Thursday, July 10, 2008

DEBAT PERDANA: ANWAR IBRAHIM LAWAN SHABERY CHEEK!


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Chik akan beraksi atas pentas debat pada 15 Julai nanti. Debat tersebut yang membincangkan isu kenaikan harga minyak akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada jam 9 malam. Datuk Johan Jaafar, pengerusi DBP akan bertindak sebagai moderator debat pada malam itu.

Dato’ Seri Anwar telah membuat permintaan supaya Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri yang berdebat dengan beliau. Permintaan tersebut dibuat selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) di kediaman beliau. Setakat ini, tidak ada jawapan dari pihak PM ataupun TPM terhadap pelawaan Dato’ Seri Anwar. Namun begitu, Dato’ Seri Anwar tetap akan menyertai debat tersebut walaupun permintaan beliau tidak disambut oleh PM dan TPM. Pada masa yang sama, Datuk Shabery menyatakan isu minyak seharusnya di bincangkan dalam program tersebut bukannya di buat bantahan di jalan raya.

Pimpinan PR meminta supaya debat tersebut di buat secara langsung melalui stesen TV seperti TV3 dan RTM. Difahamkan pihak Astro Awani dan TV3 sudah bersetuju untuk menyiarkan program tersebut secara langsung. Manakala RTM1 pula difahamkan akan membuat siaran tertunda debat tersebut atas nama rancangan “ Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak”. Pihak penganjur, agendadaily.com hanya membuka 200 orang untuk masuk termasuk 50 jemputan dari Anwar dan 50 dari Shabery.

Debat mengenai kenaikan harga minyak telah diadakan sebelum ini, debat pertama antara YB Solahuddin Ayub, ahli parlimen Kubang Kerian merangkap Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan YB Datuk Shahrir Samad, Menteri Hal Ehwal Pengguna yang disiarkan secara langsung oleh RTM1. Debat yang kedua melibatkan ahli parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar dengan YB Datuk Mohamad Aziz, ahli parlimen Sri Gading yang disiarkan oleh TV9 melalui rancangan “Hujah”.

Anwar seharusnya menjadikan medan ini untuk meyakinkan rakyat berkenaan agenda pembaharuan yang dibawa oleh beliau. Rakyat akan menilai kemampuan kedua-dua wakil dari Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam berhujah. Sekiranya Anwar gagal mempamer aksi sebagaimana yang sepatutnya, rakyat akan hilang keyakinan terhadap beliau. Keterbukaan media sejak akhir-akhir ini wajar dipuji dan pimpinan PR seharusnya mengambil manfaat ruang yang ada untuk mempamer kemampuan memimpin dari segi berhujah.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan