Saya tertarik untuk memberi respon mengenai isu kehadiran pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke Malaysia pada bulan Julai nanti. Lawatan pasukan elit tersebut menimbulkan masalah dan menjadi isu bukan kerana tidak ada rakyat Malaysia yang menyokong pasukan Chelsea, tetapi pasukan tersebut mempunyai dua warga Israel. Pengurus pasukan, Avram Grant dan juga pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan dua orang rakyat Israel.
Pasukan Chelsea dijadualkan akan menentang pasukan kebangsaan Malaysia pada 29 Julai ini. Pasukan dari barat London ini sememangnya terkenal dengan kehebatan bintang mereka, seperti Didier Drogba, Frank Lampard, Nicolas Anelka, Claudio Pizzaro dan lain-lain. Ketua eksekutif Chelsea, Peter Kenyon mengugut tidak akan hadir ke Malaysia sekiranya Grant dan Ben Haim tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.
Namun begitu, timbul beberapa persoalan dalam isu ini, adakah kerana terlalu minat kepada pasukan Chelsea kita sanggup menggadai maruah umat Islam? Ataupun kerana sikap tolak ansur kerajaan Malaysia ini lahir dari semangat kesukanan yang terlalu tinggi? Mungkin tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997 ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia membenarkan atlit kriket Israel memasuki ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) juga atas dasar semangat kesukanan.
Saya ada memetik beberapa kenyataan pemimpin yang menyokong kehadiran dua warga Israel ini. Pertama, kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 31 hb Mac lalu yang menyatakan agak malang sekiranya bidang sukan di campuri unsur politik. Selain Timbalan Perdana Menteri, kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad pada 3hb April lalu juga dilihat mengetepikan soal perasaan umat islam.
Antara kenyataan beliau, “Kita mengharapkan sukan adalah sukan, tidak perlu dicampuradukkan dengan politik”. “Kehadiran Chelsea adalah untuk menghiburkan rakyat dan untuk peminat Chelsea yang ramai di negara ini. Ia adalah salah satu program pembangunan sukan bola negara,”.
Selain itu, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Datuk Rais Yatim pada 14hb April baru-baru ini juga dilihat berpihak kepada dua warga Israel tersebut. Beliau berkata “Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia dan dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka”. “Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah dan tidak wajar untuk campurkan antara politik dan sukan,”.
Betulkah urusan politik tidak boleh menganggu bidang sukan? Sebelum ini Amerika Syarikat pernah memboikot kejohanan sukan anjuran negara Russia atas dasar perbezaan politik. Terbaru tindakan aktivis Tibet seluruh dunia menganggu kelancaran perarakan larian obor olimpik Beijing juga kerana membantah sikap China menindas rakyat Tibet.
Bagi saya ini bukan setakat soal politik sahaja, tetapi melibatkan soal agama Islam dan maruah umat Islam di Palestin khususnya. Jangan kita hipokrit terhadap saudara kita di bumi Palestin, membantah pencerobohan Zionis Israel terhadap Palestin tetapi pada masa yang sama membenarkan negara kita di’cerobohi’ oleh rakyat Israel.
Kenapa Malaysia dan FAM berkeras juga mahu membawa pasukan Chelsea ke Malaysia? Sedangkan banyak lagi pasukan-pasukan ternama yang tidak ada warga Israel boleh dijemput datang ke Malaysia seperti Manchester United, Arsenal, AC Milan, Barcelona ataupun Real Madrid. Adakah dengan membawa beberapa orang pemain bola sepak Israel ini boleh meningkatkan mutu bola sepak Malaysia?