Saturday, March 13, 2010

ULASAN BUKU ‘KEBANGKITAN NEGARA MAYA’

Antara Buku Terbitan ITNM Yang Kumiliki

JUDUL : Kebangkitan Negara Maya (The Rise of The Virtual State)
PENULIS : Richard Rosecrance
PENTERJEMAH: Idayu Johari
PENERBIT : Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) (2008)
HARGA : (Lupa…)
KEDAI BUKU : Pekan Buku Universiti Malaya

Ulasan Buku:

Pertama, langkah pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menterjemahkan buku ‘Kebangkitan Negara Maya-Kekayaan dan Kuasa Pada Abad Mendatang’ ke dalam bahasa Melayu sangat tepat. Antara sebabnya, buku hasil tulisan Richard Rosecrance (gambar), seorang sarjana hubungan antarabangsa terkenal ini mampu membentuk minda yang baru terutama dalam jangkaan masa hadapan yang melibatkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai mana yang kita ketahui, sektor ekonomi memainkan peranan penting dalam sesebuah pembangunan dan kestabilan negara. Dengan terjemahan buku mampu menampung kekurangan penerbitan buku-buku yang bercorak sebegini yang menyentuh mengenai jangkaan masa hadapan berasaskan tumpuan sektor ekonomi negara.

Penulis bijak menyusun bahagian buku ini dengan membahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama menyentuh mengenai ‘teori’, kedua berkaitan ‘implikasi politik dan antarabangsa’, ketiga menyebut ‘negara pada zaman maya’ dan keempat berkisar mengenai ‘sistem baharu politik dan ekonomi antarabangsa’. Penulis juga menyelit lampiran berkaitan ‘Teori Antarabangsa: Paradigma Baharu?’. Dalam bahagian prakata, penulis telah mengupas secara ringkas dan padat mengenai masalah-masalah yang berlaku di peringkat global seperti peperangan, konflik dan persengketaan, kemiskinan, kegagalan hubungan diplomatik dan sebagainya.

Bahagian Pertama: Teori

Permulaan penulis menghuraikan beberapa peristiwa sejarah yang boleh dikaitkan dengan hubungan kenegaraan. Antara contoh yang dibawa peristiwa pembersihan etnik keatas Kosovo oleh regim Slabodan Milosevic, Perdana Menteri Serbia. Kawalan dan monopoli pasaran minyak juga menyebabkan tercetusnya peperangan antara Iraq dan Kuwait. Selain peristiwa yang melibatkan Pakistan, India, Rwanda dan sebagainya. Penulis juga membuat perbandingan antara Jepun dan Amerika Syarikat dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan dari tahun 1960 hingga 1990. Ia menunjukkan kedua-dua negara mengalami penurunan peratus KDNK dalam sektor pengilangan tetapi mengalami peningkatan dalam sektor perkhidmatan. Dalam bahagian pertama ini sahaja penulis membawa fakta-fakta yang hampir menyentuh kesemua negara-negara di dunia samada melibatkan Negara maju, membangun, sedang membangun mahupun negara mundur. Dalam bab empat penulis menghuraikan konflik etnik dalam negeri, konflik dalam negeri, ancaman keganasan, pengaruh antarabangsa, konflik ekonomi dan politik serta banyak lagi.

Bahagian Kedua: Implikasi Politik dan Antarabangsa

Penekanan idea dan bacaan masa depan isu ini, penulis membahagikan negara maya terbahagi kepada tiga. Pertama, Negara maya sepenuhnya dengan sedikit pengeluaran dalam negeri. Kedua, negara perantaraan yang menumpukan pada perkhidmatan yang bahagian pengeluaran pentingnya dipindahkan ke luar negara. Dan ketiga, negara yang menumpukan perhatian pada pembuatan dalam negeri. Penulis juga membuat analisis antara ekonomi ikut skop dengan ekonomi ikut bidangan. Sebagai rujukan, dari tahun 1930 hingga 1950 output industri dicirikan oleh ekonomi ikut bidangan. Kupasan yang menarik menyentuh mengenai pasaran dan Negara, kesan kepada Negara, masyarakat dan lain-lain. Bab kedua (bab 6) dalam bahagian kedua, penulis mengaitkan tadbir urus dan ekonomi dunia. Mengaitkan penguatkuasaan dalam negeri dan antarabangsa sebagai mekanisme penjagaan keselamatan dan perlindungan. Antara cadangan untuk mewujudkan keselamatan peringkat antarabangsa adalah pertama, imbangan kuasa dan pakatan menyeluruh atau persetujuan bersama kuasa.

Bahagian Ketiga: Negara Pada Zaman Maya

Permulaan bab ketujuh atau bab pertama bahagian ketiga, penulis meramalkan berdasarkan pergerakan dan corak ekonomi semasa telah meletakkan Hong Kong, Singapura dan Taiwan sebagai negara maya. Taiwan ialah negara maya utama dan Switzerland dan Belanda dari Eropah diletakkan pada tahap yang sama. Negara-negara ini merintis kaedah baharu hubungan ekonomi antarabangsa dengan menumpukan pada perkhidmatan tempatan dan pengeluaran di luar negara. Dan negara-negara ini dipengaruhi oleh Jepun tetapi telah memintas Tokyo dalam soal memindahkan perkilangan ke luar negara dalam usaha mengurangkan kos buruh. Penulis juga menyentuh secara langsung berkaitan Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Selain itu, penulis juga mengupas berkaitan negara Jepun secara khusus dalam bab kelapan. Ia menyentuh mengenai corak dan pergerakan ekonomi Jepun selain membincangkan secara lengkap berkaitan rakyat Jepun mendapat faedah hasil daripada pengantarabangsaan. Strategi Jepun berkaitan strategi pemiutang matang dan strategi Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Perbandingan antara Jepun dan AS serta masa depan politik dunia juga turut dikaji. Bab Sembilan, penulis mengupas berkaitan AS mengandungi sebab kemerosotan, strategi, sebagai kuasa ekonomi yang sempurna, kepusatan politik AS, peranan dolar dan sebaginya. Dalam bahagian ini juga penulis turut fokus menilai Eropah, Russia dan China. Dalam skop Eropah banyak dikaji mengenai Kesatuan Eropah (EU), NATO dan lain-lain.

Bahagian Keempat: Sistem Baharu Politik dan Ekonomi Antarabangsa

Bahagian terakhir ini penulis menghuraikan beberapa isu ekonomi dunia. Penekanan secara berterusan oleh penulis mengenai idea negara maya menunjukkan konsisitensi penulis dalam membawa idea ini. Selain itu, menyentuh kembali kebangkitan AS dan krisis Asia, persetujuan politik dan kestabilan ekonomi, perang dan ekonomi dan lain-lain. Turut diselit peranan penting pendidikan, pekerja dan imigrasi, perkhidmatan, tenaga dan alam sekitar serta era negara maya.

Kesimpulan:

Buku tulisan Richard Rosecrance ini sangat berkualiti kerana padat dengan fakta, maklumat-maklumat di peringkat global dan dihuraikan secara tersusun. Paparan isu dan contoh kes yang menyeluruh juga antara kekuatan buku ini. Jarang sekali untuk diperolehi buku sebegini dalam negara kita. Idea dan gagasan negara maya menjadi cerminan dan bacaan masa depan untuk memudahkan strategi dan persediaan sesebuah negara. Wallahu’alam

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan