Thursday, June 19, 2008

SPEAKER’S CORNER, DULU DI UM SEKARANG DI KB

Kalau dahulu di Universiti Malaya (UM) wujudnya ‘Speaker’s Corner’ yang digunakan oleh mahasiswa untuk menyatakan pandangan dan juga kritikan. Zaman 60-an dan 70-an yang dikatakan zaman ‘Mahasiswa Menggugat’, ‘Speaker’s Corner’ digunakan sebaik mungkin oleh mahasiswa untuk menyatakan pendirian mereka terhadap sesuatu isu yang belaku. Namun setelah sekian lama pentas itu diwujudkan, hari ini istilah ‘Speaker’s Corner’ tidak lagi kedengaran.

Sekiranya kita membaca buku tulisan Mohammad Abu Bakar iaitu ‘Mahasiswa Menggugat’, beliau menyebut ‘Speaker’s Corner’ digunakan untuk memanaskan pentas pidato di kalangan mahasiswa dan untuk menaikkan semangat mahasiswa sebelum turun berdemonstrasi terhadap sesuatu isu. Kenapakah hari ini ‘Speaker’s Corner’ tidak lagi diwujudkan? Adakah ia tidak membantu budaya intelektual di kalangan mahasiswa? Ataupun boleh mengancam keselamatan negara?

Hari ini, usaha untuk mewujudkan kembali ‘Speaker’s Corner’ telah dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan. Idea tersebut dicetuskan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertujuan mahu memberi peluang kepada rakyat terutama golongan muda untuk meluahkan pandangan mereka. Difahamkan Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan digunakan untuk tujuan tersebut dan akan diadakan pada setiap petang Jumaat dan Sabtu.

Saya berpandangan dengan kewujudan pentas ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengasah bakat mereka berpidato. Budaya ini sepatutnya dihidupkan supaya golongan muda tidak ketinggalan memberi pandangan mereka dalam sesuatu isu dan masalah. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita sepatutnya mewujudkan kembali ‘Speaker’s Corner’ untuk memberi ruang kepada mahasiswa menyatakan pandangan, teguran dan juga pendirian mereka. Budaya ini akan melahirkan mahasiswa yang tercabar dari sudut minda dan juga pemikiran.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan