Showing posts with label kawan. Show all posts
Showing posts with label kawan. Show all posts

Sunday, June 7, 2009

TAHNIAH BUAT SAHABAT-SAHABATKU...

Tahniah kepada sahabat-sahabatku yang telah selamat memasuki 'alam yang baru'. Pertama, kepada Syakir dan Munirah yang sudah bergelar suami isteri. Kenangan bersama anta semasa di Nilam Puri, rakan sebilik, rakan se'majmuah', dan memimpin bersama Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) APIUM Nilam Puri begitu banyak sekali. Hari ini (7/6/09) kenduri rumah Syakir dan semalam kenduri rumah Muni.

Kedua, tahniah juga kepada Kak Shai (Shaidatul Hazwani) selamat mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati. Terima kasih atas pertolongan dalam akademik. Kak Shai juga membuat kenduri pada hari ini di Kuala Krai, Kelantan.

Ketiga, kepada senior saya di UM dan sekolah dahulu, Nik Fendi dan Kak Hanan yang juga sudah bertukar status. Esok mereka akan adakan kenduri. Ana doakan moga sahabat-sahabat semua bahagia di dunia dan akhirat serta dimurahkan rezeki.

Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumahtangga sebelum ini, Haafizuddin & Fatin, Zahrah, Basyirah (SMPI), Ghazali & Hazwani...

Monday, December 29, 2008

PERJUMPAAN PMIUM, PKPIM & NUSMS

Pimpinan-pimpinan PMIUM, PKPIM dan NUSMS bergambar
Semasa sesi perbincangan
Bertukar cenderamata
Sdr. Hasanul sedang melontarkan pandangan

Perjumpaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan National University of Singapore's Muslim Society (NUSMS) telah diadakan pada pukul 9 malam ini (28 Disember 2008) di Universiti Malaya. Dahulu NUSMS hanya menghantar Bendahari Agungnya, Sdri Nani Iryani untuk berjumpa dengan pimpinan PMIUM.

Perjumpaan membincangkan beberapa perkara penting yang melibatkan gerak kerja Islam itu telah berjalan dengan lancar. PMIUM diketuai oleh Yang Di Pertua (YDP) PMIUM, Sdr. Mohamad Haafizuddin Abirerah, NUSMS diketuai oleh Sdr. Muhammad Hasanul Ariffin Zawawi dan PKPIM oleh Sdr. Faisal Abd Aziz. Terlibat sama dalam perjumpaan ini Timbalan Presiden I Fellowship of Muslim Students Association (FMSA), Sdr. Md. Hairudin Abd Hamid. NUSMS hadir ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini. Dengan adanya perjumpaan ini diharapkan hubungan PMIUM, PKPIM dan NUSMS semakin kukuh dalam persaudaraan Islam.

Tuesday, November 25, 2008

RAZAK BAGINDA NAFI DATO SERI NAJIB TERLIBAT KES ALTANTUYA

Kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan berkenaan isu Altantuya yang melibatkan pembunuhan kejam terhadap model dari Monggolia. Sebelum ini, saya tidak pernah memberikan pandangan terhadap isu ini yang dikatakan melibatkan beberapa tokoh pemimpin negara.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan dan perkongsian apabila membaca kenyataan terbaru dari Abdul Razak Baginda, yang baru saja dibebaskan dari tuduhan bersubahat melakukan pembunuhan keatas Altantuya Shaariibu. Abdul Razak Baginda menyatakan Dato Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur tidak terlibat dalam kes ini.

Mungkin rakan-rakan boleh meneliti kenyataan beliau disini. Bukan saya mahu menuduh Dato' Seri Najib terlibat dalam kes ini, sebab tidak ada bukti yang kukuh untuk mengatakan beliau terlibat, tetapi bagaimana Abdul Razak boleh tahu Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tidak terlibat? Sedangkan mahkamah dan pihak polis sendiri masih lagi menyiasat perkara ini.

Sekiranya kita menilai kenyataan Abdul Razak, iaitu menafikan pembabitan Dato' Seri Najib dalam isu ini bermakna beliau mengetahui siapa yang terlibat? Wartawan bertanya kepada Abdul Razak, Apa sebenarnya perhubungan antara anda dan Altantuya? Beliau menjawab, Dia sudah mati..cukuplah. Biarlah dia bersemadi dengan aman.

Ini sekadar pandangan saya, mungkin ada kesilapan dari sudut menilai. Apapun, saya minta rakan-rakan fikir apa yang tersirat di sebalik kenyataan beliau ini. Kita tunggu apa yang akan berlaku seterusnya dan klimaks dalam kes ini.

Sunday, November 2, 2008

LAWATAN KE UPSI

Saudara Akmal (bawah, paling kiri) yang mendapat undi tertinggi calon umum
bergambar bersama-sama depan Bangunan Suluh Budiman

Semalam (1 November 2008) saya dan rakan-rakan berkesempatan melawat kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya, Faisal, Norazali, Hilman dan Shahir bertolak ke Tanjung Malim lebih kurang pukul 10.30 pagi. Agenda lawatan ini untuk membincangkan beberapa perkara selepas kemenangan 8 orang calon Pro-Mahasiswa di UPSI.

Perbincangan mengambil masa lebih kurang dua jam itu itu dihadiri kesemua calon Pro-Mahasiswa yang menang dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UPSI dan beberapa rakan-rakan pimpinan di UPSI.

Di peringkat Pro-Mahasiswa UPSI, Saudara Akmal yang memenangi undian tertinggi bagi calon umum menyatakan rasa terharu diatas kehadiran kami. Beliau yang dinafikan kerusi Majlis Tertinggi walaupun mendapat undi tertinggi akan meneruskan tekanan dan perjuangan untuk memastikan kemenangan calon Pro-Mahasiswa tidak diperkecilkan.

Saudara Norazali selaku pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional menyampaikan hasrat di peringkat Pro-Mahasiswa Nasional untuk melihat MPP Pro-Mahasiswa UPSI terus bergerak maju dalam menjayakan agenda membela mahasiswa.

Sebelum pulang, rakan-rakan UPSI sempat meluangkan masa untuk membawa kami meliahat suasana dalam kampus UPSI dan bergambar di depan bangunan bersejarah UPSI, Bangunan Suluh Budiman.

KULIAH ILMU PMIUM SIRI 5

Pimpinan PMIUM bergambar bersama ahli panel
Ahli panel dan moderator tengah control macho.hehe
pimpinan PMIUM yang hadir malam itu. dari kiri: Norazali, Muhaimin, Saya dan Hasbie
Mahasiswi yang hadir

Kuliah Ilmu (KI) 2008 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) siri terakhir semester ini telah diadakan pada 21 Oktober 2008 pukul 8.15 malam bertempat di Auditorium Fakulti Pendidikan. Forum yang bertajuk "Islam..itu Islam" itu merupakan siri-siri KI PMIUM semester ini. Panel forum pada malam tersebut adalah Dato' Dr. Hasan Din al-Hafiz, bekas penasihat Yang Di-Pertuan Agong dan Saudara Hisommudin Bakar, bekas pimpinan PMIUM yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Gandingan panel pada malam itu sangat sesuai kerana mewakili golongan berpengalaman dan golongan muda atau sisi mahasiswa. Kehadiran mahasiswa pada malam itu juga tidak mengecewakan dan dihidupkan dengan sesi soal jawab. Banyak sejarah gerakan mahasiswa telah didedahkan oleh Saudara Hisommudin supaya mahasiswa kembali bangkit.

Sebelum ini, siri KI pertama yang bertajuk " Dreams Are Possible" telah disampaikan oleh Saudara Amin Idris. Siri kedua, yang bertajuk "Hidup Untuk Mencintai & Dicintai" oleh Dr. Habib Mat Som. KI siri yang ketiga bertema kemerdekaan bertajuk " The Unsung Heroes" berkonsepkan forum. Panel forum tersebut Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Dr. Wan Abdul Latif Wan Abdul Rahman. Manakala siri keempat telah disampaikan oleh Ust Hasrizal Md Jamil (Saifulislam.com) bertajuk "Antara 2 Cinta".

Thursday, October 30, 2008

TAHNIAH KEPADA UST RAMADHAN & KAK DIJAH

Akak-akak bekas UM bergambar bersama Ust Dhan & Kak Dijah

Tahniah saya ucapkan kepada Ust Ramadhan Fitri Ellias (Ust Dhan) dan Kak Khadijah Ismail. Moga bahagia hingga ke akhir hayat.

Monday, October 27, 2008

PAMERAN KEPIMPINAN DIRI & ORGANISASI

Semasa majlis perasmian, kelihatan Prof. Dr. Sufean Hussin

Pameran Kepimpinan Diri & Organisasi, subjek wajib bagi pelajar pendidikan, menggabungkan pelajar tiga fakulti, Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Pendidikan. Pameran tersebut diadakan pada 20 Oktober lalu di dataran Fakulti Pendidikan.

Suasana di tempat pameran

Dimulakan dengan majlis perasmian oleh Prof. Dr. Sufean Hussin yang juga pensyarah bagi subjek ini. Banyak teori dan isu-isu yang melibatkan kepimpinan telah dibincangkan semasa kuliah, samada dalam mahupun luar negara. Pameran bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

kumpulan saya. dari kiri;Khairi, saya, Ridwan dan Radhi

bergambar beramai-ramai

sempat lagi bergambar bersama Prof.

Terima kasih kepada Prof. kerana mencurahkan ilmu yang sangat berguna kepada kami.

Sunday, October 26, 2008

KARNIVAL KERJAYA KEBANGSAAN 2008

Ucapan NC UKM
Gimik Perasmian
Penyerahan Sumbangan Tajaan

17 Oktober yang lalu saya, Hilman (MPMUM) dan Khairiyah (MPMUM) berpeluang menghadiri majlis perasmian Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato' Seri Mohd Khalid Nordin. Perasmian tersebut bermula pukul 3 petang itu diadakan di sebelah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Naib Canselor UKM, Prof. Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin memulakan ucapan dengan menyebut beberapa agenda penting di peringkat UKM, antaranya Zon Bahasa Inggeris di kolej kediaman dan peningkatan ranking UKM. Dato' Seri Mohd Khalid dalam ucapannya menyebut mengenai penganjuran karnival ini yang sebelum ini diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berhasrat mahu menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan dan termasuk dalam kalendar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selepas selesai majlis perasmian, acara penyerahan tajaan oleh syarikat-syarikat korporat yang terlibat. Penaja terbesar iaitu Penaja Emas sebanyak RM50 ribu daripada Sime Derby. Penaja Perak Shell dan CIMB Group. Manakala HUAWEI dan MASTERSKILL sebagai Penaja Gangsa.

Saturday, October 25, 2008

SEKITAR DI PARLIMEN 2

bergambar bersama Pak Ibrahim (PA Dato' Seri Anwar)

dari kiri; Muhaimin, ahli rombongan, ayah saya dan saya
bersama Pak Cik Bakar

14 Oktober sekali lagi saya hadir ke Parlimen. Tapi kali ini atas urusan untuk bertemu rombongan dari Kelantan yang datang melawat Parlimen dan menghantar surat kepada pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kali ini saya ditemani Muhaimin.

Sebelum mereka bertolak ke destinasi seterusnya, iaitu pejabat SUK Selangor, saya sempat bergambar dengan ayah saya yang bersama dalam rombongan tersebut di hadapan pintu masuk utama Parlimen.
Dato' Seri Anwar Ibrahim

Setelah selesai, saya terus ke dalam Parlimen. Kali ini, giliran Pak Cik Bakar (ketua keselamatan Dato' Seri Anwar) pula belanja saya makan. Sempat juga berbual dengan beberapa pembantu Dato' Seri Anwar semasa berada di kafe.

Antaranya, Abg Ikmal,(Koordinator Media Bahasa Melayu DSAI)Pak Ibrahim (PA DSAI) dan lain-lain, saya tak ingat nama.

Kemudian saya dan Muhaimin masuk dalam dewan untuk mendengar perbahasan Bajet seterusnya.

SEKITAR DI PARLIMEN 1

dari kiri; Faisal, saya dan YB Salahudin
semasa temuramah YB Salahudin Ayub

Pada 13 Oktober 2008, saya telah hadir ke Parlimen atas beberapa urusan. Saya ditemani Faisal dan Shahir. Urusan pertama, untuk berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Sulit kepada Dato' Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, En. Badrul Hisham. Perbincangan tersebut diadakan di kafe Parlimen. Faisal dan Shahir tidak terlibat dalam perbincangan tersebut , kerana mereka tengah 'syok' mendengar ucapan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (MP Permatang Pauh-PKR) dalam dewan.

Banyak perkara telah kami bincangkan, antaranya Pilihan Raya Kampus (PRK), aktiviti mahasiswa, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga pandangan dalam isu politik. En. Hisham cuba menguji saya dengan pertanyaan, adakah politik penting untuk mahasiswa? saya jawab, mahasiswa patut di dedah dengan politik, supaya mereka dapat belajar bagaimana proses demokrasi berjalan dalam negara kita. Kerana apabila sudah tamat belajar nanti, mereka akan memimpin masyarakat. saya juga memberi beberapa contoh mahasiswa di luar negara. Apapun terima kasih kepada En. Badrul kerana sudi berbincang dan belanja saya.

Kemudian, saya terus ke Lobi Parlimen, untuk menemuramah YB Salahudin Ayub (MP Kubang Kerian-PAS) bagi tugasan subjek di Fakulti Pendidikan, 'Kepimpinan Diri dan Organisasi'. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan selesai urusan hari tersebut.

Masa dalam dewan, hangat juga perbahasan ucapan daripada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang. Terutama apabila YB Dr. Mohd Fuad Zarkashi (MP Batu Pahat-BN) berdiri untuk menanyakan soalan. Banyak juga isu yang telah diketengahkan, antaranya isu ranking universiti, bajet tidak relevan dan lawatan MP BN ke Taiwan. Diakhir sesi perbahasan pukulan maut Dato' Seri Anwar kepada YB Dr. Mohd Fuad tentang ' dulu cium tangan Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang'.

Tuesday, October 21, 2008

TAKZIAH BUAT KELUARGA TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN

Pukul 9 pagi tadi (20 Oktober 2008) perginya seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, Shamsiah Fakeh ke rahmatullah. Beliau, 84, meninggal dunia disebabkan sakit tua di kediaman anak lelakinya, Tropicana, Damansara. Jenazah beliau selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur selepas asar tadi.

Beliau terkenal kerana aktif dalam Parti Kamunis Malaya (PKM) dan ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Beliau merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan aliran kiri Melayu yang sanggup meredah belantara Malaya. Semasa dalam AWAS, beliau bergandingan dengan Ahmad Boestamam, yang ketika itu sebagai ketua Angkatan Pemuda Insaf (API).

Shamsiah yang sebelum ini tinggal di China dan kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994 selepas termeterainya perjanjian damai antara PKM, kerajaan Malaysia dan Thailand pada tahun 1989, meninggalkan dua anak lelaki dan empat cucu.

Sama-samalah kita mendoakan semoga rohnya diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Sunday, October 19, 2008

DI MAJLIS AGM MAARUF CLUB UIA

Bergambar bersama, dari kiri; Hafiz, Muhaimin, Saya, Najmuddin, Ridhuan dan Faisal
bergambar bersama sahabat-sahabat UIA

Pada 13 Oktober 2008, bermulanya kepimpinan baru bagi Maaruf Club UIA bagi sesi 2008/09. Saya, Sdr. Faisal Mustaffa(SUA Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya-PMIUM) dan Sdr. Muhaimin Md. Nasir (Exco Sukan & Rekreasi PMIUM) telah mewakili PMIUM dalam majlis tersebut.

Tahniah kepada kepimpinan baru Maaruf Club yang telah dilantik untuk sesi kali ini. Antara pimpinan baru Maaruf Club sesi 08/09, sahabat saya dalam Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), Sdr. Faridzul. Selain beliau, Sdr. Zaki dan Sdri. Nurul Syuhada.

Selain PMIUM yang dijemput hadir majlis ini, turut hadir sahabat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM), sahabat dari Uniten dan sahabat dari Persatuan Hadhari UiTM. Kami sampai agak lewat sedikit, ketika itu slot tayangan ‘slide show’ aktiviti-aktiviti Maaruf Club sesi 07/08.

Sebelum pulang kami sempat berbincang sedikit dengan sahabat-sahabat bekas pimpinan Maaruf Club, antaranya Sdr. Ridhuan Bakar (bekas Presiden Maaruf Club 07/08), Sdr. Hafiz (bekas Tim. Presiden Maaruf Club 06/07), Sdr. Najmuddin dan beberapa lagi. Terima kasih kepada pihak Maaruf Club kerana jemputan ke majlis ini dan layanan semasa program.

Tuesday, October 7, 2008

UCAPAN HARI RAYA: TERIMA KASIH PADA SEMUA

Terima kasih kepada semua yang mengucapkan selamat hari raya kepada saya, samada melalui SMS, friendster, kad raya dan lain-lain. Ucapan tersebut bagi saya, sebagai tanda persahabatan, ingatan, mohon maaf dan sebagainya. Sebagai tanda penghargaan, saya sebutkan semua nama-nama mereka.

Pertama, terima kasih kepada YB Dato’ Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan), YB Dato’ Idris Haron (Tim. Menteri Pengajian Tinggi) dan YB Salahudin Ayub (Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan) diatas ucapan hari raya.

Terima kasih juga kepada Ustaz Zuraidin, Ustaz Borhanudin (Ust Bob Presiden MSK), Cikgu Nazli, Abg. Asyraf Hamdi, Abg. Nazree Yunos, Abg. Afad, Abg. Alan, Kak Raihana, Kak Azilah, Kak Shima, Kak Faasilla dan Kak Hafizah Shahtir.

Seterusnya, kepada rakan-rakan UM, Tarmizi, Hafez Sabri, Norazali, Wasif, Haafizuddin, Danial, Muhaimin, Faisal, Shahir Aziz, Ghafar, Shahrilnizam, Izzat Amin, Hafiz Ilyas, Nik Fendi, Izzuddin, Aizat Roslan, Farhan 1st year, Amir, Rasyid, Ridwan Razali, Zaid, Engku Hafizi, Hairuddin, Qayyum, Shafiei JFU, Ridzuan Othman, Hafiz Roslan, Tora (Husaini), (API), Zulkamal, Nik Razak (Pok Jak), Ali Asyraf ORATOR (Sains), Syafiq (Alam Bina) Nik Aminudin (FSKTM), Hilman, Eezat Afiq (Kejuruteraan), Hasbie, dan Syazwan (FEP), Hazwan (Perubatan).

Rakan-rakan mahasiswi UM, Syuhadah (Syud), Fitrah, Nabiilah, Annur, Fariza, Anie Noraini, Maisarah ORATOR (Sains), Hakemah (Perubatan), Salsabil, Azyyati, Fatin Nuraini, Ulfah, Fadzillah (Effa), Syiken, Amirah Pauzy, Syahadah, Hayati, Zuhaira, Hidayah Wahab, Syuhada Abd Halim, Aisyah Thani (API), Husna, Laily (Pergigian), Khairiyah (Undang-undang) Masaida (APM) Aniza (FPP), Mariam (FBL), dan Tengku Maisarah (Pendidikan)

Terima kasih juga kepada rakan-rakan kampus lain, Faridzul, Afida, Fazilah (UIA) Fathi (UiTM, Melaka), Kak Munawirah (UiTM, Shah Alam), Afzanur (UiTM, Perlis), Syakur, Amarullah (UniKL), dan Faizal (IPTHN).

Akhir sekali kepada rakan-rakan yang belajar di luar negara, Hafizah Wahid (baru sahaja pulang ke Malaysia- baru grad Uni. Mu’tah, Jordan), Nik Zaim, Hayyie (Uni. Mu’tah, Jordan), Farhan (Uni. Al-Azhar, Mesir. Sebelum ini belajar di PASUM), Syams (Kuwait) dan Fawwaz (Uni. Adelaide, Australia).

Friday, September 26, 2008

SALAM AIDILFITRI


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan yang mengenali diri saya. Sambutlah Aidilfitri tahun ini dengan HARAPAN dan PERUBAHAN kepada rakan-rakan Universiti Malaya (UM) terutama kepada ahli Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Maaf Zahir dan Batin saya hulurkan.

:: SEJAHTERA BERSAMA PMIUM ::

Saturday, September 6, 2008

PERKONGSIAN…’KETIKA CINTA BERTASBIH’ & ‘AKU TERIMA NIKAHNYA’

Salam Ramadhan kepada semua rakan-rakan…

Pada kali ini, saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan berkenaan tiga buah buku. Dua daripadanya adalah novel karya Habiburrahman El-Shirazy. Asalnya saya mahu siarkan artikal ini sebelum puasa, tetapi kebetulan pada ketika itu saya tengah membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal Abd Jamil, ‘ Aku Terima Nikahnya’. Jadi bolehlah saya masukkan perkongsian tiga buah buku ini dalam satu artikal sahaja.

KETIKA CINTA BERTASBIH 1 & 2

Saya sebenarnya cukup kagum dengan kehebatan yang dimiliki oleh Habiburrahman El-Shirazy. Kemampuannya mengolahkan jalan cerita cukup baik sekali. Sebelum ini, saya telah membaca hasil karya beliau, antaranya ‘Ayat-ayat Cinta’, ‘Dalam Mihrab Cinta’ dan ‘Di Atas Sejadah Cinta’. Satu lagi karya beliau, ‘Pudarnya Pesona Cleopatra’ belum sempat saya membacanya.

‘Ketika Cinta Bertasbih’ episod 1, saya selesai membacanya pada 15 September 2007 hari Sabtu bersamaan 3 Ramadhan 1428 H. Manakala novel ‘Ketika Cinta Bertasbih’ episod 2 telah saya selesaikan pada hari Khamis, 7 Ogos 2008 pukul 5.13 petang. Episod pertama novel ini menceritakan mengenai kesusahan dan keperitan yang dilalui oleh Khairul Azzam, watak utama dalam novel ini ketika belajar di Mesir. Khairul Azzam atau dikenali dengan beberapa nama di kalangan temannya, seperti “Azzam”, “Mas Khairul” dan “Mas Insinyur”.

Kegigihan beliau untuk menyara kehidupan keluarganya di Indonesia membuatkan beliau terpaksa menjual tempe dan bakso di Mesir serta terpaksa menangguhkan pelajaran dalm tempoh yang agak lama. Beberapa nama telah memainkan peranan penting untuk menghidupkan lagi jalan cerita novel ini. Antaranya, Furqan, Anna Althafunnisa, Cut Mala, Hafez, Fadhil dan ramai lagi…

Manakala episod yang kedua menceritakan mengenai kepulangan Khairul Azzam ke Indonesia setelah sekian lama merantau di bumi orang. Banyak suka duka yang terpaksa ditempuhi oleh beliau walaupun telah kembali ke kampung halaman. Beliau terpaksa membina kembali kehidupan keluarganya. Adik-adiknya yang ditinggalkan sepanjang belajar di bumi Anbia’, iaitu Husna dan Lia sudah berubah, kini sudah dewasa. Manakala ibunya, Bu Nafis sudah boleh tersenyum dengan kepulangan anak tersayang.

Tetapi kegembiraan ibunya tidak berpanjangan, ibunya tak sempat melihat majlis perkahwinan beliau, kerana meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Setelah pelbagai dugaan dan ujian akhirnya Khairul Azzam menemui juga jodohnya, iaitu berkahwin dengan….

Untuk mengetahui lebih lanjut cerita dalam novel ini sila baca kedua-dua novel tersebut…

AKU TERIMA NIKAHNYA

Aku Terima Nikahnya? Itulah karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang lebih dikenali dengan webnya, Saifulislam.com. Buku tulisan Ustaz Hasrizal atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Saif, sangat menarik untuk dibaca. Banyak perkongsian pengalaman beliau semasa berada di Ireland diluahkan dalam buku ini. Buku ini saya selesai membacanya pada 5 September 2008(5 Ramadhan 1429 H) iaitu semalam. Kepada rakan-rakan yang mahu menambahkan ilmu pengetahuan dan pengajaran daripada pengalaman, saya cadangkan untuk membaca buku ini.

Mungkin ramai antara kita yang sensitif mendengar perkataan ‘Cinta’ dan ‘Nikah’. Apapun kita seharusnya berfikiran positif untuk menambah ilmu dan pengetahuan melalui pembacaan buku. Jangan sempitkan bahan bacaan kita, pelbagaikan, sama ada novel, buku sejarah, ekonomi, politik, haraki dan sebagainya. Moga minda kita lebih matang dan terbuka.

Perkongsiaan Minda-Mahasiswa.blogspot.com

Monday, September 1, 2008

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Friday, August 29, 2008

BERJUMPA DATO’ SERI ANWAR DI PARLIMEN

Saya menyerahkan surat kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim
Bergambar bersama: dari kiri, Saya, Dato' Seri Anwar, Dato' Seri Wan Azizah dan Faisal

Semalam(28 Ogos 2008) saya dan Saudara Faisal Mustaffa berkesempatan untuk berjumpa Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen yang baru bagi parlimen Permatang Pauh. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos baru-baru ini, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat undi sebanyak 15, 524 dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat yang mendapat 92 undi. Dato' Seri mendapat undian sebanyak 31, 195 undi untuk menang dengan majoriti 15, 671 undi.

Pada asalnya, saya hanya mahu menghantar surat kepada pembantu Dato’ Seri Anwar, tetapi kebetulan berjumpa dengan pengawal peribadi beliau, En. Bakar dan beberapa orang ahli parlimen yang saya kenali. Mereka terus maklumkan Dato’ Seri Anwar ada bersama YB Saifudin Nasution Ismail (MP Machang) di pejabat Ketua pembangkang.

Walaupun kehadiran saya dan Faisal sebagai wakil mahasiswa, tetapi saya cukup kagum kerana Dato’ Seri sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dan berbincang bersama kami. Sebelum perbincangan, saya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri kerana memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Dato’ Seri membuka bicara dengan beberapa isu-isu terkini dan kesanggupan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat untuk terus membantu serta mempertahankan beliau dalam politik.

Dalam perjumpaan selama 20 minit itu, banyak persoalan yang saya lontarkan kepada beliau, terutama melibatkan agenda mahasiswa. Isu AUKU juga disentuh oleh beliau terutama semasa beliau bergelar Menteri Pendidikan dahulu. Selain itu, beliau juga ada berkongsi pengalaman semasa belajar di Universiti Malaya (UM) dahulu. Dato’ Seri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail begitu ramah dan seolah-olah sudah lama mengenali kami.

Beliau juga ada menyentuh mengenai Pakatan Rakyat (PR) dan penghijrahan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN). Banyak persoalan dan perkongsian dalam perjumpaan tersebut, tetapi saya rasa cukup lah untuk makluman dan perkongsian dengan rakan-rakan pada kali ini.

Friday, August 22, 2008

PMIUM DAN NUSMS KEMBALI BERSATU

Dari kiri: Nik Razak, Saya, Faisal, Nani Iryani dan Fariza


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan National University of Singapore’s Muslim Society (NUSMS) kembali bersatu! Asalnya persatuan yang sama, tetapi terpaksa berpisah kerana Universiti Malaya (UM) Singapura berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959. Semasa UM di Singapura PMIUM mula diasaskan oleh Syed Naquib Al Attas pada tahun 1956. Agenda faham Islam yang digagaskan oleh beliau berkembang selari dengan umur PMIUM yang sudah berusia 52 tahun.

Semalam (21 Ogos 2008) saya berkesempatan untuk berjumpa dengan seorang pimpinan baru NUSMS, Nani Iryani yang memegang jawatan Bendahari Agung. Selain saya, pimpinan PMIUM yang lain iaitu Faisal, Nik Razak, Fariza dan Aisyah turut hadir perjumpaan ini. Nani yang baru seminggu memegang jawatan Bendahari Agung datang ke Malaysia untuk menghadiri ‘Global Youth Symposium’ yang diadakan di UM.

Dalam perjumpaan tersebut banyak perkara telah dibincangkan mengenai PMIUM dan NUSMS. NUSMS yang sekarang berada bawah pimpinan Saudara Harun sedang berusaha untuk menaikkan kembali imej NUSMS dikalangan mahasiswa Islam di NUS. Situasi dan pendekatan NUSMS dan PMIUM sudah jauh berbeza, walaupun objektif faham Islam kepada mahasiswa tetap sama. Perkara ini berlaku kerana pentadbiran negara Singapura dan umat Islam di sana adalah minoriti. Beberapa perkara telah dicadangkan kepada Nani untuk meningkatkan kembali imej NUSMS di sana. Perbincangan lebih tertumpu kepada kaedah untuk mewujudkan dan memberi kesedaran Islam kepada Muslim di Singapura.

Friday, July 25, 2008

BOLA SEPAK PERSAHABATAN: PMIUM 3-2 SUKSIS UM

Bergambar sebelum perlawanan pasukan PMIUM (kuning) dan pasukan SUKSIS UM (biru)
YDP PMIUM menyampaikan medal cenderahati kepada wakil pasukan SUKSIS UM
aksi selepas tamat perlawanan

Hari ini (24 Julai 2008) pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan SUKSIS UM. Perlawanan tersebut diadakan sempena penganjuran Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA) anjuran Persatuan Siswa/i Islam Perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Pergigian UM, PMIUM dan Pertubuhan Jururawat Pelatih PPUM.

Perlawanan yang diadakan di Padang C, Padang Varsiti itu menyaksikan perlawanan seimbang kedua-dua pasukan. Separuh masa pertama pasukan PMIUM ketinggalan 1-2 sebelum berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan ini juga, dua pemain bola sepak UM beraksi untuk pasukan PMIUM. Setelah tamat perlawanan, YDP PMIUM, Saudara Haafizuddin Abirerah telah menyampaikan medal cenderahati kepada barisan pemain kedua-dua pasukan. Tahniah kepada Exco Sukan & Rekreasi PMIUM, Saudara Muhaimin Mohd Nasir kerana telah mengaturkan perlawanan ini.

Wednesday, July 23, 2008

SOROTAN SEMINGGU…KEBAJIKAN PMIUM, AUKU & FUTSAL KOSMO

Untuk ruangan kali ini, saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai aktiviti yang saya sertai sepanjang minggu lepas…Pertama, minggu lepas adalah minggu ‘add drop’ bagi subjek semester ini. Saya menghadapi masalah untuk pendaftaran subjek ‘Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan Islam’ di Fakulti Pendidikan. Subjek tersebut hanya ditawarkan pada semester ini dan merupakan subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Islam. Setelah berusaha dan berbincang dengan Dr. Habib, pensyarah subjek tersebut, Alhamdulillah selesai juga akhir. Semester ini juga, saya mengambil subjek ‘Kepimpinan Diri & Organisasi’ di Fakulti Pendidikan. Pensyarah bagi subjek ini ialah Prof Dr. Sufean Hussin, bekas Dekan Fakulti Pendidikan. Pada pandangan saya, beliau bijak menghuraikan teori-teori mengenai kepimpinan dengan merujuk kepada situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Menyentuh mengenai jenis modal insan, beliau mengaitkan dengan beberapa individu dalam kepimpinan negara pada hari ini untuk dijadikan contoh.

Melawat Mangsa Kebakaran Kg. Kerinchi
YDP PMIUM, Sdr. Haafizuddin sedang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran
Tempat kebakaran di Kg. Kerinchi

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pimpinan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kg. Kerinchi. Mangsa-mangsa kebakaran tersebut ditempatkan di Stadium Hoki Bangsar berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) dari Kuala Lumpur. Saudara Haafizuddin Abirerah mewakili PMIUM dan saudara Ridhwan Bakar mewakili Maaruf Club UIAM telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Kebakaran yang berlaku pada 12 Julai itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar juga sempat melawat mangsa kebakaran itu pada masa tersebut.
Berjumpa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Minggu lepas juga, saya dan beberapa orang rakan saya berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Idris Haron. Perjumpaan tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka berdekatan KL Central. Perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sebelum perjumpaan itu, pada sebelah paginya YB Dato’ Idris Haron baru sahaja membuat pembacaan kali pertama pindaan AUKU dalam Dewan Parlimen. Saya memuji keterbukaan beliau dalam membincangkan isu ini. Selain beliau, terlibat sama dalam perjumpaan tersebut, Pengerusi BN BBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Muar, YB Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Semasa mengiringi YB Dato’ Idris berjalan ke kenderaan beliau, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai isu Sturbucks yang ingin dibawa masuk ke dalam kampus. Beliau menjawab, media memutarbelit kenyataan beliau mengenai isu tersebut. Beliau hanya mencadangkan supaya kemudahan wi-fi dan tempat lepak yang selamat untuk dikunjungi oleh pelajar. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, saya memuji sikap beliau yang mudah mesra untuk dibawa berbincang dalam pelbagai perkara mengenai mahasiswa.

Berjumpa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen
Bergambar bersama ahli parlimen Rasah dan Serdang dari DAP

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan saya dari kampus UIAM dan UPM pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai pindaan AUKU. Semasa di lobi parlimen, YB Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami sebelum membuat kenyataan akhbar bersama mengenai isu AUKU. YB Nurul Izzah terpaksa pulang awal disebabkan ada sidang media mengenai isu bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai membuat kenyataan akhbar, kami terus ke tingkat 13 parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen DAP di pejabat pembangkang bagi DAP. Perbincangan mengenai AUKU tersebut memakan masa selama 45 minit. Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Parlimen Serdang terlibat dalam perjumpaan tersebut. Banyak lontaran idea dan pandangan mereka mengenai isu AUKU.

Kemudian setelah selesai solat zohor, kami terus ke Kafe Parlimen untuk makan tengahari sambil menunggu kehadiran YB Solahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk mewakili PAS. Kami sangat terharu kerana kesanggupan YB Solahudin untuk keluar dewan sementara, semata-mata untuk berbincang dengan kami mengenai isu AUKU. YB Solahudin berjanji untuk terus memperjuangkan isu ini semasa perbahasan dalam persidangan ketiga Dewan Rakyat nanti.

Mengiringi Pasukan Futsal PMIUM ke UPM
pasukan PMIUM


pasukan SUKSIS UM

Pada hari Sabtu (19 Julai 2008), saya mengiringi pasukan futsal PMIUM yang bertanding dalam pertandingan futsal Inter-Varsity Kosmo yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah selesai mendaftar pasukan, kami terus ke papan jadual untuk melihat siapa lawan kami nanti. Setelah diteliti, kami diundi dalam kumpulan M bersama pasukan ‘Acah-Acah FC’ dan ‘Helang Rentung’ kedua-dua pasukan ini, saya tidak pasti dari kampus mana.

Selesai majlis perasmian, sementara menunggu perlawanan pasukan PMIUM yang dijadualkan perlawanan ke-19, kami menuju ke gelanggang kedua dalam dewan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Suksis UM. Suksis UM berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-0. Namun dalam perlawanan kedua pasukan Suksis UM, tercetus satu pergaduhan setelah pemain pasukan Suksis UM dikasari. Nasib baik pergaduhan tersebut sempat dikawal dan dua pemain pasukan Suksis UM telah dilayan kad merah.

Penyertaan pertama kali pasukan PMIUM dalam kejohanan ini, nyata tidak bernasib baik setelah tumpas 2-4 kepada pasukan ‘Helang Rentung FC’ dan 0-1 kepada ‘Acah-Acah FC’. Apapun pujian wajar diberikan kepada pemain-pemain pasukan PMIUM kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dalam dua perlawanan tersebut.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan