Tuesday, July 15, 2008

EKSPO BUKU DBP DI UM DAN BUDAYA MEMBACA

Penerbit UM: " Menjana Imprin Ilmiah"
Gambar. ehsan blog Rabiatul Adawiyah

Minggu ini bermulanya Ekspo Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di tempat letak kereta Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya (UM). Ekspo yang bermula 14 hingga 25 Julai itu menawarkan pelbagai tawaran menarik untuk mahasiswa. Buku terbitan tahun 1996-2000 diberi diskaun 60%, buku terbitan tahun 2001-2002 sebanyak 40% dan diskaun 20% bagi buku terbitan tahun 2003-2008.

Semalam (14/7/08), setelah selesai kuliah di Fakulti Pendidikan saya terus ke ekspo ini untuk melihat buku apa yang menarik untuk dibeli. Setelah tawaf dan membelek beberapa buah buku, hanya empat buah buku sahaja yang berkenan untuk dibeli. Pertama, buku tulisan Dr. Wahbah al-Zuhaili, ‘Fiqh & Perundangan Islam’ jilid 1, kedua, buku ‘Kegawatan Ekonomi, Impak Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah’ hasil tulisan Noraini Haji Idris et al.

Buku ketiga yang saya beli, juga hasil tulisan Noraini Haji Idris et al. ‘Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia’ dan terakhir, Kamus Dewan DBP edisi keempat yang sebelum ini tertangguh untuk dibeli kerana masalah kewangan. Berfikir sejenak, bijak juga strategi DBP ini membuka ekspo ketika awal sesi baru bermula. Apa tidaknya, mahasiswa baru sahaja mendapat pinjaman dan biasiswa selain semangat berkobar-kobar mahasiswa tahun satu untuk menambah ilmu. Tidak salah kita keluarkan sedikit duit untuk perkara berfaedah ini daripada digunakan untuk perkara yang sia-sia.

Minggu lepas saya sempat membeli dua buah buku di Pekan Buku UM, buku pertama Jurnal Pemikir Utusan Karya bertajuk ‘UMNO Selepas Pilihan Raya Ke-12’ dan buku ‘Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) 2006-2010’. Bagi saya, kedua-dua buah buku ini sangat menarik untuk diketahui isinya kerana melibatkan analisis PRU ke-12 dan untuk mengetahui sejauh mana hasil pelaksanaan RMK 9 setakat ini.

Petang tadi (15/7/08), selepas kuliah Dr. Suffean Hussin bagi subjek Kepimpinan Dalam Organisasi, saya terus ke Akademi Pengajian Islam (API) untuk membeli sebuah buku mengenai Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya membeli tersebut yang bertajuk ‘Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad’ hasil tulisan Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. Antara kandungan menarik dalam buku tersebut ialah perjalanan politik Mahathir, retorik dalam komunikasi, persoalan ekonomi dan banyak lagi.

Selain buku tersebut, saya juga membeli sebuah buku pandang sisi Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘Belajar Dari Dua Umar, Kenyangkan Perut Rakyat’ dan sebuah novel Habiburrahman El-Shirazy, ‘Ketika Cinta Bertasbih’ episod 2. Membelek novel ini teringat saya kepada Encik Henri Nurdi dari Indonesia.

Sebelum ini, saya berkesempatan berjumpa dengan beliau yang juga editor Majalah Sabili dari Indonesia. Pertemuan tersebut diatur oleh seorang sahabat saya, Zulzaidi. Banyak pengalaman dan ilmu yang diberikan oleh beliau menyebabkan saya dan beberapa sahabat saya yang ikut serta pertemuan tersebut bersemangat untuk menambah ilmu melalui pembacaan buku. Bagi saya, beliau individu yang sangat menarik, kerana mencabar kami untuk menambah pembacaan selepas pertemuan tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan