Showing posts with label parlimen. Show all posts
Showing posts with label parlimen. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

ULASAN BUKU DILEMA SINGAPURA (PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN MASYARAKAT MELAYU)

hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim

Buku ‘Dilema Singapura- Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu’ merupakan antara buku yang menarik untuk dibaca dan dikongsi dengan rakan-rakan. Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim ini boleh dikatakan pendedahan sebenar mengenai nasib bangsa Melayu di negara republik itu.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui mengenai masyarakat Melayu di Singapura melalui akhbar seperti isu Sultan Hussin dan daripada sumber rakan-rakan. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan daripada Singapura yang menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan menceritakan kisah masyarakat Melayu dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian serta menyentuh mengenai kedudukan agama Islam.

Saya boleh katakan ramai di kalangan kita mengetahui mengenai sejarah Singapura melalui subjek Sejarah yang diajar di peringkat sekolah dahulu. Walaupun kita rakyat Malaysia, tetapi kita mesti mengetahui bagaimana susur galur sejarah Singapura supaya menjadi pengetahuan dan panduan kepada kita pada masa hadapan. Sebagai contoh kedudukan Singapura dahulu ketika dipanggil Temasik, semasa bergabung dan berpisah dengan Malaysia serta hal-hal lain.

Usaha yang dilakukan oleh Lily Zubaidah ini seharusnya dipuji kerana memaparkan status keadaan Singapura untuk tatapan umum terutamanya bagi bangsa Melayu di rantau Nusantara ini. Aspek yang difokuskan oleh beliau iaitu aspek politik dan pendidikan yang merupakan aspek penting untuk pembangunan sesuatu bangsa mahupun tamadun. Selain itu, ia juga mendedahkan sikap sebenar parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party-PAP).

Salah satu kekuatan buku hasil kajian Lily Zubaidah ini adalah menceritakan kedudukan Singapura pada ketika ini. Sebagai contoh, Singapura sudah mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (NIC- Newly Industrializing Country) pertama di Asia Tenggara, selain diiktiraf negara maju oleh Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD- Organization for Economic Co-Operation and Development). Singapura juga mencatat kadar pemilikan rumah tertinggi iaitu 90% penduduk memiliki rumah sendiri.

Buku ini juga menjelaskan kedudukan Melayu dan Islam serta kaitan antara Melayu dan Islam. Pemerintah berusaha memisahkan kaitan Melayu dan Islam dengan pelbagai cara. Dijelaskan juga bagaimana masyarakat Melayu terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Penulis juga membandingkan mengenai bidang pekerjaan bagi kaum Melayu dan Cina dari tahun 1957 hingga 1980. Turut diketengahkan bagaimana PAP mengurus kekuasaan dan mengekalkan hegemoni ideologi PAP.

Saya agak terkejut, apabila penulis mendedahkan bagaimana kekangan dan cengkaman pihak penguasa terhadap media massa di negara tersebut. Pemerintah mengambil tindakan terhadap akhbar dan media yang melanggar peraturan melalui Akta Percetakan Akhbar. Sebagai contoh, pada 1985, Asian Wall Street Journal telah dikenakan tuduhan menghina dan 1987, edaran FEER dikurangkan daripada 9,000 kepada 500 naskhah disebabkan laporan tentang penahanan ISA pada tahun itu. Selain, edaran The Asian Wall Street Journal juga telah dihadkan daripada 5,000 kepada 400 naskhah pada 1987.

Buku ini juga memberi saya maklumat dan pengetahuan baru, seperti istilah-istilah dalam lanskap politik dan demokrasi Singapura. Istilah seperti Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP-Non-Constituency Member of Parliament), Anggota Parlimen Dicalon (NMP-Nominated Member of Parliament), Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC-Group Representative Constituency). Penulis juga mendedahkan penggunaan ISA oleh pemerintah untuk mempertahan kekuasaan. Ramai dikalangan kita mungkin mengetahui, bagaimana sikap parti PAP di Singapura pada tahun 1950 ‘an hingga 60 ‘an cenderung kepada sosialis demokratik, tetapi, sejak tahun 70 ‘an ia cenderung kepada ideologi konservatif.

Singapura yang telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST-Goods and Services Tax) pada tahun 1994 juga telah memberi kesan secara langsung kepada rakyatnya khususnya bagi bangsa Melayu. Dengan pelaksanaan cukai ini ia menjejaskan ekonomi warga tua dan yang berpendapatan rendah. Antara sebab pelaksanaan GST oleh pemerintah adalah untuk menjadikan ekonomi Singapura berdaya saing serta dengan penurunan cukai korporat dan perkhidmatan boleh menarik pelabur ke republik itu.

Selain itu, penulis juga menerangkan bagaimana doktrin dan gambaran tentang orang Melayu oleh pemerintah, iaitu bangsa yang mudah berpuas hati, malas, tidak ambil peduli, suka bersenang, tidak ada motivasi dan tidak ada disiplin. Parti pemerintah juga telah menggunakan pelbagai strategi untuk mengurangkan sumber kuasa politik masyarakat Melayu. Antara strategi yang digunakan untuk melemahkan kuasa undi masyarakat Melayu seperti program penempatan semula Bandar, kuota kediaman etnik, Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan lain-lain.

Antara topik lain yang disentuh oleh penulis adalah kelemahan pemimpin Melayu dalam PAP dan kerajaan PAP. Dari tahun 1960 hingga 1991 jumlah perwakilan ahli parlimen Melayu di parlimen tidak pernah lebih daripada 10 orang, walaupun jumlah ahli parlimen meningkat daripada 50 orang pada tahun 1960 kepada 81 orang pada tahun 1991. Kesimpulannya, peratus ahli parlimen Melayu di parlimen semakin menurun iaitu daripada 20% pada tahun 1960 kepada 9.8% pada tahun 1991.

Selain politik, penulis juga mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dalam aspek pelajaran. Antara perkara yang disentuh oleh penulis, mengenai Dasar Pelajaran Baru (NEP-New Education Policy), Sistem Pelajaran Baru (NES- New Education System) 1991, Cadangan Laporan Goh NEP 1979, Program Pendidikan Pelajar Bijak (GEP- Gifted Education Programme) dan lain-lain. Dalam bab 10, penulis menyentuh mengenai penubuhan sebuah badan iaitu Yayasan Mendaki atas usaha sendiri Melayu Islam. Mendaki merupakan singkatan bagi Majlis Pendidikan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan pada bulan Mei 1982.

Secara keseluruhannya, penulis buku ini, Lily Zubaidah Rahim memaparkan wajah sebenar parti pemerintah di Singapura iaitu PAP terhadap masyarakat Melayu. Selain menyentuh mengenai strategi-strategi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan meminggirkan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau juga menjelaskan kapasiti dan kekuatan ahli politik Melayu dalam PAP dan kerajaan serta menggerakkan agenda positif untuk masyarakat Melayu.

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "


Thursday, December 11, 2008

SIDANG MEDIA AUKU DI PARLIMEN

Depan dari kiri; Vinod, Yee Keong dan saya
belakang dari kiri; Yong Jing, MP Klang, MP Bukit Bendera & MP Batu
Semasa sidang media
Berbincang dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim tentang AUKU

Tengahari tadi (12.30tghr-11 Oktober 2008) saya dan beberapa orang rakan daripada Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) telah mengadakan sidang media berkaitan pindaan AUKU yang sedang dibincangkan dalam Dewan Parlimen.

Pendirian yang dikeluarkan oleh kami dari GMMA, menolak pindaan AUKU ini yang lebih bersifat kosmetik dan mencadangkan supaya jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji akta ini.

Antara yang hadir selain saya, Yee Keong, Yong Jing, Kaa, Ti Ooi dan Vinod. Beberapa ahli parlimen juga turut hadir semasa sidang media dijalankan antaranya YB Tian Chua (MP Batu), YB Nurul Izzah (MP Lembah Pantai), YB Yusmasi Yusoff (MP Balik Pulau), YB Charles Santiago (MP Klang), YB Mujahid Yusof Rawa (MP Parit Buntar), YB Liew Chin Tong (MP Bukit Bendera). Dato' Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa berjumpa dan bertanya beberapa perkara mengenai GMMA dalam isu AUKU.

Ahli-ahli parlimen ini hadir untuk memberikan sokongan terhadap pendirian GMMA dalam isu pindaan AUKU. Isu pindaan AUKU begitu hangat dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada hari ini, antara yang mengambil bahagian untuk berucap isu ini Ketua Pembangkang sendiri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Selain Dato' Seri Anwar, beberapa lagi ahli parlimen turut mencelah dalam perbahasan ini, YB Dr. Lo' Lo' Mohammad Ghazali (MP Titiwangsa), YB Fong Po Kuan (MP Batu Gajah), dan YB Liew Chin Tong (MP Bukit Bendera) daripada Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Barisan Nasional yang bangun untuk membahas isu ini antaranya, YB Datuk Bung Mukhtar Radin (MP-Kinabatangan) dan YB Dato' Tajuddin Abd Rahman (MP Pasir Salak). YB Pasir Salak telah melabelkan golongan mahasiswa sebagai golongan 'pemalas' dan tidak mengikuti isu-isu semasa.

Label yang diberikan tanpa bukti yang kukuh itu telah menimbulkan kemarahan beberapa ahli parlimen. Saya sendiri sebagai mahasiswa telah membangkitkan perkara ini semasa sidang media GMMA dan menggesa beliau menarik balik serta memohon maaf kepada mahasiswa.
Add Image

Tuesday, November 11, 2008

GMMA AKAN TERUS MENDESAK AUKU DIMANSUHKAN

Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) akan meneruskan desakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). GMMA akan maneruskan usaha tersebut setelah melihat pihak KPT tidak mengiraukan langsung tuntutan kita sebelum ini.

Pelbagai tindakan telah diambil oleh pihak GMMA supaya pihak KPT menilai kembali pindaan tersebut dan memansuhkannya. Tetapi, seolah-olah tindakan tersebut langsung tidak dipedulikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khalid Nordin.

Saya telah meneliti ucapan pergulungan bajet 2009 bagi Kementerian Pengajian Tinggi oleh Dato' Seri Khalid Nordin baru-baru ini dan beliau menegaskan tidak akan memansuhkan akta tersebut. Bacaan kali kedua pindaan AUKU dijangka dibuat dalam perbahasan parlimen dalam bulan Disember nanti.

Saya menyeru kepada seluruh mahasiswa, rakyat dan juga ahli parlimen samada Pakatan Rakyat (PR) mahupun Barisan Nasional (BN) supaya terus membantah AUKU. Di sini saya sediakan beberapa rakaman video demonstrasi depan parlimen membantah AUKU.












Tuesday, October 28, 2008

DEBAT SAIFUDIN NASUTION VS KHIR TOYO


27 Oktober 2008
(Isnin)
10.30 mlm
TV9


Debat antara YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo dengan YB Saifudin Nasution Ismail yang di siarkan oleh rancangan Hujah di TV9 cukup menarik. Ketenangan yang di tunjukkan kedua-dua pendebat sangat di kagumi. Debat yang bertajuk 'Pemimpin Muda: Pewaris Survival Melayu' itu telah di pengerusikan oleh Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Pada peringkat awal perdebatan, Dato' Seri Dr. Khir Toyo seolah-olah melontar idea dan pandangan berlegar sekitar pemimpin muda dan peluang yang harus diberi kepada pemimpin muda terutama dalam kepimpinan UMNO. Namun, selepas YB Saifudin memberikan pandangannya, bahawa fokus perbincangan adalah persoalan pemimpin muda yang berkualiti.

Selepas berhenti rehat, Dato' Seri Dr. Khir Toyo mula menyerang dengan menimbulkan persoalan tentang kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor dan juga Pulau Pinang. Namun jawapan yang diberikan oleh YB Saifudin telah mematikan terus persoalan tersebut, apabila dibangkitkan tentang 2 % pemilikan tanah di sebelah pulau di Pulau Pinang sepanjang UMNO dan BN memerintah negeri itu dan juga isu kenyataan TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak mahu menghapuskan secara beransur-ansur Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Apapun saya memuji YB Bato' Seri Khir Toyo dan juga YB Saifudin Nasution kerana berhujah secara berfakta dan tanpa dipengaruhi emosi. Walaupun ada menyerang dalam memberikan pandangan, tetapi tidak menjurus kepada serangan peribadi sebaliknya fokus kepada prinsip dan dasar parti masing-masing.

TV9 dan Dr. Mohammad Agus Yusoff juga harus dipuji kerana mampu membawa kedua-dua pemimpin utama parti kerajaan dan pembangkang untuk berada dalam ruang politik yang harmoni ini, iaitu rancangan HUJAH TV9. Moga dengan rancangan ini mampu menampilkan pemimpin kedua-dua belah pihak yang berani dalam berhujah secara terbuka.

Saturday, October 25, 2008

SEKITAR DI PARLIMEN 2

bergambar bersama Pak Ibrahim (PA Dato' Seri Anwar)

dari kiri; Muhaimin, ahli rombongan, ayah saya dan saya
bersama Pak Cik Bakar

14 Oktober sekali lagi saya hadir ke Parlimen. Tapi kali ini atas urusan untuk bertemu rombongan dari Kelantan yang datang melawat Parlimen dan menghantar surat kepada pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kali ini saya ditemani Muhaimin.

Sebelum mereka bertolak ke destinasi seterusnya, iaitu pejabat SUK Selangor, saya sempat bergambar dengan ayah saya yang bersama dalam rombongan tersebut di hadapan pintu masuk utama Parlimen.
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Setelah selesai, saya terus ke dalam Parlimen. Kali ini, giliran Pak Cik Bakar (ketua keselamatan Dato' Seri Anwar) pula belanja saya makan. Sempat juga berbual dengan beberapa pembantu Dato' Seri Anwar semasa berada di kafe.

Antaranya, Abg Ikmal,(Koordinator Media Bahasa Melayu DSAI)Pak Ibrahim (PA DSAI) dan lain-lain, saya tak ingat nama.

Kemudian saya dan Muhaimin masuk dalam dewan untuk mendengar perbahasan Bajet seterusnya.

SEKITAR DI PARLIMEN 1

dari kiri; Faisal, saya dan YB Salahudin
semasa temuramah YB Salahudin Ayub

Pada 13 Oktober 2008, saya telah hadir ke Parlimen atas beberapa urusan. Saya ditemani Faisal dan Shahir. Urusan pertama, untuk berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Sulit kepada Dato' Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, En. Badrul Hisham. Perbincangan tersebut diadakan di kafe Parlimen. Faisal dan Shahir tidak terlibat dalam perbincangan tersebut , kerana mereka tengah 'syok' mendengar ucapan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (MP Permatang Pauh-PKR) dalam dewan.

Banyak perkara telah kami bincangkan, antaranya Pilihan Raya Kampus (PRK), aktiviti mahasiswa, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga pandangan dalam isu politik. En. Hisham cuba menguji saya dengan pertanyaan, adakah politik penting untuk mahasiswa? saya jawab, mahasiswa patut di dedah dengan politik, supaya mereka dapat belajar bagaimana proses demokrasi berjalan dalam negara kita. Kerana apabila sudah tamat belajar nanti, mereka akan memimpin masyarakat. saya juga memberi beberapa contoh mahasiswa di luar negara. Apapun terima kasih kepada En. Badrul kerana sudi berbincang dan belanja saya.

Kemudian, saya terus ke Lobi Parlimen, untuk menemuramah YB Salahudin Ayub (MP Kubang Kerian-PAS) bagi tugasan subjek di Fakulti Pendidikan, 'Kepimpinan Diri dan Organisasi'. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan selesai urusan hari tersebut.

Masa dalam dewan, hangat juga perbahasan ucapan daripada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang. Terutama apabila YB Dr. Mohd Fuad Zarkashi (MP Batu Pahat-BN) berdiri untuk menanyakan soalan. Banyak juga isu yang telah diketengahkan, antaranya isu ranking universiti, bajet tidak relevan dan lawatan MP BN ke Taiwan. Diakhir sesi perbahasan pukulan maut Dato' Seri Anwar kepada YB Dr. Mohd Fuad tentang ' dulu cium tangan Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang'.

Friday, August 29, 2008

BERJUMPA DATO’ SERI ANWAR DI PARLIMEN

Saya menyerahkan surat kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim
Bergambar bersama: dari kiri, Saya, Dato' Seri Anwar, Dato' Seri Wan Azizah dan Faisal

Semalam(28 Ogos 2008) saya dan Saudara Faisal Mustaffa berkesempatan untuk berjumpa Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen yang baru bagi parlimen Permatang Pauh. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos baru-baru ini, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat undi sebanyak 15, 524 dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat yang mendapat 92 undi. Dato' Seri mendapat undian sebanyak 31, 195 undi untuk menang dengan majoriti 15, 671 undi.

Pada asalnya, saya hanya mahu menghantar surat kepada pembantu Dato’ Seri Anwar, tetapi kebetulan berjumpa dengan pengawal peribadi beliau, En. Bakar dan beberapa orang ahli parlimen yang saya kenali. Mereka terus maklumkan Dato’ Seri Anwar ada bersama YB Saifudin Nasution Ismail (MP Machang) di pejabat Ketua pembangkang.

Walaupun kehadiran saya dan Faisal sebagai wakil mahasiswa, tetapi saya cukup kagum kerana Dato’ Seri sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dan berbincang bersama kami. Sebelum perbincangan, saya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri kerana memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Dato’ Seri membuka bicara dengan beberapa isu-isu terkini dan kesanggupan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat untuk terus membantu serta mempertahankan beliau dalam politik.

Dalam perjumpaan selama 20 minit itu, banyak persoalan yang saya lontarkan kepada beliau, terutama melibatkan agenda mahasiswa. Isu AUKU juga disentuh oleh beliau terutama semasa beliau bergelar Menteri Pendidikan dahulu. Selain itu, beliau juga ada berkongsi pengalaman semasa belajar di Universiti Malaya (UM) dahulu. Dato’ Seri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail begitu ramah dan seolah-olah sudah lama mengenali kami.

Beliau juga ada menyentuh mengenai Pakatan Rakyat (PR) dan penghijrahan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN). Banyak persoalan dan perkongsian dalam perjumpaan tersebut, tetapi saya rasa cukup lah untuk makluman dan perkongsian dengan rakan-rakan pada kali ini.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan