Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

ULASAN BUKU DILEMA SINGAPURA (PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN MASYARAKAT MELAYU)

hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim

Buku ‘Dilema Singapura- Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu’ merupakan antara buku yang menarik untuk dibaca dan dikongsi dengan rakan-rakan. Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim ini boleh dikatakan pendedahan sebenar mengenai nasib bangsa Melayu di negara republik itu.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui mengenai masyarakat Melayu di Singapura melalui akhbar seperti isu Sultan Hussin dan daripada sumber rakan-rakan. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan daripada Singapura yang menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan menceritakan kisah masyarakat Melayu dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian serta menyentuh mengenai kedudukan agama Islam.

Saya boleh katakan ramai di kalangan kita mengetahui mengenai sejarah Singapura melalui subjek Sejarah yang diajar di peringkat sekolah dahulu. Walaupun kita rakyat Malaysia, tetapi kita mesti mengetahui bagaimana susur galur sejarah Singapura supaya menjadi pengetahuan dan panduan kepada kita pada masa hadapan. Sebagai contoh kedudukan Singapura dahulu ketika dipanggil Temasik, semasa bergabung dan berpisah dengan Malaysia serta hal-hal lain.

Usaha yang dilakukan oleh Lily Zubaidah ini seharusnya dipuji kerana memaparkan status keadaan Singapura untuk tatapan umum terutamanya bagi bangsa Melayu di rantau Nusantara ini. Aspek yang difokuskan oleh beliau iaitu aspek politik dan pendidikan yang merupakan aspek penting untuk pembangunan sesuatu bangsa mahupun tamadun. Selain itu, ia juga mendedahkan sikap sebenar parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party-PAP).

Salah satu kekuatan buku hasil kajian Lily Zubaidah ini adalah menceritakan kedudukan Singapura pada ketika ini. Sebagai contoh, Singapura sudah mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (NIC- Newly Industrializing Country) pertama di Asia Tenggara, selain diiktiraf negara maju oleh Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD- Organization for Economic Co-Operation and Development). Singapura juga mencatat kadar pemilikan rumah tertinggi iaitu 90% penduduk memiliki rumah sendiri.

Buku ini juga menjelaskan kedudukan Melayu dan Islam serta kaitan antara Melayu dan Islam. Pemerintah berusaha memisahkan kaitan Melayu dan Islam dengan pelbagai cara. Dijelaskan juga bagaimana masyarakat Melayu terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Penulis juga membandingkan mengenai bidang pekerjaan bagi kaum Melayu dan Cina dari tahun 1957 hingga 1980. Turut diketengahkan bagaimana PAP mengurus kekuasaan dan mengekalkan hegemoni ideologi PAP.

Saya agak terkejut, apabila penulis mendedahkan bagaimana kekangan dan cengkaman pihak penguasa terhadap media massa di negara tersebut. Pemerintah mengambil tindakan terhadap akhbar dan media yang melanggar peraturan melalui Akta Percetakan Akhbar. Sebagai contoh, pada 1985, Asian Wall Street Journal telah dikenakan tuduhan menghina dan 1987, edaran FEER dikurangkan daripada 9,000 kepada 500 naskhah disebabkan laporan tentang penahanan ISA pada tahun itu. Selain, edaran The Asian Wall Street Journal juga telah dihadkan daripada 5,000 kepada 400 naskhah pada 1987.

Buku ini juga memberi saya maklumat dan pengetahuan baru, seperti istilah-istilah dalam lanskap politik dan demokrasi Singapura. Istilah seperti Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP-Non-Constituency Member of Parliament), Anggota Parlimen Dicalon (NMP-Nominated Member of Parliament), Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC-Group Representative Constituency). Penulis juga mendedahkan penggunaan ISA oleh pemerintah untuk mempertahan kekuasaan. Ramai dikalangan kita mungkin mengetahui, bagaimana sikap parti PAP di Singapura pada tahun 1950 ‘an hingga 60 ‘an cenderung kepada sosialis demokratik, tetapi, sejak tahun 70 ‘an ia cenderung kepada ideologi konservatif.

Singapura yang telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST-Goods and Services Tax) pada tahun 1994 juga telah memberi kesan secara langsung kepada rakyatnya khususnya bagi bangsa Melayu. Dengan pelaksanaan cukai ini ia menjejaskan ekonomi warga tua dan yang berpendapatan rendah. Antara sebab pelaksanaan GST oleh pemerintah adalah untuk menjadikan ekonomi Singapura berdaya saing serta dengan penurunan cukai korporat dan perkhidmatan boleh menarik pelabur ke republik itu.

Selain itu, penulis juga menerangkan bagaimana doktrin dan gambaran tentang orang Melayu oleh pemerintah, iaitu bangsa yang mudah berpuas hati, malas, tidak ambil peduli, suka bersenang, tidak ada motivasi dan tidak ada disiplin. Parti pemerintah juga telah menggunakan pelbagai strategi untuk mengurangkan sumber kuasa politik masyarakat Melayu. Antara strategi yang digunakan untuk melemahkan kuasa undi masyarakat Melayu seperti program penempatan semula Bandar, kuota kediaman etnik, Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan lain-lain.

Antara topik lain yang disentuh oleh penulis adalah kelemahan pemimpin Melayu dalam PAP dan kerajaan PAP. Dari tahun 1960 hingga 1991 jumlah perwakilan ahli parlimen Melayu di parlimen tidak pernah lebih daripada 10 orang, walaupun jumlah ahli parlimen meningkat daripada 50 orang pada tahun 1960 kepada 81 orang pada tahun 1991. Kesimpulannya, peratus ahli parlimen Melayu di parlimen semakin menurun iaitu daripada 20% pada tahun 1960 kepada 9.8% pada tahun 1991.

Selain politik, penulis juga mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dalam aspek pelajaran. Antara perkara yang disentuh oleh penulis, mengenai Dasar Pelajaran Baru (NEP-New Education Policy), Sistem Pelajaran Baru (NES- New Education System) 1991, Cadangan Laporan Goh NEP 1979, Program Pendidikan Pelajar Bijak (GEP- Gifted Education Programme) dan lain-lain. Dalam bab 10, penulis menyentuh mengenai penubuhan sebuah badan iaitu Yayasan Mendaki atas usaha sendiri Melayu Islam. Mendaki merupakan singkatan bagi Majlis Pendidikan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan pada bulan Mei 1982.

Secara keseluruhannya, penulis buku ini, Lily Zubaidah Rahim memaparkan wajah sebenar parti pemerintah di Singapura iaitu PAP terhadap masyarakat Melayu. Selain menyentuh mengenai strategi-strategi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan meminggirkan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau juga menjelaskan kapasiti dan kekuatan ahli politik Melayu dalam PAP dan kerajaan serta menggerakkan agenda positif untuk masyarakat Melayu.

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "


Thursday, November 13, 2008

LATIHAN KEPIMPINAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA (LAKIUM 08)


Tempat : Sukida Resort, Semenyih
Tarikh : 18-20 November 2008


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan kerjasama Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya 2008 (LAKIUM 08). Antara objektif program ini untuk membimbing mahasiswa agar menyedari potensi diri dengan lebih mendalam seterusnya bersedia untuk menggunakannya secara maksimum. Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya, outdoor games, pengisian rohani, Team building, Kuliah dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 019-3747584 & 012-5841704 atau datang terus ke Sekretariat PMIUM: No 15, Aras 2, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya.

Thursday, November 6, 2008

KONTRAK BONDA RAFIAH SALIM TIDAK DI SAMBUNG

Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon

Bermula esok, 7 November 2008, kontrak Datuk Rafiah Salim atau lebih dikenali sebagai Bonda NC sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) akan ditamatkan. Bonda Rafiah mengesahkan kontraknya tidak akan disambung lagi. Pada masa yang sama, beliau juga tidak mengetahui apa sebab kontraknya tidak disambung.

Bonda Rafiah Salim dilantik sebagai NC UM pada 1 Mei 2006 mengganti Prof. Dato' Dr. Hashim Yaakob. Bonda Rafiah juga menyebut bakal penggantinya adalah, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon, presiden Universiti Multimedia (MMU).

Prof Datuk Dr. Ghauth yang berasal dari Batu Pahat, Johor juga merupakan bekas pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM.

Sunday, November 2, 2008

LAWATAN KE UPSI

Saudara Akmal (bawah, paling kiri) yang mendapat undi tertinggi calon umum
bergambar bersama-sama depan Bangunan Suluh Budiman

Semalam (1 November 2008) saya dan rakan-rakan berkesempatan melawat kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya, Faisal, Norazali, Hilman dan Shahir bertolak ke Tanjung Malim lebih kurang pukul 10.30 pagi. Agenda lawatan ini untuk membincangkan beberapa perkara selepas kemenangan 8 orang calon Pro-Mahasiswa di UPSI.

Perbincangan mengambil masa lebih kurang dua jam itu itu dihadiri kesemua calon Pro-Mahasiswa yang menang dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UPSI dan beberapa rakan-rakan pimpinan di UPSI.

Di peringkat Pro-Mahasiswa UPSI, Saudara Akmal yang memenangi undian tertinggi bagi calon umum menyatakan rasa terharu diatas kehadiran kami. Beliau yang dinafikan kerusi Majlis Tertinggi walaupun mendapat undi tertinggi akan meneruskan tekanan dan perjuangan untuk memastikan kemenangan calon Pro-Mahasiswa tidak diperkecilkan.

Saudara Norazali selaku pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional menyampaikan hasrat di peringkat Pro-Mahasiswa Nasional untuk melihat MPP Pro-Mahasiswa UPSI terus bergerak maju dalam menjayakan agenda membela mahasiswa.

Sebelum pulang, rakan-rakan UPSI sempat meluangkan masa untuk membawa kami meliahat suasana dalam kampus UPSI dan bergambar di depan bangunan bersejarah UPSI, Bangunan Suluh Budiman.

KULIAH ILMU PMIUM SIRI 5

Pimpinan PMIUM bergambar bersama ahli panel
Ahli panel dan moderator tengah control macho.hehe
pimpinan PMIUM yang hadir malam itu. dari kiri: Norazali, Muhaimin, Saya dan Hasbie
Mahasiswi yang hadir

Kuliah Ilmu (KI) 2008 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) siri terakhir semester ini telah diadakan pada 21 Oktober 2008 pukul 8.15 malam bertempat di Auditorium Fakulti Pendidikan. Forum yang bertajuk "Islam..itu Islam" itu merupakan siri-siri KI PMIUM semester ini. Panel forum pada malam tersebut adalah Dato' Dr. Hasan Din al-Hafiz, bekas penasihat Yang Di-Pertuan Agong dan Saudara Hisommudin Bakar, bekas pimpinan PMIUM yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Gandingan panel pada malam itu sangat sesuai kerana mewakili golongan berpengalaman dan golongan muda atau sisi mahasiswa. Kehadiran mahasiswa pada malam itu juga tidak mengecewakan dan dihidupkan dengan sesi soal jawab. Banyak sejarah gerakan mahasiswa telah didedahkan oleh Saudara Hisommudin supaya mahasiswa kembali bangkit.

Sebelum ini, siri KI pertama yang bertajuk " Dreams Are Possible" telah disampaikan oleh Saudara Amin Idris. Siri kedua, yang bertajuk "Hidup Untuk Mencintai & Dicintai" oleh Dr. Habib Mat Som. KI siri yang ketiga bertema kemerdekaan bertajuk " The Unsung Heroes" berkonsepkan forum. Panel forum tersebut Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Dr. Wan Abdul Latif Wan Abdul Rahman. Manakala siri keempat telah disampaikan oleh Ust Hasrizal Md Jamil (Saifulislam.com) bertajuk "Antara 2 Cinta".

Monday, October 27, 2008

PAMERAN KEPIMPINAN DIRI & ORGANISASI

Semasa majlis perasmian, kelihatan Prof. Dr. Sufean Hussin

Pameran Kepimpinan Diri & Organisasi, subjek wajib bagi pelajar pendidikan, menggabungkan pelajar tiga fakulti, Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Pendidikan. Pameran tersebut diadakan pada 20 Oktober lalu di dataran Fakulti Pendidikan.

Suasana di tempat pameran

Dimulakan dengan majlis perasmian oleh Prof. Dr. Sufean Hussin yang juga pensyarah bagi subjek ini. Banyak teori dan isu-isu yang melibatkan kepimpinan telah dibincangkan semasa kuliah, samada dalam mahupun luar negara. Pameran bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

kumpulan saya. dari kiri;Khairi, saya, Ridwan dan Radhi

bergambar beramai-ramai

sempat lagi bergambar bersama Prof.

Terima kasih kepada Prof. kerana mencurahkan ilmu yang sangat berguna kepada kami.

Sunday, October 26, 2008

KARNIVAL KERJAYA KEBANGSAAN 2008

Ucapan NC UKM
Gimik Perasmian
Penyerahan Sumbangan Tajaan

17 Oktober yang lalu saya, Hilman (MPMUM) dan Khairiyah (MPMUM) berpeluang menghadiri majlis perasmian Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato' Seri Mohd Khalid Nordin. Perasmian tersebut bermula pukul 3 petang itu diadakan di sebelah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Naib Canselor UKM, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin memulakan ucapan dengan menyebut beberapa agenda penting di peringkat UKM, antaranya Zon Bahasa Inggeris di kolej kediaman dan peningkatan ranking UKM. Dato' Seri Mohd Khalid dalam ucapannya menyebut mengenai penganjuran karnival ini yang sebelum ini diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berhasrat mahu menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan dan termasuk dalam kalendar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selepas selesai majlis perasmian, acara penyerahan tajaan oleh syarikat-syarikat korporat yang terlibat. Penaja terbesar iaitu Penaja Emas sebanyak RM50 ribu daripada Sime Derby. Penaja Perak Shell dan CIMB Group. Manakala HUAWEI dan MASTERSKILL sebagai Penaja Gangsa.

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan