Sunday, March 29, 2009

MENG'ILMU'KAN POLITIK MALAYSIA

Tindakan pemimpin kini yang dikatakan suka menggunakan politik wang untuk memancing pengundi juga mengunakan taktik kotor lain untuk menjatuhkan antara satu sama lain adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berharap satu perubahan akan berlaku menjelang pemilihan UMNO dan pilihanraya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai 7 April nanti. Berikutan itu MPMUM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta agar menghentikan taktik kotor menjatuhkan lawan.

Kami di peringkat mahasiswa sama sekali tidak bersetuju dengan taktik kotor untuk kepentingan individu. Menggunakan wang misalnya atau gejala fitnah-memfitnah bagi tujuan memancing pengundi atau menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan merugikan individu terbabit dan merugikan rakyat secara tidak langsung hanya akan memberi impak yang negatif kepada negara.

Pemimpin hari ini seharusnya menjadi qudwah kepada kepimpinan akan datang. Pembudayaan politik yang bermaruah akan menjadi kayu ukur kepada tahap kemajuan dan pembangunan negara. Dalam usaha kita melahirkan politik yang bebas dari taktik kotor seperti yang diminta Perdana Menteri, salah satu perkara penting yang patut diutamakan adalah pembudayaan ilmu.

Kita mahu melahirkan pemimpin yang mempunyai tahap profesionalisme serta tahap integriti yang tinggi bukan pemimpin yang kurang berpendirian intelek. Kita mahukan sistem politik yang lebih matang berlandaskan politik ilmu bukan politik yang hanya berjejak pada landasan kuasa dan pengaruh semata-mata.

Ilmu adalah asas kepada tindak tanduk profesional. Kepakaran terhadap sesuatu bidang hanya akan dapat diperolehi dengan ilmu. Oleh itu, ahli politik yang memegang sesuatu agensi dalam kerajaan perlu mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut untuk menghasilkan idealisme dan corak politik yang profesional.

Penghasilan politik ilmu akan memandu hala tuju politik negara ke arah sistem yang lebih bermaruah. Kita percaya bahkan sudah terbukti bahawa negara kita berupaya menghasilkan ilmuan-ilmuan yang namanya setaraf dipersada antarabangsa. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid misalnya, seorang pemimpin yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang ekonomi, malah pencapaiannya mendapat pengiktirafan negara juga dunia.

Adalah lebih baik sekiranya orang seperti beliau dilantik untuk memegang agensi ekonomi dalam tampuk kepimpinan negara. Hanya beliau tidak penah diberi peluang berkhidmat di arena politik sebenar Malaysia.

Justeru kami diperingkat mahasiswa berpendirian, kita seharusnya mampu menghasilkan satu perubahan dalam corak kepimpinan negara kerana kami berpendapat apa yang dikatakan politik ilmu akan mematangkan sistem politik Malaysia yang sedia ada.


MPMUM BANTAH GEJALA HOMOSEKSUAL

Belakangan ini anak muda kita dihinggapi satu fenomena yang bertentangan dengan agama dan moral masyarakat iaitu merebaknya budaya dan amalan homoseksual. Penyebaran budaya lesbian dan gay ini sudah mencapai tahap kritikal apabila golongan ini dengan beraninya menayangkan filem seperti Comolot yang nyata-nyata memperlihatkan tabiat songsang ini di dalam laman-laman web.

Filem pendek yang diterbitkan oleh pelajar-pelajar Akademi Seni Warisan Dan Kebudayaan Kebangsaan (ASWARA) sehingga kini telah disebar-luaskan di laman-laman internet termasuk laman YouTube yang sangat mudah untuk di layari oleh siapa sahaja.

Kami di peringkat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) membantah keras penayangan filem Comolot dan seumpamanya. Penayangan filem seumpama ini jika tidak di beri perhatian serius akan mendatangkan fahaman, bahawa mereka diberi kebebasan melakukan perkara tersebut.

Kita melihat penyebaran filem ini adalah satu perbuatan yang bukan hanya akan memberi ruang tersebarnya budaya songsang ini bahkan akan memberi persepsi yang buruk terhadap negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Di dalam agama Islam sendiri jelas mengharamkan gay dan lesbian. Termasuk Ijma’ para ulama juga yang tidak pernah berselisih tentang hal ini. Tidak ada kelonggaran dalam Islam berkaitan hal ini yang menghalalkannya walaupun berdasarkan akal rasional. Amalan songsang ini juga bertentangan dengan prinsip moral agama dan masyarakat.

Jesteru kami dipihak MPMUM berharap agar pihak yang berwajib melihat hal ini dengan lebih serius. Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Ulama Malaysia dan mufti-mufti perlu bertindak dengan lebih agresif dalam membendung gejala ini.

Pada masa yang sama kerajaan juga perlu peka dan mengambil tindakan yang lebih serius dan segera dalam usaha membendung permasalahan ini malah jika perlu, penguatkuasaan undang-undang berkaitan tatatertib moral perlu dilakukan .

Kita bimbang gejala yang juga ditentang oleh mana-mana dogma agama dan masyarakat ini hanya akan merosakkan anak bangsa dan memberi impak negatif kepada negara di masa hadapan.

Umumnya kita mengetahui negara-negara barat mengiktiraf golongan ini atas prinsip hak asasi manusia dan kebebasan individu. Namun kebebasan tersebut jangan sehingga melampaui batas nilai–nilai etika moral. Sejarah silam membuktikan runtuhnya sesuatu tamadun itu berpunca dari runtuhnya etika moral. Maka kerana itu gejala ini perlu dibendung segera secara serius kerana mengambil pengajaran dari sejarah lalu, runtuhnya moral masyarakat menyebabkan runtuhnya tamadun sesebuah negara.

Sebagai mahasiswa dan generasi baru pada hari ni kita mahu lahirkan generasi yang tinggi pekerti moralnya. Kita berharap, anak muda Malaysia ini akan kekal dilihat sebagai bangsa yang mengamalkan etika budaya sebenar dan terus disanjung di mata dunia.

Tuesday, March 17, 2009

PERUTUSAN MAULIDURRASUL


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Jumu'ah ayat 2 :

"Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan redha-Nya kita masih diberi kesempatan untuk menikmati nikmat yang paling besar dalam hidup kita iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Rasulullah S.A.W seluruh kaum keluarga baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam walau di mana jua kita berada. Semoga hari-hari yang kita lalui ini akan sentiasa mendapat perhatian dan bimbingan iman dari Allah S.W.T.

Syukur juga saya panjatkan kepada Rabbul Izzati kerana atas rahmat-Nya yang maha besar saya masih diberi kesempatan untuk menerbitkan perutusan khas saya untuk Maulidurrasul 1430 hijrah.

Pertama-tamanya ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian menjejaki kembali sirah Rasul junjungan kita Muhammad S.A.W. Menurut pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 23 April 571M.
Pada bulan ini juga Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, dan ketika itu baginda berusia 40 tahun. Bermula detik dan saat itu bermulalah dakwah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad tersebar ke seluruh dunia sehingga kini .


Muslimin Muslimat yang saya kasihi sekalian

Berbicara mengenai sambutan maulidur rasul, umum mengetahui bahawa terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama mengenai hukum meraikannya. Berkata Imam Jalaluddin Sayuti : “ Ibadah macam itu adalah bid’ah Hasanah ( bid’ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadah itu terdapat suasana membesarkan nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya nabi Muhammad S.A.W yang mulia”

Berkata Syeikh Atiah Saqr : “Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliaannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid’ah.

Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilangsungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.”

Ulama lain menentang sambutan maulidurrasul ini atas hujah apa yang telah disuruh Rasulullah S.A.W hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadah yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah :

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata : Nabi S.A.W telah ditanya tentang puasa pada hari isnin lalu beginda bersabda : “ dihari tersebutlah aku dilahirkan dan dihari tersebut jugalah aku diutuskan.” “..dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah sesat”. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

Sahabat-sahabat sekalian

Fenomena mutakhir ini, kita melihat terlalu banyak perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah iman dan Islam menjangkiti anak muda muslim. Gejala sosial seperti mendedahkan aurat, pergaulan tanpa batasan, hubungan cinta sonsang dan macam-macam lagi terus-terusan menjangkiti anak remaja. Natijah kepada jangkitan budaya-budaya negatif itu, apa yang terjadi anak muda semakin lupa kepada agama. Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan dan membimbangkan.

Jesteru saya melihat sambutan maulidur rasul sebenarnya boleh kita jadikan medium untuk memberi kesedaran kepada anak muda tentang agama. Sebaiknya sambutan maulidurrasul perlu diisi dengan program-program berunsurkan ibadah seperti forum agama, solat sunat, ceramah agama, qiamullail perdana, dan ibadah-ibadah lain sama ada dilakukan secara persendirian atau melibatkan jemaah yang ramai.

MPMUM dengan kerjasama PMIUM dan Balai Islam kolej-kolej kediaman akan mengadakan sambutan maulidurrasul pada 9 haribulan ini. Bertemakan “menjejak sunnah mengapai cinta rasul”, saya mengharapkan program ini bukan sahaja akan dapat dijalankan dengan jayanya tetapi juga akan memberi kesedaran kepada kita semua bahawa perlunya kita kembali semula menjadikan rasulullah S.A.W sebagai panduan dan ikon ikutan kita.

Untuk akhirnya saya bagi pihak seluruh barisan kepimpinan MPMUM sesi 08/09 mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1430H. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kita.

Mohd Ridzuan Bin Mohammad
Yang Dipertua (YDP)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya
sesi 2008/09


Monday, March 2, 2009

MPMUM KE KPS HARI INI

Hari ini MPMUM akan meneruskan roadshow kami ke Kompleks Perdanasiswa untuk bertemu dengan wakil-wakil persatuan. Kalau sebelum ini ada suara-suara mengatakan bahawa HEP bersikap berat sebelah kepada persatuan-persatuan tertentu, kami berisan MPMUM akan berusaha tidak mensia-siakan kepercayaan yang telah anda berikan kepada kami.

Jesteru sebagai langkah pertama kami mengorak langkah dalam usaha memastikan seluruh warga mahasiswa Universiti Malaya mendapat hak yang sepatutnya, kami pada malam ini akan bersua muka dengan wakil-wakil persatuan dengan harapan akan mendapat sambuatan yang mengalakkan.

Seperti mana sebelum ini, roadshow kami ke kolej-kolej kediaman pasti akan dihujani dengan pelbagai persoalan yang pada saya sudah sampai masanya mahasiswa meluahkan apa yang terbuku selama bertahun-tahun. Sememangnya, mungkin sejak bertahun ini kebajikan kita kurang dipeduli. Tetapi dengan kepercayaan yang anda semua berikan, insyaAllah kami akan berusaha merealisasikan apa yang sepatutnya anda perolehi.

Baru-baru ini saya menerima surat panggilan mesyuarat Majlis Penggubalan Perlembagaan Universiti Awam (MPPUA). Akan tetapi apa yang saya kesalkan adalah surat tersebut sampai ke tangan saya lewat iaitu pada 27 Februari yang lalu jam 10.00 pagi. Sedangkan mesyuarat tersebut bermula jam 9.00 pagi lagi. Jika dilihat pada tarikh TNC menerima surat tersebut adalah pada 25 februari lagi. Ini bermakna surat tersebut telah sampai ke meja TNC 3 hari lebih awal daripada tarikh mesyuarat.

Kecuaian tersebut sebenarnya tidak sepatutnya berlaku. Surat tersebut sangat penting dan mesyuarat tersebut juga penting. Walaubagaimanapun saya berharap kejadian tersebut tidak akan berulang lagi.

Untuk akhirnya saya tetap mengharapkan sokongan dan dokongan anda semua dalam merealisasikan harapan dan perubahan baru di Universiti Malaya yang kita cintai ini.

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan