Saturday, April 5, 2008

MAHASISWA KECAM TINDAKAN BIADAP WILDERS DAN BELANDA

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Setelah selesai solat Jumaat tadi (4/4/08) kira-kira 100 orang mahasiswa dan ahli jemaah masjid ar-Rahman berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan biadap Geert Wilders dan kerajaan Belanda. Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan isu penyiaran filem pendek Fitna’ oleh Geert Wilders, seorang ahli parlimen Belanda, yang menghina agama Islam. Filem tersebut mengandungi beberapa ayat suci al-Quran dan diselitkan dengan imej peristiwa 11 September di New York, imej letupan bom di stesen keretapi di Madrid, Sepanyol serta imej kartun menghina Rasulullah yang pernah di siarkan oleh akhbar Denmark.

Bantahan tersebut diadakan di hadapan masjid ar-rahman iaitu bersebelahan pintu masuk ke Universiti Malaya (UM). Perhimpunan dimulakan dengan laungan takbir, seterusnya ucapan Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru di lantik Saudara Haafizuddin Abirerah, wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Saudara Faisal Abd Aziz, wakil KARISMA, Saudara Zulhilmi, Naib Yang Di Pertua (NYDP) PMIUM Saudari Nur Fariza Zahrin dan diakhiri dengan ucapan wakil Teras Keupayaan Melayu (TERAS) UM Saudara Zulzaidi Mahmood.

Perhimpunan tersebut diadakan untuk membangkitkan kesedaran dan sensitiviti umat Islam terhadap isu tersebut yang menghina Islam dan Rasulullah SAW. Umat Islam disarankan supaya memboikot produk keluaran Belanda sebagai tanda bantahan terhadap penerbitan filem tersebut sebagaimana pandangan yang dikeluarkan oleh ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan