Saturday, April 26, 2008

KERANA CHELSEA, MALAYSIA SANGGUP TERIMA WARGA ISRAEL?


Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Saya tertarik untuk memberi respon mengenai isu kehadiran pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke Malaysia pada bulan Julai nanti. Lawatan pasukan elit tersebut menimbulkan masalah dan menjadi isu bukan kerana tidak ada rakyat Malaysia yang menyokong pasukan Chelsea, tetapi pasukan tersebut mempunyai dua warga Israel. Pengurus pasukan, Avram Grant dan juga pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan dua orang rakyat Israel.

Sebagaimana yang kita maklum, polisi negara kita tidak membenarkan mengadakan hubungan diplomatik dan juga perdagangan dengan negara haram Israel. Rakyat Malaysia juga dilarang untuk melawat negara tersebut. Tetapi entah kenapa dalam isu ini kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mahu membenarkan rakyat Israel datang ke negara ini.

Sebelum ini, kita tidak kisah pun mana-mana pasukan ternama luar negara berkunjung ke bumi Malaysia, kerana mereka tidak mempunyai pemain atau pegawai dari negara Israel. Sebagai contoh, sebelum ini dua pasukan terkuat Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester United (MU) dan Arsenal pernah datang ke Malaysia untuk tujuan yang sama. Cuma dalam isu lawatan pasukan Chelsea ini kita tidak boleh bertolak ansur kerana melibatkan sensitiviti umat Islam seluruh dunia.

Pasukan Chelsea dijadualkan akan menentang pasukan kebangsaan Malaysia pada 29 Julai ini. Pasukan dari barat London ini sememangnya terkenal dengan kehebatan bintang mereka, seperti Didier Drogba, Frank Lampard, Nicolas Anelka, Claudio Pizzaro dan lain-lain. Ketua eksekutif Chelsea, Peter Kenyon mengugut tidak akan hadir ke Malaysia sekiranya Grant dan Ben Haim tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Namun begitu, timbul beberapa persoalan dalam isu ini, adakah kerana terlalu minat kepada pasukan Chelsea kita sanggup menggadai maruah umat Islam? Ataupun kerana sikap tolak ansur kerajaan Malaysia ini lahir dari semangat kesukanan yang terlalu tinggi? Mungkin tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia membenarkan atlit kriket Israel memasuki ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) juga atas dasar semangat kesukanan.

Saya ada memetik beberapa kenyataan pemimpin yang menyokong kehadiran dua warga Israel ini. Pertama, kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 31 hb Mac lalu yang menyatakan agak malang sekiranya bidang sukan di campuri unsur politik. Selain Timbalan Perdana Menteri, kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad pada 3hb April lalu juga dilihat mengetepikan soal perasaan umat islam.

Antara kenyataan beliau, “Kita mengharapkan sukan adalah sukan, tidak perlu dicampuradukkan dengan politik”. “Kehadiran Chelsea adalah untuk menghiburkan rakyat dan untuk peminat Chelsea yang ramai di negara ini. Ia adalah salah satu program pembangunan sukan bola negara,”.

Selain itu, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Datuk Rais Yatim pada 14hb April baru-baru ini juga dilihat berpihak kepada dua warga Israel tersebut. Beliau berkata “Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia dan dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka”. “Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah dan tidak wajar untuk campurkan antara politik dan sukan,”.

Betulkah urusan politik tidak boleh menganggu bidang sukan? Sebelum ini Amerika Syarikat pernah memboikot kejohanan sukan anjuran negara Russia atas dasar perbezaan politik. Terbaru tindakan aktivis Tibet seluruh dunia menganggu kelancaran perarakan larian obor olimpik Beijing juga kerana membantah sikap China menindas rakyat Tibet.

Bagi saya ini bukan setakat soal politik sahaja, tetapi melibatkan soal agama Islam dan maruah umat Islam di Palestin khususnya. Jangan kita hipokrit terhadap saudara kita di bumi Palestin, membantah pencerobohan Zionis Israel terhadap Palestin tetapi pada masa yang sama membenarkan negara kita di’cerobohi’ oleh rakyat Israel.

Kenapa Malaysia dan FAM berkeras juga mahu membawa pasukan Chelsea ke Malaysia? Sedangkan banyak lagi pasukan-pasukan ternama yang tidak ada warga Israel boleh dijemput datang ke Malaysia seperti Manchester United, Arsenal, AC Milan, Barcelona ataupun Real Madrid. Adakah dengan membawa beberapa orang pemain bola sepak Israel ini boleh meningkatkan mutu bola sepak Malaysia?

2 comments:

Malsi Luzzi said...

If any of the idolators ask you for protection, give them protection until they have heard the words of Allah. Then convey them to a place where they are safe. That is because they are a people who do not know. How could any of the idolators possibly have a treaty with Allah and with His Messenger, except for those you made a treaty with at the Masjid al-Haram? As long as they are straight with you, be straight with them. Allah loves those who do their duty. (Surat at-Tawba: 6-7)

Basyirah Abd Rahman said...

that is no chance for jew to come to malaysia. If other countries (like China and AS) can boycott and condemn in some cases, why not Malaysia do? Yup! Of course we're very sensitive. Don't take granted with our stand!

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan