Tuesday, August 19, 2008

MAHATHIR: BATAL AUKU JIKA PENUNTUT LEBIH DEWASA DAN BERTANGGUNGJAWAB

PETALING JAYA: Jika hari ini penuntut lebih dewasa dan bertanggungjawab batalkan sahaja AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.

Menurut beliau, penuntut Melayu membantah pelaksanaan AUKU dan beliau rela dimarahi kerana apa yang penting baginya adalah meningkatkan kebolehan bangsanya.

“Penuntut universiti tentu tidak suka dengar pendapat saya ini. Saya rela dimarah oleh siapa sahaja tetapi saya tidak berniat buruk semasa memperkenalkan AUKU.

“Bagi saya peningkatan kebolehan bangsa saya adalah lebih penting dan utama daripada kecaman terhadap diri saya,” kata beliau.

Kata Dr. Mahathir, didapati bahawa penuntut Melayu amat berminat dengan kegiatan politik dan akibatnya mereka akan kekurangan masa untuk pembelajaran mereka.

“Mereka suka melibatkan diri dengan demontrasi jalanan dan lain-lain aktiviti politik yang memakan masa mereka di universiti.

“Dengan ini, mereka tidak dapat memberi tumpuan mereka kepada penguasaan ilmu. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal (dalam pembelajaran),” kata beliau. Beliau menambah, tidak lambat untuk seseorang penuntut menumpukan tumpuan mereka dalam kegiatan politik setelah mereka tamat pengajian.

Dr. Mahathir berkata, demostrasi bukan cara untuk menambahkan pengetahuan mereka dalam bidang politik.

“Mereka boleh ada forum perbahasan dalaman atau antara universiti, dan mereka boleh mendapat pakar yang tidak punyai kepentingan politik parti untuk memberi syarahan dan sessi soal jawab.

“Tanpa terlibat secara langsung dengan aktiviti politik berpartian, mereka masih boleh menguasai dan memahami selok belok politik.

“Dengan itu, penuntut tidak akan membazirkan wang serta masa mereka dalam kegiatan politik,” katanya.

Menurut beliau, kita perlu menerima hakikat bahawa ramai penuntut Melayu dan bumiputera yang lain diterima masuk universiti memiliki kelulusan yang kurang baik daripada penuntut bukan Melayu.

“Walaupun kita sudah merdeka lebih 15 tahun ketika itu tetapi bilangan kelulusan daripada universiti tidak ramai, terutamanya di kalangan orang Melayu.

“Jumlah jurutera, doktor perubatan, arkitek dan lain-lain ahli profesional amat kecil dan menyedihkan,” katanya.

Beliau bertambah, kemajuan sesuatu negara adalah bergantung kepada ketinggian jumlah rakyat yang berilmu dan jumlah Melayu dan bumiputera yang berkelulusan tinggi akan menjejaskan perkembangan sosial negara.

“Tidaklah sihat bagi Malaysia jika dari rakyat berbilang kaumnya jumlah Melayu dan bumiputera lain yang berkelulusan universiti sangat berkurangan,” katanya.

Dr. Mahathir juga memberi nasihat kepada semua penuntut agar tidak mensia-siakan masa depan mereka serta menyalahgunakan wang mereka dengan menggunakannya untuk kegiatan yang lain.

“Negara akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu dan penuntut itu sendiri akan rugi kerana masa depan mungkin tidak cerah seperti yang diharapkan..

“Saya percaya orang yang bertanggungjawab dan tahu kenang budi seperti ini akan menjadi manusia dan pemimpin politik yang lebih baik,” kata beliau.


Sumber: Mstar.com

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan