Wednesday, March 3, 2010

ULASAN BUKU ‘KELEBIHAN PENGETAHUAN’

Buku 'Kelebihan Pengetahuan'


Buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ atau ‘The Knowledge Advantage’ merupakan buku tulisan Rudy Ruggles dan Dan Holtshouse dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Buku ini saya beli di Pekan Buku Universiti Malaya (UM) pada harga RM36.00. Kebiasaannya apabila saya ke Pekan Buku UM, rak buku yang menempatkan buku-buku ITNM memang menjadi keutamaan selain rak majalah-majalah, buku-buku agama, politik, sejarah, undang-undang dan lain-lain.

Secara umumnya buku ini menyentuh mengenai bagaimana mengubah pengetahuan menjadi produk, menterjemah pengetahuan dalam bentuk strategi, pembinaan pengetahuan dan mendapat kebaikan daripada ekonomi pengetahuan baru. Perkongsian John Seely Brown dari Xerox PARC dalam kata pengantar sangat menarik iaitu berkisar mengenai cerita beliau semasa kecil dan maklumat-maklumat lain seperti kawasan tumpuan penting seperti Lembah Silikon, kawasan teater London dan daerah kewangan New York serta kewujudan ‘artis pengetahuan’ dalam Xerox PARC.

Buku dipecahkan kepada 4 bahagian, iaitu bahagian pertama, pengetahuan dan individu, bahagian kedua, pengetahuan dan organisasi, bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi serta bahagian keempat, pengetahuan dan ekonomi. Bab 1 tidak termasuk dalam mana-mana bahagian. Bab 1 iaitu ‘Meraih Kelebihan Pengetahuan’ dihuraikan oleh Rudy Ruggles dari The Ernst & Young Center for Business Innovation dan Dan Holtshouse dari Xerox Corporation. Bab ini banyak menghuraikan mengenai pengurusan pengetahuan serta sejarah ringkasnya, perkembangan terkini dan kebangkitan pengurusan pengetahuan.

Dalam bahagian pertama iaitu pengetahuan dan individu, menampilkan tiga tokoh hebat untuk mengupas setiap bab. Tiga tokoh tersebut adalah Edward O. Wilson dari Harvard University menghurai bab kedua bertajuk ‘Kesegerakan: Kesepaduan Pengetahuan’. Bab ketiga bertajuk ‘Pengetahuan adalah Kuasa! Selamat Datang Demokrasi! Dikupas oleh Alan M. Webber dari Fast Company dan bab keempat bertajuk ‘Menguruskan Pekerja Pengetahuan dalam Dunia yang Berubah’ oleh Peter Drucker (Claremont Graduate School of Business). Alan M. Webber tidak bersetuju dengan tajuk buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ kerana terlalu sopan dan ia tidak menggambarkan barisan pertempuran serta kepentingan revolusi pengetahuan.

Webber juga menyentuh mengenai keburukan ekonomi baru berdasarkan buku David Dorsey, The Force. Beliau menyebut antara keburukan ekonomi baru ialah sinisme, nihilism dan kepura-puraan serta membawa kisah hidup Fred Thomas, seorang jurujual Xerox. Beliau juga menyentuh mengenai kisah Telco memilih kaedah penyusunan semula untuk melakukan perubahan.

Bahagian kedua buku ini, pengetahuan dan organisasi menampilkan 4 tokoh iaitu antaranya Ikujiro Nonaka dari University of California, Berkeley dalam bab 4 menyentuh mengenai ‘Dinamik Pembentukan Pengetahuan’. Beliau menerangkan mengenai pembentukan pengetahuan secara bersepadu berdasarkan model SECI (Socialization, externalization, combination & Internalization). Dr Bob Bauer dari Xerox PARC mengulas mengenai ‘Mengubah Pengetahuan Menjadi Inovasi’ dalam bab keenam. Dalam bab ketujuh pula, Christopher A. Bartlett dari Harvard Business School menghuraikan mengenai ‘Organisasi Berasaskan Pengetahuan: Suatu Reolusi Pengurusan’.

Bartlett telah memberikan satu contoh yang sesuai dalam tajuk kecil yang bertajuk ‘Contoh Yang Baik: Westinghouse’. Westinghouse banyak mengalami masalah doktrin pengurusan yang ketinggalan zaman. Bermula dengan Robert Kirby mengambil alih syarikat ini pada tahun 1975, ia menampakkan kesan yang positif. Syarikat ini semakin bertambah baik selepas pelantikan Douglas Danforth sebagai CEO. Beliau juga membina dan mengurus sistem perancangan strategik yang paling canggih iaitu VABASTROM (Value-Based Strategic Management System- Sistem Pengurusan Strategik Berasaskan Nilai). Syarikat ini semakin positif setelah John Marous dilantik sebagai pengerusi dan Paul Lego sebagai presiden untuk menggantikan Danforth.

Bartlett juga memberi contoh sebuah syarikat yang gagal iaitu Asea Brown Boveri (ABB) mengalami transformasi yang dramatik untuk menjadi pesaing global. Bab kelapan iaitu bab terakhir dalam bahagian kedua, James Brian Quinn dari Amos Tuck School of Business, Darmouth College menghuraikan mengenai ‘Memaksimumkan Inovasi Dengan Menggunakan Intelek, Sains dan Teknologi’. Antara perkara yang disentuhkan oleh beliau, anjakan ke arah ekonomi intelek, strategi untuk bersaing, pejuang bagi inovasi, intelek & organisasi dan lain-lain.

Manakala dalam bahagian ketiga, pengetahuan dan strategi, Stephen Denning dari Bank Dunia menghurai dalam bab ke-9 mengenai ‘Perspektif Pengetahuan: Visi Strategi Baru’ dan dalam bab ke-10, Stan Davis menyentuh mengenai ‘Membina Pengetahuan Di Dalam Produk’. Bab terakhir dalam bahagian ini, iaitu ‘Membentuk Strategi Perniagaan Dalam Era Pengetahuan’ ditulis oleh Profesor Karl-Erik Sveiby.

Bahagian ke-4, pengetahuan dan ekonomi menampilkan idea tiga tokoh. Antaranya bab ke-12, W. Brian Arthur dari The Sante Fe Institute menerangkan berkaitan ‘Ilmu Ekonomi Baru Untuk Ekonomi Pengetahuan: Hukum Pulangan’ dan bab ke-13, Lester Thurow dari Massachussettts Institute of Technology menulis mengenai ‘Kepintaran Manusia dan Masa Depan Kapitalisme’. Stan Davis dan Chris Mayer dari The Ernst & Young Center for Business Inovation menjelas dalam bab terakhir berkaitan ‘Peranan Pengetahuan Dalam Ekonomi Berhubungan’.

Secara umumnya, boleh dikatakan buku ‘Kelebihan Pengetahuan’ banyak menyentuh mengenai pengetahuan dalam aspek persaingan dan strategi pasaran perniagaan di peringkat global. Secara peribadi, buku ini memang berkualiti dan banyak member manfaat kerana menampilkan individu-individu yang layak untuk menghuraikan perkara-perkara ini. Menjadikan pengetahuan sebagai sumber pencetus kejayaan dan membina inovasi perniagaan merupakan satu kekuatan yang tersendiri. Gabung jalin antara fakta dan teori bersama kisah dan isu adalah antara kekuatan yang dimiliki oleh setiap penulis dalam buku ini. Terima kasih dan wassalam

" MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU "

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan