Tuesday, May 20, 2008

BERBICARA TENTANG KHAIRY JAMALUDDIN


Khairy Jamaluddin satu nama yang tidak asing bagi kita. Menantu kesayangan Perdana Menteri, Pak Lah Badawi yang sekarang ini menjadi Ahli Parlimen Rembau merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Kelab Bola Sepak UPB FC-My Team, sebuah pasukan dalam Liga Super Malaysia. Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini, beliau berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisyam Zaharin bagi Parlimen Rembau.

Sejak akhir-akhir ini timbul persoalan di minda saya, kenapa tiba-tiba imej Khairy sedikit berubah. Mungkin kita boleh katakan gaya sekarang ala pejuang Mujahidin di Afghanistan. Adakah Khairy sudah berubah dan insaf? Ataupun sekadar mahu membersihkan imej beliau yang tercalar ekoran keputusan PRU ke-12 baru-baru ini? Ataupun Khairy ini mempunyai tabiat yang sama dengan David Beckham(Pemain bola sepak England dan LA Galaxy) yang suka mengubah gaya penampilan? Pelbagai andaian muncul di minda saya.
Baru-baru ini saya sempat berjumpa dengan beliau di Lobi Parlimen untuk menyerahkan lencana dan memorandum mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kepada semua ahli parlimen. Beliau sempat mengajukan beberapa persoalan kepada saya mengenai AUKU.
Saya cukup tertarik dengan ucapan beliau dalam sidang dewan negara minggu lepas, beliau menyebut ‘satu negeri telah meluluskan Projek Khinzir Raksasa atau singkatannya P.K.R ‘(Parti Keadilan Rakyat). Apabila ramai ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangun untuk mencelah dan mempertikaikan ucapannya, beliau langsung tidak memberi ruang. Mungkin ketika itu, beliau berfikir ahli parlimen PR sudah tidak mampu lagi untuk membalas kenyataan beliau.

Ahli parlimen Pokok Sena (PAS) Mahfuz Omar bangun dan berkata, ini bukan Projek Khinzir Raksasa (PKR), tapi Projek Babi Negara (Projek BN). Malangnya, Khairy cepat sangat melatah apabila terkena batang tubuh sendiri, beliau terus meminta Mahfuz menarik balik, sedangkan beliau sebelum itu sangat bangga menggunakan perkataan menyindir PR sesuka hati.

Selain isu perubahan gaya penampilan dan gelagat beliau di Dewan Negara, Khairy juga sedang memasang strategi bagaimana mahu mendapatkan jawatan ketua pemuda UMNO. Bukan mudah untuk beliau mendapat jawatan tersebut, ini kerana terlalu banyak ahli UMNO tidak berpuas hati dengan beliau termasuk Tun Dr. Mahathir yang baru mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli UMNO.
Antara nama-nama yang disebut mahu bertanding jawatan tersebut semasa pemilihan Agung UMNO nanti, Dato’ Mukhriz Mahathir (gambar sebelah) dan Dr. Khir Toyo(bekas MB Selangor). Selain nama tersebut, nama Dato’ Norza Zakaria juga dikatakan akan bertanding, walaupun kita semua maklum Dato’ Norza sendiri merupakan team Khairy. Mungkin Dato’ Norza akan digunakan oleh Khairy untuk mendapat jawatan tersebut. Beberapa persoalan ingin saya lontarkan sebelum mengakhiri perkongsian ini, adakah insan yang bernama Khairy Jamaluddin ini mampu meneruskan karier politik ketika Pak Lah tidak lagi bergelar Perdana Menteri? Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kepada Khairy nanti….

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan