Buku ‘Politik Baru- Mematangkan Demokrasi Malaysia’ oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah (gambar) merupakan antara idea dan gagasan baru dalam politik negara kita pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). YB Dato’ Saifuddin merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan ahli parlimen Temerloh. Semasa buku ini dilancarkan sempena 100 hari sebagai ahli parlimen, beliau adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selain itu, beliau juga antara aktivis dan pemimpin mahasiswa semasa menuntut di Universiti Malaya sekitar tahun 80’an. Beliau pernah menjawat jawatan timbalan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Beliau juga aktif menulis artikal rencana dan kertas kerja.
Buku ini saya perolehi dengan harga RM30 (lupa berapa diskaun yang diberikan) pada 17 April 2009 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia diterbitkan dalam dwi bahasa, bahasa Melayu di depan dan bahasa Inggeris dibelakang. Ia juga dibahagikan kepada dua komponen penting iaitu pertama, ‘integriti politik’ dan kedua, ‘kerangka governans baru’. Empat bab pertama menghuraikan komponen pertama buku ini iaitu, bab pertama, ‘Idealisme Politik’, kedua ‘Politik Ilmu’, ketiga ‘Politik Hikmah’ dan keempat ‘Politik Bakti’. Manakala dalam bahagian kedua, lima bab (bab 5 hingga 9) untuk menghuraikan mengenai ‘Kerangka Governans Baru’. Bab kelima, ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’, keenam ‘Generasi Muda & Masyarakat Sivil’, ketujuh ‘Keperluan Kepada Governans Baru’, kelapan ‘Penghakupayaan Perniagaan & Masyarakat Sivil’ dan kesembilan ‘Perwakilan Perniagaan & Masyarakat Sivil’.
Dalam bahagian pendahuluan, penulis menjelaskan beberapa perkara, antaranya berkaitan penerbitan buku ini, isu integriti, menyentuh mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan lain-lain. Ungkapan yang menarik oleh penulis untuk menggambarkan integriti politik berasaskan tiga sendi idealisme politik adalah ‘politik ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah dan bukannya fitnah, serta politik bakti dan bukannya politik undi’. Penulis menjelaskan mengenai integriti politik dari sudut kepemimpinan yang bermakna pemimpin memerlukan 3 ciri kepemimpinan iaitu berwawasan, menguasai apa-apa yang dilakukannya dan mampu membina jaringan kerjasama.
Bab pertama, penulis mendedahkan mengenai kelemahan politik hari ini ialah politik wang, rasuah, cantas-mencantas, payung terjun, kronisme, nepotisme, cepat kaya, politikus badut dan sebagainya. Menurut Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digerakkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), agenda integriti politik bertujuan, pertama; mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan institusi Raja berperlembagaan dan pemerintahan berparti. Kedua; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur. Ketiga; mengamalkan politik berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri. Dan keempat; memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan governans terbaik.
Selain itu, sebagai mahasiswa, saya juga tertarik dengan prinsip dan pandangan penulis mengenai AUKU. Penulis menjelaskan ahli politik yang sentiasa berpegang dan berani dengan pendiriannya terhadap sesuatu isu atau perkara. Contohnya, dalam isu AUKU, ahli politik yang menghayati idealisme politik akan mempertahankan pendiriannya itu dimana-mana sahaja dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Antara kebijaksanaan penulis ialah menyandarkan perkataan ilmu dalam istilah ‘Politik Ilmu’ kepada takrifan yang diberikan oleh ilmuwan Syed Muhammad Naquib al-Attas: “Ilmu ialah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”.
Wan Mohd Nor Wan Daud (2003) dalam bukunya, Budaya Ilmu, terdapat tiga prinsip politik ilmu iaitu, pertama; meletakkan ahli politik berilmu di tempat yang paling tinggi, kedua; setiap ahli politik sentiasa menuntut ilmu atau menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ilmu serta ketiga; setiap keputusan dan tindakan ahli politik adalah berdasarkan ilmu. Antara contoh yang terbaik diberikan penulis mengenai politik ilmu dan sebaliknya adalah pelantikan Profesor Universiti Harvard, Robert B. Reich sebagai setiausaha buruh semasa Bill Clinton sebagai presiden Amerika Syarikat, Gabenor California yang tidak berpendirian iaitu Arnold Schwarzenegger (Republikan), pendedahan Barack Obama dalam bukunya The Audacity of Hope (Keberanian Menggapai Harapan- terjemahan dan terbitan ITNM) mengenai parti Demokrat dan Republikan.
Saya kagum melihat kupasan penulis mengenai belia, mahasiswa dan pelajar dalam bab kelima ‘Tiga Sektor Pembangunan Negara’ secara tersusun dalam enam situasi atau keadaan. Bab keenam ‘Generasi Muda dan Masyarakat Sivil’ merupakan huraian khas oleh penulis mengenai generasi muda yang merangkumi belia, mahasiswa dan pelajar. Antara yang disentuh enam objektif generik, sumbangan generasi muda dalam kegiatan sukarela dan saham generasi muda dalam mencetus idea, menggerakkan gagasan serta mempelopori beberapa perkara melibatkan dasar, institusi dan program pembangunan negara. Penulis juga menjelaskan antara manfaat pengamalan perwakilan perniagaan dan masyarakat sivil serta penubuhan setiap peringkat.
Kesimpulan yang dibuat oleh penulis, integriti poltitik dan kerangka governans baru bukanlah matlamat tetapi ia sekadar alat untuk mencapai matlamat. Matlamat yang sebenar adalah untuk meningkatkan kematangan demokrasi di negara ini bagi meningkatkan keamanan, keselamatan, kemajuan, kemakmuran dan kebahagian rakyat. Penulis juga memandang positif debat terbuka antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Ahmad Shabery Cheek serta debat Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Komen Prof. Dato’ Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), “Sekiranya gagasan dan saranan dalam buku ini menjadi amalan, pasti budaya politik Malaysia akan lebih segar”.
Secara umumnya, buku ini menampilkan idea, pandangan dan gagasan politik baru yang sangat relevan dan sesuai untuk pengamalan dalam politik Malaysia. Cuma ia perlu dilengkapkan dengan kesedaran dan kejujuran semua rakyat Malaysia terutama ahli-ahli politik yang banyak berperanan mencorakkan lanskap politik Malaysia. Politik berasaskan ilmu, hikmah atau kebenaran sangat diperlukan untuk memastikan kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi ia dituntut oleh agama. Antara langkah awal yang mesti dilakukan adalah kualiti perbahasan di parlimen yang bersumberkan fakta dan data serta kajian. Selain itu, pusat sumber parlimen juga mesti dinaiktarafkan dari sudut kuantiti dan kualiti buku dan bahan, kemudahan carian buku, kakitangan, kemudahan dan sebagainya. Sekarang pusat sumber parlimen hanya menyimpan 40 ribu bahan ilmiah dan beberapa kakitangan yang tidak lebih daripada 10 orang berbanding negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sweden dan sebagainya. Untuk mengubah perkara ini memanglah sukar dan banyak halangan, tetapi ia tidak mustahil sekiranya digerakkan dari sekarang secara bersama serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat lebih utama daripada kepentingan peribadi.
" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "
0 comments:
Post a Comment