Thursday, June 19, 2008

PASUKAN MANAKAH BAKAL BERGELAR JUARA EURO 2008?


Kejohanan Piala Eropah 2008 (EURO 08’) kali ini yang dianjurkan bersama oleh Austria dan Switzerland cukup menarik walaupun tanpa kehadiran pasukan England. kekalahan pasukan England kepada pasukan Croatia semasa kelayakan peringkat kumpulan menyebabkan pasukan tersebut gagal layak ke kejohanan kali ini. Persoalannya, tanpa England, pasukan manakah bakal membawa pulang piala berprestij Eropah tersebut? Adakah Portugal? Sepanyol? Jerman? ataupun Belanda?


Mungkin ramai dikalangan peminat bola sepak sudah membuat ramalan dan jangkaan pasukan mana yang akan layak ke final. Ada yang mengatakan final nanti Sepanyol akan lawan Portugal, tidak kurang yang mengatakan Jerman lawan Belanda. Adakah pasukan Turki dan Croatia yang layak ke suku akhir akan membuat kejutan sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Greece semasa Euro 2004 di Portugal?


Bagi saya, saya menjangkakan pasukan Belanda akan bertemu pasukan Portugal di final nanti. Antara sebabnya, kerana pasukan Belanda sudah menunjukkan aksi yang konsisten di peringkat kumpulan C, dengan menewaskan pasukan Itali 3-0, Perancis 4-1 dan Romania 2-0. Kehebatan yang ditunjukkan oleh Ruud Van Nistelrooy, Arjen Robben, Robin Van Persie dan ketangkasan Edwin Van Der Sar juga dilihat satu sebab mengapa saya memilih pasukan ini untuk layak ke final.


Manakala pasukan Portugal pula dilihat mempamerkan aksi yang cukup menarik semasa peringkat kumpulan A walaupun tewas 0-2 kepada Switzerland pada perlawanan terakhir. Kemampuan pasukan Portugal menewaskan pasukan Turki 2-0 dan Republik Czech 3-1 pada peringkat kumpulan menjadi indikator penyebab saya memilih pasukan Portugal untuk layak ke final di Vienna pada 30 Jun nanti.


Euro kali ini menyaksikan pasukan Perancis tersingkir pada peringkat kumpulan setelah tewas kepada Itali 2-0 pada perlawanan penentuan. Selain itu, Euro kali ini juga menjadi medan setiap pasukan untuk mempersembahkan bintang-bintang masing-masing. Portugal tampil dengan Cristiano Ronaldo dan Deco, Jerman pula dengan Lukas Podolski, Michael Ballack dan Phillip Lahm dan pasukan Sepanyol tampil bergaya dengan aksi David Villa dan Fernando Torres.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan