Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Thursday, March 4, 2010

ULASAN BUKU ‘POLITIK BARU- NEW POLITICS’

Buku ‘Politik Baru- Mematangkan Demokrasi Malaysia’ oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah (gambar) merupakan antara idea dan gagasan baru dalam politik negara kita pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). YB Dato’ Saifuddin merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan ahli parlimen Temerloh. Semasa buku ini dilancarkan sempena 100 hari sebagai ahli parlimen, beliau adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selain itu, beliau juga antara aktivis dan pemimpin mahasiswa semasa menuntut di Universiti Malaya sekitar tahun 80’an. Beliau pernah menjawat jawatan timbalan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Beliau juga aktif menulis artikal rencana dan kertas kerja.

Buku ini saya perolehi dengan harga RM30 (lupa berapa diskaun yang diberikan) pada 17 April 2009 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia diterbitkan dalam dwi bahasa, bahasa Melayu di depan dan bahasa Inggeris dibelakang. Ia juga dibahagikan kepada dua komponen penting iaitu pertama, ‘integriti politik’ dan kedua, ‘kerangka governans baru’. Empat bab pertama menghuraikan komponen pertama buku ini iaitu, bab pertama, ‘Idealisme Politik’, kedua ‘Politik Ilmu’, ketiga ‘Politik Hikmah’ dan keempat ‘Politik Bakti’. Manakala dalam bahagian kedua, lima bab (bab 5 hingga 9) untuk menghuraikan mengenai ‘Kerangka Governans Baru’. Bab kelima, ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’, keenam ‘Generasi Muda & Masyarakat Sivil’, ketujuh ‘Keperluan Kepada Governans Baru’, kelapan ‘Penghakupayaan Perniagaan & Masyarakat Sivil’ dan kesembilan ‘Perwakilan Perniagaan & Masyarakat Sivil’.

Dalam bahagian pendahuluan, penulis menjelaskan beberapa perkara, antaranya berkaitan penerbitan buku ini, isu integriti, menyentuh mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain. Ungkapan yang menarik oleh penulis untuk menggambarkan integriti politik berasaskan tiga sendi idealisme politik adalah ‘politik ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah dan bukannya fitnah, serta politik bakti dan bukannya politik undi’. Penulis menjelaskan mengenai integriti politik dari sudut kepemimpinan yang bermakna pemimpin memerlukan 3 ciri kepemimpinan iaitu berwawasan, menguasai apa-apa yang dilakukannya dan mampu membina jaringan kerjasama.

Bab pertama, penulis mendedahkan mengenai kelemahan politik hari ini ialah politik wang, rasuah, cantas-mencantas, payung terjun, kronisme, nepotisme, cepat kaya, politikus badut dan sebagainya. Menurut Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digerakkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), agenda integriti politik bertujuan, pertama; mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan institusi Raja berperlembagaan dan pemerintahan berparti. Kedua; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur. Ketiga; mengamalkan politik berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri. Dan keempat; memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan governans terbaik.

Selain itu, sebagai mahasiswa, saya juga tertarik dengan prinsip dan pandangan penulis mengenai AUKU. Penulis menjelaskan ahli politik yang sentiasa berpegang dan berani dengan pendiriannya terhadap sesuatu isu atau perkara. Contohnya, dalam isu AUKU, ahli politik yang menghayati idealisme politik akan mempertahankan pendiriannya itu dimana-mana sahaja dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Antara kebijaksanaan penulis ialah menyandarkan perkataan ilmu dalam istilah ‘Politik Ilmu’ kepada takrifan yang diberikan oleh ilmuwan Syed Muhammad Naquib al-Attas: “Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”.

Wan Mohd Nor Wan Daud (2003) dalam bukunya, Budaya Ilmu, terdapat tiga prinsip politik ilmu iaitu, pertama; meletakkan ahli politik berilmu di tempat yang paling tinggi, kedua; setiap ahli politik sentiasa menuntut ilmu atau menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ilmu serta ketiga; setiap keputusan dan tindakan ahli politik adalah berdasarkan ilmu. Antara contoh yang terbaik diberikan penulis mengenai politik ilmu dan sebaliknya adalah pelantikan Profesor Universiti Harvard, Robert B. Reich sebagai setiausaha buruh semasa Bill Clinton sebagai presiden Amerika Syarikat, Gabenor California yang tidak berpendirian iaitu Arnold Schwarzenegger (Republikan), pendedahan Barack Obama dalam bukunya The Audacity of Hope (Keberanian Menggapai Harapan- terjemahan dan terbitan ITNM) mengenai parti Demokrat dan Republikan.

Saya kagum melihat kupasan penulis mengenai belia, mahasiswa dan pelajar dalam bab kelima ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’ secara tersusun dalam enam situasi atau keadaan. Bab keenam ‘Generasi Muda dan Masyarakat Sivil’ merupakan huraian khas oleh penulis mengenai generasi muda yang merangkumi belia, mahasiswa dan pelajar. Antara yang disentuh enam objektif generik, sumbangan generasi muda dalam kegiatan sukarela dan saham generasi muda dalam mencetus idea, menggerakkan gagasan serta mempelopori beberapa perkara melibatkan dasar, institusi dan program pembangunan negara. Penulis juga menjelaskan antara manfaat pengamalan perwakilan perniagaan dan masyarakat sivil serta penubuhan setiap peringkat.

Kesimpulan yang dibuat oleh penulis, integriti poltitik dan kerangka governans baru bukanlah matlamat tetapi ia sekadar alat untuk mencapai matlamat. Matlamat yang sebenar adalah untuk meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini bagi meningkatkan keamanan, keselamatan, kemajuan, kemakmuran dan kebahagian rakyat. Penulis juga memandang positif debat terbuka antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Ahmad Shabery Cheek serta debat Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Komen Prof. Dato’ Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), “Sekiranya gagasan dan saranan dalam buku ini menjadi amalan, pasti budaya politik Malaysia akan lebih segar”.

Secara umumnya, buku ini menampilkan idea, pandangan dan gagasan politik baru yang sangat relevan dan sesuai untuk pengamalan dalam politik Malaysia. Cuma ia perlu dilengkapkan dengan kesedaran dan kejujuran semua rakyat Malaysia terutama ahli-ahli politik yang banyak berperanan mencorakkan lanskap politik Malaysia. Politik berasaskan ilmu, hikmah atau kebenaran sangat diperlukan untuk memastikan kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi ia dituntut oleh agama. Antara langkah awal yang mesti dilakukan adalah kualiti perbahasan di parlimen yang bersumberkan fakta dan data serta kajian. Selain itu, pusat sumber parlimen juga mesti dinaiktarafkan dari sudut kuantiti dan kualiti buku dan bahan, kemudahan carian buku, kakitangan, kemudahan dan sebagainya. Sekarang pusat sumber parlimen hanya menyimpan 40 ribu bahan ilmiah dan beberapa kakitangan yang tidak lebih daripada 10 orang berbanding negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan sebagainya. Untuk mengubah perkara ini memanglah sukar dan banyak halangan, tetapi ia tidak mustahil sekiranya digerakkan dari sekarang secara bersama serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat lebih utama daripada kepentingan peribadi.

Wednesday, March 3, 2010

ULASAN BUKU ‘KELEBIHAN PENGETAHUAN’

Buku 'Kelebihan Pengetahuan'


Buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ atau ‘The Knowledge Advantage’ merupakan buku tulisan Rudy Ruggles dan Dan Holtshouse dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Buku ini saya beli di Pekan Buku Universiti Malaya (UM) pada harga RM36.00. Kebiasaannya apabila saya ke Pekan Buku UM, rak buku yang menempatkan buku-buku ITNM memang menjadi keutamaan selain rak majalah-majalah, buku-buku agama, politik, sejarah, undang-undang dan lain-lain.

Secara umumnya buku ini menyentuh mengenai bagaimana mengubah pengetahuan menjadi produk, menterjemah pengetahuan dalam bentuk strategi, pembinaan pengetahuan dan mendapat kebaikan daripada ekonomi pengetahuan baru. Perkongsian John Seely Brown dari Xerox PARC dalam kata pengantar sangat menarik iaitu berkisar mengenai cerita beliau semasa kecil dan maklumat-maklumat lain seperti kawasan tumpuan penting seperti Lembah Silikon, kawasan teater London dan daerah kewangan New York serta kewujudan ‘artis pengetahuan’ dalam Xerox PARC.

Buku dipecahkan kepada 4 bahagian, iaitu bahagian pertama, pengetahuan dan individu, bahagian kedua, pengetahuan dan organisasi, bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi serta bahagian keempat, pengetahuan dan ekonomi. Bab 1 tidak termasuk dalam mana-mana bahagian. Bab 1 iaitu ‘Meraih Kelebihan Pengetahuan’ dihuraikan oleh Rudy Ruggles dari The Ernst & Young Center for Business Innovation dan Dan Holtshouse dari Xerox Corporation. Bab ini banyak menghuraikan mengenai pengurusan pengetahuan serta sejarah ringkasnya, perkembangan terkini dan kebangkitan pengurusan pengetahuan.

Dalam bahagian pertama iaitu pengetahuan dan individu, menampilkan tiga tokoh hebat untuk mengupas setiap bab. Tiga tokoh tersebut adalah Edward O. Wilson dari Harvard University menghurai bab kedua bertajuk ‘Kesegerakan: Kesepaduan Pengetahuan’. Bab ketiga bertajuk ‘Pengetahuan adalah Kuasa! Selamat Datang Demokrasi! Dikupas oleh Alan M. Webber dari Fast Company dan bab keempat bertajuk ‘Menguruskan Pekerja Pengetahuan dalam Dunia yang Berubah’ oleh Peter Drucker (Claremont Graduate School of Business). Alan M. Webber tidak bersetuju dengan tajuk buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ kerana terlalu sopan dan ia tidak menggambarkan barisan pertempuran serta kepentingan revolusi pengetahuan.

Webber juga menyentuh mengenai keburukan ekonomi baru berdasarkan buku David Dorsey, The Force. Beliau menyebut antara keburukan ekonomi baru ialah sinisme, nihilism dan kepura-puraan serta membawa kisah hidup Fred Thomas, seorang jurujual Xerox. Beliau juga menyentuh mengenai kisah Telco memilih kaedah penyusunan semula untuk melakukan perubahan.

Bahagian kedua buku ini, pengetahuan dan organisasi menampilkan 4 tokoh iaitu antaranya Ikujiro Nonaka dari University of California, Berkeley dalam bab 4 menyentuh mengenai ‘Dinamik Pembentukan Pengetahuan’. Beliau menerangkan mengenai pembentukan pengetahuan secara bersepadu berdasarkan model SECI (Socialization, externalization, combination & Internalization). Dr Bob Bauer dari Xerox PARC mengulas mengenai ‘Mengubah Pengetahuan Menjadi Inovasi’ dalam bab keenam. Dalam bab ketujuh pula, Christopher A. Bartlett dari Harvard Business School menghuraikan mengenai ‘Organisasi Berasaskan Pengetahuan: Suatu Reolusi Pengurusan’.

Bartlett telah memberikan satu contoh yang sesuai dalam tajuk kecil yang bertajuk ‘Contoh Yang Baik: Westinghouse’. Westinghouse banyak mengalami masalah doktrin pengurusan yang ketinggalan zaman. Bermula dengan Robert Kirby mengambil alih syarikat ini pada tahun 1975, ia menampakkan kesan yang positif. Syarikat ini semakin bertambah baik selepas pelantikan Douglas Danforth sebagai CEO. Beliau juga membina dan mengurus sistem perancangan strategik yang paling canggih iaitu VABASTROM (Value-Based Strategic Management System- Sistem Pengurusan Strategik Berasaskan Nilai). Syarikat ini semakin positif setelah John Marous dilantik sebagai pengerusi dan Paul Lego sebagai presiden untuk menggantikan Danforth.

Bartlett juga memberi contoh sebuah syarikat yang gagal iaitu Asea Brown Boveri (ABB) mengalami transformasi yang dramatik untuk menjadi pesaing global. Bab kelapan iaitu bab terakhir dalam bahagian kedua, James Brian Quinn dari Amos Tuck School of Business, Darmouth College menghuraikan mengenai ‘Memaksimumkan Inovasi Dengan Menggunakan Intelek, Sains dan Teknologi’. Antara perkara yang disentuhkan oleh beliau, anjakan ke arah ekonomi intelek, strategi untuk bersaing, pejuang bagi inovasi, intelek & organisasi dan lain-lain.

Manakala dalam bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi, Stephen Denning dari Bank Dunia menghurai dalam bab ke-9 mengenai ‘Perspektif Pengetahuan: Visi Strategi Baru’ dan dalam bab ke-10, Stan Davis menyentuh mengenai ‘Membina Pengetahuan Di Dalam Produk’. Bab terakhir dalam bahagian ini, iaitu ‘Membentuk Strategi Perniagaan Dalam Era Pengetahuan’ ditulis oleh Profesor Karl-Erik Sveiby.

Bahagian ke-4, pengetahuan dan ekonomi menampilkan idea tiga tokoh. Antaranya bab ke-12, W. Brian Arthur dari The Sante Fe Institute menerangkan berkaitan ‘Ilmu Ekonomi Baru Untuk Ekonomi Pengetahuan: Hukum Pulangan’ dan bab ke-13, Lester Thurow dari Massachussettts Institute of Technology menulis mengenai ‘Kepintaran Manusia dan Masa Depan Kapitalisme’. Stan Davis dan Chris Mayer dari The Ernst & Young Center for Business Inovation menjelas dalam bab terakhir berkaitan ‘Peranan Pengetahuan Dalam Ekonomi Berhubungan’.

Secara umumnya, boleh dikatakan buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ banyak menyentuh mengenai pengetahuan dalam aspek persaingan dan strategi pasaran perniagaan di peringkat global. Secara peribadi, buku ini memang berkualiti dan banyak member manfaat kerana menampilkan individu-individu yang layak untuk menghuraikan perkara-perkara ini. Menjadikan pengetahuan sebagai sumber pencetus kejayaan dan membina inovasi perniagaan merupakan satu kekuatan yang tersendiri. Gabung jalin antara fakta dan teori bersama kisah dan isu adalah antara kekuatan yang dimiliki oleh setiap penulis dalam buku ini. Terima kasih dan wassalam

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "

Sunday, June 21, 2009

KEHILANGAN SHEIKH DR. FATHI YAKAN AMAT DIRASAI...


Assalamualaikum...

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan takziah diatas pemergian Sheikh Dr. Fathi Yakan ke rahmatullah. Beliau telah kembali menghadap Ilahi pada subuh 13 Jun (Sabtu) yang lalu. Sudah tentu kehilangan beliau amat dirasai oleh umat Islam terutama ahli gerakan Islam seluruh dunia. Beliau meninggalkan kita semua dengan hasil-hasil tulisan ilmiah yang cukup banyak antaranya Maza ya'ni intima'i lil Islam, kaifa nad'u ilal Islam dan banyak lagi.

Pada umur 75 tahun beliau telah meninggalkan kita dan mewariskan perjuangan menyebar risalah Islam. Pemergian beliau mengingatkan saya bagaimana langkah-langkah terakhir As-syahid Syed Qutb ke tali gantung, Imam Hasan al-Banna syahid ditembak, kegigihan Zainab al-Ghazali meneruskan sisa hidup dan meninggal dunia pada tahun 2005 setelah menderita akibat seksaan penguasa, kematian Dr. Zulkifli Mohammad kerana kemalangan di Pahang, pemergian almarhum Ust Fadzil Mohd Noor pada tahun 2002 dan ramai lagi.

Moga Allah menempatkan Sheikh Dr. Fathi Yakan ditempat para solihin, syuhada' dan orang-orang yang beriman. Al-fatihah buat Sheikh Dr. Fathi Yakan...

Friday, June 5, 2009

UCAPAN BARACK OBAMA DI CAIRO, MESIR



Ucapan Barack Obama di Mesir semalam dilihat sebagai satu lembaran baru hubungan AS dan dunia Islam. Beliau yang menyentuh mengenai hubungan AS dan negara Islam itu untuk menjernihkan kembali imej AS pasca 11 September. Beliau juga mengimbau kembali semasa berada di Indonesia selalu mendengar azan.

Selain memberikan ucapan, Obama juga mengadakan perjumpaan dengan Hosni Mubarak, presiden Mesir. Selepas ini Obama akan melawat negara Jerman dan Perancis. Sebelum melawat Mesir, Obama telah berjumpa dengan Raja Abdullah di Arab Saudi pada 3hb yang lalu.

Friday, May 22, 2009

REVOLUSI MAHASISWA & POLITIK BARU MALAYSIA



* KERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN SEMASA KONVENSYEN KEBANGSAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) 2009 DI UNIVERSITI TUN HUSSAIN ONN MALAYSIA (UTHM) PADA 15-20hb MEI 2009

ABSTRACT
This paper was carried out to expound around issues on leadership’s revolution and New-Politics of Malaysia according student’s perspective. The studied focus on the leadership and its contribution that has been done by the students of University of Malaya from many aspects such to maintain the beauty of democracy-liberal-relative until Malaysian Neo-Politic in Malaysia nowadays. Through out this paper, we will explore how effective the University Malaya student’s revolusioner in encouraging the new Malaysian political culture. [mahasiswa, politik baru, revolusi, new politic]

Pendahuluan

Dalam siri-siri wacana kemahasiswaan Malaysia, istilah “revolusi” hampir tidak ditemukan. Berbeza oleh “evolusi” yang merujuk kepada proses pembentukan atau perubahan secara beransur-ansur. Revolusi pula menghasilkan perubahan secara cepat dan mendadak. Revolusi yang sebenar berpunca oleh perubahan asas pemikiran dan sistem yang mendasari sesuatu. Revolusi terjadi ekoran perencanaan dan dan tindakan segelintir individu/kepemimpinan ke arah perubahan tersebut.

Begitu juga dengan ‘politik baru’. Terminologi politik baru jua sudah lama dibincangkan secara sedar atau sebaliknya oleh kaum pemikir sebelum ini. ‘Politik Baru’ terhasil ekoran wujudnya permusuhan antara amalan berpolitik generasi baru yang mungkin mahasiswa sendiri dan kepemimpinan atau amalan politik yang sedia ada – sehingga disebut-sebut sebagai ‘politik baru’.

Oleh kerana Malaysia sendiri secara tabi’enya mengalami pelbagai perubahan – dari era kesultanan Melayu-Islam pada kolonialisme; kemudiannya era kemerdekaan sehinggalah era demokrasi liberal retatif sekarang ini; maka sudah tentu paradigma dan budaya kepolitikan masyarakat di dalamnya juga berubah-ubah.

Kepemimpinan mahasiswa Malaysia juga begitu; tidak terlepas dari menempuhi perubahan-perubahan tersebut yang akhirnya dirumuskan sebagai ‘politik baru’ dalam satu-satu periodisasi massa.Dalam kertas kerja ini, Penulis akan mengupas persoalan kepemimpinan mahasiswa sehinggalah budaya ‘politik baru’ sedang wujud belakangan ini.

REVOLUSI KEPEMIMPINAN DAN BENTUK-BENTUK ‘POLITIK BARU’

Sejak era kolonialisme sehingga era demokrasi berparlimen, sama ada suka atau tidak, telah banyak mengubah warna pemikiran dan rentak sikap kepemimpinan mahasiswa Malaysia sendiri. Boleh jadi bukan sahaja mahasiswa tidak wujud, malah mungkin tidak berperanan sejak awal era kemerdekaan negara, sekiranya tidak ada institusi pengajian tinggi tempatan sendiri.
Kalau boleh dikongsi tentang sejarah kepemimpinan mahasiswa di Malaysia sendiri, Universiti Malaya di Singapura (kini dikenali Universiti Kebangsaan Singapura) adalah antara pentas awal yang menyaksikan aksi revolusi kepemimpinan dan banyak mewarnai lanskap politik Malaysia akhirnya.

Era 1950an sehingga pertengahan era 1960an menyaksikan kepemimpinan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh idea anti-kolonialisme. Kelab Sosialis Universiti Malaya (KSUM) merupakan antara kelompok pendesak (pressure group) yang lantang berdepan dengan pemerintah.
Bukan tidak ada pertubuhan lain di Universiti. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah ada.

Namun, yang menarik – kelantangan KSUM tersebut tidak disemak imbang oleh pertubuhan-pertubuhan lain secara serius dan konsistan. Akhirnya, KSUM dilihat dominan pada jendela ukur politik pemerintah walaupun sebenarnya KSUM hanya dianggotai oleh sebilangan kecil sahaja mahasiswa.

Dari segi lain, kelompok itu turut dilihat berpegang kuat dengan idea faham sosialisme sebagaimana beberapa parti politik pada waktu itu. Akhirnya, kelompok itu turut dilabelkan anti-establishment atau dalam ungkapan semasa kini – agen/pro pembangkang.
Hakikat itu turut diakui sendiri beberapa ahli sarjana falsafah di Universiti Malaya sendiri. Menurut Prof. Emeritius Dr. Khoo Kay Kim (2005), perkembangan idea sosialis dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu bertitik-tolak pada penentangan kuasa-kuasa kolonial di peringkat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Malayan Democratic Union (MDU) (1945) , Pan-Malayan Labour Party (1952) dan Malaya Indian Congres (MIC) (1946) dilihat antara beberapa parti politik awal yang menggerakkan idea tersebut.

Selepas era tersebut, revolusi mahasiswa lebih terarus oleh nasionalisme Melayu dan kemudiannya nasionalisme Melayu-Islam.
PBMUM dilihat sebagai pemain utama pergerakan ketika itu kerana majoriti penuntut Universiti lebih cenderung pada pertubuhan itu.

Menurut Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar, fenomena itu berlaku ekoran kebanjiran masuk etnik Melayu-Islam bermula pada tahun 1962; di mana mereka ini telahpun melihat sendiri kemunduran ummat ketika menjadi pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Dari tahun 1965 sehinggalah tahun 1974, demontrasi Papan Tanda sehinggalah beberapa konvensyen kebudayaan nasional, bahasa Melayu dan kemiskinan rakyat merupakan antara respon mahasiswa terhadap sikap-sikap pemerintah.

Aksi-aksi ini jugalah menjadi pemangkin (catalyst) pada wujudnya Akta Bahasa Kebangsaan (1963, pindaan 1967/71); Dasar Kebudayaan Nasional (1967) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya di peringkat nasional.

Sesuatu yang menarik, walaupun revolusi mahasiswa terarus oleh idea faham nasionalisme Melayu, namun mereka tetap tidak bersekongkol dengan kaum pemerintah yang secara asasnya menganut kepercayaan yang sama.

Banyak penulis menggambarkan bahawa revolusi gerakan mahasiswa Islam yang berlaku di Universiti Kabul, Afghanistan bermula pada tahun 1972 dan kemudiannya revolusi Islam di Iran
pada 1979 banyak mewarnai pergerakan mahasiswa di Malaysia.

Di kebanyakan kampus utama turut mengalami fenomena yang sama – iaitu lahirnya ‘Islamic Group’. Di Universiti Malaya sendiri, antara Sdr. Siddiq Fadhil melalui PMIUM merupakan antara pemain utama yang sedaya upaya membawa mahasiswa Islam keluar dari idea faham nasionalis-Islamic kepada idea faham Islam yang hakiki.

Tanpa menafikan kewujudkan kepemimpinan mahasiswa nasionalis-Melayu dan sebagainya, menjaukau sedekad juga didapati idea faham Islam berkembang subur dan bernadi dalam gerakan mahasiswa di Malaysia.

Isu hak asasi, politik kepartaian, perundangan, autonomi serta kebejatan nilai mewarnai pergerakan mahasiswa. Pelbagai aksi revolusi boleh dilihat dalam pergerakan mahasiswa secara sedar atau tidak.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (kini Se-Malaysia / GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GPMS) merupakan antara pemain penting yang mewarnai gerakan pada waktu itu.
Masing-masing lebih mementingkan soal keluhuran semula nilai keadilan dalam negara. Masing-masing lebih mementingkan peranan generasi mahasiswa dan anak muda secara amnya untuk merobah nilai pemerintahan yang dilihat tidak selari dengan naluri mereka.

Akhirnya, didapati seolah-olah wujudnya asimilasi idea faham antara pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang plural itu. Soal keagamaan, status quo Melayu nasional, etniksiti bukan lagi menjadi halangan utama untuk masing-masing perperanan secara kolektif dan sepadu.

KAREKTORISTIK MAHASISWA DAN WAJAH POLITIK BARU MALAYSIA

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kepemimpinan mahasiswa serta aksi revolusi masing-masing sekarang ini banyak dipengaruhi oleh suatu kepercayaan baru; yang kalau boleh disebut-sebut sebagai demokrasi liberal relatif.

Kepercayaan baru ini boleh dilihat sendiri secara langsung dalam kepemimpinan mahasiswa dan boleh juga dilihat secara simplistik dalam wajah pemikiran rakyat muda Malaysia. Apa sebenarnya kepercayaan demokrasi liberal relatif yang dituntaskan sebagai wajah politik baru Malaysia?

Berdasarkan pada observarsi rawak Penulis, antara karektoristik pemimpin-pemimpin mahasiswa nasional dan dogma rakyat muda yang sedang wujud secara revolusi dan tabi’e belakangan ini adalah:-

1. menganut idea faham politic of hope hatta dengan tersendirinya memusuhi politic of fear ciptaan pemerintah. Contoh, penyalahgunaan AUKU, ISA dll; ugutan, fitnah dan penindasan.

2. Kepemimpinan yang mempunyai kebolehan mengakses dan mengupaya dunia maklumat secara bebas, cepat dan sahih. Contoh, budaya blog, website, portal, flyers, akhbar dll.

3. Kepemimpinan yang mengamalkan politik budiman, jauhari, integriti; hatta menolak politik lama amalan pemerintah – perkauman sempit, Governence always know-all, politik wang (rasuah) dll.

4. Kepemimpinan yang tidak mahu diikat dengan mana-mana fraksi kekuasaan, parti-parti politik (sama ada pemerintah atau oposisis), namun mahu menyertai politik nasional dalam rupa perayaan demokrasi dan hak asasi semata-mata.

5. Kepemimpinan yang menganggap menjadi mahasiswa di Universiti sebagai profesyen profesional, popular dan eksklusif; hatta menganggap pihak-pihak yang mengamalkan ‘politik kekuasaan’ (politic of power) sebagai musuh atau pesaing mereka.

Bertitik-tolak pada beberapa karektoristik di atas inilah, maka kaum pemerintah harus mencermati akar-akar revolusi yang sedang digemblingkan dalam kepemimpinan dan fikrah mahsiswa; bukan asyik dalam konseptual ‘lama’ – mahasiswa adalah agen pembangkang.

Aksi-aksi mahasiswa adalah natijah semata-mata. Kelahiran Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang mengambil keputusan nekad umpamanya – mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum ke-12 lepas – malah mengkritik sikap-sikap ‘politik lama’ yang wujud dan segar dalam parti-parti oposisi (PAS, PKR dan DAP sendiri); seharusnya menuntut kaum pemerintah mengenal pasti apakah akar-akar permasalah serta revolusi mental yang harus dipacu bersama.

Kesimpulannya

Penulis secara peribadi yakin, kepercayaan demokrasi liberal relatif adalah sesuatu yang perlu dan benar menurut al-Quran sendiri. Sesungguhnya kepercayaan ini telah lama disinggungkan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Tanpa menafikan peranan dan kebaikan yang dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin parti politik, Penulis menyeru semua pihak untuk menggalakkan al-Isti’mar atau kemakmuran (11:61), al-Istiklaf atau urus tadbir baik (24:55).

Renungkanlah kata-kata Bapak Mohamad Natsir, seorang tokoh cendikiawan Islam Nusantara yang hidup sezaman dengan Sukarno dan Hamka;

“ Bisa ada percetakan yang mampu mencetak mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah dan tutorial, tetapi tumbuh dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan-rakan seangkatan, lalu diangkat dan dijulang oleh ummat”

Wallahu ‘alam.

Monday, February 2, 2009

SANG WIRA ERDOGAN!



Disaat tentera Israel suda mula mengurangkan serangan terhadap Gaza, Ketika pemimpin-pemimpin negara Islam terutama Liga Arab dan kerajaan Mesir berdiam diri dan memejamkan mata apa yang berlaku kepada Umat Islam di Gaza. Muncul seorang pemimpin yang mempertahankan maruah umat Islam di bumi Palestin.

Recep Tayyip Erdogan bertindak berani mempertahankan umat Islam di Palestin dan juga HAMAS, dengan menyerang kembali kenyataan oleh Presiden Israel, Simon Peres dalam Forum Ekonomi Dunia- World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland. Peres mengatakan HAMAS yang menjadi punca berlaku konflik di Gaza.

Erdogan berang apabila pengerusi menyekat beliau berucap, apabila beliau hanya bercakap selama 10 minit sedangkan Peres diberi ruang untuk berucap selama 25 minit. Kemudian beliau mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut dan menegaskan tidak akan datang lagi ke Davos.

Turut serta dalam forum tersebut, selain Erdogan dan Peres, Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Mousa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bang Ki-Moon. Beberapa jam selepas selesai forum tersebut, Saluran Kedua TV Turki telah menyiarkan permohonan minta maaf Peres kepada Erdogan.

Tahniah kepada Erdogan! Diharapkan dengan tindakan ini akan membuka mata pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain. Ianya lebih menarik sekiranya Erdogan bergabung dengan Mahmoud Ahminejad, presiden Iran dan juga Hugo Chavez, presiden Venezuela yang sebelum terkenal sebagai anti Israel.

Tuesday, November 25, 2008

RAZAK BAGINDA NAFI DATO SERI NAJIB TERLIBAT KES ALTANTUYA

Kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan berkenaan isu Altantuya yang melibatkan pembunuhan kejam terhadap model dari Monggolia. Sebelum ini, saya tidak pernah memberikan pandangan terhadap isu ini yang dikatakan melibatkan beberapa tokoh pemimpin negara.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan dan perkongsian apabila membaca kenyataan terbaru dari Abdul Razak Baginda, yang baru saja dibebaskan dari tuduhan bersubahat melakukan pembunuhan keatas Altantuya Shaariibu. Abdul Razak Baginda menyatakan Dato Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur tidak terlibat dalam kes ini.

Mungkin rakan-rakan boleh meneliti kenyataan beliau disini. Bukan saya mahu menuduh Dato' Seri Najib terlibat dalam kes ini, sebab tidak ada bukti yang kukuh untuk mengatakan beliau terlibat, tetapi bagaimana Abdul Razak boleh tahu Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tidak terlibat? Sedangkan mahkamah dan pihak polis sendiri masih lagi menyiasat perkara ini.

Sekiranya kita menilai kenyataan Abdul Razak, iaitu menafikan pembabitan Dato' Seri Najib dalam isu ini bermakna beliau mengetahui siapa yang terlibat? Wartawan bertanya kepada Abdul Razak, Apa sebenarnya perhubungan antara anda dan Altantuya? Beliau menjawab, Dia sudah mati..cukuplah. Biarlah dia bersemadi dengan aman.

Ini sekadar pandangan saya, mungkin ada kesilapan dari sudut menilai. Apapun, saya minta rakan-rakan fikir apa yang tersirat di sebalik kenyataan beliau ini. Kita tunggu apa yang akan berlaku seterusnya dan klimaks dalam kes ini.

Saturday, November 22, 2008

UCAPAN BARACK OBAMA & MARTIN LUTHER KING

Martin Luther King & Barack Obama






Wednesday, November 19, 2008

ANTARA OBAMA, AHMADINEJAD, CHAVEZ & LIVNI

Dari kiri: Obama, Ahmadinejad, Chavez dan Livni

20 Januari 2009 tarikh yang dinanti-nanti oleh seluruh dunia, tarikh rasmi Barack Obama akan memasuki White House untuk mengganti George W. Bush. Setelah mencapai kemenangan pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 4 Oktober yang lalu, warga dunia dan Amerika Syarikat masih lagi menanti apa perubahan yang ingin dibawa oleh Obama. Ramai yang mengharapkan Obama mampu membawa perubahan kepada Amerika Syarikat dan juga dunia.

Kita harus mengetahui hubungan politik Amerika Syarikat dengan Iran dan juga Venezuela sangat teruk semasa Bush menjadi presiden. Iran melalui presidennya, Mahmoud Ahmadinejad sangat tidak bersetuju dengan Amerika Syarikat terutama dalam isu loji nuklear Iran.

Selain Ahmadinejad, Bush juga meninggalkan kepada Obama musuh dari Benua Amerika Latin iaitu Venezuela. Hugo Chavez, presiden Venezuela menentang keras dasar luar Amerika Syarikat. Beliau meletakkan dasar luar negara Venezuela, menentang kekuasaan ekonomi sedunia oleh Amerika Syarikat iaitu neoliberalisme serta kerjasama ekonomi dengan negara-negara miskin, terutamanya di Latin Amerika.

Kedua-dua tokoh ini iaitu Ahmadinejad dan Chavez mempunyai hubungan diplomatik yang sangat rapat dan berkerjasama melawan kekuasaan Amerika Syarikat. Mereka antara pemimpin dunia yang sangat berani mengkritik dasar-dasar Bush.Tetapi itu semua dizaman Bush sebagai presiden Amerika Syarikat, bagaimana pula dengan pendekatan Obama selepas ini?adakah dengan cara diplomasi dan perbincangan atau meneruskan dasar Bush menentang tindakan Iran dan Venezuela?

Berdepan dengan Iran dan Venezuela, Bush mengambil pendekatan konfrontasi, tetapi dengan Israel Bush cukup lunak dan sangat baik. Bush seolah-olah memejamkan mata apa yang berlaku di Palestin, bahkan menyokong lagi tindakan kejam Israel keatas umat Islam di Palestin. Inilah corak pemerintahan dan pendekatan Bush!

Dunia akan menilai bagaimana Obama berdepan dengan Iran, Venezuela dan juga Israel. Mampukah Obama yang hebat berpidato untuk berdebat dengan Ahmadinejad? Ataupun berbincang dengan Chavez dalam isu perjanjian ekonomi dan menukar dasar luar Amerika yang telah digagaskan oleh Bush? Ataupun Obama mengkritik tindakan Israel keatas Palestin?

Israel yang bakal mendapat Perdana Menteri yang baru menggantikan Ehud Olmert iaitu Tzipi Livni. Livni akan menjadi wanita kedua menjadi Perdana Menteri Israel selepas Golda Meir pada tahun 1969. Livni baru sahaja memenangi pemilihan pemimpin baru Parti Kadima gagal membentuk kerajaan campuran yang baru bagi Israel setelah Parti Shas menarik diri dalam kerajaan campuran ini.

Bagi saya Obama tidak mustahil mampu melakukan perubahan yang drastik tetapi ianya berisiko tinggi. Yahudi Amerika tidak akan membiarkan dan membenarkan Obama membuat perubahan sesuka hati. Buktinya, Obama terpaksa melantik ketua staf Rumah Putih (White House) dari bangsa yahudi, iaitu Rahm Emanuel.

Selain warga dunia, Taliban di Afghanistan juga sangat berharap Obama melakukan perubahan supaya imej Amerika Syarikat dapat dibersihkan. Dalam pada itu, Obama semasa di temuramah oleh Sistem Penyiaran Columbia (CBS) telah berjanji untuk menamatkan dasar luar Amerika, mengundurkan tentera di Iraq dan juga menutup Kem Tahanan Guantanamo di Cuba.

Kita sama-sama tunggu dan lihat bagaimana Obama beraksi sebagai presiden Amerika Syarikat nanti...

Tuesday, November 11, 2008

KETIKA CINTA BERTASBIH


Pada 15 November ini, satu program menarik akan diadakan Auditorium Institut Pasca Siswazah (IPS) bermula jam 1 petang hingga 5 petang. Program tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Pelajar Indonesia UM (PPIUM), Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM (PMAPIUM).

Tokoh yang akan diundang adalah penulis novel 'Ayat-ayat Cinta' dan 'Ketika Cinta Bertasbih', Habiburahman El-Shirazy dan seorang penulis muda yang juga bekas pelajar Akademi Pengajian Islam UM, Ummu Hani.

Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi wacana ilmu tersebut...

Monday, November 10, 2008

TAHNIAH DAN AL FATIHAH KEPADA TIGA MUJAHID

Mukhlas, Imam Samudera dan Amrozi
Perjalanan terakhir sebelum syahid, Imam Samudera bersama kelurganyaPenduduk kampung dan umat Islam menyambut 'kepulangan' wira merekawajah as-syahid Imam Samudera selepas hukuman tembak

Tahniah kepada tiga mujahid yang berjaya bergelar syahid! teringat saya satu rakaman video mengenai perjuangan para mujahidin di Afghanistan. Ungkapan pertama para mujahidin kepada keluarga si mati, Tahniah, anak anda telah syahid!

As-syahid Sayyid Qutb juga menggambarkan perjalanan terakhir beliau ke tali gantung sebagai perjalanan yang sangat mulia kerana akan bertemu kekasihnya, Allah. Seorang pejuang pembebasan Islam Moro bernama 'Abu Jabir' pernah berpesan, mengingatkan ayat al-Quran tentang orang yang syahid, sakitnya seperti cubitan.



Jam 12 malam waktu Indonesia (9 Oktober), hukuman tembak sampai mati keatas Huda bin Abdul Haq (Ali Ghufran @ Mukhlas), Abdul Aziz (Imam Samudera) dan Ali Amrozi Nurhasyim (Amrozi) telah dilaksanakan. Hukuman tersebut dijatuhkan atas tuduhan terlibat pengeboman di Bali pada tahun 2002 yang meragut 202 nyawa.

Jenazah mereka bertiga selamat sampai ke kampung halaman mereka di Lamongan, Jawa Timur. Sorakan dan laugan takbir bergema sepanjang keranda jenazah mereka diusung. Al fatihah dan tahniah kepada As-syahid Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas. Semoga Allah mengampunkan dosa mereka dan ditempatkan di tempat para syuhada' dan orang beriman. Amin.

Sunday, November 9, 2008

ANTARA TOKOH YANG KU KAGUMI

Dari kiri; Ali Larijani, Mahmoud Ahmadinejad dan Gulbuddin Hekmatyar

Sekarang ini, ramai yang menyebut mengenai Barack Obama, tokoh baru di Amerika Syarikat. Obama yang mencatat sejarah sebagai presiden Amerika Syarikat yang pertama dari keturunan kulit hitam. Namun begitu, perkongsian kali ini, saya ingin menyebut tiga orang tokoh yang saya kagumi.

Tiga orang tokoh tersebut adalah, Mahmoud Ahmadinejad, Ali Larijani dan Gulbuddin Hekmatyar. Mungkin rakan-rakan tertanya-tanya sebab apa saya memilih mereka antara tokoh yang saya kagumi. Pertama, berkenaan dengan Ahmadinejad, presiden Republik Islam Iran sekarang. Beliau dilantik sebagai presiden Iran pada 3 Ogos 2005 banyak menimbulkan kontoversi dan menjadi perhatian dunia.

Beliau yang juga merupakan salah seorang murid kepada Ayatullah Ruhullah Khomeini atau Imam Khomeini, antara individu yang memainkan peranan penting semasa menjatuhkan regim Shah Pahlevi (Shah Iran) suatu ketika dahulu. Setelah dilantik sebagai presiden Iran, beliau menimbulkan beberapa perkara yang mengejutkan dunia. Antaranya beliau mempertikai tindakan Amerika Syarikat, mempertikai peristiwa Holocaust Yahudi di Eropah dan juga isu nuklear.

Selain itu, saya juga tertarik dengan karier politik beliau sebelum memenangi pilihan raya presiden Iran pada tahun 2005. Beliau yang hidup sederhana sentiasa rapat dengan rakyat dan memahami masalah rakyat. Keberanian yang ada beliau sewajarnya dicontohi oleh pemimpin negara umat Islam lain.

Tokoh kedua, iaitu Ali Larijani juga dari Iran tetapi berasal dari Najaf, Iraq. Beliau merupakan antara tokoh yang menjadi tulang belakang kepada projek loji nuklear di Iran. Banyak rundingan yang melibatkan negara-negara luar, Ahmadinejad akan membawa beliau bersama. Beliau yang fasih dalam tujuh bahasa merupakan bekas setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Iran.

Beliau adalah menantu kepada Ayatollah Morteza Motahhari, antara tokoh Revolusi Islam Iran 1979. Selain itu, beliau juga merupakan antara calon pilihan raya presiden Iran 2005 dan berkelulusan PhD dan ijazah sarjana dari Universiti Tehran, Iran dalam bidang falsafah barat. Kemampuan beliau yang menjadi perunding bagi mewakili Iran dalam isu nuklear sewajarnya dihormati kerana melibatkan risiko yang tinggi.

Tokoh terakhir yang ingin saya kongsi pada kali ini, iaitu Gulbuddin Hekmatyar yang berasal dari Afghanistan. Semasa pencerobohan Sivet Union keatas Afghanistan suatu ketika dahulu, beliau yang ketika itu menuntut di Universiti Kabul memimpin anak muda menentang pencerobohan tersebut.

Keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau sangat mengkagumkan. Kesannya, Soviet Union gagal untuk bertapak lama di bumi Afghanistan. Beliau yang dilahirkan pada 1947 menjadi Perdana Menteri Afghanistan pada 1993 hingga 1994 dan pada 1996. Presiden Afghanistan pada ketika itu adalah Burhanuddin Rabbani yang juga merupakan sahabat beliau serta bersama semasa mengusir keluar Soviet Union dari Afghanistan.

Thursday, November 6, 2008

KONTRAK BONDA RAFIAH SALIM TIDAK DI SAMBUNG

Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon

Bermula esok, 7 November 2008, kontrak Datuk Rafiah Salim atau lebih dikenali sebagai Bonda NC sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) akan ditamatkan. Bonda Rafiah mengesahkan kontraknya tidak akan disambung lagi. Pada masa yang sama, beliau juga tidak mengetahui apa sebab kontraknya tidak disambung.

Bonda Rafiah Salim dilantik sebagai NC UM pada 1 Mei 2006 mengganti Prof. Dato' Dr. Hashim Yaakob. Bonda Rafiah juga menyebut bakal penggantinya adalah, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon, presiden Universiti Multimedia (MMU).

Prof Datuk Dr. Ghauth yang berasal dari Batu Pahat, Johor juga merupakan bekas pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM.

Wednesday, November 5, 2008

BARACK OBAMA TEWASKAN JOHN MCCAIN

Obama dan Biden bersama isteri masing-masing
Keputusan terkini, Obama 338 dan Mccain 141
Obama melambai tangan kepada penyokongnya
Obama dan Biden meraikan kemenangan
Penyokong-penyokong dari Parti Demokrat meraikan kemenangan calon mereka

Keputusan terkini (3 ptg waktu Malaysia), Barack Obama sudah mendapat 338 undi pemilih untuk menewaskan John Mccain yang mendapat 144 undi. Dengan keputusan ini Obama mengesahkan bakal menjadi pengganti George W. Bush sebagai presiden baru Amerika Syarikat yang ke-44.

Manakala dari segi undi popular, Obama mendapat sebanyak 55, 580, 166 atau 52 % dan Mccain 50, 759, 228 (47%). Dengan perkiraan mudah, calon yang mendapat 270 undi sudah boleh diisytiharkan sebagai pemenang.

Sebelum pilihan raya ini berlangsung, Obama sudah dikenali dengan slogan perubahan iaitu "CHANGE, WE CAN BELIEVE IN' dan terakhir 'CHANGE, WE NEED'. Setelah pengisytiharan kemenangan Obama, rakyat Amerika Syarikat mengharapkan perubahan berlaku dalam negara mereka.

Berikut kenyataan Obama selepas mencapai kemenangan di hadapan kira-kira 240,000 penyokong beliau, " Ia satu perjalanan yang jauh. Tapi malam ini, tiba harinya dalam pilihan raya saat yang bermakna, perubahan sudah tiba di Amerika".

" Saya tidak pernah bayangkan untuk ke Rumah Putih (White House). kami tidak bermula dengan banyak wang dan cadangan". " Kempen kami tidak bermula di Washington, ia bermula di lorong belakang di Mes Moines, bilik tetamu Charleston".

Monday, November 3, 2008

OBAMA & MCCAIN: SIAPA AKAN MENANG?



Menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat esok (4 November 2008), kehangatannya semakin terasa. Calon dari Parti Demokrat, Barack Obama dan calon dari Parti Republikan, John Mccain juga tidak kurang bimbangnya. Sekiranya di ukur kepada pungutan pendapat terkini, beberapa perubahan juga berlaku.

Sebelum ini, ada yang menunjukkan peningkatan menyokong Obama dan ada juga yang meningkat menyebelahi Mccain. Sebagai contoh di negeri Pennsylvania, Nevada, Arizona, Georgia dan lain-lain. Sekiranya, survey ini dijadikan bukti, sudah tentu Obama berpeluang cerah untuk memenangi pemilihan presiden pada kali ini.

Gandingan Obama dan Joe Biden sudah rancak dengan slogan 'CHANGE, WE NEED'. Manakala, Mccain dan Sarah Palin tidak menampakkan satu perkara yang menarik yang boleh diberi kepada pengundi. Debat mereka sebelum ini pun, dari siri pertama hingga siri terakhir, ramai yang menyatakan hujah Obama paling menonjol dan menarik.

Walaupun pilihan raya ini untuk rakyat Amerika Syarikat. Bagi anda selaku yang mengikuti perkembangan pilihan raya ini, siapakah yang bakal menduduki 'White House'?

Sunday, November 2, 2008

KULIAH ILMU PMIUM SIRI 5

Pimpinan PMIUM bergambar bersama ahli panel
Ahli panel dan moderator tengah control macho.hehe
pimpinan PMIUM yang hadir malam itu. dari kiri: Norazali, Muhaimin, Saya dan Hasbie
Mahasiswi yang hadir

Kuliah Ilmu (KI) 2008 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) siri terakhir semester ini telah diadakan pada 21 Oktober 2008 pukul 8.15 malam bertempat di Auditorium Fakulti Pendidikan. Forum yang bertajuk "Islam..itu Islam" itu merupakan siri-siri KI PMIUM semester ini. Panel forum pada malam tersebut adalah Dato' Dr. Hasan Din al-Hafiz, bekas penasihat Yang Di-Pertuan Agong dan Saudara Hisommudin Bakar, bekas pimpinan PMIUM yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Gandingan panel pada malam itu sangat sesuai kerana mewakili golongan berpengalaman dan golongan muda atau sisi mahasiswa. Kehadiran mahasiswa pada malam itu juga tidak mengecewakan dan dihidupkan dengan sesi soal jawab. Banyak sejarah gerakan mahasiswa telah didedahkan oleh Saudara Hisommudin supaya mahasiswa kembali bangkit.

Sebelum ini, siri KI pertama yang bertajuk " Dreams Are Possible" telah disampaikan oleh Saudara Amin Idris. Siri kedua, yang bertajuk "Hidup Untuk Mencintai & Dicintai" oleh Dr. Habib Mat Som. KI siri yang ketiga bertema kemerdekaan bertajuk " The Unsung Heroes" berkonsepkan forum. Panel forum tersebut Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Dr. Wan Abdul Latif Wan Abdul Rahman. Manakala siri keempat telah disampaikan oleh Ust Hasrizal Md Jamil (Saifulislam.com) bertajuk "Antara 2 Cinta".

Wednesday, October 29, 2008

TIGA PEMIMPIN UTAMA BAKAL HADIR MAJLIS PERKAHWINAN MAWI

Pak Lah, TG Nik Abd Aziz, Anwar

Majlis ‘wedding of the year’ antara juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 27, dengan pelakon, Nora’asyikin Rahmat (Ekin), 29, dikatakan bakal dihadiri tiga pemimpin parti politik tanahair, iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang juga presiden UMNO.

Tuesday, October 28, 2008

DEBAT SAIFUDIN NASUTION VS KHIR TOYO


27 Oktober 2008
(Isnin)
10.30 mlm
TV9


Debat antara YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo dengan YB Saifudin Nasution Ismail yang di siarkan oleh rancangan Hujah di TV9 cukup menarik. Ketenangan yang di tunjukkan kedua-dua pendebat sangat di kagumi. Debat yang bertajuk 'Pemimpin Muda: Pewaris Survival Melayu' itu telah di pengerusikan oleh Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Pada peringkat awal perdebatan, Dato' Seri Dr. Khir Toyo seolah-olah melontar idea dan pandangan berlegar sekitar pemimpin muda dan peluang yang harus diberi kepada pemimpin muda terutama dalam kepimpinan UMNO. Namun, selepas YB Saifudin memberikan pandangannya, bahawa fokus perbincangan adalah persoalan pemimpin muda yang berkualiti.

Selepas berhenti rehat, Dato' Seri Dr. Khir Toyo mula menyerang dengan menimbulkan persoalan tentang kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor dan juga Pulau Pinang. Namun jawapan yang diberikan oleh YB Saifudin telah mematikan terus persoalan tersebut, apabila dibangkitkan tentang 2 % pemilikan tanah di sebelah pulau di Pulau Pinang sepanjang UMNO dan BN memerintah negeri itu dan juga isu kenyataan TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak mahu menghapuskan secara beransur-ansur Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Apapun saya memuji YB Bato' Seri Khir Toyo dan juga YB Saifudin Nasution kerana berhujah secara berfakta dan tanpa dipengaruhi emosi. Walaupun ada menyerang dalam memberikan pandangan, tetapi tidak menjurus kepada serangan peribadi sebaliknya fokus kepada prinsip dan dasar parti masing-masing.

TV9 dan Dr. Mohammad Agus Yusoff juga harus dipuji kerana mampu membawa kedua-dua pemimpin utama parti kerajaan dan pembangkang untuk berada dalam ruang politik yang harmoni ini, iaitu rancangan HUJAH TV9. Moga dengan rancangan ini mampu menampilkan pemimpin kedua-dua belah pihak yang berani dalam berhujah secara terbuka.

Monday, October 27, 2008

PAMERAN KEPIMPINAN DIRI & ORGANISASI

Semasa majlis perasmian, kelihatan Prof. Dr. Sufean Hussin

Pameran Kepimpinan Diri & Organisasi, subjek wajib bagi pelajar pendidikan, menggabungkan pelajar tiga fakulti, Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Pendidikan. Pameran tersebut diadakan pada 20 Oktober lalu di dataran Fakulti Pendidikan.

Suasana di tempat pameran

Dimulakan dengan majlis perasmian oleh Prof. Dr. Sufean Hussin yang juga pensyarah bagi subjek ini. Banyak teori dan isu-isu yang melibatkan kepimpinan telah dibincangkan semasa kuliah, samada dalam mahupun luar negara. Pameran bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

kumpulan saya. dari kiri;Khairi, saya, Ridwan dan Radhi

bergambar beramai-ramai

sempat lagi bergambar bersama Prof.

Terima kasih kepada Prof. kerana mencurahkan ilmu yang sangat berguna kepada kami.

Saturday, October 25, 2008

SEKITAR DI PARLIMEN 2

bergambar bersama Pak Ibrahim (PA Dato' Seri Anwar)

dari kiri; Muhaimin, ahli rombongan, ayah saya dan saya
bersama Pak Cik Bakar

14 Oktober sekali lagi saya hadir ke Parlimen. Tapi kali ini atas urusan untuk bertemu rombongan dari Kelantan yang datang melawat Parlimen dan menghantar surat kepada pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kali ini saya ditemani Muhaimin.

Sebelum mereka bertolak ke destinasi seterusnya, iaitu pejabat SUK Selangor, saya sempat bergambar dengan ayah saya yang bersama dalam rombongan tersebut di hadapan pintu masuk utama Parlimen.
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Setelah selesai, saya terus ke dalam Parlimen. Kali ini, giliran Pak Cik Bakar (ketua keselamatan Dato' Seri Anwar) pula belanja saya makan. Sempat juga berbual dengan beberapa pembantu Dato' Seri Anwar semasa berada di kafe.

Antaranya, Abg Ikmal,(Koordinator Media Bahasa Melayu DSAI)Pak Ibrahim (PA DSAI) dan lain-lain, saya tak ingat nama.

Kemudian saya dan Muhaimin masuk dalam dewan untuk mendengar perbahasan Bajet seterusnya.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan