Sunday, June 28, 2009

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua mahasiswa/i baru dan seluruh warga Universiti Malaya (UM). Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi dengan izin dan limpah rahmatNya kita masih mampu mengecapi nikmat dan anugerahNya.

Tahniah dan selamat datang diucapkan kepada semua adik-adik baru kerana berjaya melanjutkan pengajian di UM yang kita cintai ini. Untuk pengetahuan semua, sejak penubuhan UM di Kuala Lumpur pada 25 Mei 1959, kampus kita telah berjaya melahirkan ramai tokoh pemimpin.

Tokoh-tokoh tersebut antaranya, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ke-6 Malaysia), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan), Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia & Sukan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang di Parlimen), Dato’ Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Dato’ Husam Musa (Exco kerajaan Kelantan), Dato' Dr. Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) Dato' Takiyudin Hassan (Exco kerajaan Kelantan) dan ramai lagi.

Pada sesi kali ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) telah menetapkan lima misi utama yang perlu dicapai. Misi tersebut merangkumi aspek kebajikan, perpaduan, pembudayaan ilmu dan intelektual, kepimpinan mahasiswa dan membantu menaikkan imej dan kedudukan universiti.

The Times Higher Education (THE) - Quacquarelli Symonds baru-baru ini telah mengumumkan kedudukan terbaru universiti terbaik di Asia, UM berjaya menduduki ranking ke-39. Dengan kedudukan itu, universiti kita terus mengekalkan kedudukan universiti terbaik di Malaysia.

Dengan tema ‘Bersama Menjulang Tradisi Kecemerlangan’, saya berharap agar ianya menjadi satu panduan dan dorongan untuk kita mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan persatuan serta menimba sebanyak mungkin pengalaman di kampus Uni Perdana ini.

:: BERSAMA MENJULANG TRADISI KECEMERLANGAN ::

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan