Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

Thursday, May 28, 2009

SEKADAR BERKONGSI...

Salam kepada semua sahabat-sahabat/rakan-rakan/teman-teman...

MU kalah 0-1 dengan Barcelona

Kekalahan Manchester United (MU) kepada Barcelona 0-1 awal pagi tadi sungguh mengecewakan saya. Dengan kekalahan itu, sekali gus Piala Juara-juara Eropah di bawa ke Nou Camp kali ini. Meneliti kepada perlawanan, memang patut MU menerima kekalahan tersebut. Pertama aksi pertahanan terlalu longgar, mungkin kerana gandingan Linel Messi, Samuel Eto'o dan Thierry Henry terlalu kemas dan laju..

Kehebatan Cristiano Ronaldo seolah-olah tenggelam dengan aksi lincah dan pantas Messi. Dua gol jaringan Eto'o dan Messi minit ke-10 dan 70 meranapkan impian Alex Ferguson untuk merangkul piala tersebut dua tahun berturut-turut. Tahniah kepada Barcelona!

Baca buku

InsyaAllah dalam ruangan akan datang saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai buku yang saya baca..Sekarang tengah baca buku mengenai Barack Obama, 'Keberanian Menggapai Harapan' terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) atau tajuk asalnya ' The Audacityof Hope'. Buku-buku lain yang sudah selesai, antaranya, 'Seteguh Tekad' tulisan Prof. Dr. Sidek Baba, novel 'Salju Sakinah' karya Zaid Akhtar, 2 buah buku terbaru Ust Hasrizal Md Jamil...Dan yang istimewa buku bertajuk 'Politik Baru' tulisan YB Dato' Saifuddin Abdullah.


Terkaya di Malaysia

Hari ini saya sempat meneliti maklumat terbaru mengenai orang terkaya di Malaysia. Robert Kuok melalui Kumpulan Kuok dengan nilai bersih AS$9 bilion berdasar sumber majalah Forbes Asia Malaysia 2009. Dari sepuluh orang yang terkaya di Malaysia, hanya seorang sahaja berketurunan Melayu menghuni kedudukan tersebut iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary...


Untuk berbicara tentang politik, semua sedia maklum krisis Perak tak selesai-selesai, Pilihan Raya Kecil (PRK) Penanti di Pulau Pinang, Manek Urai di Kelantan. Isu calon bebas dakwa di beri tawaran jawatan, Dato' Seri Anwar Ibrahim saman Dato' Anifah Aman dan lain-lain.

Wassalam...

Friday, May 22, 2009

PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2009

Perlawanan akhir piala FA 2009: KEL vs SEL

Pada 25 April lalu, saya sempat meluangkan masa untuk menonton perlawanan akhir piala FA di Stadium Bukit Jalil. Perlawanan antara pasukan negeri saya, Kelantan, sekarang di kenali sebagai 'The Red Warriors' menentang pasukan Selangor.

Kemeriahan perlawanan akhir tersebut sudah mula dirasai bermula pukul 11 pagi lagi. Kehadiran penyokong pasukan Kelantan dari Kota Bharu, yang berada di Lembah Klang dan tempat-tempat lain.

latihan pasukan Kelantan sebelum perlawanan bermula

Tempat duduk tingkat pertama dan kedua sudah penuh sejak dari awal lagi. Terfikir juga di fikiran saya, mungkin yang datang dari jauh, mereka sudah solat jamak. Pasukan polis dari pelbagai unit sudah bersiap sedia dari pagi lagi, samada pasukan berkuda, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis biasa. Apa yang menarik semasa solat Maghrib, yang menjadi imam ialah seorang polis FRU.

Gelombang sorakan pasukan 'The Red Warriors'
puluhan ribu penyokong yang hadir
persembahan oleh penaja iaitu TM bagi upacara pembukaankedua-dua pasukan diperkenal kepada tetamu kehormat

Sebelum perlawanan bermula penyokong kedua-dua pasukan mula bertempur dengan sorakan semangat pasukan masing-masing. Upacara pembukaan oleh penaja iaitu TM. Perlawanan Kelantan dan Selangor sangat sengit. Tamat 90 minit perlawanan keputusan masih lagi 0-0.

Beberapa minit bermula masa tambahan, pasukan Selangor dikejutkan dengan jaringan pertama pasukan Kelantan oleh Nor Farhan. Namun aksi sambil lewa dan leka pasukan Kelantan selepas jaringan tersebut, nyata memberi peluang kepada Amri Yahyah untuk menjaringkan gol penyamaan bagi pasukan Selangor.

Tamat masa tambahan, kedua-dua pasukan masih lagi terikat 1-1. Sepakan panalti menjadi penentuan. Nyata pengalaman memberi kelebihan kepada pasukan Selangor, menang 4-1. Hanya Ezrie Syafizi yang berjaya menjaringkan gol, Indra, Rizal gagal menyempurnakan sepakan panalti.

Antara yang hadir perlawanan tersebut, Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), Dato' Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia & Sukan), Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor), Tengku Temenggong Kelantan & Isteri (Manohara), Tan Sri Anuar Musa (Pres KAFA), Exco Belia & Sukan Kelantan (YB Patah Mahmood) serta beberapa lagi ahli politik dan pemimpin badan sukan.

Tuesday, November 25, 2008

TANPA 'AWANG' IMPORT, HANGATKAH LIGA MALAYSIA?


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tidak membenarkan lagi penyertaan pemain import dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana musim depan. Keputusan yang diambil oleh FAM pada kali ini seolah-olah mengulang kembali tindakan sebelum ini iaitu tidak membenarkan pemain import dalam mana-mana pasukan.

Dengan keputusan itu menyebabkan peminat setia Liga Malaysia tidak dapat lagi melihat kelincahan pemain import seperti Marlon Alex (Kedah), Frank Seator (Selangor), Mohammadou Mustapha (Kelantan), Andrian Trinidad (KL Plus), Ellie Aiboy (Selangor), Lamin Conteh (Negeri Sembilan) dan lain-lain.

Ada yang berpandangan dengan tidak ada pemain import menyebabkan Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Perdana) tidak akan berseri. Manakala sebahagian lagi berpandangan dengan tidak ada pemain import memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan terutama pemain muda untuk beraksi.

Bagi saya kedua-dua pandangan ini tidak ada yang salah, cuma tindakan dan keputusan yang diambil oleh badan induk bola sepak negara iaitu FAM terlalu terburu-buru. Seharusnya FAM menilai keberkesanan dan hasil yang diperolehi semasa keputusan yang sama dibuat sebelum ini samada positif ataupun sebaliknya.

FAM juga harus mengambil kira pasukan yang akan mewakili negara dalam kejohanan juara-juara Asia sudah tentu memberi kesan negatif. Buktinya, musim lepas pasukan Kedah dan Perak menjadi mangsa keputusan ini iaitu gagal melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan Asia tersebut.

FAM mestilah menyusun kembali pembangunan bola sepak negara bermula dari peringkat rendah hingga ke pasukan kebangsaan. Kajian-kajian dan analisis terhadap pasukan-pasukan hebat dunia mestilah dilakukan supaya dapat membantu penyusunan dan perancangan bola sepak negara.

Friday, November 14, 2008

JERSI BARU PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA?

Pemain Malaysia (Aidil Zafuan) menggayakan jersi baru Malaysia?
Cuba lihat hadapan jersi Malaysia
Jersi Inter Milan, Kelab Serie A Itali

Inikah jersi baru pasukan bola sepak Malaysia? lihat hadapan jersi terpampang lambang apa? Saya terkejut pertama kali melihat gambar ini(atas). Sebelum ini memanglah pasukan negara kita dikritik kerana aksi setiap perlawanan antarabangsa yang mengecewakan. Tetapi sejak akhir-akhir ini pasukan negara telah menunjukkan aksi yang membanggakan dengan menjadi naib juara Pesta Bola Merdeka dan meningkat ranking FIFA kepada 151 dari 162. Terbaru menumpas pasukan Vietnam 3-0 dalam kejohanan Piala Cabaran Grand Royal, Myanmar.

Jersi yang ditaja oleh Nike seumpama ini memang sudah dipakai oleh pasukan kelab Serie A Itali, Inter Milan. Saya tidak pernah terbayang pasukan Malaysia yang terkenal dengan jersi kuning hitam juga akan memakainya. Apapun jersi ini tidak dipakai lagi oleh pasukan Malaysia dalam mana-mana perlawanan. Sekiranya benar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan jersi ini, ianya akan mengundang kemarahan penonton nanti terutama umat Islam.

Friday, July 25, 2008

BOLA SEPAK PERSAHABATAN: PMIUM 3-2 SUKSIS UM

Bergambar sebelum perlawanan pasukan PMIUM (kuning) dan pasukan SUKSIS UM (biru)
YDP PMIUM menyampaikan medal cenderahati kepada wakil pasukan SUKSIS UM
aksi selepas tamat perlawanan

Hari ini (24 Julai 2008) pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan SUKSIS UM. Perlawanan tersebut diadakan sempena penganjuran Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA) anjuran Persatuan Siswa/i Islam Perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Pergigian UM, PMIUM dan Pertubuhan Jururawat Pelatih PPUM.

Perlawanan yang diadakan di Padang C, Padang Varsiti itu menyaksikan perlawanan seimbang kedua-dua pasukan. Separuh masa pertama pasukan PMIUM ketinggalan 1-2 sebelum berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan ini juga, dua pemain bola sepak UM beraksi untuk pasukan PMIUM. Setelah tamat perlawanan, YDP PMIUM, Saudara Haafizuddin Abirerah telah menyampaikan medal cenderahati kepada barisan pemain kedua-dua pasukan. Tahniah kepada Exco Sukan & Rekreasi PMIUM, Saudara Muhaimin Mohd Nasir kerana telah mengaturkan perlawanan ini.

Wednesday, July 23, 2008

SOROTAN SEMINGGU…KEBAJIKAN PMIUM, AUKU & FUTSAL KOSMO

Untuk ruangan kali ini, saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai aktiviti yang saya sertai sepanjang minggu lepas…Pertama, minggu lepas adalah minggu ‘add drop’ bagi subjek semester ini. Saya menghadapi masalah untuk pendaftaran subjek ‘Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan Islam’ di Fakulti Pendidikan. Subjek tersebut hanya ditawarkan pada semester ini dan merupakan subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Islam. Setelah berusaha dan berbincang dengan Dr. Habib, pensyarah subjek tersebut, Alhamdulillah selesai juga akhir. Semester ini juga, saya mengambil subjek ‘Kepimpinan Diri & Organisasi’ di Fakulti Pendidikan. Pensyarah bagi subjek ini ialah Prof Dr. Sufean Hussin, bekas Dekan Fakulti Pendidikan. Pada pandangan saya, beliau bijak menghuraikan teori-teori mengenai kepimpinan dengan merujuk kepada situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Menyentuh mengenai jenis modal insan, beliau mengaitkan dengan beberapa individu dalam kepimpinan negara pada hari ini untuk dijadikan contoh.

Melawat Mangsa Kebakaran Kg. Kerinchi
YDP PMIUM, Sdr. Haafizuddin sedang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran
Tempat kebakaran di Kg. Kerinchi

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pimpinan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kg. Kerinchi. Mangsa-mangsa kebakaran tersebut ditempatkan di Stadium Hoki Bangsar berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) dari Kuala Lumpur. Saudara Haafizuddin Abirerah mewakili PMIUM dan saudara Ridhwan Bakar mewakili Maaruf Club UIAM telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Kebakaran yang berlaku pada 12 Julai itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar juga sempat melawat mangsa kebakaran itu pada masa tersebut.
Berjumpa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Minggu lepas juga, saya dan beberapa orang rakan saya berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Idris Haron. Perjumpaan tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka berdekatan KL Central. Perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sebelum perjumpaan itu, pada sebelah paginya YB Dato’ Idris Haron baru sahaja membuat pembacaan kali pertama pindaan AUKU dalam Dewan Parlimen. Saya memuji keterbukaan beliau dalam membincangkan isu ini. Selain beliau, terlibat sama dalam perjumpaan tersebut, Pengerusi BN BBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Muar, YB Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Semasa mengiringi YB Dato’ Idris berjalan ke kenderaan beliau, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai isu Sturbucks yang ingin dibawa masuk ke dalam kampus. Beliau menjawab, media memutarbelit kenyataan beliau mengenai isu tersebut. Beliau hanya mencadangkan supaya kemudahan wi-fi dan tempat lepak yang selamat untuk dikunjungi oleh pelajar. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, saya memuji sikap beliau yang mudah mesra untuk dibawa berbincang dalam pelbagai perkara mengenai mahasiswa.

Berjumpa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen
Bergambar bersama ahli parlimen Rasah dan Serdang dari DAP

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan saya dari kampus UIAM dan UPM pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai pindaan AUKU. Semasa di lobi parlimen, YB Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami sebelum membuat kenyataan akhbar bersama mengenai isu AUKU. YB Nurul Izzah terpaksa pulang awal disebabkan ada sidang media mengenai isu bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai membuat kenyataan akhbar, kami terus ke tingkat 13 parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen DAP di pejabat pembangkang bagi DAP. Perbincangan mengenai AUKU tersebut memakan masa selama 45 minit. Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Parlimen Serdang terlibat dalam perjumpaan tersebut. Banyak lontaran idea dan pandangan mereka mengenai isu AUKU.

Kemudian setelah selesai solat zohor, kami terus ke Kafe Parlimen untuk makan tengahari sambil menunggu kehadiran YB Solahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk mewakili PAS. Kami sangat terharu kerana kesanggupan YB Solahudin untuk keluar dewan sementara, semata-mata untuk berbincang dengan kami mengenai isu AUKU. YB Solahudin berjanji untuk terus memperjuangkan isu ini semasa perbahasan dalam persidangan ketiga Dewan Rakyat nanti.

Mengiringi Pasukan Futsal PMIUM ke UPM
pasukan PMIUM


pasukan SUKSIS UM

Pada hari Sabtu (19 Julai 2008), saya mengiringi pasukan futsal PMIUM yang bertanding dalam pertandingan futsal Inter-Varsity Kosmo yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah selesai mendaftar pasukan, kami terus ke papan jadual untuk melihat siapa lawan kami nanti. Setelah diteliti, kami diundi dalam kumpulan M bersama pasukan ‘Acah-Acah FC’ dan ‘Helang Rentung’ kedua-dua pasukan ini, saya tidak pasti dari kampus mana.

Selesai majlis perasmian, sementara menunggu perlawanan pasukan PMIUM yang dijadualkan perlawanan ke-19, kami menuju ke gelanggang kedua dalam dewan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Suksis UM. Suksis UM berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-0. Namun dalam perlawanan kedua pasukan Suksis UM, tercetus satu pergaduhan setelah pemain pasukan Suksis UM dikasari. Nasib baik pergaduhan tersebut sempat dikawal dan dua pemain pasukan Suksis UM telah dilayan kad merah.

Penyertaan pertama kali pasukan PMIUM dalam kejohanan ini, nyata tidak bernasib baik setelah tumpas 2-4 kepada pasukan ‘Helang Rentung FC’ dan 0-1 kepada ‘Acah-Acah FC’. Apapun pujian wajar diberikan kepada pemain-pemain pasukan PMIUM kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dalam dua perlawanan tersebut.

Monday, June 30, 2008

SEPANYOL JUARA EURO 2008

Gol Kemenangan Sepanyol keatas Jerman oleh Fernando Torres
Torres meraikan jaringannya pada minit ke-33

EURO 2008 di Switzerland dan Austria kali ini menjadi milik pasukan Sepanyol setelah menewaskan pasukan Jerman 1-0 awal pagi tadi. Gol jaringan Fernando Torres pada minit ke-33 mengesahkan piala Eropah tersebut akan dibawa pulang ke Sepanyol. Ketiadaan David Villa tidak menganggu rentak cemerlang pasukan Sepanyol pada perlawanan akhir tersebut. Penjaring terbanyak EURO kali ini juga menjadi milik David Villa. Gandingan Cesc Febregas dan Torres berjaya membuatkan benteng pertahanan Jerman terpaksa berkerja keras untuk menahan asakan gandingan tersebut. Kesilapan Philipp Lahm gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum Torres untuk gol kemenangan.

Sunday, June 29, 2008

JUARA EURO 08’: JERMAN ATAU SEPANYOL?


Pukul 2.45 pagi nanti(30/6/08) bakal terjawab pasukan manakah bakal bergelar juara EURO 2008. Pasukan Jerman yang berjaya menewaskan pasukan Turki 3-2 pada perlawanan separuh akhir sudah pasti mahu menebus kembali kegagalan pada EURO 2004 di Portugal. Rekod tanpa kalah pasukan Sepanyol pada kejohanan kali ini juga harus diberi perhatian oleh pasukan Jerman.

Pada peringkat kumpulan B, Jerman menang 2 perlawanan keatas Poland 2-0 dan Austria 1-0 serta tumpas kepada Croatia 1-2. Pada peringkat suku akhir, Jerman menewaskan Portugal 3-2 sebelum menewaskan Turki dengan keputusan yang sama. Ramai yang mengatakan kejayaan Jerman layak ke final kali ini lebih bergantung kepada nasib.

Manakala Sepanyol pula, pada peringkat kumpulan D lagi sudah menampakkan keyakinan untuk membawa pulang piala berprestij Eropah ini ke Madrid. Sepanyol menang semua perlawanan peringkat kumpulan dengan menewaskan Russia 4-1, Sweden 2-1 dan Greece 2-1. Di peringkat suku akhir pula, Sepanyol menang ke atas Itali melalui penentuan sepakan penalti 4-2 setelah terikat tanpa jaringan sebelum menumbangkan Russia 3-0 pada peringkat separuh akhir.

Jerman akan tampil pada perlawanan akhir dengan barisan terkuatnya yang diketuai oleh Michael Ballack. Lukas Podolski, Bastian Schweinsteiger, Philipp Lahm dan Miroslav Klose akan membantu Ballack untuk memecahkan benteng pertahanan Sepanyol yang setakat ini hanya bolos 3 gol. Difahamkan penjaring terbanyak setakat ini, David Villa tidak akan diturunkan oleh Sepanyol kerana mengalami kecederaan dan tempatnya akan diganti dengan Cesc Febregas.

Walaupun tanpa kelibat David Villa pada perlawanan nanti, ia tidak mematahkan semangat anak buah Luis Aragones untuk berhadapan dengan Jerman. Sepanyol masih lagi mempunyai barisan yang mampu menggugat pasukan Jerman, iaitu, Fernando Torres, Marcos Senna, Xavi Hernandez, Sergio Ramos dan Carles Puyol. Dengan ketiadaan David Villa, memberi peluang kepada Lukas Podolski untuk bergelar penjaring terbanyak kali ini sekiranya mampu menjaring dua gol pada malam ini.

Sebelum ini saya menjangkakan pasukan Belanda dan Portugal akan bertemu di perlawanan akhir, tetapi jangkaan saya meleset, setelah Belanda dan Portugal tewas di peringkat suku akhir. Untuk perlawanan akhir nanti, saya memilih pasukan Sepanyol untuk menjuarai EURO kali ini dengan jaringan 2-1. Beberapa orang sahabat saya juga memilih pasukan Sepanyol sebagai juara edisi kali ini, antaranya, Nik Razak menjangkakan Sepanyol menang 3-2, Faisal 3-1, Nik Affendy 2-0 dan Muhaimin 2-1.

Selain itu, beberapa orang jurulatih tempatan juga memilih pasukan Sepanyol, antaranya Mat Zan Mat Aris (jurulatih KL Plus) dan Azrai Khor Abdullah (jurulatih Kedah) meramalkan menang 2-1. Berlainan pula dengan pilihan Irfan Bakti (jurulatih Perlis), Dollah Salleh (jurulatih Selangor) dan Ismail Ibrahim (jurulatih PKNS Selangor) yang lebih cenderung memilih Jerman sebagai juara EURO 08’. Apapun ramalan dan jangkaan, keputusannya akan diterjemahkan oleh kedua-dua pasukan awal pagi nanti.

Thursday, June 19, 2008

PASUKAN MANAKAH BAKAL BERGELAR JUARA EURO 2008?


Kejohanan Piala Eropah 2008 (EURO 08’) kali ini yang dianjurkan bersama oleh Austria dan Switzerland cukup menarik walaupun tanpa kehadiran pasukan England. kekalahan pasukan England kepada pasukan Croatia semasa kelayakan peringkat kumpulan menyebabkan pasukan tersebut gagal layak ke kejohanan kali ini. Persoalannya, tanpa England, pasukan manakah bakal membawa pulang piala berprestij Eropah tersebut? Adakah Portugal? Sepanyol? Jerman? ataupun Belanda?


Mungkin ramai dikalangan peminat bola sepak sudah membuat ramalan dan jangkaan pasukan mana yang akan layak ke final. Ada yang mengatakan final nanti Sepanyol akan lawan Portugal, tidak kurang yang mengatakan Jerman lawan Belanda. Adakah pasukan Turki dan Croatia yang layak ke suku akhir akan membuat kejutan sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Greece semasa Euro 2004 di Portugal?


Bagi saya, saya menjangkakan pasukan Belanda akan bertemu pasukan Portugal di final nanti. Antara sebabnya, kerana pasukan Belanda sudah menunjukkan aksi yang konsisten di peringkat kumpulan C, dengan menewaskan pasukan Itali 3-0, Perancis 4-1 dan Romania 2-0. Kehebatan yang ditunjukkan oleh Ruud Van Nistelrooy, Arjen Robben, Robin Van Persie dan ketangkasan Edwin Van Der Sar juga dilihat satu sebab mengapa saya memilih pasukan ini untuk layak ke final.


Manakala pasukan Portugal pula dilihat mempamerkan aksi yang cukup menarik semasa peringkat kumpulan A walaupun tewas 0-2 kepada Switzerland pada perlawanan terakhir. Kemampuan pasukan Portugal menewaskan pasukan Turki 2-0 dan Republik Czech 3-1 pada peringkat kumpulan menjadi indikator penyebab saya memilih pasukan Portugal untuk layak ke final di Vienna pada 30 Jun nanti.


Euro kali ini menyaksikan pasukan Perancis tersingkir pada peringkat kumpulan setelah tewas kepada Itali 2-0 pada perlawanan penentuan. Selain itu, Euro kali ini juga menjadi medan setiap pasukan untuk mempersembahkan bintang-bintang masing-masing. Portugal tampil dengan Cristiano Ronaldo dan Deco, Jerman pula dengan Lukas Podolski, Michael Ballack dan Phillip Lahm dan pasukan Sepanyol tampil bergaya dengan aksi David Villa dan Fernando Torres.

Saturday, April 26, 2008

KERANA CHELSEA, MALAYSIA SANGGUP TERIMA WARGA ISRAEL?


Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Saya tertarik untuk memberi respon mengenai isu kehadiran pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke Malaysia pada bulan Julai nanti. Lawatan pasukan elit tersebut menimbulkan masalah dan menjadi isu bukan kerana tidak ada rakyat Malaysia yang menyokong pasukan Chelsea, tetapi pasukan tersebut mempunyai dua warga Israel. Pengurus pasukan, Avram Grant dan juga pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan dua orang rakyat Israel.

Sebagaimana yang kita maklum, polisi negara kita tidak membenarkan mengadakan hubungan diplomatik dan juga perdagangan dengan negara haram Israel. Rakyat Malaysia juga dilarang untuk melawat negara tersebut. Tetapi entah kenapa dalam isu ini kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mahu membenarkan rakyat Israel datang ke negara ini.

Sebelum ini, kita tidak kisah pun mana-mana pasukan ternama luar negara berkunjung ke bumi Malaysia, kerana mereka tidak mempunyai pemain atau pegawai dari negara Israel. Sebagai contoh, sebelum ini dua pasukan terkuat Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester United (MU) dan Arsenal pernah datang ke Malaysia untuk tujuan yang sama. Cuma dalam isu lawatan pasukan Chelsea ini kita tidak boleh bertolak ansur kerana melibatkan sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

Pasukan Chelsea dijadualkan akan menentang pasukan kebangsaan Malaysia pada 29 Julai ini. Pasukan dari barat London ini sememangnya terkenal dengan kehebatan bintang mereka, seperti Didier Drogba, Frank Lampard, Nicolas Anelka, Claudio Pizzaro dan lain-lain. Ketua eksekutif Chelsea, Peter Kenyon mengugut tidak akan hadir ke Malaysia sekiranya Grant dan Ben Haim tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Namun begitu, timbul beberapa persoalan dalam isu ini, adakah kerana terlalu minat kepada pasukan Chelsea kita sanggup menggadai maruah umat Islam? Ataupun kerana sikap tolak ansur kerajaan Malaysia ini lahir dari semangat kesukanan yang terlalu tinggi? Mungkin tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia membenarkan atlit kriket Israel memasuki ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) juga atas dasar semangat kesukanan.

Saya ada memetik beberapa kenyataan pemimpin yang menyokong kehadiran dua warga Israel ini. Pertama, kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 31 hb Mac lalu yang menyatakan agak malang sekiranya bidang sukan di campuri unsur politik. Selain Timbalan Perdana Menteri, kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad pada 3hb April lalu juga dilihat mengetepikan soal perasaan umat islam.

Antara kenyataan beliau, “Kita mengharapkan sukan adalah sukan, tidak perlu dicampuradukkan dengan politik”. “Kehadiran Chelsea adalah untuk menghiburkan rakyat dan untuk peminat Chelsea yang ramai di negara ini. Ia adalah salah satu program pembangunan sukan bola negara,”.

Selain itu, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Datuk Rais Yatim pada 14hb April baru-baru ini juga dilihat berpihak kepada dua warga Israel tersebut. Beliau berkata “Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia dan dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka”. “Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah dan tidak wajar untuk campurkan antara politik dan sukan,”.

Betulkah urusan politik tidak boleh menganggu bidang sukan? Sebelum ini Amerika Syarikat pernah memboikot kejohanan sukan anjuran negara Russia atas dasar perbezaan politik. Terbaru tindakan aktivis Tibet seluruh dunia menganggu kelancaran perarakan larian obor olimpik Beijing juga kerana membantah sikap China menindas rakyat Tibet.

Bagi saya ini bukan setakat soal politik sahaja, tetapi melibatkan soal agama Islam dan maruah umat Islam di Palestin khususnya. Jangan kita hipokrit terhadap saudara kita di bumi Palestin, membantah pencerobohan Zionis Israel terhadap Palestin tetapi pada masa yang sama membenarkan negara kita di’cerobohi’ oleh rakyat Israel.

Kenapa Malaysia dan FAM berkeras juga mahu membawa pasukan Chelsea ke Malaysia? Sedangkan banyak lagi pasukan-pasukan ternama yang tidak ada warga Israel boleh dijemput datang ke Malaysia seperti Manchester United, Arsenal, AC Milan, Barcelona ataupun Real Madrid. Adakah dengan membawa beberapa orang pemain bola sepak Israel ini boleh meningkatkan mutu bola sepak Malaysia?

Wednesday, November 28, 2007

PASUKAN BOLA SEPAK LIGA PERDANA KELANTAN


Pasukan Liga Perdana Kelantan 2007
Oleh: Mohd Ridzuan Mohammad

Kancah Liga Perdana Malaysia 2007/08 akan bermula pada 17hb Disember depan. Semua pasukan sedang giat mempersiapkan pasukan masing-masing untuk menghadapi cabaran tersebut. Pasukan Kelantan juga tidak ketinggalan untuk mempersiapkan pasukan yang mantap di bawah kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), iaitu Dato' Seri Annuar Musa sebagai Presiden baru. KAFA dilihat begitu rapi dan bersungguh-sungguh mempersiapkan pasukan Kelantan bermula dengan pelantikan Norizan Bakar, bekas Ketua Jurulatih Pasukan bola sepak Malaysia sebagai Ketua Jurulatih baru Pasukan Kelantan. Kini mereka sedang menguji pemain import yang sesuai untuk mengukuhkan lagi pasukan Kelantan. Terbaru mereka sedang menguji pemain dari Thailand, Surya Domtaisong dan Pipat Thonkanya, Jan Necas (Rep.Czech) dan Luis Fernando Espindola (Uruguay)
.


 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan