Tuesday, March 17, 2009

PERUTUSAN MAULIDURRASUL


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Jumu'ah ayat 2 :

"Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan redha-Nya kita masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat yang paling besar dalam hidup kita iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Rasulullah S.A.W seluruh kaum keluarga baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam walau di mana jua kita berada. Semoga hari-hari yang kita lalui ini akan sentiasa mendapat perhatian dan bimbingan iman dari Allah S.W.T.

Syukur juga saya panjatkan kepada Rabbul Izzati kerana atas rahmat-Nya yang maha besar saya masih diberi kesempatan untuk menerbitkan perutusan khas saya untuk Maulidurrasul 1430 hijrah.

Pertama-tamanya ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian menjejaki kembali sirah Rasul junjungan kita Muhammad S.A.W. Menurut pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 23 April 571M.
Pada bulan ini juga Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, dan ketika itu baginda berusia 40 tahun. Bermula detik dan saat itu bermulalah dakwah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad tersebar ke seluruh dunia sehingga kini .


Muslimin Muslimat yang saya kasihi sekalian

Berbicara mengenai sambutan maulidur rasul, umum mengetahui bahawa terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai hukum meraikannya. Berkata Imam Jalaluddin Sayuti : “ Ibadah macam itu adalah bid’ah Hasanah ( bid’ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadah itu terdapat suasana membesarkan nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya nabi Muhammad S.A.W yang mulia”

Berkata Syeikh Atiah Saqr : “Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliaannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid’ah.

Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilangsungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.”

Ulama lain menentang sambutan maulidurrasul ini atas hujah apa yang telah disuruh Rasulullah S.A.W hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadah yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah :

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata : Nabi S.A.W telah ditanya tentang puasa pada hari isnin lalu beginda bersabda : “ dihari tersebutlah aku dilahirkan dan dihari tersebut jugalah aku diutuskan.” “..dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat”. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

Sahabat-sahabat sekalian

Fenomena mutakhir ini, kita melihat terlalu banyak perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah iman dan Islam menjangkiti anak muda muslim. Gejala sosial seperti mendedahkan aurat, pergaulan tanpa batasan, hubungan cinta sonsang dan macam-macam lagi terus-terusan menjangkiti anak remaja. Natijah kepada jangkitan budaya-budaya negatif itu, apa yang terjadi anak muda semakin lupa kepada agama. Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan dan membimbangkan.

Jesteru saya melihat sambutan maulidur rasul sebenarnya boleh kita jadikan medium untuk memberi kesedaran kepada anak muda tentang agama. Sebaiknya sambutan maulidurrasul perlu diisi dengan program-program berunsurkan ibadah seperti forum agama, solat sunat, ceramah agama, qiamullail perdana, dan ibadah-ibadah lain sama ada dilakukan secara persendirian atau melibatkan jemaah yang ramai.

MPMUM dengan kerjasama PMIUM dan Balai Islam kolej-kolej kediaman akan mengadakan sambutan maulidurrasul pada 9 haribulan ini. Bertemakan “menjejak sunnah mengapai cinta rasul”, saya mengharapkan program ini bukan sahaja akan dapat dijalankan dengan jayanya tetapi juga akan memberi kesedaran kepada kita semua bahawa perlunya kita kembali semula menjadikan rasulullah S.A.W sebagai panduan dan ikon ikutan kita.

Untuk akhirnya saya bagi pihak seluruh barisan kepimpinan MPMUM sesi 08/09 mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1430H. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kita.

Mohd Ridzuan Bin Mohammad
Yang Dipertua (YDP)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya
sesi 2008/09


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan