Wednesday, July 23, 2008

SOROTAN SEMINGGU…KEBAJIKAN PMIUM, AUKU & FUTSAL KOSMO

Untuk ruangan kali ini, saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai aktiviti yang saya sertai sepanjang minggu lepas…Pertama, minggu lepas adalah minggu ‘add drop’ bagi subjek semester ini. Saya menghadapi masalah untuk pendaftaran subjek ‘Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan Islam’ di Fakulti Pendidikan. Subjek tersebut hanya ditawarkan pada semester ini dan merupakan subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Islam. Setelah berusaha dan berbincang dengan Dr. Habib, pensyarah subjek tersebut, Alhamdulillah selesai juga akhir. Semester ini juga, saya mengambil subjek ‘Kepimpinan Diri & Organisasi’ di Fakulti Pendidikan. Pensyarah bagi subjek ini ialah Prof Dr. Sufean Hussin, bekas Dekan Fakulti Pendidikan. Pada pandangan saya, beliau bijak menghuraikan teori-teori mengenai kepimpinan dengan merujuk kepada situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Menyentuh mengenai jenis modal insan, beliau mengaitkan dengan beberapa individu dalam kepimpinan negara pada hari ini untuk dijadikan contoh.

Melawat Mangsa Kebakaran Kg. Kerinchi
YDP PMIUM, Sdr. Haafizuddin sedang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran
Tempat kebakaran di Kg. Kerinchi

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pimpinan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kg. Kerinchi. Mangsa-mangsa kebakaran tersebut ditempatkan di Stadium Hoki Bangsar berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) dari Kuala Lumpur. Saudara Haafizuddin Abirerah mewakili PMIUM dan saudara Ridhwan Bakar mewakili Maaruf Club UIAM telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Kebakaran yang berlaku pada 12 Julai itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar juga sempat melawat mangsa kebakaran itu pada masa tersebut.
Berjumpa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Minggu lepas juga, saya dan beberapa orang rakan saya berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Idris Haron. Perjumpaan tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka berdekatan KL Central. Perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sebelum perjumpaan itu, pada sebelah paginya YB Dato’ Idris Haron baru sahaja membuat pembacaan kali pertama pindaan AUKU dalam Dewan Parlimen. Saya memuji keterbukaan beliau dalam membincangkan isu ini. Selain beliau, terlibat sama dalam perjumpaan tersebut, Pengerusi BN BBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Muar, YB Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Semasa mengiringi YB Dato’ Idris berjalan ke kenderaan beliau, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai isu Sturbucks yang ingin dibawa masuk ke dalam kampus. Beliau menjawab, media memutarbelit kenyataan beliau mengenai isu tersebut. Beliau hanya mencadangkan supaya kemudahan wi-fi dan tempat lepak yang selamat untuk dikunjungi oleh pelajar. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, saya memuji sikap beliau yang mudah mesra untuk dibawa berbincang dalam pelbagai perkara mengenai mahasiswa.

Berjumpa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen
Bergambar bersama ahli parlimen Rasah dan Serdang dari DAP

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan saya dari kampus UIAM dan UPM pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai pindaan AUKU. Semasa di lobi parlimen, YB Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami sebelum membuat kenyataan akhbar bersama mengenai isu AUKU. YB Nurul Izzah terpaksa pulang awal disebabkan ada sidang media mengenai isu bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai membuat kenyataan akhbar, kami terus ke tingkat 13 parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen DAP di pejabat pembangkang bagi DAP. Perbincangan mengenai AUKU tersebut memakan masa selama 45 minit. Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Parlimen Serdang terlibat dalam perjumpaan tersebut. Banyak lontaran idea dan pandangan mereka mengenai isu AUKU.

Kemudian setelah selesai solat zohor, kami terus ke Kafe Parlimen untuk makan tengahari sambil menunggu kehadiran YB Solahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk mewakili PAS. Kami sangat terharu kerana kesanggupan YB Solahudin untuk keluar dewan sementara, semata-mata untuk berbincang dengan kami mengenai isu AUKU. YB Solahudin berjanji untuk terus memperjuangkan isu ini semasa perbahasan dalam persidangan ketiga Dewan Rakyat nanti.

Mengiringi Pasukan Futsal PMIUM ke UPM
pasukan PMIUM


pasukan SUKSIS UM

Pada hari Sabtu (19 Julai 2008), saya mengiringi pasukan futsal PMIUM yang bertanding dalam pertandingan futsal Inter-Varsity Kosmo yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah selesai mendaftar pasukan, kami terus ke papan jadual untuk melihat siapa lawan kami nanti. Setelah diteliti, kami diundi dalam kumpulan M bersama pasukan ‘Acah-Acah FC’ dan ‘Helang Rentung’ kedua-dua pasukan ini, saya tidak pasti dari kampus mana.

Selesai majlis perasmian, sementara menunggu perlawanan pasukan PMIUM yang dijadualkan perlawanan ke-19, kami menuju ke gelanggang kedua dalam dewan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Suksis UM. Suksis UM berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-0. Namun dalam perlawanan kedua pasukan Suksis UM, tercetus satu pergaduhan setelah pemain pasukan Suksis UM dikasari. Nasib baik pergaduhan tersebut sempat dikawal dan dua pemain pasukan Suksis UM telah dilayan kad merah.

Penyertaan pertama kali pasukan PMIUM dalam kejohanan ini, nyata tidak bernasib baik setelah tumpas 2-4 kepada pasukan ‘Helang Rentung FC’ dan 0-1 kepada ‘Acah-Acah FC’. Apapun pujian wajar diberikan kepada pemain-pemain pasukan PMIUM kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dalam dua perlawanan tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan