Wednesday, December 17, 2008

MAMPUKAH ABHISIT BERTAHAN?

Wajah-wajah Abhisit Vejjajiva

Keputusan undian yang dibuat dalam Parlimen Thailand pada 15 Disember baru-baru ini menyaksikan Abhisit Vejjajiva menjadi Perdana Menteri ke-27 bagi Thailand. Pergolakan politik yang berterusan di Thailand menyebabkan pentadbiran kerajaan negara 'Gajah Putih' itu terjejas teruk.

Pertembungan antara parti pemerintah iaitu Parti Kuasa Rakyat (PPP) dengan kumpulan anti kerajaan, Pakatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) sebelum ini membuatkan negara Thailand seolah-olah berada dalam zon peperangan saudara. Selepas rampasan kuasa yang dibuat oleh junta tentera terhadap kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra pada 19 September 2006, negara ini berada dalam keadaan tidak stabil.

Dari kiri; Samak Sundaravej & Somchai Wongsawat

Pemilihan Abhisit ini menjadikan beliau orang ketiga dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand pada tahun ini selepas Somchai Wongsawat dan Samak Sundaravej. Abhisit daripada Parti Demokrat berjaya mendapat 235 undi untuk menewaskan Pracha Promnok yang mewakili Parti Puea Thai yang memperoleh 198 undi.

Anak muda yang berusia 44 tahun (beza 3 tahun dengan Obama-47 tahun)ini mempunyai kelulusan daripada Universiti Oxford dalam jurusan Falsafah, Politik dan Ekonomi. Bapanya pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan Thailand. Beliau yang dilahirkan di Newcastle, England (3 Ogos 1964) semasa kedua ibu bapanya belajar disana akan berhadapan dengan ujian yang paling besar iaitu memulih kembali politik Thailand.

Saya memuji langkah awal yang akan diambil oleh beliau dalam menangani situasi politik yang tidak menentu sekarang iaitu mengembalikan perpaduan dan memulih kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Melihat kepada gaya dan imej beliau yang mesra dan bersahaja, saya cukup yakin beliau mampu membawa satu harapan baru bagi rakyat Thailand.

Selain itu, beliau juga dilihat mula mengorak langkah untuk membentuk kabinet mantap bagi Thailand dengan tujuan untuk memulih kembali pergerakan ekonomi negara tersebut. Abhisit juga mestilah bijak mengawal dan menyelesaikan kebangkitan kembali gelombang merah daripada penyokong fanatik Thaksin Shinawatra. Beliau belum lagi mengumumkan dasar-dasar politiknya sebelum mendapat dekri diraja daripada Raja Bhumibol Adulyadej.

1 comments:

Isma Ae Mohamad said...

Tentera telah merampas kuasa secara senyap... jadi naiknya Abhisit tidak akan menyelesaikan masalah.

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan