Thursday, February 25, 2010

ULASAN BUKU DILEMA SINGAPURA (PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN MASYARAKAT MELAYU)

hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim

Buku ‘Dilema Singapura- Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu’ merupakan antara buku yang menarik untuk dibaca dan dikongsi dengan rakan-rakan. Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim ini boleh dikatakan pendedahan sebenar mengenai nasib bangsa Melayu di negara republik itu.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui mengenai masyarakat Melayu di Singapura melalui akhbar seperti isu Sultan Hussin dan daripada sumber rakan-rakan. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan daripada Singapura yang menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan menceritakan kisah masyarakat Melayu dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian serta menyentuh mengenai kedudukan agama Islam.

Saya boleh katakan ramai di kalangan kita mengetahui mengenai sejarah Singapura melalui subjek Sejarah yang diajar di peringkat sekolah dahulu. Walaupun kita rakyat Malaysia, tetapi kita mesti mengetahui bagaimana susur galur sejarah Singapura supaya menjadi pengetahuan dan panduan kepada kita pada masa hadapan. Sebagai contoh kedudukan Singapura dahulu ketika dipanggil Temasik, semasa bergabung dan berpisah dengan Malaysia serta hal-hal lain.

Usaha yang dilakukan oleh Lily Zubaidah ini seharusnya dipuji kerana memaparkan status keadaan Singapura untuk tatapan umum terutamanya bagi bangsa Melayu di rantau Nusantara ini. Aspek yang difokuskan oleh beliau iaitu aspek politik dan pendidikan yang merupakan aspek penting untuk pembangunan sesuatu bangsa mahupun tamadun. Selain itu, ia juga mendedahkan sikap sebenar parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party-PAP).

Salah satu kekuatan buku hasil kajian Lily Zubaidah ini adalah menceritakan kedudukan Singapura pada ketika ini. Sebagai contoh, Singapura sudah mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (NIC- Newly Industrializing Country) pertama di Asia Tenggara, selain diiktiraf negara maju oleh Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD- Organization for Economic Co-Operation and Development). Singapura juga mencatat kadar pemilikan rumah tertinggi iaitu 90% penduduk memiliki rumah sendiri.

Buku ini juga menjelaskan kedudukan Melayu dan Islam serta kaitan antara Melayu dan Islam. Pemerintah berusaha memisahkan kaitan Melayu dan Islam dengan pelbagai cara. Dijelaskan juga bagaimana masyarakat Melayu terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Penulis juga membandingkan mengenai bidang pekerjaan bagi kaum Melayu dan Cina dari tahun 1957 hingga 1980. Turut diketengahkan bagaimana PAP mengurus kekuasaan dan mengekalkan hegemoni ideologi PAP.

Saya agak terkejut, apabila penulis mendedahkan bagaimana kekangan dan cengkaman pihak penguasa terhadap media massa di negara tersebut. Pemerintah mengambil tindakan terhadap akhbar dan media yang melanggar peraturan melalui Akta Percetakan Akhbar. Sebagai contoh, pada 1985, Asian Wall Street Journal telah dikenakan tuduhan menghina dan 1987, edaran FEER dikurangkan daripada 9,000 kepada 500 naskhah disebabkan laporan tentang penahanan ISA pada tahun itu. Selain, edaran The Asian Wall Street Journal juga telah dihadkan daripada 5,000 kepada 400 naskhah pada 1987.

Buku ini juga memberi saya maklumat dan pengetahuan baru, seperti istilah-istilah dalam lanskap politik dan demokrasi Singapura. Istilah seperti Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP-Non-Constituency Member of Parliament), Anggota Parlimen Dicalon (NMP-Nominated Member of Parliament), Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC-Group Representative Constituency). Penulis juga mendedahkan penggunaan ISA oleh pemerintah untuk mempertahan kekuasaan. Ramai dikalangan kita mungkin mengetahui, bagaimana sikap parti PAP di Singapura pada tahun 1950 ‘an hingga 60 ‘an cenderung kepada sosialis demokratik, tetapi, sejak tahun 70 ‘an ia cenderung kepada ideologi konservatif.

Singapura yang telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST-Goods and Services Tax) pada tahun 1994 juga telah memberi kesan secara langsung kepada rakyatnya khususnya bagi bangsa Melayu. Dengan pelaksanaan cukai ini ia menjejaskan ekonomi warga tua dan yang berpendapatan rendah. Antara sebab pelaksanaan GST oleh pemerintah adalah untuk menjadikan ekonomi Singapura berdaya saing serta dengan penurunan cukai korporat dan perkhidmatan boleh menarik pelabur ke republik itu.

Selain itu, penulis juga menerangkan bagaimana doktrin dan gambaran tentang orang Melayu oleh pemerintah, iaitu bangsa yang mudah berpuas hati, malas, tidak ambil peduli, suka bersenang, tidak ada motivasi dan tidak ada disiplin. Parti pemerintah juga telah menggunakan pelbagai strategi untuk mengurangkan sumber kuasa politik masyarakat Melayu. Antara strategi yang digunakan untuk melemahkan kuasa undi masyarakat Melayu seperti program penempatan semula Bandar, kuota kediaman etnik, Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan lain-lain.

Antara topik lain yang disentuh oleh penulis adalah kelemahan pemimpin Melayu dalam PAP dan kerajaan PAP. Dari tahun 1960 hingga 1991 jumlah perwakilan ahli parlimen Melayu di parlimen tidak pernah lebih daripada 10 orang, walaupun jumlah ahli parlimen meningkat daripada 50 orang pada tahun 1960 kepada 81 orang pada tahun 1991. Kesimpulannya, peratus ahli parlimen Melayu di parlimen semakin menurun iaitu daripada 20% pada tahun 1960 kepada 9.8% pada tahun 1991.

Selain politik, penulis juga mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dalam aspek pelajaran. Antara perkara yang disentuh oleh penulis, mengenai Dasar Pelajaran Baru (NEP-New Education Policy), Sistem Pelajaran Baru (NES- New Education System) 1991, Cadangan Laporan Goh NEP 1979, Program Pendidikan Pelajar Bijak (GEP- Gifted Education Programme) dan lain-lain. Dalam bab 10, penulis menyentuh mengenai penubuhan sebuah badan iaitu Yayasan Mendaki atas usaha sendiri Melayu Islam. Mendaki merupakan singkatan bagi Majlis Pendidikan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan pada bulan Mei 1982.

Secara keseluruhannya, penulis buku ini, Lily Zubaidah Rahim memaparkan wajah sebenar parti pemerintah di Singapura iaitu PAP terhadap masyarakat Melayu. Selain menyentuh mengenai strategi-strategi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan meminggirkan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau juga menjelaskan kapasiti dan kekuatan ahli politik Melayu dalam PAP dan kerajaan serta menggerakkan agenda positif untuk masyarakat Melayu.

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan