kerajaan PAS Kelantan akan jatuh pada PRU 12. Bermula dengan pelancaran kempen “pade doh 18 tahun, ambo nok BN” oleh Khairy Jamaluddin bersama Pemuda UMNO Kelantan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pelancaran kempen ini memperlihatkan kesungguhan BN untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS. Seterusnya pelancaran manifesto “Kelantan Baru Kelantan Maju” yang menjanjikan pelbagai tawaran kepada rakyat Kelantan.

Selain itu, kesungguhan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak serta Khairy Jamaluddin turun ke Kelantan beberapa kali dan menjanjikan pembangunan untuk Kelantan juga membuktikan keyakinan BN untuk menawan Kelantan. Setiap hari RTM, TV3, Berita Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan berita dan propaganda BN berpeluang cerah untuk menawan Kelantan pada kali ini. Tidak cukup dengan itu, BN juga awal-awal lagi mengumumkan bakal Menteri Besar sekiranya BN menang di Kelantan iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin (gambar).
Namun apabila keputusan PRU 12 di umumkan pada malam pengiraan undi (8/3/08) perkara sebaliknya yang berlaku. PAS Kelantan dapat mengekalkan kerajaan apabila berjaya memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1 kerusi berbanding BN hanya menang 6 kerusi sahaja. Keputusan tersebut bagaikan kejutan kepada semua pemimpin utama BN samada di peringkat negeri Kelantan mahupun peringkat pusat.

Dengan keputusan ini bermakna impian Dr. Awang Adek Hussin untuk menjadi Menteri Besar juga tidak kesampaian. Bukan setakat itu, beliau sendiri tewas di Parlimen Bachok dan DUN Perupok. Di Parlimen Bachok beliau tewas kepada calon PAS yang juga Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan majoriti 2,901 undi. Manakala di DUN Perupok beliau tewas kepada Datuk Omar Mohamad, calon PAS dengan majoriti 1,270 undi. Beliau kelihatan bersedia daripada awal lagi untuk meraikan kemenangan BN kerana kebanyakkan media perdana bertumpu di pusat pengiraan undi Palimen Bachok.

Selain beliau, pemimpin utama UMNO Kelantan yang lain juga tumbang iaitu Datuk Seri Annuar Musa tewas di Parlimen Ketereh kepada calon PKR, Ab Aziz Abdul Kadir dengan majoriti 400 undi dan Datuk Sazmi Miah tewas di Parlimen Machang kepada Saiffudin Nasution Ismail (PKR) dengan majoriti 1,460 undi. Bagaimanapun dua orang kuat BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamad berjaya mengekalkan kemenangan di Parlimen Jeli dan Tengku Razaleigh Hamzah menang di Parlimen Gua Musang.

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan