Monday, July 28, 2008

PINDAAN AUKU: BENARKAN MAHASISWA BERPOLITIK?


Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pada 26 Julai baru-baru ini yang akan membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang masuk ke kampus untuk tujuan pengajian dan akademik dilihat akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

Cadangan itu akan terlaksana setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan selepas bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini. Cadangan untuk meminda akta ini diutarakan oleh Datuk Seri Khalid Nordin pada akhir bulan Mac lalu setelah dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang baru.

Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea.

Sebagai contoh, zaman 70-an hingga 90-an, kampus Universiti Malaya (UM) membenarkan pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang untuk berdebat secara ilmiah berkenaan isu-isu menyentuh aspek ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Saya memetik kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, kelonggaran yang perlu di berikan membenarkan mahasiswa mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan.

“Mahasiswa adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Senario ini menjadikan mahasiswa lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global” ujarnya.

Semalam (27 Julai), Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata “ larangan mahasiswa menganggotai parti politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum apabila mahasiswa yang layak mengundi akan memilih parti politik tertentu”.

Beliau yang juga bekas pemimpin mahasiswa UM berkata, “Saya bersetuju jika mahasiswa dilarang memegang apa-apa jawatan dalam parti politik, tetapi benarkan menganggotai parti politik pilihan mereka. “Saya tidak mahu kerajaan terus digelar ‘double standard’ atau tidak adil kerana mahasiswa tidak dibenarkan menganggotai parti politik sebaliknya mahasiswa di luar negara diberikan kebebasan itu.”

Sebelum ini, banyak pihak, samada ahli akademik, pemimpin politik, pemimpin mahasiswa dan individu tertentu mencadangkan supaya AUKU dipinda kearah yang lebih positif untuk kebaikan mahasiswa pada masa akan datang. Sebagai mahasiswa, saya melihat hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh banyak pihak berkenaan kesan positif pindaan ini wajar dijadikan asas yang kukuh kearah melahirkan modal insan yang berkualiti.

Tan Sri Prof Dr. Khoo Kay Kim, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pernah berkata, pindaan (AUKU) itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan (mahasiswa) untuk lebih bersedia berdepan dunia global.

Mengimbas pelaksanaan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus.

Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing.

Saya telah meneliti pindaan akta tersebut baru-baru ini dan mendapati ia menyentuh beberapa seksyen dalam AUKU antaranya melibatkan seksyen 15 yang berkaitan penglibatan mahasiswa dalam pertubuhan, badan dan persatuan pelajar.

Kami di peringkat mahasiswa berharap pindaan akta tersebut itu kearah membentuk mahasiswa yang mampu memimpin persatuan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain badan untuk manfaat mahasiswa serta masyarakat. Selain itu, ia juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara.

MOHD RIDZUAN MOHAMMAD
EXCO AKADEMIK & INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
2008/09

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan