Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

ULASAN BUKU DILEMA SINGAPURA (PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN MASYARAKAT MELAYU)

hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim

Buku ‘Dilema Singapura- Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu’ merupakan antara buku yang menarik untuk dibaca dan dikongsi dengan rakan-rakan. Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim ini boleh dikatakan pendedahan sebenar mengenai nasib bangsa Melayu di negara republik itu.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui mengenai masyarakat Melayu di Singapura melalui akhbar seperti isu Sultan Hussin dan daripada sumber rakan-rakan. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan daripada Singapura yang menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan menceritakan kisah masyarakat Melayu dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian serta menyentuh mengenai kedudukan agama Islam.

Saya boleh katakan ramai di kalangan kita mengetahui mengenai sejarah Singapura melalui subjek Sejarah yang diajar di peringkat sekolah dahulu. Walaupun kita rakyat Malaysia, tetapi kita mesti mengetahui bagaimana susur galur sejarah Singapura supaya menjadi pengetahuan dan panduan kepada kita pada masa hadapan. Sebagai contoh kedudukan Singapura dahulu ketika dipanggil Temasik, semasa bergabung dan berpisah dengan Malaysia serta hal-hal lain.

Usaha yang dilakukan oleh Lily Zubaidah ini seharusnya dipuji kerana memaparkan status keadaan Singapura untuk tatapan umum terutamanya bagi bangsa Melayu di rantau Nusantara ini. Aspek yang difokuskan oleh beliau iaitu aspek politik dan pendidikan yang merupakan aspek penting untuk pembangunan sesuatu bangsa mahupun tamadun. Selain itu, ia juga mendedahkan sikap sebenar parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party-PAP).

Salah satu kekuatan buku hasil kajian Lily Zubaidah ini adalah menceritakan kedudukan Singapura pada ketika ini. Sebagai contoh, Singapura sudah mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (NIC- Newly Industrializing Country) pertama di Asia Tenggara, selain diiktiraf negara maju oleh Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD- Organization for Economic Co-Operation and Development). Singapura juga mencatat kadar pemilikan rumah tertinggi iaitu 90% penduduk memiliki rumah sendiri.

Buku ini juga menjelaskan kedudukan Melayu dan Islam serta kaitan antara Melayu dan Islam. Pemerintah berusaha memisahkan kaitan Melayu dan Islam dengan pelbagai cara. Dijelaskan juga bagaimana masyarakat Melayu terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Penulis juga membandingkan mengenai bidang pekerjaan bagi kaum Melayu dan Cina dari tahun 1957 hingga 1980. Turut diketengahkan bagaimana PAP mengurus kekuasaan dan mengekalkan hegemoni ideologi PAP.

Saya agak terkejut, apabila penulis mendedahkan bagaimana kekangan dan cengkaman pihak penguasa terhadap media massa di negara tersebut. Pemerintah mengambil tindakan terhadap akhbar dan media yang melanggar peraturan melalui Akta Percetakan Akhbar. Sebagai contoh, pada 1985, Asian Wall Street Journal telah dikenakan tuduhan menghina dan 1987, edaran FEER dikurangkan daripada 9,000 kepada 500 naskhah disebabkan laporan tentang penahanan ISA pada tahun itu. Selain, edaran The Asian Wall Street Journal juga telah dihadkan daripada 5,000 kepada 400 naskhah pada 1987.

Buku ini juga memberi saya maklumat dan pengetahuan baru, seperti istilah-istilah dalam lanskap politik dan demokrasi Singapura. Istilah seperti Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP-Non-Constituency Member of Parliament), Anggota Parlimen Dicalon (NMP-Nominated Member of Parliament), Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC-Group Representative Constituency). Penulis juga mendedahkan penggunaan ISA oleh pemerintah untuk mempertahan kekuasaan. Ramai dikalangan kita mungkin mengetahui, bagaimana sikap parti PAP di Singapura pada tahun 1950 ‘an hingga 60 ‘an cenderung kepada sosialis demokratik, tetapi, sejak tahun 70 ‘an ia cenderung kepada ideologi konservatif.

Singapura yang telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST-Goods and Services Tax) pada tahun 1994 juga telah memberi kesan secara langsung kepada rakyatnya khususnya bagi bangsa Melayu. Dengan pelaksanaan cukai ini ia menjejaskan ekonomi warga tua dan yang berpendapatan rendah. Antara sebab pelaksanaan GST oleh pemerintah adalah untuk menjadikan ekonomi Singapura berdaya saing serta dengan penurunan cukai korporat dan perkhidmatan boleh menarik pelabur ke republik itu.

Selain itu, penulis juga menerangkan bagaimana doktrin dan gambaran tentang orang Melayu oleh pemerintah, iaitu bangsa yang mudah berpuas hati, malas, tidak ambil peduli, suka bersenang, tidak ada motivasi dan tidak ada disiplin. Parti pemerintah juga telah menggunakan pelbagai strategi untuk mengurangkan sumber kuasa politik masyarakat Melayu. Antara strategi yang digunakan untuk melemahkan kuasa undi masyarakat Melayu seperti program penempatan semula Bandar, kuota kediaman etnik, Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan lain-lain.

Antara topik lain yang disentuh oleh penulis adalah kelemahan pemimpin Melayu dalam PAP dan kerajaan PAP. Dari tahun 1960 hingga 1991 jumlah perwakilan ahli parlimen Melayu di parlimen tidak pernah lebih daripada 10 orang, walaupun jumlah ahli parlimen meningkat daripada 50 orang pada tahun 1960 kepada 81 orang pada tahun 1991. Kesimpulannya, peratus ahli parlimen Melayu di parlimen semakin menurun iaitu daripada 20% pada tahun 1960 kepada 9.8% pada tahun 1991.

Selain politik, penulis juga mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dalam aspek pelajaran. Antara perkara yang disentuh oleh penulis, mengenai Dasar Pelajaran Baru (NEP-New Education Policy), Sistem Pelajaran Baru (NES- New Education System) 1991, Cadangan Laporan Goh NEP 1979, Program Pendidikan Pelajar Bijak (GEP- Gifted Education Programme) dan lain-lain. Dalam bab 10, penulis menyentuh mengenai penubuhan sebuah badan iaitu Yayasan Mendaki atas usaha sendiri Melayu Islam. Mendaki merupakan singkatan bagi Majlis Pendidikan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan pada bulan Mei 1982.

Secara keseluruhannya, penulis buku ini, Lily Zubaidah Rahim memaparkan wajah sebenar parti pemerintah di Singapura iaitu PAP terhadap masyarakat Melayu. Selain menyentuh mengenai strategi-strategi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan meminggirkan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau juga menjelaskan kapasiti dan kekuatan ahli politik Melayu dalam PAP dan kerajaan serta menggerakkan agenda positif untuk masyarakat Melayu.

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "


Sunday, June 21, 2009

KEHILANGAN SHEIKH DR. FATHI YAKAN AMAT DIRASAI...


Assalamualaikum...

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan takziah diatas pemergian Sheikh Dr. Fathi Yakan ke rahmatullah. Beliau telah kembali menghadap Ilahi pada subuh 13 Jun (Sabtu) yang lalu. Sudah tentu kehilangan beliau amat dirasai oleh umat Islam terutama ahli gerakan Islam seluruh dunia. Beliau meninggalkan kita semua dengan hasil-hasil tulisan ilmiah yang cukup banyak antaranya Maza ya'ni intima'i lil Islam, kaifa nad'u ilal Islam dan banyak lagi.

Pada umur 75 tahun beliau telah meninggalkan kita dan mewariskan perjuangan menyebar risalah Islam. Pemergian beliau mengingatkan saya bagaimana langkah-langkah terakhir As-syahid Syed Qutb ke tali gantung, Imam Hasan al-Banna syahid ditembak, kegigihan Zainab al-Ghazali meneruskan sisa hidup dan meninggal dunia pada tahun 2005 setelah menderita akibat seksaan penguasa, kematian Dr. Zulkifli Mohammad kerana kemalangan di Pahang, pemergian almarhum Ust Fadzil Mohd Noor pada tahun 2002 dan ramai lagi.

Moga Allah menempatkan Sheikh Dr. Fathi Yakan ditempat para solihin, syuhada' dan orang-orang yang beriman. Al-fatihah buat Sheikh Dr. Fathi Yakan...

Friday, June 5, 2009

UCAPAN BARACK OBAMA DI CAIRO, MESIR



Ucapan Barack Obama di Mesir semalam dilihat sebagai satu lembaran baru hubungan AS dan dunia Islam. Beliau yang menyentuh mengenai hubungan AS dan negara Islam itu untuk menjernihkan kembali imej AS pasca 11 September. Beliau juga mengimbau kembali semasa berada di Indonesia selalu mendengar azan.

Selain memberikan ucapan, Obama juga mengadakan perjumpaan dengan Hosni Mubarak, presiden Mesir. Selepas ini Obama akan melawat negara Jerman dan Perancis. Sebelum melawat Mesir, Obama telah berjumpa dengan Raja Abdullah di Arab Saudi pada 3hb yang lalu.

Friday, May 22, 2009

REVOLUSI MAHASISWA & POLITIK BARU MALAYSIA



* KERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN SEMASA KONVENSYEN KEBANGSAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) 2009 DI UNIVERSITI TUN HUSSAIN ONN MALAYSIA (UTHM) PADA 15-20hb MEI 2009

ABSTRACT
This paper was carried out to expound around issues on leadership’s revolution and New-Politics of Malaysia according student’s perspective. The studied focus on the leadership and its contribution that has been done by the students of University of Malaya from many aspects such to maintain the beauty of democracy-liberal-relative until Malaysian Neo-Politic in Malaysia nowadays. Through out this paper, we will explore how effective the University Malaya student’s revolusioner in encouraging the new Malaysian political culture. [mahasiswa, politik baru, revolusi, new politic]

Pendahuluan

Dalam siri-siri wacana kemahasiswaan Malaysia, istilah “revolusi” hampir tidak ditemukan. Berbeza oleh “evolusi” yang merujuk kepada proses pembentukan atau perubahan secara beransur-ansur. Revolusi pula menghasilkan perubahan secara cepat dan mendadak. Revolusi yang sebenar berpunca oleh perubahan asas pemikiran dan sistem yang mendasari sesuatu. Revolusi terjadi ekoran perencanaan dan dan tindakan segelintir individu/kepemimpinan ke arah perubahan tersebut.

Begitu juga dengan ‘politik baru’. Terminologi politik baru jua sudah lama dibincangkan secara sedar atau sebaliknya oleh kaum pemikir sebelum ini. ‘Politik Baru’ terhasil ekoran wujudnya permusuhan antara amalan berpolitik generasi baru yang mungkin mahasiswa sendiri dan kepemimpinan atau amalan politik yang sedia ada – sehingga disebut-sebut sebagai ‘politik baru’.

Oleh kerana Malaysia sendiri secara tabi’enya mengalami pelbagai perubahan – dari era kesultanan Melayu-Islam pada kolonialisme; kemudiannya era kemerdekaan sehinggalah era demokrasi liberal retatif sekarang ini; maka sudah tentu paradigma dan budaya kepolitikan masyarakat di dalamnya juga berubah-ubah.

Kepemimpinan mahasiswa Malaysia juga begitu; tidak terlepas dari menempuhi perubahan-perubahan tersebut yang akhirnya dirumuskan sebagai ‘politik baru’ dalam satu-satu periodisasi massa.Dalam kertas kerja ini, Penulis akan mengupas persoalan kepemimpinan mahasiswa sehinggalah budaya ‘politik baru’ sedang wujud belakangan ini.

REVOLUSI KEPEMIMPINAN DAN BENTUK-BENTUK ‘POLITIK BARU’

Sejak era kolonialisme sehingga era demokrasi berparlimen, sama ada suka atau tidak, telah banyak mengubah warna pemikiran dan rentak sikap kepemimpinan mahasiswa Malaysia sendiri. Boleh jadi bukan sahaja mahasiswa tidak wujud, malah mungkin tidak berperanan sejak awal era kemerdekaan negara, sekiranya tidak ada institusi pengajian tinggi tempatan sendiri.
Kalau boleh dikongsi tentang sejarah kepemimpinan mahasiswa di Malaysia sendiri, Universiti Malaya di Singapura (kini dikenali Universiti Kebangsaan Singapura) adalah antara pentas awal yang menyaksikan aksi revolusi kepemimpinan dan banyak mewarnai lanskap politik Malaysia akhirnya.

Era 1950an sehingga pertengahan era 1960an menyaksikan kepemimpinan mahasiswa banyak dipengaruhi oleh idea anti-kolonialisme. Kelab Sosialis Universiti Malaya (KSUM) merupakan antara kelompok pendesak (pressure group) yang lantang berdepan dengan pemerintah.
Bukan tidak ada pertubuhan lain di Universiti. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah ada.

Namun, yang menarik – kelantangan KSUM tersebut tidak disemak imbang oleh pertubuhan-pertubuhan lain secara serius dan konsistan. Akhirnya, KSUM dilihat dominan pada jendela ukur politik pemerintah walaupun sebenarnya KSUM hanya dianggotai oleh sebilangan kecil sahaja mahasiswa.

Dari segi lain, kelompok itu turut dilihat berpegang kuat dengan idea faham sosialisme sebagaimana beberapa parti politik pada waktu itu. Akhirnya, kelompok itu turut dilabelkan anti-establishment atau dalam ungkapan semasa kini – agen/pro pembangkang.
Hakikat itu turut diakui sendiri beberapa ahli sarjana falsafah di Universiti Malaya sendiri. Menurut Prof. Emeritius Dr. Khoo Kay Kim (2005), perkembangan idea sosialis dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu bertitik-tolak pada penentangan kuasa-kuasa kolonial di peringkat Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Malayan Democratic Union (MDU) (1945) , Pan-Malayan Labour Party (1952) dan Malaya Indian Congres (MIC) (1946) dilihat antara beberapa parti politik awal yang menggerakkan idea tersebut.

Selepas era tersebut, revolusi mahasiswa lebih terarus oleh nasionalisme Melayu dan kemudiannya nasionalisme Melayu-Islam.
PBMUM dilihat sebagai pemain utama pergerakan ketika itu kerana majoriti penuntut Universiti lebih cenderung pada pertubuhan itu.

Menurut Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar, fenomena itu berlaku ekoran kebanjiran masuk etnik Melayu-Islam bermula pada tahun 1962; di mana mereka ini telahpun melihat sendiri kemunduran ummat ketika menjadi pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Dari tahun 1965 sehinggalah tahun 1974, demontrasi Papan Tanda sehinggalah beberapa konvensyen kebudayaan nasional, bahasa Melayu dan kemiskinan rakyat merupakan antara respon mahasiswa terhadap sikap-sikap pemerintah.

Aksi-aksi ini jugalah menjadi pemangkin (catalyst) pada wujudnya Akta Bahasa Kebangsaan (1963, pindaan 1967/71); Dasar Kebudayaan Nasional (1967) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kemudiannya di peringkat nasional.

Sesuatu yang menarik, walaupun revolusi mahasiswa terarus oleh idea faham nasionalisme Melayu, namun mereka tetap tidak bersekongkol dengan kaum pemerintah yang secara asasnya menganut kepercayaan yang sama.

Banyak penulis menggambarkan bahawa revolusi gerakan mahasiswa Islam yang berlaku di Universiti Kabul, Afghanistan bermula pada tahun 1972 dan kemudiannya revolusi Islam di Iran
pada 1979 banyak mewarnai pergerakan mahasiswa di Malaysia.

Di kebanyakan kampus utama turut mengalami fenomena yang sama – iaitu lahirnya ‘Islamic Group’. Di Universiti Malaya sendiri, antara Sdr. Siddiq Fadhil melalui PMIUM merupakan antara pemain utama yang sedaya upaya membawa mahasiswa Islam keluar dari idea faham nasionalis-Islamic kepada idea faham Islam yang hakiki.

Tanpa menafikan kewujudkan kepemimpinan mahasiswa nasionalis-Melayu dan sebagainya, menjaukau sedekad juga didapati idea faham Islam berkembang subur dan bernadi dalam gerakan mahasiswa di Malaysia.

Isu hak asasi, politik kepartaian, perundangan, autonomi serta kebejatan nilai mewarnai pergerakan mahasiswa. Pelbagai aksi revolusi boleh dilihat dalam pergerakan mahasiswa secara sedar atau tidak.

Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (kini Se-Malaysia / GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GPMS) merupakan antara pemain penting yang mewarnai gerakan pada waktu itu.
Masing-masing lebih mementingkan soal keluhuran semula nilai keadilan dalam negara. Masing-masing lebih mementingkan peranan generasi mahasiswa dan anak muda secara amnya untuk merobah nilai pemerintahan yang dilihat tidak selari dengan naluri mereka.

Akhirnya, didapati seolah-olah wujudnya asimilasi idea faham antara pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang plural itu. Soal keagamaan, status quo Melayu nasional, etniksiti bukan lagi menjadi halangan utama untuk masing-masing perperanan secara kolektif dan sepadu.

KAREKTORISTIK MAHASISWA DAN WAJAH POLITIK BARU MALAYSIA

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kepemimpinan mahasiswa serta aksi revolusi masing-masing sekarang ini banyak dipengaruhi oleh suatu kepercayaan baru; yang kalau boleh disebut-sebut sebagai demokrasi liberal relatif.

Kepercayaan baru ini boleh dilihat sendiri secara langsung dalam kepemimpinan mahasiswa dan boleh juga dilihat secara simplistik dalam wajah pemikiran rakyat muda Malaysia. Apa sebenarnya kepercayaan demokrasi liberal relatif yang dituntaskan sebagai wajah politik baru Malaysia?

Berdasarkan pada observarsi rawak Penulis, antara karektoristik pemimpin-pemimpin mahasiswa nasional dan dogma rakyat muda yang sedang wujud secara revolusi dan tabi’e belakangan ini adalah:-

1. menganut idea faham politic of hope hatta dengan tersendirinya memusuhi politic of fear ciptaan pemerintah. Contoh, penyalahgunaan AUKU, ISA dll; ugutan, fitnah dan penindasan.

2. Kepemimpinan yang mempunyai kebolehan mengakses dan mengupaya dunia maklumat secara bebas, cepat dan sahih. Contoh, budaya blog, website, portal, flyers, akhbar dll.

3. Kepemimpinan yang mengamalkan politik budiman, jauhari, integriti; hatta menolak politik lama amalan pemerintah – perkauman sempit, Governence always know-all, politik wang (rasuah) dll.

4. Kepemimpinan yang tidak mahu diikat dengan mana-mana fraksi kekuasaan, parti-parti politik (sama ada pemerintah atau oposisis), namun mahu menyertai politik nasional dalam rupa perayaan demokrasi dan hak asasi semata-mata.

5. Kepemimpinan yang menganggap menjadi mahasiswa di Universiti sebagai profesyen profesional, popular dan eksklusif; hatta menganggap pihak-pihak yang mengamalkan ‘politik kekuasaan’ (politic of power) sebagai musuh atau pesaing mereka.

Bertitik-tolak pada beberapa karektoristik di atas inilah, maka kaum pemerintah harus mencermati akar-akar revolusi yang sedang digemblingkan dalam kepemimpinan dan fikrah mahsiswa; bukan asyik dalam konseptual ‘lama’ – mahasiswa adalah agen pembangkang.

Aksi-aksi mahasiswa adalah natijah semata-mata. Kelahiran Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang mengambil keputusan nekad umpamanya – mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi di Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum ke-12 lepas – malah mengkritik sikap-sikap ‘politik lama’ yang wujud dan segar dalam parti-parti oposisi (PAS, PKR dan DAP sendiri); seharusnya menuntut kaum pemerintah mengenal pasti apakah akar-akar permasalah serta revolusi mental yang harus dipacu bersama.

Kesimpulannya

Penulis secara peribadi yakin, kepercayaan demokrasi liberal relatif adalah sesuatu yang perlu dan benar menurut al-Quran sendiri. Sesungguhnya kepercayaan ini telah lama disinggungkan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Tanpa menafikan peranan dan kebaikan yang dilakukan oleh pemerintah dan pemimpin-pemimpin parti politik, Penulis menyeru semua pihak untuk menggalakkan al-Isti’mar atau kemakmuran (11:61), al-Istiklaf atau urus tadbir baik (24:55).

Renungkanlah kata-kata Bapak Mohamad Natsir, seorang tokoh cendikiawan Islam Nusantara yang hidup sezaman dengan Sukarno dan Hamka;

“ Bisa ada percetakan yang mampu mencetak mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah dan tutorial, tetapi tumbuh dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan-rakan seangkatan, lalu diangkat dan dijulang oleh ummat”

Wallahu ‘alam.

Sunday, March 29, 2009

MPMUM BANTAH GEJALA HOMOSEKSUAL

Belakangan ini anak muda kita dihinggapi satu fenomena yang bertentangan dengan agama dan moral masyarakat iaitu merebaknya budaya dan amalan homoseksual. Penyebaran budaya lesbian dan gay ini sudah mencapai tahap kritikal apabila golongan ini dengan beraninya menayangkan filem seperti Comolot yang nyata-nyata memperlihatkan tabiat songsang ini di dalam laman-laman web.

Filem pendek yang diterbitkan oleh pelajar-pelajar Akademi Seni Warisan Dan Kebudayaan Kebangsaan (ASWARA) sehingga kini telah disebar-luaskan di laman-laman internet termasuk laman YouTube yang sangat mudah untuk di layari oleh siapa sahaja.

Kami di peringkat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) membantah keras penayangan filem Comolot dan seumpamanya. Penayangan filem seumpama ini jika tidak di beri perhatian serius akan mendatangkan fahaman, bahawa mereka diberi kebebasan melakukan perkara tersebut.

Kita melihat penyebaran filem ini adalah satu perbuatan yang bukan hanya akan memberi ruang tersebarnya budaya songsang ini bahkan akan memberi persepsi yang buruk terhadap negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Di dalam agama Islam sendiri jelas mengharamkan gay dan lesbian. Termasuk Ijma’ para ulama juga yang tidak pernah berselisih tentang hal ini. Tidak ada kelonggaran dalam Islam berkaitan hal ini yang menghalalkannya walaupun berdasarkan akal rasional. Amalan songsang ini juga bertentangan dengan prinsip moral agama dan masyarakat.

Jesteru kami dipihak MPMUM berharap agar pihak yang berwajib melihat hal ini dengan lebih serius. Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Ulama Malaysia dan mufti-mufti perlu bertindak dengan lebih agresif dalam membendung gejala ini.

Pada masa yang sama kerajaan juga perlu peka dan mengambil tindakan yang lebih serius dan segera dalam usaha membendung permasalahan ini malah jika perlu, penguatkuasaan undang-undang berkaitan tatatertib moral perlu dilakukan .

Kita bimbang gejala yang juga ditentang oleh mana-mana dogma agama dan masyarakat ini hanya akan merosakkan anak bangsa dan memberi impak negatif kepada negara di masa hadapan.

Umumnya kita mengetahui negara-negara barat mengiktiraf golongan ini atas prinsip hak asasi manusia dan kebebasan individu. Namun kebebasan tersebut jangan sehingga melampaui batas nilai–nilai etika moral. Sejarah silam membuktikan runtuhnya sesuatu tamadun itu berpunca dari runtuhnya etika moral. Maka kerana itu gejala ini perlu dibendung segera secara serius kerana mengambil pengajaran dari sejarah lalu, runtuhnya moral masyarakat menyebabkan runtuhnya tamadun sesebuah negara.

Sebagai mahasiswa dan generasi baru pada hari ni kita mahu lahirkan generasi yang tinggi pekerti moralnya. Kita berharap, anak muda Malaysia ini akan kekal dilihat sebagai bangsa yang mengamalkan etika budaya sebenar dan terus disanjung di mata dunia.

Tuesday, March 17, 2009

PERUTUSAN MAULIDURRASUL


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Jumu'ah ayat 2 :

"Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan redha-Nya kita masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat yang paling besar dalam hidup kita iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Rasulullah S.A.W seluruh kaum keluarga baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam walau di mana jua kita berada. Semoga hari-hari yang kita lalui ini akan sentiasa mendapat perhatian dan bimbingan iman dari Allah S.W.T.

Syukur juga saya panjatkan kepada Rabbul Izzati kerana atas rahmat-Nya yang maha besar saya masih diberi kesempatan untuk menerbitkan perutusan khas saya untuk Maulidurrasul 1430 hijrah.

Pertama-tamanya ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian menjejaki kembali sirah Rasul junjungan kita Muhammad S.A.W. Menurut pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 23 April 571M.
Pada bulan ini juga Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, dan ketika itu baginda berusia 40 tahun. Bermula detik dan saat itu bermulalah dakwah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad tersebar ke seluruh dunia sehingga kini .


Muslimin Muslimat yang saya kasihi sekalian

Berbicara mengenai sambutan maulidur rasul, umum mengetahui bahawa terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai hukum meraikannya. Berkata Imam Jalaluddin Sayuti : “ Ibadah macam itu adalah bid’ah Hasanah ( bid’ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadah itu terdapat suasana membesarkan nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya nabi Muhammad S.A.W yang mulia”

Berkata Syeikh Atiah Saqr : “Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliaannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid’ah.

Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilangsungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.”

Ulama lain menentang sambutan maulidurrasul ini atas hujah apa yang telah disuruh Rasulullah S.A.W hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadah yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah :

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata : Nabi S.A.W telah ditanya tentang puasa pada hari isnin lalu beginda bersabda : “ dihari tersebutlah aku dilahirkan dan dihari tersebut jugalah aku diutuskan.” “..dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat”. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

Sahabat-sahabat sekalian

Fenomena mutakhir ini, kita melihat terlalu banyak perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah iman dan Islam menjangkiti anak muda muslim. Gejala sosial seperti mendedahkan aurat, pergaulan tanpa batasan, hubungan cinta sonsang dan macam-macam lagi terus-terusan menjangkiti anak remaja. Natijah kepada jangkitan budaya-budaya negatif itu, apa yang terjadi anak muda semakin lupa kepada agama. Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan dan membimbangkan.

Jesteru saya melihat sambutan maulidur rasul sebenarnya boleh kita jadikan medium untuk memberi kesedaran kepada anak muda tentang agama. Sebaiknya sambutan maulidurrasul perlu diisi dengan program-program berunsurkan ibadah seperti forum agama, solat sunat, ceramah agama, qiamullail perdana, dan ibadah-ibadah lain sama ada dilakukan secara persendirian atau melibatkan jemaah yang ramai.

MPMUM dengan kerjasama PMIUM dan Balai Islam kolej-kolej kediaman akan mengadakan sambutan maulidurrasul pada 9 haribulan ini. Bertemakan “menjejak sunnah mengapai cinta rasul”, saya mengharapkan program ini bukan sahaja akan dapat dijalankan dengan jayanya tetapi juga akan memberi kesedaran kepada kita semua bahawa perlunya kita kembali semula menjadikan rasulullah S.A.W sebagai panduan dan ikon ikutan kita.

Untuk akhirnya saya bagi pihak seluruh barisan kepimpinan MPMUM sesi 08/09 mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1430H. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kita.

Mohd Ridzuan Bin Mohammad
Yang Dipertua (YDP)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya
sesi 2008/09


Monday, February 2, 2009

SANG WIRA ERDOGAN!



Disaat tentera Israel suda mula mengurangkan serangan terhadap Gaza, Ketika pemimpin-pemimpin negara Islam terutama Liga Arab dan kerajaan Mesir berdiam diri dan memejamkan mata apa yang berlaku kepada Umat Islam di Gaza. Muncul seorang pemimpin yang mempertahankan maruah umat Islam di bumi Palestin.

Recep Tayyip Erdogan bertindak berani mempertahankan umat Islam di Palestin dan juga HAMAS, dengan menyerang kembali kenyataan oleh Presiden Israel, Simon Peres dalam Forum Ekonomi Dunia- World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland. Peres mengatakan HAMAS yang menjadi punca berlaku konflik di Gaza.

Erdogan berang apabila pengerusi menyekat beliau berucap, apabila beliau hanya bercakap selama 10 minit sedangkan Peres diberi ruang untuk berucap selama 25 minit. Kemudian beliau mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut dan menegaskan tidak akan datang lagi ke Davos.

Turut serta dalam forum tersebut, selain Erdogan dan Peres, Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Mousa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bang Ki-Moon. Beberapa jam selepas selesai forum tersebut, Saluran Kedua TV Turki telah menyiarkan permohonan minta maaf Peres kepada Erdogan.

Tahniah kepada Erdogan! Diharapkan dengan tindakan ini akan membuka mata pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain. Ianya lebih menarik sekiranya Erdogan bergabung dengan Mahmoud Ahminejad, presiden Iran dan juga Hugo Chavez, presiden Venezuela yang sebelum terkenal sebagai anti Israel.

Tuesday, January 27, 2009

PRK UM '09: KEPALA BABI DALAM SURAU APIUM




Pilihan Raya Kampus (PRK) UM kali ini penuh dengan isu-isu hangat dan kontroversi. Selepas isu rasuah yang melibatkan Shah Rizul Ayuni Zulkiply, calon Pro-Mahasiswa, isu kepala babi dalam surau Akademi Pengajian Islam UM pula muncul. Seolah-olah ada pihak tertentu yang cuba menghangatkan lagi suasana PRK dengan memainkan sentimen tempat ibadah umat Islam. Kita berharap pihak polis melakukan siasatan yang serius dan terperinci, agar kes ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Monday, December 29, 2008

PERJUMPAAN PMIUM, PKPIM & NUSMS

Pimpinan-pimpinan PMIUM, PKPIM dan NUSMS bergambar
Semasa sesi perbincangan
Bertukar cenderamata
Sdr. Hasanul sedang melontarkan pandangan

Perjumpaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan National University of Singapore's Muslim Society (NUSMS) telah diadakan pada pukul 9 malam ini (28 Disember 2008) di Universiti Malaya. Dahulu NUSMS hanya menghantar Bendahari Agungnya, Sdri Nani Iryani untuk berjumpa dengan pimpinan PMIUM.

Perjumpaan membincangkan beberapa perkara penting yang melibatkan gerak kerja Islam itu telah berjalan dengan lancar. PMIUM diketuai oleh Yang Di Pertua (YDP) PMIUM, Sdr. Mohamad Haafizuddin Abirerah, NUSMS diketuai oleh Sdr. Muhammad Hasanul Ariffin Zawawi dan PKPIM oleh Sdr. Faisal Abd Aziz. Terlibat sama dalam perjumpaan ini Timbalan Presiden I Fellowship of Muslim Students Association (FMSA), Sdr. Md. Hairudin Abd Hamid. NUSMS hadir ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini. Dengan adanya perjumpaan ini diharapkan hubungan PMIUM, PKPIM dan NUSMS semakin kukuh dalam persaudaraan Islam.

Monday, December 8, 2008

TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA

Pandangan dari udara
Kesan tragedi yang sungguh dahsyat
Muhasabah buat kita semua

Ketika umat Islam menanti ketibaan Hari Raya Aidiladha, kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang jam 4 pagi semalam (7 Disember 2008). Tahun ini sahaja saya sempat melihat 2 kawasan kejadian tanah runtuh yang serius tetapi tidak melibatkan nyawa iaitu di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 20 Oktober lalu dan terbaru (4 Disember) di kawasan bangunan CIMB jalan Semantan, Pusat Bandar Damansara.

Dalam kejadian di Bukit Antarabangsa ini, 4 orang sudah disahkan meninggal dunia dan seorang masih lagi hilang. 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama tertimbus. Kejadian itu juga menyebabkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa. Bagi memastikan keselamatan penduduk, 3000 hingga 5000 penduduk kawasan terbabit diarah berpindah.

Negara kita pernah digemparkan dengan tragedi tanah runtuh di apartmen Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 48 nyawa. Dalam minggu ini tiga kejadian tanah runtuh yang berlaku, bangunan CIMB jalan Semantan, Pusat Bandar Damansara yang menyebabkan 11 kereta tertimbus. Kedua, 30 November lalu dua beradik maut selepas tertimbus dalam runtuhan banglo setingkat di Ulu Yam Perdana, Kuala Kubu Baru.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku ini, kerajaan mestilah menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit supaya tragedi malang ini tidak berulang. Belajar daripada pengalaman dan hentikan semua projek yang telah diluluskan. Setiap projek yang ingin dibangunkan aspek-aspek penting seperti keselamatan, risiko dan alam sekitar mestilah diutamakan. Jangan kerana inginkan pembangunan nyawa rakyat menjadi taruhan.

Kejadian ini juga memberi peringatan kepada kita betapa hebatnya kuasa Allah SWT. Takziah kepada keluarga 4 orang mangsa yang meninggal dunia, sama-samalah kita mendoakan untuk keselamatan dan penduduk-penduduk kawasan tersebut bersabar dengan ujian ini.

Satu persoalan bermain di minda saya, bencana-bencana besar yang menimpa negara kita seperti tragedi Highland Towers pada tahun 1993, Ribut Greek di Sabah suatu ketika dahulu dan Tsunami yang berlaku di Kuala Muda, Kedah dan sebahagian Pulau Pinang berlaku pada bulan Disember? Kejadian ini juga di bulan Disember...

Friday, November 21, 2008

MILF: PEJUANG ATAU PEMBERONTAK?

Pejuang MILF sedang berdoa selepas solat

Pejuang-pejuang MILF dari kalangan wanitaKonvoi tentera Filipina menuju ke Selatan FilipinaGolongan warga tua dari kalangan penduduk muslim
Tentera Filipina melihat dua penduduk muslim yang dibunuh oleh mereka

Untuk ruangan kali ini, saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan mengenai satu kumpulan yang berjuang di Selatan Filipina. Kumpulan yang dimaksudkan adalah Barisan Pembebasan Islam Moro atau Moro Islamic Liberation Front (MILF). MILF berjuang untuk mendapatkan keamanan dan kemerdekaan di Selatan Filipina iaitu kepulauan Mindanao, Sulu, Basilan, Palawan dan kepulauan terdekat yang mempunyai 4.5 juta penduduk muslim.

Saban hari, penduduk-penduduk muslim dizalimi dan dianiaya, yang lelaki dan kanak-kanak dibunuh dan yang perempuan diperkosa. Liputan atau laporan mengenai isu ini tidak disiarkan oleh media-media dunia. Bahkan, media-media dunia terutama media barat melabelkan kumpulan ini sebagai pengganas atau pemberontak. Situasi di Selatan Filipina hampir sama dengan Selatan Thai dan Aceh sebelum berlaku Tsunami.

Pejuang MILF bukan setakat bertempur dengan tentera-tentera Filipina yang lengkap dengan senjata canggih, bahkan tentera-tentera kristian juga terlibat sama. Perjuangan tentera-tentera Islam ini sudah berabad lamanya, sebelum berperang dengan tentera Filipina, mereka pernah berperang dengan tentera Portugal dan juga Amerika suatu masa dahulu. Walaupun mereka diserang dari setiap sudut dan bertahun-tahun lamanya, tetapi semangat perjuangan dan jihad mereka tidak pernah padam.

Label Pemberontak yang diberikan kepada MILF, sama seperti label yang diberikan oleh British kepada tokoh-tokoh ulama' di Malaysia yang menentang penjajah suatu ketika dahulu seperti Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Abd Rahman Limbong dan lain-lain. Seorang pejuang MILF yang bernama Abu Jabir pernah menyebut, mereka (pejuang MILF) tidak pernah mengimpikan mati diatas katil, semuanya ingin syahid di medan perang. Dari generasi ke generasi, mereka tidak pernah berdiam diri dengan tindakan keatas mereka. Moga-moga perjuangan mereka ini akan mencapai kemenangan suatu hari nanti.

Wednesday, November 19, 2008

GAMBAR TIGA MUJAHID SELEPAS DIHUKUM

Moga-moga roh mereka terus dicucuri rahmat oleh Allah SWT...

ANTARA OBAMA, AHMADINEJAD, CHAVEZ & LIVNI

Dari kiri: Obama, Ahmadinejad, Chavez dan Livni

20 Januari 2009 tarikh yang dinanti-nanti oleh seluruh dunia, tarikh rasmi Barack Obama akan memasuki White House untuk mengganti George W. Bush. Setelah mencapai kemenangan pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 4 Oktober yang lalu, warga dunia dan Amerika Syarikat masih lagi menanti apa perubahan yang ingin dibawa oleh Obama. Ramai yang mengharapkan Obama mampu membawa perubahan kepada Amerika Syarikat dan juga dunia.

Kita harus mengetahui hubungan politik Amerika Syarikat dengan Iran dan juga Venezuela sangat teruk semasa Bush menjadi presiden. Iran melalui presidennya, Mahmoud Ahmadinejad sangat tidak bersetuju dengan Amerika Syarikat terutama dalam isu loji nuklear Iran.

Selain Ahmadinejad, Bush juga meninggalkan kepada Obama musuh dari Benua Amerika Latin iaitu Venezuela. Hugo Chavez, presiden Venezuela menentang keras dasar luar Amerika Syarikat. Beliau meletakkan dasar luar negara Venezuela, menentang kekuasaan ekonomi sedunia oleh Amerika Syarikat iaitu neoliberalisme serta kerjasama ekonomi dengan negara-negara miskin, terutamanya di Latin Amerika.

Kedua-dua tokoh ini iaitu Ahmadinejad dan Chavez mempunyai hubungan diplomatik yang sangat rapat dan berkerjasama melawan kekuasaan Amerika Syarikat. Mereka antara pemimpin dunia yang sangat berani mengkritik dasar-dasar Bush.Tetapi itu semua dizaman Bush sebagai presiden Amerika Syarikat, bagaimana pula dengan pendekatan Obama selepas ini?adakah dengan cara diplomasi dan perbincangan atau meneruskan dasar Bush menentang tindakan Iran dan Venezuela?

Berdepan dengan Iran dan Venezuela, Bush mengambil pendekatan konfrontasi, tetapi dengan Israel Bush cukup lunak dan sangat baik. Bush seolah-olah memejamkan mata apa yang berlaku di Palestin, bahkan menyokong lagi tindakan kejam Israel keatas umat Islam di Palestin. Inilah corak pemerintahan dan pendekatan Bush!

Dunia akan menilai bagaimana Obama berdepan dengan Iran, Venezuela dan juga Israel. Mampukah Obama yang hebat berpidato untuk berdebat dengan Ahmadinejad? Ataupun berbincang dengan Chavez dalam isu perjanjian ekonomi dan menukar dasar luar Amerika yang telah digagaskan oleh Bush? Ataupun Obama mengkritik tindakan Israel keatas Palestin?

Israel yang bakal mendapat Perdana Menteri yang baru menggantikan Ehud Olmert iaitu Tzipi Livni. Livni akan menjadi wanita kedua menjadi Perdana Menteri Israel selepas Golda Meir pada tahun 1969. Livni baru sahaja memenangi pemilihan pemimpin baru Parti Kadima gagal membentuk kerajaan campuran yang baru bagi Israel setelah Parti Shas menarik diri dalam kerajaan campuran ini.

Bagi saya Obama tidak mustahil mampu melakukan perubahan yang drastik tetapi ianya berisiko tinggi. Yahudi Amerika tidak akan membiarkan dan membenarkan Obama membuat perubahan sesuka hati. Buktinya, Obama terpaksa melantik ketua staf Rumah Putih (White House) dari bangsa yahudi, iaitu Rahm Emanuel.

Selain warga dunia, Taliban di Afghanistan juga sangat berharap Obama melakukan perubahan supaya imej Amerika Syarikat dapat dibersihkan. Dalam pada itu, Obama semasa di temuramah oleh Sistem Penyiaran Columbia (CBS) telah berjanji untuk menamatkan dasar luar Amerika, mengundurkan tentera di Iraq dan juga menutup Kem Tahanan Guantanamo di Cuba.

Kita sama-sama tunggu dan lihat bagaimana Obama beraksi sebagai presiden Amerika Syarikat nanti...

Friday, November 14, 2008

JERSI BARU PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA?

Pemain Malaysia (Aidil Zafuan) menggayakan jersi baru Malaysia?
Cuba lihat hadapan jersi Malaysia
Jersi Inter Milan, Kelab Serie A Itali

Inikah jersi baru pasukan bola sepak Malaysia? lihat hadapan jersi terpampang lambang apa? Saya terkejut pertama kali melihat gambar ini(atas). Sebelum ini memanglah pasukan negara kita dikritik kerana aksi setiap perlawanan antarabangsa yang mengecewakan. Tetapi sejak akhir-akhir ini pasukan negara telah menunjukkan aksi yang membanggakan dengan menjadi naib juara Pesta Bola Merdeka dan meningkat ranking FIFA kepada 151 dari 162. Terbaru menumpas pasukan Vietnam 3-0 dalam kejohanan Piala Cabaran Grand Royal, Myanmar.

Jersi yang ditaja oleh Nike seumpama ini memang sudah dipakai oleh pasukan kelab Serie A Itali, Inter Milan. Saya tidak pernah terbayang pasukan Malaysia yang terkenal dengan jersi kuning hitam juga akan memakainya. Apapun jersi ini tidak dipakai lagi oleh pasukan Malaysia dalam mana-mana perlawanan. Sekiranya benar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan jersi ini, ianya akan mengundang kemarahan penonton nanti terutama umat Islam.

Thursday, November 13, 2008

LATIHAN KEPIMPINAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA (LAKIUM 08)


Tempat : Sukida Resort, Semenyih
Tarikh : 18-20 November 2008


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan kerjasama Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya 2008 (LAKIUM 08). Antara objektif program ini untuk membimbing mahasiswa agar menyedari potensi diri dengan lebih mendalam seterusnya bersedia untuk menggunakannya secara maksimum. Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya, outdoor games, pengisian rohani, Team building, Kuliah dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 019-3747584 & 012-5841704 atau datang terus ke Sekretariat PMIUM: No 15, Aras 2, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya.

Tuesday, November 11, 2008

KETIKA CINTA BERTASBIH


Pada 15 November ini, satu program menarik akan diadakan Auditorium Institut Pasca Siswazah (IPS) bermula jam 1 petang hingga 5 petang. Program tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Pelajar Indonesia UM (PPIUM), Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM (PMAPIUM).

Tokoh yang akan diundang adalah penulis novel 'Ayat-ayat Cinta' dan 'Ketika Cinta Bertasbih', Habiburahman El-Shirazy dan seorang penulis muda yang juga bekas pelajar Akademi Pengajian Islam UM, Ummu Hani.

Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi wacana ilmu tersebut...

Monday, November 10, 2008

TAHNIAH DAN AL FATIHAH KEPADA TIGA MUJAHID

Mukhlas, Imam Samudera dan Amrozi
Perjalanan terakhir sebelum syahid, Imam Samudera bersama kelurganyaPenduduk kampung dan umat Islam menyambut 'kepulangan' wira merekawajah as-syahid Imam Samudera selepas hukuman tembak

Tahniah kepada tiga mujahid yang berjaya bergelar syahid! teringat saya satu rakaman video mengenai perjuangan para mujahidin di Afghanistan. Ungkapan pertama para mujahidin kepada keluarga si mati, Tahniah, anak anda telah syahid!

As-syahid Sayyid Qutb juga menggambarkan perjalanan terakhir beliau ke tali gantung sebagai perjalanan yang sangat mulia kerana akan bertemu kekasihnya, Allah. Seorang pejuang pembebasan Islam Moro bernama 'Abu Jabir' pernah berpesan, mengingatkan ayat al-Quran tentang orang yang syahid, sakitnya seperti cubitan.



Jam 12 malam waktu Indonesia (9 Oktober), hukuman tembak sampai mati keatas Huda bin Abdul Haq (Ali Ghufran @ Mukhlas), Abdul Aziz (Imam Samudera) dan Ali Amrozi Nurhasyim (Amrozi) telah dilaksanakan. Hukuman tersebut dijatuhkan atas tuduhan terlibat pengeboman di Bali pada tahun 2002 yang meragut 202 nyawa.

Jenazah mereka bertiga selamat sampai ke kampung halaman mereka di Lamongan, Jawa Timur. Sorakan dan laugan takbir bergema sepanjang keranda jenazah mereka diusung. Al fatihah dan tahniah kepada As-syahid Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas. Semoga Allah mengampunkan dosa mereka dan ditempatkan di tempat para syuhada' dan orang beriman. Amin.

INI SUDAH MELAMPAU!

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 Oktober 2008 lalu telah membuat keputusan mengharamkan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai 'pengkid'.

Namun, begitu tidak sampai sebulan fatwa ini dikeluarkan sudah ada pihak tertentu tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Di bawah ini adalah video rakaman oleh Malaysiakini pada 7 November 2008 mengenai demontrasi menentang fatwa tersebut.


Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Prof Datuk Dr. Abdul Shukor Husin menyatakan fatwa tersebut dikeluarkan selepas mengkaji gejala 'pengkid' dan 'tomboy' semakin menular. Gejala ini amat membimbangkan umat Islam bukan hanya perwatakan seperti lelaki bahkan 'golongan' ini tidak lagi berminat dengan lelaki tetapi berminat dengan kaum sejenis.

Persoalannya disini, fatwa tersebut hanya untuk umat Islam, bukan melibatkan agama lain. Kenapa dalam demontrasi tersebut sebahagian golongan bukan Islam mempertikaikannya. Umat Islam tidak pernah mempertikaikan ajaran agama lain, kenapa mereka sibuk menggangu ajaran agama kita yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan.

Menurut Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang diPertuan Agong mewakilinya.

Masyarakat Islam di negara ini seharusnya sedar tindakan ini sudah melampau, bukan setakat mempertikaikan fatwa bahkan secara tidak langsung mempersoal tentang kedudukan agama Islam di negara ini. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Islam.

Sunday, November 9, 2008

ANTARA TOKOH YANG KU KAGUMI

Dari kiri; Ali Larijani, Mahmoud Ahmadinejad dan Gulbuddin Hekmatyar

Sekarang ini, ramai yang menyebut mengenai Barack Obama, tokoh baru di Amerika Syarikat. Obama yang mencatat sejarah sebagai presiden Amerika Syarikat yang pertama dari keturunan kulit hitam. Namun begitu, perkongsian kali ini, saya ingin menyebut tiga orang tokoh yang saya kagumi.

Tiga orang tokoh tersebut adalah, Mahmoud Ahmadinejad, Ali Larijani dan Gulbuddin Hekmatyar. Mungkin rakan-rakan tertanya-tanya sebab apa saya memilih mereka antara tokoh yang saya kagumi. Pertama, berkenaan dengan Ahmadinejad, presiden Republik Islam Iran sekarang. Beliau dilantik sebagai presiden Iran pada 3 Ogos 2005 banyak menimbulkan kontoversi dan menjadi perhatian dunia.

Beliau yang juga merupakan salah seorang murid kepada Ayatullah Ruhullah Khomeini atau Imam Khomeini, antara individu yang memainkan peranan penting semasa menjatuhkan regim Shah Pahlevi (Shah Iran) suatu ketika dahulu. Setelah dilantik sebagai presiden Iran, beliau menimbulkan beberapa perkara yang mengejutkan dunia. Antaranya beliau mempertikai tindakan Amerika Syarikat, mempertikai peristiwa Holocaust Yahudi di Eropah dan juga isu nuklear.

Selain itu, saya juga tertarik dengan karier politik beliau sebelum memenangi pilihan raya presiden Iran pada tahun 2005. Beliau yang hidup sederhana sentiasa rapat dengan rakyat dan memahami masalah rakyat. Keberanian yang ada beliau sewajarnya dicontohi oleh pemimpin negara umat Islam lain.

Tokoh kedua, iaitu Ali Larijani juga dari Iran tetapi berasal dari Najaf, Iraq. Beliau merupakan antara tokoh yang menjadi tulang belakang kepada projek loji nuklear di Iran. Banyak rundingan yang melibatkan negara-negara luar, Ahmadinejad akan membawa beliau bersama. Beliau yang fasih dalam tujuh bahasa merupakan bekas setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Iran.

Beliau adalah menantu kepada Ayatollah Morteza Motahhari, antara tokoh Revolusi Islam Iran 1979. Selain itu, beliau juga merupakan antara calon pilihan raya presiden Iran 2005 dan berkelulusan PhD dan ijazah sarjana dari Universiti Tehran, Iran dalam bidang falsafah barat. Kemampuan beliau yang menjadi perunding bagi mewakili Iran dalam isu nuklear sewajarnya dihormati kerana melibatkan risiko yang tinggi.

Tokoh terakhir yang ingin saya kongsi pada kali ini, iaitu Gulbuddin Hekmatyar yang berasal dari Afghanistan. Semasa pencerobohan Sivet Union keatas Afghanistan suatu ketika dahulu, beliau yang ketika itu menuntut di Universiti Kabul memimpin anak muda menentang pencerobohan tersebut.

Keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau sangat mengkagumkan. Kesannya, Soviet Union gagal untuk bertapak lama di bumi Afghanistan. Beliau yang dilahirkan pada 1947 menjadi Perdana Menteri Afghanistan pada 1993 hingga 1994 dan pada 1996. Presiden Afghanistan pada ketika itu adalah Burhanuddin Rabbani yang juga merupakan sahabat beliau serta bersama semasa mengusir keluar Soviet Union dari Afghanistan.

Sunday, November 2, 2008

KULIAH ILMU PMIUM SIRI 5

Pimpinan PMIUM bergambar bersama ahli panel
Ahli panel dan moderator tengah control macho.hehe
pimpinan PMIUM yang hadir malam itu. dari kiri: Norazali, Muhaimin, Saya dan Hasbie
Mahasiswi yang hadir

Kuliah Ilmu (KI) 2008 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) siri terakhir semester ini telah diadakan pada 21 Oktober 2008 pukul 8.15 malam bertempat di Auditorium Fakulti Pendidikan. Forum yang bertajuk "Islam..itu Islam" itu merupakan siri-siri KI PMIUM semester ini. Panel forum pada malam tersebut adalah Dato' Dr. Hasan Din al-Hafiz, bekas penasihat Yang Di-Pertuan Agong dan Saudara Hisommudin Bakar, bekas pimpinan PMIUM yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Gandingan panel pada malam itu sangat sesuai kerana mewakili golongan berpengalaman dan golongan muda atau sisi mahasiswa. Kehadiran mahasiswa pada malam itu juga tidak mengecewakan dan dihidupkan dengan sesi soal jawab. Banyak sejarah gerakan mahasiswa telah didedahkan oleh Saudara Hisommudin supaya mahasiswa kembali bangkit.

Sebelum ini, siri KI pertama yang bertajuk " Dreams Are Possible" telah disampaikan oleh Saudara Amin Idris. Siri kedua, yang bertajuk "Hidup Untuk Mencintai & Dicintai" oleh Dr. Habib Mat Som. KI siri yang ketiga bertema kemerdekaan bertajuk " The Unsung Heroes" berkonsepkan forum. Panel forum tersebut Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Dr. Wan Abdul Latif Wan Abdul Rahman. Manakala siri keempat telah disampaikan oleh Ust Hasrizal Md Jamil (Saifulislam.com) bertajuk "Antara 2 Cinta".

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan