Tuesday, May 6, 2008

KALI PERTAMA MASUK DEWAN PARLIMEN

Saya (kanan) dan Hasbi(kiri) bergambar bersama Dato' Shabery Chik, Menteri Penerangan (bekas Presiden PMIUM)

Hari ini, hari bersejarah buat saya kerana pertama kali menjejak kaki ke Dewan Parlimen. Sudah lama merancang untuk pergi ke sana, tetapi jadual peperiksaan memaksa saya menangguh hasrat tersebut. Alhamdulillah, hari ini berjaya juga akhirnya... Sebelum masuk dewan sempat juga berselisih dengan beberapa orang bekas menteri, Kak Pidah (YB Dato' Seri Rafidah Aziz), Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor. Saya, Hasbie dan Muhaimin tercari-cari pintu yang boleh kami masuk, bukan tak jumpa, tapi takut buka-buka terus tempat Yang di-pertua Dewan Rakyat. Pepatah melayu ada mengatakan 'malu bertanya sesat jalan'. Jadi kami ambil keputusan tanya seorang akak yang mengawal dekat pintu masuk..
Bergambar bersama Muhaimin dalam Dewan Rakyat

Kami menyangka sebelum ini Dewan Rakyat besar, rupanya kecil je..perbahasan yang menarik di kalangan ahli parlimen membuatkan kami tidak rasa sedikitpun mengantuk. Perbahasan petang tadi, giliran YB Dr. Mohd Puad Zarkashi, BN Batu Pahat yang juga bekas pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) untuk memberi ucapan. Antara isu menarik yang disentuh oleh beliau, isu ISA, rasuah, pekerja, alam sekitar serta kekuatan BN dan Pakatan Rakyat (PR). Saya memuji sikap yang ditunjukkan oleh YB Dr. Puad dalam memberi ruang kepada YB-YB PR mencelah isu-isu yang dibincangkan. Saya juga kagum dengan kehebatan YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), YB Khalid Samad (PAS-Shah Alam), YB Saifuddin Nasution (PKR-Machang), YB Mohd Yusmadi Yusuff (PKR-Balik Pulau) dan YB Dr. Dzulkfli Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang berhujah dengan bijak dan berfakta.
Suasana dalam Dewan Rakyat

Kadang-kadang ada juga YB Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) bangun mencelah untuk turut serta berbahas, walaupun nampak kurang bijak dalam berbahas. Secara peribadi, saya agak tidak bersetuju dengan cara YB Azmin Ali (PKR-Gombak) mempertahankan Dato' Seri Anwar Ibrahim, walaupun hujahnya mantap dan tepat tetapi nampak terlalu bias kepada Dato' Seri Anwar. Perbahasan petang tadi tamat tepat pukul 5.30 petang.

Semasa berada di luar dewan, kami disapa oleh YB Mohammad Hussin (PAS-Pasir Puteh) dan YB Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang merupakan bekas pimpinan PMIUM. Ketika kami sedang merancang untuk berjumpa dengan YB Dato' Shabery Chik (BN-Kemaman), YB Saifuddin Nasution sempat berhenti di depan kami, dan berbual dengan kami walaupun nampak agak sibuk. Sebelum beredar beliau sempat juga memperkenalkan kami kepada YB Yusmadi...

Sebelum pulang, kami cuba juga untuk berjumpa dengan YB Dato' Shabery. Apabila kami memperkenalkan diri daripada PMIUM, beliau secara tiba-tiba bersemangat untuk berbual dengan kami. Lupa nak bagitahu, YB Dato' Shabery Chik juga bekas presiden PMIUM zaman 80-an. Ketika berbual, beliau berkongsi sejarah zaman beliau menjadi pimpinan kampus dahulu...

1 comments:

Ahmad Shahir Abdul Aziz said...

Pendedahan awal sangat penting dalam meningkatkan jati diri seseorang pemimpin khususnya bagi mereka yang masih bergelar mahasiswa. Semoga saudara pada satu ketika nanti akan Menjadi Yang Berhormat mewakili Parlimen Pasir Puteh, Kelantan...

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan