Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Saturday, March 13, 2010

ULASAN BUKU ‘KEBANGKITAN NEGARA MAYA’

Antara Buku Terbitan ITNM Yang Kumiliki

JUDUL : Kebangkitan Negara Maya (The Rise of The Virtual State)
PENULIS : Richard Rosecrance
PENTERJEMAH: Idayu Johari
PENERBIT : Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) (2008)
HARGA : (Lupa…)
KEDAI BUKU : Pekan Buku Universiti Malaya

Ulasan Buku:

Pertama, langkah pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menterjemahkan buku ‘Kebangkitan Negara Maya-Kekayaan dan Kuasa Pada Abad Mendatang’ ke dalam bahasa Melayu sangat tepat. Antara sebabnya, buku hasil tulisan Richard Rosecrance (gambar), seorang sarjana hubungan antarabangsa terkenal ini mampu membentuk minda yang baru terutama dalam jangkaan masa hadapan yang melibatkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai mana yang kita ketahui, sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam sesebuah pembangunan dan kestabilan negara. Dengan terjemahan buku mampu menampung kekurangan penerbitan buku-buku yang bercorak sebegini yang menyentuh mengenai jangkaan masa hadapan berasaskan tumpuan sektor ekonomi negara.

Penulis bijak menyusun bahagian buku ini dengan membahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama menyentuh mengenai ‘teori’, kedua berkaitan ‘implikasi politik dan antarabangsa’, ketiga menyebut ‘negara pada zaman maya’ dan keempat berkisar mengenai ‘sistem baharu politik dan ekonomi antarabangsa’. Penulis juga menyelit lampiran berkaitan ‘Teori Antarabangsa: Paradigma Baharu?’. Dalam bahagian prakata, penulis telah mengupas secara ringkas dan padat mengenai masalah-masalah yang berlaku di peringkat global seperti peperangan, konflik dan persengketaan, kemiskinan, kegagalan hubungan diplomatik dan sebagainya.

Bahagian Pertama: Teori

Permulaan penulis menghuraikan beberapa peristiwa sejarah yang boleh dikaitkan dengan hubungan kenegaraan. Antara contoh yang dibawa peristiwa pembersihan etnik keatas Kosovo oleh regim Slabodan Milosevic, Perdana Menteri Serbia. Kawalan dan monopoli pasaran minyak juga menyebabkan tercetusnya peperangan antara Iraq dan Kuwait. Selain peristiwa yang melibatkan Pakistan, India, Rwanda dan sebagainya. Penulis juga membuat perbandingan antara Jepun dan Amerika Syarikat dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan dari tahun 1960 hingga 1990. Ia menunjukkan kedua-dua negara mengalami penurunan peratus KDNK dalam sektor pengilangan tetapi mengalami peningkatan dalam sektor perkhidmatan. Dalam bahagian pertama ini sahaja penulis membawa fakta-fakta yang hampir menyentuh kesemua negara-negara di dunia samada melibatkan Negara maju, membangun, sedang membangun mahupun negara mundur. Dalam bab empat penulis menghuraikan konflik etnik dalam negeri, konflik dalam negeri, ancaman keganasan, pengaruh antarabangsa, konflik ekonomi dan politik serta banyak lagi.

Bahagian Kedua: Implikasi Politik dan Antarabangsa

Penekanan idea dan bacaan masa depan isu ini, penulis membahagikan negara maya terbahagi kepada tiga. Pertama, Negara maya sepenuhnya dengan sedikit pengeluaran dalam negeri. Kedua, negara perantaraan yang menumpukan pada perkhidmatan yang bahagian pengeluaran pentingnya dipindahkan ke luar negara. Dan ketiga, negara yang menumpukan perhatian pada pembuatan dalam negeri. Penulis juga membuat analisis antara ekonomi ikut skop dengan ekonomi ikut bidangan. Sebagai rujukan, dari tahun 1930 hingga 1950 output industri dicirikan oleh ekonomi ikut bidangan. Kupasan yang menarik menyentuh mengenai pasaran dan Negara, kesan kepada Negara, masyarakat dan lain-lain. Bab kedua (bab 6) dalam bahagian kedua, penulis mengaitkan tadbir urus dan ekonomi dunia. Mengaitkan penguatkuasaan dalam negeri dan antarabangsa sebagai mekanisme penjagaan keselamatan dan perlindungan. Antara cadangan untuk mewujudkan keselamatan peringkat antarabangsa adalah pertama, imbangan kuasa dan pakatan menyeluruh atau persetujuan bersama kuasa.

Bahagian Ketiga: Negara Pada Zaman Maya

Permulaan bab ketujuh atau bab pertama bahagian ketiga, penulis meramalkan berdasarkan pergerakan dan corak ekonomi semasa telah meletakkan Hong Kong, Singapura dan Taiwan sebagai negara maya. Taiwan ialah negara maya utama dan Switzerland dan Belanda dari Eropah diletakkan pada tahap yang sama. Negara-negara ini merintis kaedah baharu hubungan ekonomi antarabangsa dengan menumpukan pada perkhidmatan tempatan dan pengeluaran di luar negara. Dan negara-negara ini dipengaruhi oleh Jepun tetapi telah memintas Tokyo dalam soal memindahkan perkilangan ke luar negara dalam usaha mengurangkan kos buruh. Penulis juga menyentuh secara langsung berkaitan Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Selain itu, penulis juga mengupas berkaitan negara Jepun secara khusus dalam bab kelapan. Ia menyentuh mengenai corak dan pergerakan ekonomi Jepun selain membincangkan secara lengkap berkaitan rakyat Jepun mendapat faedah hasil daripada pengantarabangsaan. Strategi Jepun berkaitan strategi pemiutang matang dan strategi Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Perbandingan antara Jepun dan AS serta masa depan politik dunia juga turut dikaji. Bab Sembilan, penulis mengupas berkaitan AS mengandungi sebab kemerosotan, strategi, sebagai kuasa ekonomi yang sempurna, kepusatan politik AS, peranan dolar dan sebaginya. Dalam bahagian ini juga penulis turut fokus menilai Eropah, Russia dan China. Dalam skop Eropah banyak dikaji mengenai Kesatuan Eropah (EU), NATO dan lain-lain.

Bahagian Keempat: Sistem Baharu Politik dan Ekonomi Antarabangsa

Bahagian terakhir ini penulis menghuraikan beberapa isu ekonomi dunia. Penekanan secara berterusan oleh penulis mengenai idea negara maya menunjukkan konsisitensi penulis dalam membawa idea ini. Selain itu, menyentuh kembali kebangkitan AS dan krisis Asia, persetujuan politik dan kestabilan ekonomi, perang dan ekonomi dan lain-lain. Turut diselit peranan penting pendidikan, pekerja dan imigrasi, perkhidmatan, tenaga dan alam sekitar serta era negara maya.

Kesimpulan:

Buku tulisan Richard Rosecrance ini sangat berkualiti kerana padat dengan fakta, maklumat-maklumat di peringkat global dan dihuraikan secara tersusun. Paparan isu dan contoh kes yang menyeluruh juga antara kekuatan buku ini. Jarang sekali untuk diperolehi buku sebegini dalam negara kita. Idea dan gagasan negara maya menjadi cerminan dan bacaan masa depan untuk memudahkan strategi dan persediaan sesebuah negara. Wallahu’alam

Friday, June 5, 2009

PERKONGSIAN: PERJUMPAAN BERSAMA PENTADBIRAN UM

Di meja makan bersama Toh Puan, En. Puniamurthy dan Sulaiman kolej 9
Berbincang dengan Toh Puan dan TNC HEPA

Assalamualaikum..
dan Salam sejahtera kepada rakan-rakan dan teman-teman


Pertama sekali, mohon maaf kepada semua rakan-rakan atas kelewatan menyiarkan maklumat mengenai perjumpaan ini.

Berjumpa Pro-Canselor Universiti Malaya (UM)


Pada 5hb Mei yang lalu, bertempat di Rumah Universiti (RU) Universiti Malaya satu perjumpaan khas ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) bersama Pro-Canselor UM, Toh Puan Datuk Hajjah Dr. Aishah Ong.

Turut serta dalam perjumpaan ini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni ( TNC HEPA) UM, Prof. Madya Dato' Dr. Azrae Hj Idris (Pak Rae), penasihat MPMUM, En. Puniamurthy dan pimpinan-pimpinan kolej kediaman. Perjumpaan ini diadakan ketika semua mahasiswa sedang 'bertempur' dengan minggu peperiksaan.

Beberapa perkara telah dibangkitkan untuk makluman dan tindakan di peringkat pentadbiran UM. Antara isu-isu yang dimaklumkan adalah isu kebajikan pelajar asing di UM, akademik dan kebajikan mahasiswa.

Berjumpa Naib Canselor UM

Suasana ketika perbincangan

Perjumpaan bersama ayahanda Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ghouth Jasmon diadakan pada 9hb April di bilik Court, Canseleri bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan MPMUM, kebajikan mahasiswa, hal ehwal kampus dan sebagainya.

TNC HEPA UM, Pak Rae turut serta dalam perjumpaan ini yang bermula pukul 8.30 malam itu. Ayahanda NC turut sama membincangkan isu krisis ekonomi dan kesan terhadap mahasiswa serta pasaran kerja.

Isu keselamatan juga dibangkitkan, ayahanda telah memaklumkan pengurusan telah membincangkan perkara itu dan meluluskan peruntukan untuk isu itu.

Thursday, May 28, 2009

SEKADAR BERKONGSI...

Salam kepada semua sahabat-sahabat/rakan-rakan/teman-teman...

MU kalah 0-1 dengan Barcelona

Kekalahan Manchester United (MU) kepada Barcelona 0-1 awal pagi tadi sungguh mengecewakan saya. Dengan kekalahan itu, sekali gus Piala Juara-juara Eropah di bawa ke Nou Camp kali ini. Meneliti kepada perlawanan, memang patut MU menerima kekalahan tersebut. Pertama aksi pertahanan terlalu longgar, mungkin kerana gandingan Linel Messi, Samuel Eto'o dan Thierry Henry terlalu kemas dan laju..

Kehebatan Cristiano Ronaldo seolah-olah tenggelam dengan aksi lincah dan pantas Messi. Dua gol jaringan Eto'o dan Messi minit ke-10 dan 70 meranapkan impian Alex Ferguson untuk merangkul piala tersebut dua tahun berturut-turut. Tahniah kepada Barcelona!

Baca buku

InsyaAllah dalam ruangan akan datang saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai buku yang saya baca..Sekarang tengah baca buku mengenai Barack Obama, 'Keberanian Menggapai Harapan' terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) atau tajuk asalnya ' The Audacityof Hope'. Buku-buku lain yang sudah selesai, antaranya, 'Seteguh Tekad' tulisan Prof. Dr. Sidek Baba, novel 'Salju Sakinah' karya Zaid Akhtar, 2 buah buku terbaru Ust Hasrizal Md Jamil...Dan yang istimewa buku bertajuk 'Politik Baru' tulisan YB Dato' Saifuddin Abdullah.


Terkaya di Malaysia

Hari ini saya sempat meneliti maklumat terbaru mengenai orang terkaya di Malaysia. Robert Kuok melalui Kumpulan Kuok dengan nilai bersih AS$9 bilion berdasar sumber majalah Forbes Asia Malaysia 2009. Dari sepuluh orang yang terkaya di Malaysia, hanya seorang sahaja berketurunan Melayu menghuni kedudukan tersebut iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary...


Untuk berbicara tentang politik, semua sedia maklum krisis Perak tak selesai-selesai, Pilihan Raya Kecil (PRK) Penanti di Pulau Pinang, Manek Urai di Kelantan. Isu calon bebas dakwa di beri tawaran jawatan, Dato' Seri Anwar Ibrahim saman Dato' Anifah Aman dan lain-lain.

Wassalam...

Sunday, March 29, 2009

MENG'ILMU'KAN POLITIK MALAYSIA

Tindakan pemimpin kini yang dikatakan suka menggunakan politik wang untuk memancing pengundi juga mengunakan taktik kotor lain untuk menjatuhkan antara satu sama lain adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berharap satu perubahan akan berlaku menjelang pemilihan UMNO dan pilihanraya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai 7 April nanti. Berikutan itu MPMUM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta agar menghentikan taktik kotor menjatuhkan lawan.

Kami di peringkat mahasiswa sama sekali tidak bersetuju dengan taktik kotor untuk kepentingan individu. Menggunakan wang misalnya atau gejala fitnah-memfitnah bagi tujuan memancing pengundi atau menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan merugikan individu terbabit dan merugikan rakyat secara tidak langsung hanya akan memberi impak yang negatif kepada negara.

Pemimpin hari ini seharusnya menjadi qudwah kepada kepimpinan akan datang. Pembudayaan politik yang bermaruah akan menjadi kayu ukur kepada tahap kemajuan dan pembangunan negara. Dalam usaha kita melahirkan politik yang bebas dari taktik kotor seperti yang diminta Perdana Menteri, salah satu perkara penting yang patut diutamakan adalah pembudayaan ilmu.

Kita mahu melahirkan pemimpin yang mempunyai tahap profesionalisme serta tahap integriti yang tinggi bukan pemimpin yang kurang berpendirian intelek. Kita mahukan sistem politik yang lebih matang berlandaskan politik ilmu bukan politik yang hanya berjejak pada landasan kuasa dan pengaruh semata-mata.

Ilmu adalah asas kepada tindak tanduk profesional. Kepakaran terhadap sesuatu bidang hanya akan dapat diperolehi dengan ilmu. Oleh itu, ahli politik yang memegang sesuatu agensi dalam kerajaan perlu mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut untuk menghasilkan idealisme dan corak politik yang profesional.

Penghasilan politik ilmu akan memandu hala tuju politik negara ke arah sistem yang lebih bermaruah. Kita percaya bahkan sudah terbukti bahawa negara kita berupaya menghasilkan ilmuan-ilmuan yang namanya setaraf dipersada antarabangsa. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid misalnya, seorang pemimpin yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang ekonomi, malah pencapaiannya mendapat pengiktirafan negara juga dunia.

Adalah lebih baik sekiranya orang seperti beliau dilantik untuk memegang agensi ekonomi dalam tampuk kepimpinan negara. Hanya beliau tidak penah diberi peluang berkhidmat di arena politik sebenar Malaysia.

Justeru kami diperingkat mahasiswa berpendirian, kita seharusnya mampu menghasilkan satu perubahan dalam corak kepimpinan negara kerana kami berpendapat apa yang dikatakan politik ilmu akan mematangkan sistem politik Malaysia yang sedia ada.


Monday, February 2, 2009

SANG WIRA ERDOGAN!



Disaat tentera Israel suda mula mengurangkan serangan terhadap Gaza, Ketika pemimpin-pemimpin negara Islam terutama Liga Arab dan kerajaan Mesir berdiam diri dan memejamkan mata apa yang berlaku kepada Umat Islam di Gaza. Muncul seorang pemimpin yang mempertahankan maruah umat Islam di bumi Palestin.

Recep Tayyip Erdogan bertindak berani mempertahankan umat Islam di Palestin dan juga HAMAS, dengan menyerang kembali kenyataan oleh Presiden Israel, Simon Peres dalam Forum Ekonomi Dunia- World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland. Peres mengatakan HAMAS yang menjadi punca berlaku konflik di Gaza.

Erdogan berang apabila pengerusi menyekat beliau berucap, apabila beliau hanya bercakap selama 10 minit sedangkan Peres diberi ruang untuk berucap selama 25 minit. Kemudian beliau mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut dan menegaskan tidak akan datang lagi ke Davos.

Turut serta dalam forum tersebut, selain Erdogan dan Peres, Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Mousa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Bang Ki-Moon. Beberapa jam selepas selesai forum tersebut, Saluran Kedua TV Turki telah menyiarkan permohonan minta maaf Peres kepada Erdogan.

Tahniah kepada Erdogan! Diharapkan dengan tindakan ini akan membuka mata pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain. Ianya lebih menarik sekiranya Erdogan bergabung dengan Mahmoud Ahminejad, presiden Iran dan juga Hugo Chavez, presiden Venezuela yang sebelum terkenal sebagai anti Israel.

Wednesday, November 19, 2008

ANTARA OBAMA, AHMADINEJAD, CHAVEZ & LIVNI

Dari kiri: Obama, Ahmadinejad, Chavez dan Livni

20 Januari 2009 tarikh yang dinanti-nanti oleh seluruh dunia, tarikh rasmi Barack Obama akan memasuki White House untuk mengganti George W. Bush. Setelah mencapai kemenangan pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 4 Oktober yang lalu, warga dunia dan Amerika Syarikat masih lagi menanti apa perubahan yang ingin dibawa oleh Obama. Ramai yang mengharapkan Obama mampu membawa perubahan kepada Amerika Syarikat dan juga dunia.

Kita harus mengetahui hubungan politik Amerika Syarikat dengan Iran dan juga Venezuela sangat teruk semasa Bush menjadi presiden. Iran melalui presidennya, Mahmoud Ahmadinejad sangat tidak bersetuju dengan Amerika Syarikat terutama dalam isu loji nuklear Iran.

Selain Ahmadinejad, Bush juga meninggalkan kepada Obama musuh dari Benua Amerika Latin iaitu Venezuela. Hugo Chavez, presiden Venezuela menentang keras dasar luar Amerika Syarikat. Beliau meletakkan dasar luar negara Venezuela, menentang kekuasaan ekonomi sedunia oleh Amerika Syarikat iaitu neoliberalisme serta kerjasama ekonomi dengan negara-negara miskin, terutamanya di Latin Amerika.

Kedua-dua tokoh ini iaitu Ahmadinejad dan Chavez mempunyai hubungan diplomatik yang sangat rapat dan berkerjasama melawan kekuasaan Amerika Syarikat. Mereka antara pemimpin dunia yang sangat berani mengkritik dasar-dasar Bush.Tetapi itu semua dizaman Bush sebagai presiden Amerika Syarikat, bagaimana pula dengan pendekatan Obama selepas ini?adakah dengan cara diplomasi dan perbincangan atau meneruskan dasar Bush menentang tindakan Iran dan Venezuela?

Berdepan dengan Iran dan Venezuela, Bush mengambil pendekatan konfrontasi, tetapi dengan Israel Bush cukup lunak dan sangat baik. Bush seolah-olah memejamkan mata apa yang berlaku di Palestin, bahkan menyokong lagi tindakan kejam Israel keatas umat Islam di Palestin. Inilah corak pemerintahan dan pendekatan Bush!

Dunia akan menilai bagaimana Obama berdepan dengan Iran, Venezuela dan juga Israel. Mampukah Obama yang hebat berpidato untuk berdebat dengan Ahmadinejad? Ataupun berbincang dengan Chavez dalam isu perjanjian ekonomi dan menukar dasar luar Amerika yang telah digagaskan oleh Bush? Ataupun Obama mengkritik tindakan Israel keatas Palestin?

Israel yang bakal mendapat Perdana Menteri yang baru menggantikan Ehud Olmert iaitu Tzipi Livni. Livni akan menjadi wanita kedua menjadi Perdana Menteri Israel selepas Golda Meir pada tahun 1969. Livni baru sahaja memenangi pemilihan pemimpin baru Parti Kadima gagal membentuk kerajaan campuran yang baru bagi Israel setelah Parti Shas menarik diri dalam kerajaan campuran ini.

Bagi saya Obama tidak mustahil mampu melakukan perubahan yang drastik tetapi ianya berisiko tinggi. Yahudi Amerika tidak akan membiarkan dan membenarkan Obama membuat perubahan sesuka hati. Buktinya, Obama terpaksa melantik ketua staf Rumah Putih (White House) dari bangsa yahudi, iaitu Rahm Emanuel.

Selain warga dunia, Taliban di Afghanistan juga sangat berharap Obama melakukan perubahan supaya imej Amerika Syarikat dapat dibersihkan. Dalam pada itu, Obama semasa di temuramah oleh Sistem Penyiaran Columbia (CBS) telah berjanji untuk menamatkan dasar luar Amerika, mengundurkan tentera di Iraq dan juga menutup Kem Tahanan Guantanamo di Cuba.

Kita sama-sama tunggu dan lihat bagaimana Obama beraksi sebagai presiden Amerika Syarikat nanti...

Monday, October 27, 2008

PAMERAN KEPIMPINAN DIRI & ORGANISASI

Semasa majlis perasmian, kelihatan Prof. Dr. Sufean Hussin

Pameran Kepimpinan Diri & Organisasi, subjek wajib bagi pelajar pendidikan, menggabungkan pelajar tiga fakulti, Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Pendidikan. Pameran tersebut diadakan pada 20 Oktober lalu di dataran Fakulti Pendidikan.

Suasana di tempat pameran

Dimulakan dengan majlis perasmian oleh Prof. Dr. Sufean Hussin yang juga pensyarah bagi subjek ini. Banyak teori dan isu-isu yang melibatkan kepimpinan telah dibincangkan semasa kuliah, samada dalam mahupun luar negara. Pameran bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

kumpulan saya. dari kiri;Khairi, saya, Ridwan dan Radhi

bergambar beramai-ramai

sempat lagi bergambar bersama Prof.

Terima kasih kepada Prof. kerana mencurahkan ilmu yang sangat berguna kepada kami.

Saturday, October 25, 2008

SEKITAR DI PARLIMEN 1

dari kiri; Faisal, saya dan YB Salahudin
semasa temuramah YB Salahudin Ayub

Pada 13 Oktober 2008, saya telah hadir ke Parlimen atas beberapa urusan. Saya ditemani Faisal dan Shahir. Urusan pertama, untuk berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Sulit kepada Dato' Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, En. Badrul Hisham. Perbincangan tersebut diadakan di kafe Parlimen. Faisal dan Shahir tidak terlibat dalam perbincangan tersebut , kerana mereka tengah 'syok' mendengar ucapan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (MP Permatang Pauh-PKR) dalam dewan.

Banyak perkara telah kami bincangkan, antaranya Pilihan Raya Kampus (PRK), aktiviti mahasiswa, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga pandangan dalam isu politik. En. Hisham cuba menguji saya dengan pertanyaan, adakah politik penting untuk mahasiswa? saya jawab, mahasiswa patut di dedah dengan politik, supaya mereka dapat belajar bagaimana proses demokrasi berjalan dalam negara kita. Kerana apabila sudah tamat belajar nanti, mereka akan memimpin masyarakat. saya juga memberi beberapa contoh mahasiswa di luar negara. Apapun terima kasih kepada En. Badrul kerana sudi berbincang dan belanja saya.

Kemudian, saya terus ke Lobi Parlimen, untuk menemuramah YB Salahudin Ayub (MP Kubang Kerian-PAS) bagi tugasan subjek di Fakulti Pendidikan, 'Kepimpinan Diri dan Organisasi'. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan selesai urusan hari tersebut.

Masa dalam dewan, hangat juga perbahasan ucapan daripada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang. Terutama apabila YB Dr. Mohd Fuad Zarkashi (MP Batu Pahat-BN) berdiri untuk menanyakan soalan. Banyak juga isu yang telah diketengahkan, antaranya isu ranking universiti, bajet tidak relevan dan lawatan MP BN ke Taiwan. Diakhir sesi perbahasan pukulan maut Dato' Seri Anwar kepada YB Dr. Mohd Fuad tentang ' dulu cium tangan Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang'.

Monday, June 16, 2008

KAGUM DENGAN SIKAP DAN KEPIMPINAN MATSUSHITA

Sudah lama saya tidak berbicara di ruang maya ini, untuk kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan mengenai kehebatan seorang tokoh korporat dari Jepun. Mungkin ramai di kalangan kita sudah mengetahui mengenai kehebatan tokoh ini. Namun, sebagai perkongsian saya cuba juga untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang belum mengenali tokoh ini. Tokoh yang saya maksudkan adalah Konosuke Matsushita.

Matsushita merupakan pengasas Jeneral Elektrik Jepun: Matsushita Electric Corporation (MEC). Beliau membina kekayaan dan empayar perniagaan yang besar setelah melepasi pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupannya. Ujian yang beliau hadapi dalam kehidupan dan dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang cekal dan tabah serta tak mudah tewas dengan cabaran. Jenama barangan elektronik yang kita guna pada hari ini di Malaysia antaranya Panasonic dan National merupakan antara hasil dari keluaran MEC.


Maklumat beliau saya peroleh dari sebuah buku hasil tulisan John P. Kotter, seorang pensyarah Universiti Harvard yang juga penulis buku ‘Our Iceberg Is Melting’. Konosuke Matsushita di lahir pada penghujung akhir abad ke-19 iaitu 27 November 1897 di kampung pertanian Wasamura dalam wilayah Wakayama, Jepun. Beliau merupakan anak hasil perkahwinan Masakusu dan Tokue Shimamoto. Keluarga beliau pada zaman tersebut boleh dikatakan hidup mewah dengan sumber pendapatan bapanya yang memiliki tanah sawah seluas 150 ekar.


Anak bongsu dari 8 orang adik beradik ini pada peringkat awal semasa keluarga beliau menetap di Wasamura tidak pernah disuruh membuat kerja berat. Matsushita sendiri menggambarkan kehidupan awalnya “penuh kedamaian dan kebebasan”. Sehinggalah keluarganya terpaksa berpindah ke sebuah rumah kongsi berhampiran dengan Wakayama disebabkan masalah ekonomi keluarga pada tahun 1899. Masalah tersebut berpunca dari tindakan bapanya menceburkan diri dalam pasaran komoditi.


Dengan masalah tersebut ibarat bencana menghadapi keluarga beliau. Pelbagai masalah timbul antaranya masalah kekurangan makanan dan juga masalah kesihatan. Bermula dari saat ini seorang demi seorang ahli keluarga beliau meninggal dunia, bermula dengan kematian Hachiro(anak ke-4:lelaki). Layanan ibu dan bapa Matsushita sudah mula berubah. Pada umur sembilan tahun, beliau telah dihantar ke Osaka untuk bekerja enam belas jam sehari dan tinggal dengan majikannya.


Bayangkan pada umur sembilan tahun beliau di arah pergi ke kota besar Osaka seorang diri. Anak kecil mana yang sanggup pergi ke kota besar tanpa ditemani oleh orang dewasa. Kalau kita di Malaysia, ibarat seorang anak kecil dari kampung diarah pergi ke bandar Kuala Lumpur. Tetapi, bandar Osaka lebih besar dari Kuala Lumpur. Setelah menempuhi pelbagai pekerjaan, akhirnya beliau memutuskan untuk berhenti kerja selepas tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pegawai kilang tersebut. Beliau bercadang mahu menubuhkan sebuah kilang sendiri yang mampu mengeluarkan barangan elektronik.


Ketika kilang Matsushita mula beroperasi pada 1917 beliau menggunakan wang simpanannya sebanyak 100 yen iaitu bersamaan lima bulan gaji penuhnya di Syarikat Lampu Osaka (Kilang tempat beliau bekerja sebelum ini). Pembukaan kilang bermodalkan 100 yen adalah sangat sedikit berbanding modal yang digunakan usahawan lain untuk menubuhkan kilang pada ketika itu. Sebagai contoh Noguchi Jun, pengasas Nippon Chisso Hiryo, memulakan perniagaan sebanyak 100,000 yen dan Kiichiro Toyoda melancarkan perniagaan kereta sebanyak sejuta yen. Walaupun modal yang digunakan oleh beliau sangat sedikit, tetapi itu tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus maju kedepan.


Beliau meneruskan juga usaha walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi semasa peringkat awal penubuhan kilang ini antaranya kerugian, masalah pemasaran, keyakinan pembeli dan juga penarikan diri dua orang sahabat baik beliau dari kilang tersebut, iaitu Isaburo Hayashi dan Nobujiro Morita. Namun, ujian ini tidak melemahkan semangat beliau untuk meneruskan rancangannya. Setelah mengharungi pelbagai ujian akhirnya perniagaan beliau mula menampakkan hasil setelah beliau bersetuju untuk menghasilkan plat penebat kepada Syarikat Elektrik Kawakita. Bermula dari saat itu perniagaan beliau semakin berkembang dan membesar. Beliau menerapkan kepada semua pekerjanya pengurusan yang tersusun dan budaya kerja melalui pembacaan ikrar setiap hari.


Untuk pengetahuan rakan-rakan, beliau kehilangan semua orang tersayang, iaitu kematian semua adik-beradik dan ibu bapanya sebelum beliau menubuhkan kilang. Setelah berkahwin dengan Mumeno Iue, beliau dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Seperti sebelum ini, anak lelakinya juga meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan. Kemudian perniagaan beliau semakin maju sehinggakan pendapatan mencecah USD65 bilion setahun. Perniagaan beliau banyak dibantu oleh adik iparnya, Toshio Iue, yang kemudiannya menubuhkan perniagaan sendiri.


Setelah Konosuke Matsushita meninggal dunia perniagaan ini diserahkan kepada menantunya, Masaharu Matsushita yang berkahwin dengan anak perempuannya, Sachiko. Sikap dan kepimpinan beliau seharusnya di jadikan contoh kepada kita bagaimana beliau tidak menjadikan kemiskinan, masalah keluarga dan kematian sebagai alasan untuk berjaya.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan