Monday, June 16, 2008

KAGUM DENGAN SIKAP DAN KEPIMPINAN MATSUSHITA

Sudah lama saya tidak berbicara di ruang maya ini, untuk kali ini saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan mengenai kehebatan seorang tokoh korporat dari Jepun. Mungkin ramai di kalangan kita sudah mengetahui mengenai kehebatan tokoh ini. Namun, sebagai perkongsian saya cuba juga untuk berkongsi dengan rakan-rakan yang belum mengenali tokoh ini. Tokoh yang saya maksudkan adalah Konosuke Matsushita.

Matsushita merupakan pengasas Jeneral Elektrik Jepun: Matsushita Electric Corporation (MEC). Beliau membina kekayaan dan empayar perniagaan yang besar setelah melepasi pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupannya. Ujian yang beliau hadapi dalam kehidupan dan dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang cekal dan tabah serta tak mudah tewas dengan cabaran. Jenama barangan elektronik yang kita guna pada hari ini di Malaysia antaranya Panasonic dan National merupakan antara hasil dari keluaran MEC.


Maklumat beliau saya peroleh dari sebuah buku hasil tulisan John P. Kotter, seorang pensyarah Universiti Harvard yang juga penulis buku ‘Our Iceberg Is Melting’. Konosuke Matsushita di lahir pada penghujung akhir abad ke-19 iaitu 27 November 1897 di kampung pertanian Wasamura dalam wilayah Wakayama, Jepun. Beliau merupakan anak hasil perkahwinan Masakusu dan Tokue Shimamoto. Keluarga beliau pada zaman tersebut boleh dikatakan hidup mewah dengan sumber pendapatan bapanya yang memiliki tanah sawah seluas 150 ekar.


Anak bongsu dari 8 orang adik beradik ini pada peringkat awal semasa keluarga beliau menetap di Wasamura tidak pernah disuruh membuat kerja berat. Matsushita sendiri menggambarkan kehidupan awalnya “penuh kedamaian dan kebebasan”. Sehinggalah keluarganya terpaksa berpindah ke sebuah rumah kongsi berhampiran dengan Wakayama disebabkan masalah ekonomi keluarga pada tahun 1899. Masalah tersebut berpunca dari tindakan bapanya menceburkan diri dalam pasaran komoditi.


Dengan masalah tersebut ibarat bencana menghadapi keluarga beliau. Pelbagai masalah timbul antaranya masalah kekurangan makanan dan juga masalah kesihatan. Bermula dari saat ini seorang demi seorang ahli keluarga beliau meninggal dunia, bermula dengan kematian Hachiro(anak ke-4:lelaki). Layanan ibu dan bapa Matsushita sudah mula berubah. Pada umur sembilan tahun, beliau telah dihantar ke Osaka untuk bekerja enam belas jam sehari dan tinggal dengan majikannya.


Bayangkan pada umur sembilan tahun beliau di arah pergi ke kota besar Osaka seorang diri. Anak kecil mana yang sanggup pergi ke kota besar tanpa ditemani oleh orang dewasa. Kalau kita di Malaysia, ibarat seorang anak kecil dari kampung diarah pergi ke bandar Kuala Lumpur. Tetapi, bandar Osaka lebih besar dari Kuala Lumpur. Setelah menempuhi pelbagai pekerjaan, akhirnya beliau memutuskan untuk berhenti kerja selepas tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pegawai kilang tersebut. Beliau bercadang mahu menubuhkan sebuah kilang sendiri yang mampu mengeluarkan barangan elektronik.


Ketika kilang Matsushita mula beroperasi pada 1917 beliau menggunakan wang simpanannya sebanyak 100 yen iaitu bersamaan lima bulan gaji penuhnya di Syarikat Lampu Osaka (Kilang tempat beliau bekerja sebelum ini). Pembukaan kilang bermodalkan 100 yen adalah sangat sedikit berbanding modal yang digunakan usahawan lain untuk menubuhkan kilang pada ketika itu. Sebagai contoh Noguchi Jun, pengasas Nippon Chisso Hiryo, memulakan perniagaan sebanyak 100,000 yen dan Kiichiro Toyoda melancarkan perniagaan kereta sebanyak sejuta yen. Walaupun modal yang digunakan oleh beliau sangat sedikit, tetapi itu tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus maju kedepan.


Beliau meneruskan juga usaha walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi semasa peringkat awal penubuhan kilang ini antaranya kerugian, masalah pemasaran, keyakinan pembeli dan juga penarikan diri dua orang sahabat baik beliau dari kilang tersebut, iaitu Isaburo Hayashi dan Nobujiro Morita. Namun, ujian ini tidak melemahkan semangat beliau untuk meneruskan rancangannya. Setelah mengharungi pelbagai ujian akhirnya perniagaan beliau mula menampakkan hasil setelah beliau bersetuju untuk menghasilkan plat penebat kepada Syarikat Elektrik Kawakita. Bermula dari saat itu perniagaan beliau semakin berkembang dan membesar. Beliau menerapkan kepada semua pekerjanya pengurusan yang tersusun dan budaya kerja melalui pembacaan ikrar setiap hari.


Untuk pengetahuan rakan-rakan, beliau kehilangan semua orang tersayang, iaitu kematian semua adik-beradik dan ibu bapanya sebelum beliau menubuhkan kilang. Setelah berkahwin dengan Mumeno Iue, beliau dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Seperti sebelum ini, anak lelakinya juga meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan. Kemudian perniagaan beliau semakin maju sehinggakan pendapatan mencecah USD65 bilion setahun. Perniagaan beliau banyak dibantu oleh adik iparnya, Toshio Iue, yang kemudiannya menubuhkan perniagaan sendiri.


Setelah Konosuke Matsushita meninggal dunia perniagaan ini diserahkan kepada menantunya, Masaharu Matsushita yang berkahwin dengan anak perempuannya, Sachiko. Sikap dan kepimpinan beliau seharusnya di jadikan contoh kepada kita bagaimana beliau tidak menjadikan kemiskinan, masalah keluarga dan kematian sebagai alasan untuk berjaya.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan