Thursday, April 3, 2008

FILEM FITNA MENGUJI SENSITIVITI UMAT ISLAM

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Tindakan seorang ahli parlimen Belanda, Geert Wilders (gambar) menyiarkan filem pendek anti Islam, Fitna di internet pada 27 Mac lalu boleh di sifatkan sebagai tindakan biadap. Wilders tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab, tetap bertegas mempertahankan tindakannya walaupun umat Islam seluruh dunia membantah dan mengecam tindakannya. Tindakan tidak bertamadun tersebut boleh menimbulkan ketegangan antara agama, menjejaskan hubungan antara dunia Islam dan dunia barat serta boleh mencetuskan keganasan.

Sebelum ini kita sebagai umat Islam di kejutkan dengan penyiaran kartun menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark iaitu Jyland-Porsten. Tapi kali ini, barat seolah-olah cuba membuka kembali luka lama itu dan mahu menguji sensitiviti umat Islam sekali lagi dengan tindakan menyiarkan filem ini. Filem yang memuatkan petikan beberapa ayat al-Quran serta diselitkan imej serangan 11 September 2001 di Nem York dan imej serangan bom di stesen keretapi bawah tanah di Madrid, Sepanyol pada 2004. Dalam filem tersebut juga disiarkan kembali gambar kartun menghina Rasulullah oleh akhbar Denmark dan beberapa petikan ceramah jihad oleh pejuang Islam.

Sejurus selepas filem ini disiarkan di lamanweb Liveleak.com umat Islam di beberapa buah negara seperti Pakistan, Iran dan Indonesia mengadakan demonstrasi mengecam dan membantah tindakan Wilders tersebut. Selain itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Prof Ekmeleddin Ihsanoglu serta Kesatuan Eropah (EU) membantah penyiaran filem tersebut.

Kerajaan Belanda dan Wilders sepatutnya memahami sensitiviti umat Islam dan juga memikirkan keselamatan rakyat negaranya yang berada di negara lain. Belanda mesti menarik balik penyiaran filem ini dan memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia. Saya juga bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad menggesa umat Islam memboikot semua barangan Belanda.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan