Sunday, June 28, 2009

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua mahasiswa/i baru dan seluruh warga Universiti Malaya (UM). Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi dengan izin dan limpah rahmatNya kita masih mampu mengecapi nikmat dan anugerahNya.

Tahniah dan selamat datang diucapkan kepada semua adik-adik baru kerana berjaya melanjutkan pengajian di UM yang kita cintai ini. Untuk pengetahuan semua, sejak penubuhan UM di Kuala Lumpur pada 25 Mei 1959, kampus kita telah berjaya melahirkan ramai tokoh pemimpin.

Tokoh-tokoh tersebut antaranya, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ke-6 Malaysia), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan), Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia & Sukan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang di Parlimen), Dato’ Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Dato’ Husam Musa (Exco kerajaan Kelantan), Dato' Dr. Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) Dato' Takiyudin Hassan (Exco kerajaan Kelantan) dan ramai lagi.

Pada sesi kali ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) telah menetapkan lima misi utama yang perlu dicapai. Misi tersebut merangkumi aspek kebajikan, perpaduan, pembudayaan ilmu dan intelektual, kepimpinan mahasiswa dan membantu menaikkan imej dan kedudukan universiti.

The Times Higher Education (THE) - Quacquarelli Symonds baru-baru ini telah mengumumkan kedudukan terbaru universiti terbaik di Asia, UM berjaya menduduki ranking ke-39. Dengan kedudukan itu, universiti kita terus mengekalkan kedudukan universiti terbaik di Malaysia.

Dengan tema ‘Bersama Menjulang Tradisi Kecemerlangan’, saya berharap agar ianya menjadi satu panduan dan dorongan untuk kita mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan persatuan serta menimba sebanyak mungkin pengalaman di kampus Uni Perdana ini.

:: BERSAMA MENJULANG TRADISI KECEMERLANGAN ::

Sunday, June 21, 2009

KEHILANGAN SHEIKH DR. FATHI YAKAN AMAT DIRASAI...


Assalamualaikum...

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan takziah diatas pemergian Sheikh Dr. Fathi Yakan ke rahmatullah. Beliau telah kembali menghadap Ilahi pada subuh 13 Jun (Sabtu) yang lalu. Sudah tentu kehilangan beliau amat dirasai oleh umat Islam terutama ahli gerakan Islam seluruh dunia. Beliau meninggalkan kita semua dengan hasil-hasil tulisan ilmiah yang cukup banyak antaranya Maza ya'ni intima'i lil Islam, kaifa nad'u ilal Islam dan banyak lagi.

Pada umur 75 tahun beliau telah meninggalkan kita dan mewariskan perjuangan menyebar risalah Islam. Pemergian beliau mengingatkan saya bagaimana langkah-langkah terakhir As-syahid Syed Qutb ke tali gantung, Imam Hasan al-Banna syahid ditembak, kegigihan Zainab al-Ghazali meneruskan sisa hidup dan meninggal dunia pada tahun 2005 setelah menderita akibat seksaan penguasa, kematian Dr. Zulkifli Mohammad kerana kemalangan di Pahang, pemergian almarhum Ust Fadzil Mohd Noor pada tahun 2002 dan ramai lagi.

Moga Allah menempatkan Sheikh Dr. Fathi Yakan ditempat para solihin, syuhada' dan orang-orang yang beriman. Al-fatihah buat Sheikh Dr. Fathi Yakan...

PIALA KONFEDERASI FIFA 2009


Sekadar berkongsi minat dalam bola sepak...

Lapan pasukan mewakili benua masing-masing memburu kejuaraan piala Konfederasi FIFA 2009 yang berlangsung di Afrika Selatan. Kumpulan A menempatkan pasukan Sepanyol, Afrika Selatan, Iraq dan New Zealand. Manakala kumpulan B diketuai pasukan Brazil, Itali, Mesir dan Amerika Syarikat. Setakat hari ini (21/6/2009) dua pasukan sudah tersingkir daripada saingan iaitu New Zealand dan Amerika Syarikat setelah masing-masing tumpas dua perlawanan berturut-turut.

Brazil dan Sepanyol telah mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah mencatat kemenangan dua perlawanan berturut-turut. Brazil menewaskan Mesir 4-3 dan Amerika Syarikat 3-0. Sepanyol pula mengalahkan New Zealand 5-0 dan Iraq 1-0. Pasukan pilihan saya iaitu Brazil telah membuktikan pasukan itu dikelas tersendiri. Pada kejohanan kali ini, Dunga (jurulatih Brazil) telah menggunakan Kaka, Robinho, Daniel Alves, Maicon, Luis Fabiano, Lucio dan lain-lain untuk memperkukuhkan pasukan 'Samba' ini.

Robinho dan Kaka

Turut mencuri tumpuan kejohanan pada kali ini Iraq dan Mesir. Iraq mampu mengekang kehebatan pasukan Sepanyol walaupun tewas 0-1. Pada perlawanan pertama, Iraq mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan tuan rumah. Dalam kumpulan B, Mesir yang mewakili benua Afrika telah memberi cabaran kepada Brazil hanya tewas 3-4 dan mengejutkan Itali 1-0. Saya menjangkakan perlawanan akhir antara Brazil dan Sepanyol. Dan keputusan memihak kepada Brazil.

Thursday, June 11, 2009

MANOHARA DEMO DEPAN KEDUTAAN MALAYSIA DI INDONESIA

Manohara dengan pakaian Laskar Merah Putih (LMP) melambai kepada orang ramai
suasana demonstrasi depan kedutaan Malaysia
sebahagian anggota Laskar Merah Putih (LMP)
Manohara sedang berucap

Isu hubungan Malaysia dan Indonesia semakin hangat diperkatakan. Media-media di Indonesia telah menyiarkan membicarakan isu Manohara Odelia Pinot dan Tengku Muhammad Fakhry (Tengku Temenggong Kelantan) dan juga isu Ambalat. Terbaru, Manohara dan kumpulan 'Laskar Merah Putih' (LMP) Indonesia telah mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Demonstrasi dalam cuaca hujan lebat itu, yang turut disertai ibu Manohara, Daisy Fajarina antara lain menyebut soal Ambalat dan juga TKI, tenaga kerja Indonesia yang didera oleh majikan di Malaysia. Manohara dan ibunya mengetuai kumpulan demonstrasi tersebut. Kebanyakan mereka datang dengan memakai pakaian 'Laskar Merah Putih'. Ucapan Manohara dalam perhimpunan tersebut, meminta rakyat Indonesia jangan takut dan mesti membela negara mereka. Ternyata isu ini semakin hangat dan dihangatkan oleh media di negara 'seberang'.

Pasukan Laskar Merah Putih dikatakan antara organisasi yang mengurus usaha membawa balik Manohara ke Indonesia. Pasukan ini ditubuhkan ketika isu Indonesia- Timor Timur. Media Indonesia juga turut menyiar mengenai kenyataan ancaman daripada Barisan Indonesia (Barindo) yang bersiap untuk menyerang Malaysia. Mereka juga turut menyindir Malaysia kerana pakaian tentera Malaysia daripada produk Indonesia.

Mereka seharusnya memikirkan ramai rakyat Indonesia mencari rezeki di negara kita, terutama dalam pembinaan bangunan dan pembantu rumah. Isu ini tidak sepatutnya dipanaskan oleh media Indonesia dan juga pertubuhan-pertubuhan sosial di Indonesia. Ruang perbincangan harus di utamakan. Janganlah kerana isu ini hubungan Malaysia- Indonesia tegang. Sememangnya kita mengetahui rakyat Indonesia yang mempunyai sentimen dan sensitiviti yang sangat tingi terhadap negara mereka.

Pemimpin-pemimpin kedua-dua negara mesti bijak menyelesaikan isu ini tanpa dipengaruhi emosi. Kita berharap moga isu ini dapat diselesaikan dengan baik untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. Janganlah cepat melatah, biarlah pemimpin tertinggi negara, termasuk panglima tentera yang menyelesaikan isu Ambalat. Isu Manohara- Fakhry, siasat dahulu dakwaan Manohara, jangan cepat menghukum siapa yang bersalah. Begitu juga dengan isu pekerja Indonesia.

Sunday, June 7, 2009

SUARA SISWA RTM

Assalamualaikum...salam sejahtera & perpaduan kepada rakan-rakan dan teman-teman...

InsyaAllah pada 9 Jun ini akan diadakan forum 'Suara Siswa' RTM di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Saya terlibat sebagai panel bersama dengan Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPP UKM), sdr. Nasir serta moderator forum tersebut, Dr. Fazley. Tajuk yang akan dikupas ialah 'Patriotikah Siswa Kita?'. Berdasar makluman dari pihak RTM, forum tersebut akan disiarkan secara langsung di RTM 1 pada pukul 9-10 malam.

sila klik untuk lihat rakaman tersebut: RTM

TAHNIAH BUAT SAHABAT-SAHABATKU...

Tahniah kepada sahabat-sahabatku yang telah selamat memasuki 'alam yang baru'. Pertama, kepada Syakir dan Munirah yang sudah bergelar suami isteri. Kenangan bersama anta semasa di Nilam Puri, rakan sebilik, rakan se'majmuah', dan memimpin bersama Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) APIUM Nilam Puri begitu banyak sekali. Hari ini (7/6/09) kenduri rumah Syakir dan semalam kenduri rumah Muni.

Kedua, tahniah juga kepada Kak Shai (Shaidatul Hazwani) selamat mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati. Terima kasih atas pertolongan dalam akademik. Kak Shai juga membuat kenduri pada hari ini di Kuala Krai, Kelantan.

Ketiga, kepada senior saya di UM dan sekolah dahulu, Nik Fendi dan Kak Hanan yang juga sudah bertukar status. Esok mereka akan adakan kenduri. Ana doakan moga sahabat-sahabat semua bahagia di dunia dan akhirat serta dimurahkan rezeki.

Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumahtangga sebelum ini, Haafizuddin & Fatin, Zahrah, Basyirah (SMPI), Ghazali & Hazwani...

Saturday, June 6, 2009

PERBINCANGAN BERSAMA MPP UMS & DIALOG PASUM



Perjumpaan Bersama MPP UMS

Alhamdulillah pada 3 Jun baru-baru ini saya dan sahabat-sahabat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sempat mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama sahabat-sahabat dari Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS). Rombongan yang diketuai oleh Sdr. Azrul, Yang Dipertua (YDP) MPP UMS itu tiba di Universiti Malaya (UM) sekitar pukul 11 pagi. Perbincangan bermula pukul 11.30 pagi dan ditamatkan sekitar pukul 2.45 petang. Dimulakan dengan sesi 'taaruf', perkongsian idea mengenai gerak kerja dan perbincangan khusus bertajuk 'Politik Mahasiswa & Malaysia'.
Ternyata dalam perbincangan tersebut banyak isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak. Selesai perbincangan, sahabat-sahabat MPP UMS dihidangkan dengan jamuan nasi ayam. Setelah selesai solat zohor, kami mengadakan sesi bergambar di gazebo Kompleks Perdana Siswa (KPS) seterusnya dibawa mengelilingi sekitar kawasan UM. Rombongan MPP UMS meneruskan lawatan mereka ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sesi Bersama Pelajar Baru PASUM

Setelah selesai sesi bersama MPP UMS sekitar pukul 4.15 petang, saya meneruskan pula agenda bersama 'adik-adik' (pelajar baru) Pusat Asasi Sains UM (PASUM) di Dewan Kuliah Utama (DKU) PASUM. Ternyata 'adik-adik' ini begitu bersemangat, maklumlah baru sahaja selesai mengikuti Minggu Orientasi PASUM. Di PASUM, mereka terbahagi kepada beberapa pengkhususan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Alam Bina dan tambahan Sains Gunaan & Pengajian Islam.

Dalam ucapan, saya sempat memberi beberapa saranan dan nasihat kepada 'adik-adik' baru UM ini, antaranya dalam soal pencapaian akademik, keselamatan, penglibatan dalam persatuan & kelab dan beberapa lagi untuk peringatan mereka. Turut serta dalam majlis ini, sahabat-sahabat ASMUM (fakulti Sains), AKIUM (fakulti Kejuruteraan) dan PSIPUM (fakulti Perubatan) yang juga merupakan bekas pelajar PASUM.

Friday, June 5, 2009

UCAPAN BARACK OBAMA DI CAIRO, MESIR



Ucapan Barack Obama di Mesir semalam dilihat sebagai satu lembaran baru hubungan AS dan dunia Islam. Beliau yang menyentuh mengenai hubungan AS dan negara Islam itu untuk menjernihkan kembali imej AS pasca 11 September. Beliau juga mengimbau kembali semasa berada di Indonesia selalu mendengar azan.

Selain memberikan ucapan, Obama juga mengadakan perjumpaan dengan Hosni Mubarak, presiden Mesir. Selepas ini Obama akan melawat negara Jerman dan Perancis. Sebelum melawat Mesir, Obama telah berjumpa dengan Raja Abdullah di Arab Saudi pada 3hb yang lalu.

KONVENSYEN KEBANGSAAN MPP IPTA 2009 (2)

MPMUM & TNC HEPA UM bergambar bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Untuk ruangan kali ini antara catatan & gambar-gambar sepanjang Konvensyen MPP...

Slot Bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Slot bersama Dato' Saifuddin Abdullah merupakan antara slot yang paling menarik sepanjang konvensyen ini. YB Dato' memulakan ucapan dengan membangkitkan soal pemurnian fungsi HEP di seluruh IPT kearah lebih akademik, seterusnya menyentuh soal road show beliau ke seluruh IPT.

Sesi soal jawab dihangatkan dengan menyentuh mengenai isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), PTPTN, politik baru dan sebagainya. Selesai majlis bersama beliau, saya sempat berbincang dan meminta pandangan beliau mengenai kertas kerja saya yang bertajuk 'Revolusi Mahasiswa dan Politik Baru Malaysia'.

Malam Kebudayaan & Dinner Night

saya bersama MPP UIA & MPP USIM
dari kiri; Zaim (MPP UIA), Khirati (UM), Rasydan (UM) & Fadzil (UM)

Majlis ini lebih bersifat santai dan sekadar menenang fikiran selepas sehari berada di luar untuk khidmat masyarakat. Banyak makanan yang disediakan pada malam itu. Ketika di meja makan banyak isu yang dibincangkan bersama MPP UIA dan USIM. Berkisar mengenai tajuk pembentangan kertas kerja, isu politik kampus, gerakan mahasiswa, kebajikan mahasiswa dan sebagainya.

Khidmat Masyarakat

Dari kiri Fendi (UTM-junior sekolah), Syafeeq (YDP USM), wan (UTHM), Hisyam (UKM), shbt UTHM dan saya
semasa majlis di sekolah-khidmat masyarakat

Aktiviti khidmat masyarakat ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk berdasar kampung yang akan dilawati. Saya termasuk dalam kumpulan yang akan melawat Kampung Sungai Rambut dalam kawasan Batu Pahat. Setibanya kami disambut oleh penduduk kampung dan ketua kampung di surau kampung tersebut.

Antara aktivit yang dilakukan menanam anak pokok nangka, limau dan pinang, aktiviti sambutan hari guru di sekolah kampung tersebut, dan juga melawat tempat penternakan ikan keli dan bela kambing.

Pembentangan Kertas Kerja

kumpulan pertama membentang kertas kerja
ketika giliran saya; dari kiri, Suffi (YDP UMP), Prof. Majid (Moderator-TNC HEPA UMT), Mursyidi (YDP UiTM), Hafizul (MPP UTM) dan saya
saya sedang membentangkan kertas kerja

Saya diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja dari skop Kepimpinan yang bertajuk 'Revolusi Mahasiswa dan Politik Baru Malaysia'. Untuk skop ini, selain saya, Suffi (YDP MPP UMP), Mursyidi (YDP MPP UiTM) dan Hafizul (wakil MPP UTM).

KONVENSYEN KEBANGSAAN MPP IPTA 2009 (1)

YDP-YDP MPP bergambar bersama Menteri Pengajian Tinggi.
Saya (barisan depan, ke-6 dari kanan)

suasana semasa konvensyen
Ketika majlis berlangsung

Salam perjuangan dan salam perpaduan kepada teman-teman...

Ruangan kali ini sekadar perkongsian bermanfaat dengan rakan-rakan dan mahasiswa UM khususnya. Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA 2009 telah diadakan pada 15 Mei hingga 19 Mei yang lalu. Konvensyen kali ini diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor.

Peserta ini melibatkan MPP 20 buah IPTA dan beberapa buah IPTS di Malaysia. Bertemakan " Mahasiswa Teras Pembangunan Modal Insan Cemerlang", konvensyen kali ini diharapkan mampu memberikan manfaat kepaada MPP dan juga kepada kebajikan mahasiswa semua universiti Malaysia. Ianya dianjurkan oleh Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-universiti Malaysia (MAKLUM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) danUTHM.

Antara aktiviti-aktiviti yang disusun sepanjang konvensyen ini, Majlis Perasmian oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, slot bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Saifuddin Abdullah, pembentan kertas kerja oleh MPP yang terpilih, khidmat masyarakat serta banyak lagi.

PERKONGSIAN: PERJUMPAAN BERSAMA PENTADBIRAN UM

Di meja makan bersama Toh Puan, En. Puniamurthy dan Sulaiman kolej 9
Berbincang dengan Toh Puan dan TNC HEPA

Assalamualaikum..
dan Salam sejahtera kepada rakan-rakan dan teman-teman


Pertama sekali, mohon maaf kepada semua rakan-rakan atas kelewatan menyiarkan maklumat mengenai perjumpaan ini.

Berjumpa Pro-Canselor Universiti Malaya (UM)


Pada 5hb Mei yang lalu, bertempat di Rumah Universiti (RU) Universiti Malaya satu perjumpaan khas ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) bersama Pro-Canselor UM, Toh Puan Datuk Hajjah Dr. Aishah Ong.

Turut serta dalam perjumpaan ini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni ( TNC HEPA) UM, Prof. Madya Dato' Dr. Azrae Hj Idris (Pak Rae), penasihat MPMUM, En. Puniamurthy dan pimpinan-pimpinan kolej kediaman. Perjumpaan ini diadakan ketika semua mahasiswa sedang 'bertempur' dengan minggu peperiksaan.

Beberapa perkara telah dibangkitkan untuk makluman dan tindakan di peringkat pentadbiran UM. Antara isu-isu yang dimaklumkan adalah isu kebajikan pelajar asing di UM, akademik dan kebajikan mahasiswa.

Berjumpa Naib Canselor UM

Suasana ketika perbincangan

Perjumpaan bersama ayahanda Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ghouth Jasmon diadakan pada 9hb April di bilik Court, Canseleri bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan MPMUM, kebajikan mahasiswa, hal ehwal kampus dan sebagainya.

TNC HEPA UM, Pak Rae turut serta dalam perjumpaan ini yang bermula pukul 8.30 malam itu. Ayahanda NC turut sama membincangkan isu krisis ekonomi dan kesan terhadap mahasiswa serta pasaran kerja.

Isu keselamatan juga dibangkitkan, ayahanda telah memaklumkan pengurusan telah membincangkan perkara itu dan meluluskan peruntukan untuk isu itu.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan