Sunday, June 3, 2012

A. SAMAD SAID - SASTERAWAN RAKYAT


Menyebut nama Abdul Samad bin Muhammad Said, mungkin ramai kalangan kita tidak mengenalinya. Tetapi menyebut nama A. Samad Said, ramai akan mengatakan, “oh, itu sasterawan Negara!”. Begitulah nama A. Samad Said cukup sinonim dengan dunia kesusasteraan Melayu. Dari golongan muda hinggalah dewasa semuanya mengenali beliau, apatah lagi golongan tua yang ‘seangkatan usia’ dengannya. Mungkin juga ramai pelajar sekolah mengenali beliau melalui novelnya ‘Di Hadapan Pulau’ yang menjadi Komponen Sastera Bahasa Melayu di peringkat menengah.
                                                                               Sasterawan Negara Datuk (Dr.) A. Samad Said ialah nama besar yang dianggap ikon dalam kesusasteraan Malaysia. Nama pena A. Samad Said lebih menonjol berbanding nama pena Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir yang pernah digunakan oleh beliau. Anak kelahiran negeri Melaka ini atau lebih tepat Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Dalam bab satu buku ini, menceritakan bagaimana peringkat awal penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu. Ia terbentuk secara tidak langsung melalui cerita-cerita lisan oleh ibu, pak cik, jiran dan gurunya .

Tokoh yang lahir pada 9 April 1935 ini dibesarkan di Singapura selepas umur beliau enam bulan sebelum berpindah ke Perkins Road, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada akhir dekad 1950-an. Biografi ini juga membuka cerita duka sifat negatif bapanya, Mohd Said Mohd Yusof, seorang inspektor bas di Singapore Traction Company (STC) di Singapura. Sikap bapanya juga sering kali mengundang pertengkaran dengan ibunya, Aminah Mohd Amin. Anak ketiga daripada lima orang adik- beradik ini juga kehilangan kakak sulung yang meninggal dunia semasa kecil.

Pengalaman suka dan duka banyak memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan karya-karya beliau. Antaranyapengalaman hidup di Kota Singa semasa pemerintahan Jepun dan bangkit daripada kemusnahan sosial, ekonomi, politik merupakan dasar penting dalam kebanyakkan novel, cerpen dan puisinya. Selain itu, banyak karya beliau berkait rapat dengan pengalaman hidupnya. Contohnya, kesan kurang menyenangi sikap ayahnya terlihat dalam novel beliau apabila watak bapa sering hilang daripada plot cerita. Penggunaan latar tempat dalam kebanyakan karya beliau juga berlatarkan Singapura yang merupakan tempat beliau membesar.

Turut menarik tumpuan saya dalam pembacaan biografi beliau ini, ialah penguasaan bahasa inggeris membantu beliau membaca banyak novel-novel klasik inggeris dan barat. Antaranya karya Shakespeare seperti Hamlet, Julius Caesar dan Romeo and Juliet, selain karya klasik barat sepertiSnows of Kilimanjaro, The Old Man and The Sea, East of Eden dan lain-lain. Karya klasik inggeris seperti Wurthering Height dan Alamyer’s Folly juga dibacanya bahkan diulang baca hampir setiap tahun. Keghairahan beliau membaca novel-novel inggeris ini membantu beliau secara tidak langsung membuat perbandingan dengan novel Melayu dari segi estetika penulisan novel.

Kecintaan beliau terhadap dunia penulisan semakin terserlah, apabila beliau sanggup berhenti bekerja sebagai kerani di Hospital Umum Singapura walaupun gajinya tinggi. Selepas itu, beliau memulakan kerjaya sebagai penulis di akhbar Fikiran Rakyat bersama Ahmad Boestamam, yang secocok dengan jiwanya. Kebebasan yang diberikan Ahmad Boestamam terhadap beliau melalui kolum ‘Selayang Pandang’ banyak membentuk melonjak keyakinan diri beliau dalam penulisan. Pertemuan dengan tokoh politik, Dr Burhanuddin al-Helmy serta masalah gagap beliau dalam menyampaikan pandangan atau idea dalam bentuk ucapan lisan juga didedahkan.

Pengalaman beliau di syarikat Utusan Melayu, menguruskan majalah Mastika serta pengarang Berita Harian turut diceritakan. Karya-karya beliau juga banyak menceritakan kehidupan beliau, antaranya surat-surat yang dikirimkan kepada isterinya Salmi Manja diterjemahkan dalam bentuk karya yang berjudul Warkah Kepada Salmi Manja pada tahun 1965. Kembara ke dua buah Negara Eropah iaitu England dan Perancis juga menghasilkan karya mewah berjudul Warkah Eropah (1991) yang mengandungi 47 pucuk surat kepada 2 org isteri dan anak-anaknya.

Pelbagai kejayaan dan pencapaian yang diraih sepanjang terlibat dengan dunia penulisan antaranya Pejuang Sastera pada tahun 1976, Hadiah penulisan Asia Tenggara (1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999). Anugerah Sasterawan Negara kepada beliau menjadikan beliau orang keempat menerimanya selepas (Dr) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas tahun 1981, Prof. Emiratus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad (1982) dan Datuk (Dr) Usman Awang (1983). Yang Dipertua Negeri Melaka juga menganugerahkan beliau Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1997.

Kisah kehidupan beliau dalam biografi ini banyak disentuh dalam bab satu, manakala bab dua hingga bab empat, banyak berkisar mengenai karya-karya yang dihasilkan oleh beliau. Bab dua, tiga dan empat mengfokuskan kepada karya-karya beliau seperti novel, kumpulan cerpen, drama, kumpulan puisi, esei, warkah dan dairi serta autobiografi. Jumlah karya dan corak pemikiran beliau turut dikupas secara teliti. Sangat tepat pemilihan tajuk buku ini, Biografi A. Samad Said, Memberi Hati Nurani menggambarkan kebanyakkan karya beliau lahir dari hati yang memahami permasalahan, penderitaan rakyat serta perkongsian kehidupan beliau.

Sikap beliau lebih rapat dengan denyut nadi rakyat, serta tangis tawa rakyat mungkin berpunca dari kisah hidupnya serta sifat semulajadi beliau. Kegemarannya menaiki bas awam yang dimulakan semenjak 1970-an untuk lebih dekat dengan masyarakat juga beribadat di masjid serta membaca al-Quran menjadi bukti jiwanya sebati dengan masyarakat. Pendekatan beliau sangat berbeza jika dibandingkan dengan sebahagian penulis kini yang menulis berpaksi ‘dunia’ dan kepentingan semata-mata, lebih selesa dalam bilik berhawa dingin, beridealistik tidak berpijak dibumi nyata. Saranan beliau bagi seorang penulis, penulis mesti mempunyai 2 pengalaman penting, pertama, pengalaman sebenar yg dialami dan kedua, bahan yang dikumpul hasil daripada pembacaan.

Tahniah diucapkan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atas terbitan biografi ini selepas penjenamaan semula Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan juga kepada penyusun Rosnah Baharudin.

Friday, July 23, 2010

FASA BARU DALAM HIDUPKU...ALAM RUMAHTANGGA

saya dan isteri

majlis akad nikah

9 Julai 2010 merupakan tarikh pemisah statusku dari bujang ke alam rumahtangga. Perasaan berdebar menanti saat Imam berjabat tangan untuk akad nikah. Hanya doa dan selawat mengiringi perasaan gemuruhku ketika itu. Alhamdulillah akhirnya selesai juga majlisnya, kini ku bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Nurwairani Azyyati Mhd. Azmin.

10 dan 11 Julai walimah rumah perempuan di Wakaf Bharu dan rumahku di Pasir Puteh, Kelantan. Kalau sebelum ini hanya bayangan sahaja, kini ia realiti dalam hidupku. Banyak ucapan tahniah dan doa ku perolehi atas pernikahanku, tetapi cabaran di hadapan masih jauh.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang hadir dan kawan-kawan yang mendoakan dari jauh. Ku pohon kalian moga perkahwinan ini diberkati dan diredhai Allah. Doa-doa kalian menjadi pemudah dalam urusan hidupku nanti. wassalam

Saturday, March 13, 2010

ULASAN BUKU ‘KEBANGKITAN NEGARA MAYA’

Antara Buku Terbitan ITNM Yang Kumiliki

JUDUL : Kebangkitan Negara Maya (The Rise of The Virtual State)
PENULIS : Richard Rosecrance
PENTERJEMAH: Idayu Johari
PENERBIT : Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) (2008)
HARGA : (Lupa…)
KEDAI BUKU : Pekan Buku Universiti Malaya

Ulasan Buku:

Pertama, langkah pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menterjemahkan buku ‘Kebangkitan Negara Maya-Kekayaan dan Kuasa Pada Abad Mendatang’ ke dalam bahasa Melayu sangat tepat. Antara sebabnya, buku hasil tulisan Richard Rosecrance (gambar), seorang sarjana hubungan antarabangsa terkenal ini mampu membentuk minda yang baru terutama dalam jangkaan masa hadapan yang melibatkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai mana yang kita ketahui, sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam sesebuah pembangunan dan kestabilan negara. Dengan terjemahan buku mampu menampung kekurangan penerbitan buku-buku yang bercorak sebegini yang menyentuh mengenai jangkaan masa hadapan berasaskan tumpuan sektor ekonomi negara.

Penulis bijak menyusun bahagian buku ini dengan membahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama menyentuh mengenai ‘teori’, kedua berkaitan ‘implikasi politik dan antarabangsa’, ketiga menyebut ‘negara pada zaman maya’ dan keempat berkisar mengenai ‘sistem baharu politik dan ekonomi antarabangsa’. Penulis juga menyelit lampiran berkaitan ‘Teori Antarabangsa: Paradigma Baharu?’. Dalam bahagian prakata, penulis telah mengupas secara ringkas dan padat mengenai masalah-masalah yang berlaku di peringkat global seperti peperangan, konflik dan persengketaan, kemiskinan, kegagalan hubungan diplomatik dan sebagainya.

Bahagian Pertama: Teori

Permulaan penulis menghuraikan beberapa peristiwa sejarah yang boleh dikaitkan dengan hubungan kenegaraan. Antara contoh yang dibawa peristiwa pembersihan etnik keatas Kosovo oleh regim Slabodan Milosevic, Perdana Menteri Serbia. Kawalan dan monopoli pasaran minyak juga menyebabkan tercetusnya peperangan antara Iraq dan Kuwait. Selain peristiwa yang melibatkan Pakistan, India, Rwanda dan sebagainya. Penulis juga membuat perbandingan antara Jepun dan Amerika Syarikat dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan dari tahun 1960 hingga 1990. Ia menunjukkan kedua-dua negara mengalami penurunan peratus KDNK dalam sektor pengilangan tetapi mengalami peningkatan dalam sektor perkhidmatan. Dalam bahagian pertama ini sahaja penulis membawa fakta-fakta yang hampir menyentuh kesemua negara-negara di dunia samada melibatkan Negara maju, membangun, sedang membangun mahupun negara mundur. Dalam bab empat penulis menghuraikan konflik etnik dalam negeri, konflik dalam negeri, ancaman keganasan, pengaruh antarabangsa, konflik ekonomi dan politik serta banyak lagi.

Bahagian Kedua: Implikasi Politik dan Antarabangsa

Penekanan idea dan bacaan masa depan isu ini, penulis membahagikan negara maya terbahagi kepada tiga. Pertama, Negara maya sepenuhnya dengan sedikit pengeluaran dalam negeri. Kedua, negara perantaraan yang menumpukan pada perkhidmatan yang bahagian pengeluaran pentingnya dipindahkan ke luar negara. Dan ketiga, negara yang menumpukan perhatian pada pembuatan dalam negeri. Penulis juga membuat analisis antara ekonomi ikut skop dengan ekonomi ikut bidangan. Sebagai rujukan, dari tahun 1930 hingga 1950 output industri dicirikan oleh ekonomi ikut bidangan. Kupasan yang menarik menyentuh mengenai pasaran dan Negara, kesan kepada Negara, masyarakat dan lain-lain. Bab kedua (bab 6) dalam bahagian kedua, penulis mengaitkan tadbir urus dan ekonomi dunia. Mengaitkan penguatkuasaan dalam negeri dan antarabangsa sebagai mekanisme penjagaan keselamatan dan perlindungan. Antara cadangan untuk mewujudkan keselamatan peringkat antarabangsa adalah pertama, imbangan kuasa dan pakatan menyeluruh atau persetujuan bersama kuasa.

Bahagian Ketiga: Negara Pada Zaman Maya

Permulaan bab ketujuh atau bab pertama bahagian ketiga, penulis meramalkan berdasarkan pergerakan dan corak ekonomi semasa telah meletakkan Hong Kong, Singapura dan Taiwan sebagai negara maya. Taiwan ialah negara maya utama dan Switzerland dan Belanda dari Eropah diletakkan pada tahap yang sama. Negara-negara ini merintis kaedah baharu hubungan ekonomi antarabangsa dengan menumpukan pada perkhidmatan tempatan dan pengeluaran di luar negara. Dan negara-negara ini dipengaruhi oleh Jepun tetapi telah memintas Tokyo dalam soal memindahkan perkilangan ke luar negara dalam usaha mengurangkan kos buruh. Penulis juga menyentuh secara langsung berkaitan Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Selain itu, penulis juga mengupas berkaitan negara Jepun secara khusus dalam bab kelapan. Ia menyentuh mengenai corak dan pergerakan ekonomi Jepun selain membincangkan secara lengkap berkaitan rakyat Jepun mendapat faedah hasil daripada pengantarabangsaan. Strategi Jepun berkaitan strategi pemiutang matang dan strategi Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Perbandingan antara Jepun dan AS serta masa depan politik dunia juga turut dikaji. Bab Sembilan, penulis mengupas berkaitan AS mengandungi sebab kemerosotan, strategi, sebagai kuasa ekonomi yang sempurna, kepusatan politik AS, peranan dolar dan sebaginya. Dalam bahagian ini juga penulis turut fokus menilai Eropah, Russia dan China. Dalam skop Eropah banyak dikaji mengenai Kesatuan Eropah (EU), NATO dan lain-lain.

Bahagian Keempat: Sistem Baharu Politik dan Ekonomi Antarabangsa

Bahagian terakhir ini penulis menghuraikan beberapa isu ekonomi dunia. Penekanan secara berterusan oleh penulis mengenai idea negara maya menunjukkan konsisitensi penulis dalam membawa idea ini. Selain itu, menyentuh kembali kebangkitan AS dan krisis Asia, persetujuan politik dan kestabilan ekonomi, perang dan ekonomi dan lain-lain. Turut diselit peranan penting pendidikan, pekerja dan imigrasi, perkhidmatan, tenaga dan alam sekitar serta era negara maya.

Kesimpulan:

Buku tulisan Richard Rosecrance ini sangat berkualiti kerana padat dengan fakta, maklumat-maklumat di peringkat global dan dihuraikan secara tersusun. Paparan isu dan contoh kes yang menyeluruh juga antara kekuatan buku ini. Jarang sekali untuk diperolehi buku sebegini dalam negara kita. Idea dan gagasan negara maya menjadi cerminan dan bacaan masa depan untuk memudahkan strategi dan persediaan sesebuah negara. Wallahu’alam

Thursday, March 4, 2010

ULASAN BUKU ‘POLITIK BARU- NEW POLITICS’

Buku ‘Politik Baru- Mematangkan Demokrasi Malaysia’ oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah (gambar) merupakan antara idea dan gagasan baru dalam politik negara kita pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). YB Dato’ Saifuddin merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan ahli parlimen Temerloh. Semasa buku ini dilancarkan sempena 100 hari sebagai ahli parlimen, beliau adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selain itu, beliau juga antara aktivis dan pemimpin mahasiswa semasa menuntut di Universiti Malaya sekitar tahun 80’an. Beliau pernah menjawat jawatan timbalan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Beliau juga aktif menulis artikal rencana dan kertas kerja.

Buku ini saya perolehi dengan harga RM30 (lupa berapa diskaun yang diberikan) pada 17 April 2009 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia diterbitkan dalam dwi bahasa, bahasa Melayu di depan dan bahasa Inggeris dibelakang. Ia juga dibahagikan kepada dua komponen penting iaitu pertama, ‘integriti politik’ dan kedua, ‘kerangka governans baru’. Empat bab pertama menghuraikan komponen pertama buku ini iaitu, bab pertama, ‘Idealisme Politik’, kedua ‘Politik Ilmu’, ketiga ‘Politik Hikmah’ dan keempat ‘Politik Bakti’. Manakala dalam bahagian kedua, lima bab (bab 5 hingga 9) untuk menghuraikan mengenai ‘Kerangka Governans Baru’. Bab kelima, ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’, keenam ‘Generasi Muda & Masyarakat Sivil’, ketujuh ‘Keperluan Kepada Governans Baru’, kelapan ‘Penghakupayaan Perniagaan & Masyarakat Sivil’ dan kesembilan ‘Perwakilan Perniagaan & Masyarakat Sivil’.

Dalam bahagian pendahuluan, penulis menjelaskan beberapa perkara, antaranya berkaitan penerbitan buku ini, isu integriti, menyentuh mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain. Ungkapan yang menarik oleh penulis untuk menggambarkan integriti politik berasaskan tiga sendi idealisme politik adalah ‘politik ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah dan bukannya fitnah, serta politik bakti dan bukannya politik undi’. Penulis menjelaskan mengenai integriti politik dari sudut kepemimpinan yang bermakna pemimpin memerlukan 3 ciri kepemimpinan iaitu berwawasan, menguasai apa-apa yang dilakukannya dan mampu membina jaringan kerjasama.

Bab pertama, penulis mendedahkan mengenai kelemahan politik hari ini ialah politik wang, rasuah, cantas-mencantas, payung terjun, kronisme, nepotisme, cepat kaya, politikus badut dan sebagainya. Menurut Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digerakkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), agenda integriti politik bertujuan, pertama; mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan institusi Raja berperlembagaan dan pemerintahan berparti. Kedua; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur. Ketiga; mengamalkan politik berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri. Dan keempat; memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan governans terbaik.

Selain itu, sebagai mahasiswa, saya juga tertarik dengan prinsip dan pandangan penulis mengenai AUKU. Penulis menjelaskan ahli politik yang sentiasa berpegang dan berani dengan pendiriannya terhadap sesuatu isu atau perkara. Contohnya, dalam isu AUKU, ahli politik yang menghayati idealisme politik akan mempertahankan pendiriannya itu dimana-mana sahaja dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Antara kebijaksanaan penulis ialah menyandarkan perkataan ilmu dalam istilah ‘Politik Ilmu’ kepada takrifan yang diberikan oleh ilmuwan Syed Muhammad Naquib al-Attas: “Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”.

Wan Mohd Nor Wan Daud (2003) dalam bukunya, Budaya Ilmu, terdapat tiga prinsip politik ilmu iaitu, pertama; meletakkan ahli politik berilmu di tempat yang paling tinggi, kedua; setiap ahli politik sentiasa menuntut ilmu atau menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ilmu serta ketiga; setiap keputusan dan tindakan ahli politik adalah berdasarkan ilmu. Antara contoh yang terbaik diberikan penulis mengenai politik ilmu dan sebaliknya adalah pelantikan Profesor Universiti Harvard, Robert B. Reich sebagai setiausaha buruh semasa Bill Clinton sebagai presiden Amerika Syarikat, Gabenor California yang tidak berpendirian iaitu Arnold Schwarzenegger (Republikan), pendedahan Barack Obama dalam bukunya The Audacity of Hope (Keberanian Menggapai Harapan- terjemahan dan terbitan ITNM) mengenai parti Demokrat dan Republikan.

Saya kagum melihat kupasan penulis mengenai belia, mahasiswa dan pelajar dalam bab kelima ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’ secara tersusun dalam enam situasi atau keadaan. Bab keenam ‘Generasi Muda dan Masyarakat Sivil’ merupakan huraian khas oleh penulis mengenai generasi muda yang merangkumi belia, mahasiswa dan pelajar. Antara yang disentuh enam objektif generik, sumbangan generasi muda dalam kegiatan sukarela dan saham generasi muda dalam mencetus idea, menggerakkan gagasan serta mempelopori beberapa perkara melibatkan dasar, institusi dan program pembangunan negara. Penulis juga menjelaskan antara manfaat pengamalan perwakilan perniagaan dan masyarakat sivil serta penubuhan setiap peringkat.

Kesimpulan yang dibuat oleh penulis, integriti poltitik dan kerangka governans baru bukanlah matlamat tetapi ia sekadar alat untuk mencapai matlamat. Matlamat yang sebenar adalah untuk meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini bagi meningkatkan keamanan, keselamatan, kemajuan, kemakmuran dan kebahagian rakyat. Penulis juga memandang positif debat terbuka antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Ahmad Shabery Cheek serta debat Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Komen Prof. Dato’ Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), “Sekiranya gagasan dan saranan dalam buku ini menjadi amalan, pasti budaya politik Malaysia akan lebih segar”.

Secara umumnya, buku ini menampilkan idea, pandangan dan gagasan politik baru yang sangat relevan dan sesuai untuk pengamalan dalam politik Malaysia. Cuma ia perlu dilengkapkan dengan kesedaran dan kejujuran semua rakyat Malaysia terutama ahli-ahli politik yang banyak berperanan mencorakkan lanskap politik Malaysia. Politik berasaskan ilmu, hikmah atau kebenaran sangat diperlukan untuk memastikan kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi ia dituntut oleh agama. Antara langkah awal yang mesti dilakukan adalah kualiti perbahasan di parlimen yang bersumberkan fakta dan data serta kajian. Selain itu, pusat sumber parlimen juga mesti dinaiktarafkan dari sudut kuantiti dan kualiti buku dan bahan, kemudahan carian buku, kakitangan, kemudahan dan sebagainya. Sekarang pusat sumber parlimen hanya menyimpan 40 ribu bahan ilmiah dan beberapa kakitangan yang tidak lebih daripada 10 orang berbanding negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan sebagainya. Untuk mengubah perkara ini memanglah sukar dan banyak halangan, tetapi ia tidak mustahil sekiranya digerakkan dari sekarang secara bersama serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat lebih utama daripada kepentingan peribadi.

Wednesday, March 3, 2010

ULASAN BUKU ‘KELEBIHAN PENGETAHUAN’

Buku 'Kelebihan Pengetahuan'


Buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ atau ‘The Knowledge Advantage’ merupakan buku tulisan Rudy Ruggles dan Dan Holtshouse dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Buku ini saya beli di Pekan Buku Universiti Malaya (UM) pada harga RM36.00. Kebiasaannya apabila saya ke Pekan Buku UM, rak buku yang menempatkan buku-buku ITNM memang menjadi keutamaan selain rak majalah-majalah, buku-buku agama, politik, sejarah, undang-undang dan lain-lain.

Secara umumnya buku ini menyentuh mengenai bagaimana mengubah pengetahuan menjadi produk, menterjemah pengetahuan dalam bentuk strategi, pembinaan pengetahuan dan mendapat kebaikan daripada ekonomi pengetahuan baru. Perkongsian John Seely Brown dari Xerox PARC dalam kata pengantar sangat menarik iaitu berkisar mengenai cerita beliau semasa kecil dan maklumat-maklumat lain seperti kawasan tumpuan penting seperti Lembah Silikon, kawasan teater London dan daerah kewangan New York serta kewujudan ‘artis pengetahuan’ dalam Xerox PARC.

Buku dipecahkan kepada 4 bahagian, iaitu bahagian pertama, pengetahuan dan individu, bahagian kedua, pengetahuan dan organisasi, bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi serta bahagian keempat, pengetahuan dan ekonomi. Bab 1 tidak termasuk dalam mana-mana bahagian. Bab 1 iaitu ‘Meraih Kelebihan Pengetahuan’ dihuraikan oleh Rudy Ruggles dari The Ernst & Young Center for Business Innovation dan Dan Holtshouse dari Xerox Corporation. Bab ini banyak menghuraikan mengenai pengurusan pengetahuan serta sejarah ringkasnya, perkembangan terkini dan kebangkitan pengurusan pengetahuan.

Dalam bahagian pertama iaitu pengetahuan dan individu, menampilkan tiga tokoh hebat untuk mengupas setiap bab. Tiga tokoh tersebut adalah Edward O. Wilson dari Harvard University menghurai bab kedua bertajuk ‘Kesegerakan: Kesepaduan Pengetahuan’. Bab ketiga bertajuk ‘Pengetahuan adalah Kuasa! Selamat Datang Demokrasi! Dikupas oleh Alan M. Webber dari Fast Company dan bab keempat bertajuk ‘Menguruskan Pekerja Pengetahuan dalam Dunia yang Berubah’ oleh Peter Drucker (Claremont Graduate School of Business). Alan M. Webber tidak bersetuju dengan tajuk buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ kerana terlalu sopan dan ia tidak menggambarkan barisan pertempuran serta kepentingan revolusi pengetahuan.

Webber juga menyentuh mengenai keburukan ekonomi baru berdasarkan buku David Dorsey, The Force. Beliau menyebut antara keburukan ekonomi baru ialah sinisme, nihilism dan kepura-puraan serta membawa kisah hidup Fred Thomas, seorang jurujual Xerox. Beliau juga menyentuh mengenai kisah Telco memilih kaedah penyusunan semula untuk melakukan perubahan.

Bahagian kedua buku ini, pengetahuan dan organisasi menampilkan 4 tokoh iaitu antaranya Ikujiro Nonaka dari University of California, Berkeley dalam bab 4 menyentuh mengenai ‘Dinamik Pembentukan Pengetahuan’. Beliau menerangkan mengenai pembentukan pengetahuan secara bersepadu berdasarkan model SECI (Socialization, externalization, combination & Internalization). Dr Bob Bauer dari Xerox PARC mengulas mengenai ‘Mengubah Pengetahuan Menjadi Inovasi’ dalam bab keenam. Dalam bab ketujuh pula, Christopher A. Bartlett dari Harvard Business School menghuraikan mengenai ‘Organisasi Berasaskan Pengetahuan: Suatu Reolusi Pengurusan’.

Bartlett telah memberikan satu contoh yang sesuai dalam tajuk kecil yang bertajuk ‘Contoh Yang Baik: Westinghouse’. Westinghouse banyak mengalami masalah doktrin pengurusan yang ketinggalan zaman. Bermula dengan Robert Kirby mengambil alih syarikat ini pada tahun 1975, ia menampakkan kesan yang positif. Syarikat ini semakin bertambah baik selepas pelantikan Douglas Danforth sebagai CEO. Beliau juga membina dan mengurus sistem perancangan strategik yang paling canggih iaitu VABASTROM (Value-Based Strategic Management System- Sistem Pengurusan Strategik Berasaskan Nilai). Syarikat ini semakin positif setelah John Marous dilantik sebagai pengerusi dan Paul Lego sebagai presiden untuk menggantikan Danforth.

Bartlett juga memberi contoh sebuah syarikat yang gagal iaitu Asea Brown Boveri (ABB) mengalami transformasi yang dramatik untuk menjadi pesaing global. Bab kelapan iaitu bab terakhir dalam bahagian kedua, James Brian Quinn dari Amos Tuck School of Business, Darmouth College menghuraikan mengenai ‘Memaksimumkan Inovasi Dengan Menggunakan Intelek, Sains dan Teknologi’. Antara perkara yang disentuhkan oleh beliau, anjakan ke arah ekonomi intelek, strategi untuk bersaing, pejuang bagi inovasi, intelek & organisasi dan lain-lain.

Manakala dalam bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi, Stephen Denning dari Bank Dunia menghurai dalam bab ke-9 mengenai ‘Perspektif Pengetahuan: Visi Strategi Baru’ dan dalam bab ke-10, Stan Davis menyentuh mengenai ‘Membina Pengetahuan Di Dalam Produk’. Bab terakhir dalam bahagian ini, iaitu ‘Membentuk Strategi Perniagaan Dalam Era Pengetahuan’ ditulis oleh Profesor Karl-Erik Sveiby.

Bahagian ke-4, pengetahuan dan ekonomi menampilkan idea tiga tokoh. Antaranya bab ke-12, W. Brian Arthur dari The Sante Fe Institute menerangkan berkaitan ‘Ilmu Ekonomi Baru Untuk Ekonomi Pengetahuan: Hukum Pulangan’ dan bab ke-13, Lester Thurow dari Massachussettts Institute of Technology menulis mengenai ‘Kepintaran Manusia dan Masa Depan Kapitalisme’. Stan Davis dan Chris Mayer dari The Ernst & Young Center for Business Inovation menjelas dalam bab terakhir berkaitan ‘Peranan Pengetahuan Dalam Ekonomi Berhubungan’.

Secara umumnya, boleh dikatakan buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ banyak menyentuh mengenai pengetahuan dalam aspek persaingan dan strategi pasaran perniagaan di peringkat global. Secara peribadi, buku ini memang berkualiti dan banyak member manfaat kerana menampilkan individu-individu yang layak untuk menghuraikan perkara-perkara ini. Menjadikan pengetahuan sebagai sumber pencetus kejayaan dan membina inovasi perniagaan merupakan satu kekuatan yang tersendiri. Gabung jalin antara fakta dan teori bersama kisah dan isu adalah antara kekuatan yang dimiliki oleh setiap penulis dalam buku ini. Terima kasih dan wassalam

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "

Thursday, February 25, 2010

ULASAN BUKU DILEMA SINGAPURA (PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN MASYARAKAT MELAYU)

hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim

Buku ‘Dilema Singapura- Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu’ merupakan antara buku yang menarik untuk dibaca dan dikongsi dengan rakan-rakan. Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Hasil tulisan Lily Zubaidah Rahim ini boleh dikatakan pendedahan sebenar mengenai nasib bangsa Melayu di negara republik itu.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui mengenai masyarakat Melayu di Singapura melalui akhbar seperti isu Sultan Hussin dan daripada sumber rakan-rakan. Saya pernah bersembang dengan seorang rakan daripada Singapura yang menuntut di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan menceritakan kisah masyarakat Melayu dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian serta menyentuh mengenai kedudukan agama Islam.

Saya boleh katakan ramai di kalangan kita mengetahui mengenai sejarah Singapura melalui subjek Sejarah yang diajar di peringkat sekolah dahulu. Walaupun kita rakyat Malaysia, tetapi kita mesti mengetahui bagaimana susur galur sejarah Singapura supaya menjadi pengetahuan dan panduan kepada kita pada masa hadapan. Sebagai contoh kedudukan Singapura dahulu ketika dipanggil Temasik, semasa bergabung dan berpisah dengan Malaysia serta hal-hal lain.

Usaha yang dilakukan oleh Lily Zubaidah ini seharusnya dipuji kerana memaparkan status keadaan Singapura untuk tatapan umum terutamanya bagi bangsa Melayu di rantau Nusantara ini. Aspek yang difokuskan oleh beliau iaitu aspek politik dan pendidikan yang merupakan aspek penting untuk pembangunan sesuatu bangsa mahupun tamadun. Selain itu, ia juga mendedahkan sikap sebenar parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party-PAP).

Salah satu kekuatan buku hasil kajian Lily Zubaidah ini adalah menceritakan kedudukan Singapura pada ketika ini. Sebagai contoh, Singapura sudah mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (NIC- Newly Industrializing Country) pertama di Asia Tenggara, selain diiktiraf negara maju oleh Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD- Organization for Economic Co-Operation and Development). Singapura juga mencatat kadar pemilikan rumah tertinggi iaitu 90% penduduk memiliki rumah sendiri.

Buku ini juga menjelaskan kedudukan Melayu dan Islam serta kaitan antara Melayu dan Islam. Pemerintah berusaha memisahkan kaitan Melayu dan Islam dengan pelbagai cara. Dijelaskan juga bagaimana masyarakat Melayu terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Penulis juga membandingkan mengenai bidang pekerjaan bagi kaum Melayu dan Cina dari tahun 1957 hingga 1980. Turut diketengahkan bagaimana PAP mengurus kekuasaan dan mengekalkan hegemoni ideologi PAP.

Saya agak terkejut, apabila penulis mendedahkan bagaimana kekangan dan cengkaman pihak penguasa terhadap media massa di negara tersebut. Pemerintah mengambil tindakan terhadap akhbar dan media yang melanggar peraturan melalui Akta Percetakan Akhbar. Sebagai contoh, pada 1985, Asian Wall Street Journal telah dikenakan tuduhan menghina dan 1987, edaran FEER dikurangkan daripada 9,000 kepada 500 naskhah disebabkan laporan tentang penahanan ISA pada tahun itu. Selain, edaran The Asian Wall Street Journal juga telah dihadkan daripada 5,000 kepada 400 naskhah pada 1987.

Buku ini juga memberi saya maklumat dan pengetahuan baru, seperti istilah-istilah dalam lanskap politik dan demokrasi Singapura. Istilah seperti Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP-Non-Constituency Member of Parliament), Anggota Parlimen Dicalon (NMP-Nominated Member of Parliament), Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC-Group Representative Constituency). Penulis juga mendedahkan penggunaan ISA oleh pemerintah untuk mempertahan kekuasaan. Ramai dikalangan kita mungkin mengetahui, bagaimana sikap parti PAP di Singapura pada tahun 1950 ‘an hingga 60 ‘an cenderung kepada sosialis demokratik, tetapi, sejak tahun 70 ‘an ia cenderung kepada ideologi konservatif.

Singapura yang telah melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST-Goods and Services Tax) pada tahun 1994 juga telah memberi kesan secara langsung kepada rakyatnya khususnya bagi bangsa Melayu. Dengan pelaksanaan cukai ini ia menjejaskan ekonomi warga tua dan yang berpendapatan rendah. Antara sebab pelaksanaan GST oleh pemerintah adalah untuk menjadikan ekonomi Singapura berdaya saing serta dengan penurunan cukai korporat dan perkhidmatan boleh menarik pelabur ke republik itu.

Selain itu, penulis juga menerangkan bagaimana doktrin dan gambaran tentang orang Melayu oleh pemerintah, iaitu bangsa yang mudah berpuas hati, malas, tidak ambil peduli, suka bersenang, tidak ada motivasi dan tidak ada disiplin. Parti pemerintah juga telah menggunakan pelbagai strategi untuk mengurangkan sumber kuasa politik masyarakat Melayu. Antara strategi yang digunakan untuk melemahkan kuasa undi masyarakat Melayu seperti program penempatan semula Bandar, kuota kediaman etnik, Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan lain-lain.

Antara topik lain yang disentuh oleh penulis adalah kelemahan pemimpin Melayu dalam PAP dan kerajaan PAP. Dari tahun 1960 hingga 1991 jumlah perwakilan ahli parlimen Melayu di parlimen tidak pernah lebih daripada 10 orang, walaupun jumlah ahli parlimen meningkat daripada 50 orang pada tahun 1960 kepada 81 orang pada tahun 1991. Kesimpulannya, peratus ahli parlimen Melayu di parlimen semakin menurun iaitu daripada 20% pada tahun 1960 kepada 9.8% pada tahun 1991.

Selain politik, penulis juga mendedahkan kedudukan masyarakat Melayu dalam aspek pelajaran. Antara perkara yang disentuh oleh penulis, mengenai Dasar Pelajaran Baru (NEP-New Education Policy), Sistem Pelajaran Baru (NES- New Education System) 1991, Cadangan Laporan Goh NEP 1979, Program Pendidikan Pelajar Bijak (GEP- Gifted Education Programme) dan lain-lain. Dalam bab 10, penulis menyentuh mengenai penubuhan sebuah badan iaitu Yayasan Mendaki atas usaha sendiri Melayu Islam. Mendaki merupakan singkatan bagi Majlis Pendidikan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan pada bulan Mei 1982.

Secara keseluruhannya, penulis buku ini, Lily Zubaidah Rahim memaparkan wajah sebenar parti pemerintah di Singapura iaitu PAP terhadap masyarakat Melayu. Selain menyentuh mengenai strategi-strategi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu dan meminggirkan mereka dalam bidang pendidikan. Beliau juga menjelaskan kapasiti dan kekuatan ahli politik Melayu dalam PAP dan kerajaan serta menggerakkan agenda positif untuk masyarakat Melayu.

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "


Tuesday, February 23, 2010

ULASAN BUKU PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA

Buku yang ku miliki terbitan ITNM


Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kerana Berjaya menerbitkan buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791- 1965 (Old Treaties & Documents of Malaysia 1791-1965). Moga dengan terbitnya buku dokumentasi perjanjian lama negara kita ini memberi manfaat kepada kita semua. Sekadar makluman, buku ini saya beli pada 2 Ogos 2008 dan saya juga sempat menghadiri pelancaran buku ini di lobi Parlimen pada tahun lepas.

Satu perkara yang harus dipuji adalah penerbitan buku ini dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta yang pertama dalam bahasa Melayu. Sebelum ini buku-buku berkaitan perjanjian dan dokumen lama negara kita diterbitkan dalam bahasa Inggeris seperti hasil dokumentasi Maxwell & Gibson pada tahun 1924 (London), Allen, Stockwell & Wright (1981, New York) dan Gallop, A.T (1994, London). Maka kita boleh katakan terbitan sebelum ini adalah diluar negara dan dilakukan oleh bukan rakyat negara kita.

Antara dokumen dan perjanjian yang dimuatkan dalam buku ini adalah Persetiaan dengan Sultan Kedah pada tahun 1791, Persetiaan dengan Naning (1801), Perjanjian Sir Stamford Raffles (1819), Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824), Ordinan Peraturan Darurat (1948), Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (1957), Pemasyhuran Kemerdekaan (1957), Perjanjian Berhubung dengan Malaysia (1963), Pemashhoran Malaysia (1963), Akta Perlembagaan dan Malaysia (pindaan Singapura) pada tahun 1965 serta banyak lagi.

Saya berpandangan dengan penerbitan dokumen-dokumen penting ini memudahkan lagi untuk kita mengetahui beberapa perkara dalam aspek sejarah, perundangan, politik dan sebagainya selain memudahkan warga kampus, iaitu mahasiswa dan pensyarah membuat rujukan. Mungkin sebelum ini, bahan-bahan seperti boleh dijumpai di arkib negara Malaysia atau perpustakaan-perpustakaan universiti, tetapi dengan adanya buku ini memudahkan lagi untuk membuat rujukan kerana telah digabungkan dokumen-dokumen penting dan masyhor dalam sebuah buku.

Dengan memiliki buku ini, saya juga dapat menambah pengetahuan dan maklumat sebenar tentang sejarah negara kita, istilah-istilah baru, nama-nama penting dan banyak lagi. Sebagai contoh, dalam buku ini memaklumkan perjanjian dan dokumen lama ini secara khususnya dikenali sebagai triti (treaties), perjanjian (agreements) dan persetiaan. Dalam buku ini editor menerangkan maksud triti, ia ditakrifkan sebagai perjanjian bertulis antarabangsa antara dua buah Negara (triti dwipihak) atau dalam kalangan beberapa buah Negara (triti berbilang pihak). Perjanjian sedemikian juga dikenali sebagai konvensyen (contoh Konvensyen Geneva) atau protokol (misalnya Protokol Kyoto) atau pakatan seperti Pakatan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Pact).

Antara maklumat baru yang saya perolehi adalah latar belakang Maxwell dan Gibson, dua individu yang banyak terlibat dalam menerbitkan dokumen-dokumen lama negara kita sebelum ini. Maxwell dan Gibson masing-masing merupakan Ketua Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-undang Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Untuk makluman rakan-rakan, Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824) dan Perjanjian Belanda (1824) merupakan dokumen penting untuk keterangan dalam pendengaran tuntutan bertindih Malaysia-Singapura berhubung Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda yang bermula 6 hingga 23 November 2007. Satu perkara yang mengejutkan saya, antara dokumen atau perjanjian ini terdapat dokumen yang tidak pernah ditandatangani oleh mana-mana pihak dan telah disalah anggap sebagai suatu perjanjian penyerahan Pulau Pinang oleh Sultan Kedah kepada British.

Akhirnya, saya mengharapkan pihak ITNM dapat menerbitkan banyak lagi dokumen-dokumen penting negara yang tidak termasuk dalam kategori Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk tatapan umum dan memudahkan rujukan dalam bidang ini. Saya juga mencadangkan pihak ITNM dapat menerbitkan artikal-artikal lama yang penting berkaitan kerajaan dahulu dalam aspek pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“ MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU “

SALAM

Assalamualaikum wrt brkth dan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan.

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana untuk kali ini saya dapat juga untuk update blog saya yang telah lama ditinggalkan. Mungkin untuk permulaan saya hanya berkongsi perkara-perkara yang santai dan ringan.
Sekian terima kasih, wassalam
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan