Friday, August 29, 2008

BERJUMPA DATO’ SERI ANWAR DI PARLIMEN

Saya menyerahkan surat kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim
Bergambar bersama: dari kiri, Saya, Dato' Seri Anwar, Dato' Seri Wan Azizah dan Faisal

Semalam(28 Ogos 2008) saya dan Saudara Faisal Mustaffa berkesempatan untuk berjumpa Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen yang baru bagi parlimen Permatang Pauh. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos baru-baru ini, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat undi sebanyak 15, 524 dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat yang mendapat 92 undi. Dato' Seri mendapat undian sebanyak 31, 195 undi untuk menang dengan majoriti 15, 671 undi.

Pada asalnya, saya hanya mahu menghantar surat kepada pembantu Dato’ Seri Anwar, tetapi kebetulan berjumpa dengan pengawal peribadi beliau, En. Bakar dan beberapa orang ahli parlimen yang saya kenali. Mereka terus maklumkan Dato’ Seri Anwar ada bersama YB Saifudin Nasution Ismail (MP Machang) di pejabat Ketua pembangkang.

Walaupun kehadiran saya dan Faisal sebagai wakil mahasiswa, tetapi saya cukup kagum kerana Dato’ Seri sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dan berbincang bersama kami. Sebelum perbincangan, saya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri kerana memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Dato’ Seri membuka bicara dengan beberapa isu-isu terkini dan kesanggupan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat untuk terus membantu serta mempertahankan beliau dalam politik.

Dalam perjumpaan selama 20 minit itu, banyak persoalan yang saya lontarkan kepada beliau, terutama melibatkan agenda mahasiswa. Isu AUKU juga disentuh oleh beliau terutama semasa beliau bergelar Menteri Pendidikan dahulu. Selain itu, beliau juga ada berkongsi pengalaman semasa belajar di Universiti Malaya (UM) dahulu. Dato’ Seri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail begitu ramah dan seolah-olah sudah lama mengenali kami.

Beliau juga ada menyentuh mengenai Pakatan Rakyat (PR) dan penghijrahan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN). Banyak persoalan dan perkongsian dalam perjumpaan tersebut, tetapi saya rasa cukup lah untuk makluman dan perkongsian dengan rakan-rakan pada kali ini.

1 comments:

zenalUTK said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan