Sunday, March 29, 2009

MENG'ILMU'KAN POLITIK MALAYSIA

Tindakan pemimpin kini yang dikatakan suka menggunakan politik wang untuk memancing pengundi juga mengunakan taktik kotor lain untuk menjatuhkan antara satu sama lain adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berharap satu perubahan akan berlaku menjelang pemilihan UMNO dan pilihanraya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai 7 April nanti. Berikutan itu MPMUM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta agar menghentikan taktik kotor menjatuhkan lawan.

Kami di peringkat mahasiswa sama sekali tidak bersetuju dengan taktik kotor untuk kepentingan individu. Menggunakan wang misalnya atau gejala fitnah-memfitnah bagi tujuan memancing pengundi atau menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan merugikan individu terbabit dan merugikan rakyat secara tidak langsung hanya akan memberi impak yang negatif kepada negara.

Pemimpin hari ini seharusnya menjadi qudwah kepada kepimpinan akan datang. Pembudayaan politik yang bermaruah akan menjadi kayu ukur kepada tahap kemajuan dan pembangunan negara. Dalam usaha kita melahirkan politik yang bebas dari taktik kotor seperti yang diminta Perdana Menteri, salah satu perkara penting yang patut diutamakan adalah pembudayaan ilmu.

Kita mahu melahirkan pemimpin yang mempunyai tahap profesionalisme serta tahap integriti yang tinggi bukan pemimpin yang kurang berpendirian intelek. Kita mahukan sistem politik yang lebih matang berlandaskan politik ilmu bukan politik yang hanya berjejak pada landasan kuasa dan pengaruh semata-mata.

Ilmu adalah asas kepada tindak tanduk profesional. Kepakaran terhadap sesuatu bidang hanya akan dapat diperolehi dengan ilmu. Oleh itu, ahli politik yang memegang sesuatu agensi dalam kerajaan perlu mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut untuk menghasilkan idealisme dan corak politik yang profesional.

Penghasilan politik ilmu akan memandu hala tuju politik negara ke arah sistem yang lebih bermaruah. Kita percaya bahkan sudah terbukti bahawa negara kita berupaya menghasilkan ilmuan-ilmuan yang namanya setaraf dipersada antarabangsa. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid misalnya, seorang pemimpin yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang ekonomi, malah pencapaiannya mendapat pengiktirafan negara juga dunia.

Adalah lebih baik sekiranya orang seperti beliau dilantik untuk memegang agensi ekonomi dalam tampuk kepimpinan negara. Hanya beliau tidak penah diberi peluang berkhidmat di arena politik sebenar Malaysia.

Justeru kami diperingkat mahasiswa berpendirian, kita seharusnya mampu menghasilkan satu perubahan dalam corak kepimpinan negara kerana kami berpendapat apa yang dikatakan politik ilmu akan mematangkan sistem politik Malaysia yang sedia ada.


0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan