Tuesday, July 29, 2008

Pindaan AUKU jangan 'sekerat-kerat'

Jimadie Shah Othman | Jul 28, 08 8:44pm

Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikemukan oleh kerajaan mesti menyeluruh dan "bukan sekerat-sekerat", kata Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA).

"Kami bukan hendak sangat terlibat (dalam pindaan AUKU). Tetapi, hak-hak mahasiswa mesti dijamin betul-betul, bukan sekerat-sekerat.

"Perkara ini penting, mahasiswa (di masa depan) akan menentukan kepimpinan negara," kata penyelidik perundangan gabungan itu Faridzul Nasarudin yang turut mewakili GMMA bertemu ahli-ahli politik, termasuk timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Idris Harun.

Pertemuan yang bermula 17 Julai lalu bertujuan membincangkan pindaan akta tersebut yang dijadualkan dibahaskan Ogos depan.

Pihak lain yang ditemui termasuklah Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) dan Pakatan Rakyat.

Menurut Faridzul, yang juga presiden Persatuan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, aktivisme mahasiswa dalam politik "biar terlibat sepenuhnya", termasuklah dalam persatuan berasaskan politik dan program-program politik.

Alasan bahawa pembabitan itu boleh mengganggu prestasi akademik pelajar tidak boleh diterima, tambahnya.

"Selama ini prestasi (akademik) tidak juga bagus. Mungkin dengan formula baru ini (terlibat dengan politik) akan memberi kebaikan kepada mahasiswa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, GMMA mahukan AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru – termasuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan gabungan itu dalam 'Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008'.

Pada 25 Jun, GMMA mengemukakan "akta alternatif" itu kepada kerajaan yang dianggap dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.

Akta alternatif ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Faridzul yang turut terlibat dalam penyelidikan merumus piagam itu berkata dokumen itu diserahkan kepada kepada Idris dalam pertemuan mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan itu, lima ahli BNBBC termasuk pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim.

GMMA disertai sepuluh wakil termasuk penyelarasnya Teh Yee Keong dan anggota-anggota persatuan bawah gabungannya.

Pemansuhan akta itu seperti mereka bawa bagaimanapun, menurut Faridzul, tidak dipersetujui oleh Idris dan wakil-wakil BNBBC.

Faridzul mencadangkan AUKU dimansuhkan dahulu sebelum menggubal akta baru.

"Akta-akta baru tentang pentadbiran dan kebebasan akademik, (boleh) fikirkanlah (kemudian). Yang penting, mansuhkan dulu (AUKU), kemudian kalau ada bahagian yang sesuai, ambil. AUKU mesti dimansuhkan. AUKU telah lama menghantui mahasiswa," katanya.

Perkara lain yang dipersoalkan oleh gabungan itu, kata Faridzul, termasuklah bidang kuasa menteri dalam "mengklasifikasikan halal-haram sebuah persatuan".

Menurutnya, dalam pertemuan, Idris mempertahankan peranan kementeriannya untuk menguruskan pentadbiran universiti.

Mereka juga menuntut kerajaan menubuhkan jawatankuas khas membincangkan pindaan AUKU tetapi idea itu tidak dipersetujui kerana BNBBC menganggap cadangan GMMA "merupakan idea pembangkang".

Aduan dan cadangan mereka mereka tentang tatacara pilihanraya kampus bagaimanapun diberikan perhatian oleh BNBBC, tambah Faridzul.

Sehari selepas itu, GMMA bertemu wakil-wakil DAP dan PAS untuk tujuan yang sama.

GMMA merancang mengadakan forum kebangsaan membincangkan pindaan AUKU pada 8 Ogos melibatkan wakil kerajaan, pembangkang dan wakil mahasiswa, kata Faridzul.

Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, cadangan menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin kelmarin untuk membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang menyampaikan ceramah di kampus yang ada kaitan dengan sesuatu bidang pengajian akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

"Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea," kata exco akademik persatuan itu Mohd Ridzuan Mohammad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata setelah meneliti cadangan pindaan akta tersebut, PMIUM berharap dapat melahirkan mahasiswa yang mampu memimpin persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pindaan itu juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Monday, July 28, 2008

PINDAAN AUKU: BENARKAN MAHASISWA BERPOLITIK?


Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pada 26 Julai baru-baru ini yang akan membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang masuk ke kampus untuk tujuan pengajian dan akademik dilihat akan memberi kebaikan kepada mahasiswa.

Cadangan itu akan terlaksana setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan selepas bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini. Cadangan untuk meminda akta ini diutarakan oleh Datuk Seri Khalid Nordin pada akhir bulan Mac lalu setelah dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi yang baru.

Pada pandangan saya, mahasiswa seharusnya didedahkan dengan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran negara dan perkara yang berlaku dalam masyarakat supaya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan dan idea.

Sebagai contoh, zaman 70-an hingga 90-an, kampus Universiti Malaya (UM) membenarkan pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang untuk berdebat secara ilmiah berkenaan isu-isu menyentuh aspek ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Saya memetik kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, kelonggaran yang perlu di berikan membenarkan mahasiswa mewujudkan program berbentuk politik seperti berdebat dan mengemukakan pandangan bernas perlu digalakkan.

“Mahasiswa adalah generasi muda yang matang, berfikiran terbuka dan sedia menerima pandangan sama ada daripada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Senario ini menjadikan mahasiswa lebih rasional dalam membuat keputusan. Kematangan ini sebagai persediaan mereka menjadi lebih dinamik serta mempunyai keyakinan terus bersaing pada peringkat global” ujarnya.

Semalam (27 Julai), Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata “ larangan mahasiswa menganggotai parti politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum apabila mahasiswa yang layak mengundi akan memilih parti politik tertentu”.

Beliau yang juga bekas pemimpin mahasiswa UM berkata, “Saya bersetuju jika mahasiswa dilarang memegang apa-apa jawatan dalam parti politik, tetapi benarkan menganggotai parti politik pilihan mereka. “Saya tidak mahu kerajaan terus digelar ‘double standard’ atau tidak adil kerana mahasiswa tidak dibenarkan menganggotai parti politik sebaliknya mahasiswa di luar negara diberikan kebebasan itu.”

Sebelum ini, banyak pihak, samada ahli akademik, pemimpin politik, pemimpin mahasiswa dan individu tertentu mencadangkan supaya AUKU dipinda kearah yang lebih positif untuk kebaikan mahasiswa pada masa akan datang. Sebagai mahasiswa, saya melihat hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh banyak pihak berkenaan kesan positif pindaan ini wajar dijadikan asas yang kukuh kearah melahirkan modal insan yang berkualiti.

Tan Sri Prof Dr. Khoo Kay Kim, pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pernah berkata, pindaan (AUKU) itu wajar dilaksanakan kerana ia sebagai tanda kepercayaan kerajaan terhadap pihak berkenaan (mahasiswa) untuk lebih bersedia berdepan dunia global.

Mengimbas pelaksanaan AUKU sejak 37 tahun lalu, beliau berkata, tindakan Menteri Pelajaran ketika itu seolah-olah mengongkong kebebasan pelajar untuk mempamerkan kemahiran mereka memimpin yang sepatutnya digilap ketika berada di kampus.

Malah katanya, peraturan yang tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negara maju itu turut mengehadkan kreativiti pelajar terus aktif dalam pelbagai kegiatan terutama politik, di samping mengemukakan pandangan masing-masing.

Saya telah meneliti pindaan akta tersebut baru-baru ini dan mendapati ia menyentuh beberapa seksyen dalam AUKU antaranya melibatkan seksyen 15 yang berkaitan penglibatan mahasiswa dalam pertubuhan, badan dan persatuan pelajar.

Kami di peringkat mahasiswa berharap pindaan akta tersebut itu kearah membentuk mahasiswa yang mampu memimpin persatuan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain badan untuk manfaat mahasiswa serta masyarakat. Selain itu, ia juga diharapkan mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan dan idea terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam dan luar negara.

MOHD RIDZUAN MOHAMMAD
EXCO AKADEMIK & INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
2008/09

Friday, July 25, 2008

BOLA SEPAK PERSAHABATAN: PMIUM 3-2 SUKSIS UM

Bergambar sebelum perlawanan pasukan PMIUM (kuning) dan pasukan SUKSIS UM (biru)
YDP PMIUM menyampaikan medal cenderahati kepada wakil pasukan SUKSIS UM
aksi selepas tamat perlawanan

Hari ini (24 Julai 2008) pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan dengan pasukan SUKSIS UM. Perlawanan tersebut diadakan sempena penganjuran Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA) anjuran Persatuan Siswa/i Islam Perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Pergigian UM, PMIUM dan Pertubuhan Jururawat Pelatih PPUM.

Perlawanan yang diadakan di Padang C, Padang Varsiti itu menyaksikan perlawanan seimbang kedua-dua pasukan. Separuh masa pertama pasukan PMIUM ketinggalan 1-2 sebelum berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan ini juga, dua pemain bola sepak UM beraksi untuk pasukan PMIUM. Setelah tamat perlawanan, YDP PMIUM, Saudara Haafizuddin Abirerah telah menyampaikan medal cenderahati kepada barisan pemain kedua-dua pasukan. Tahniah kepada Exco Sukan & Rekreasi PMIUM, Saudara Muhaimin Mohd Nasir kerana telah mengaturkan perlawanan ini.

Wednesday, July 23, 2008

SOROTAN SEMINGGU…KEBAJIKAN PMIUM, AUKU & FUTSAL KOSMO

Untuk ruangan kali ini, saya akan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai aktiviti yang saya sertai sepanjang minggu lepas…Pertama, minggu lepas adalah minggu ‘add drop’ bagi subjek semester ini. Saya menghadapi masalah untuk pendaftaran subjek ‘Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan Islam’ di Fakulti Pendidikan. Subjek tersebut hanya ditawarkan pada semester ini dan merupakan subjek wajib bagi pelajar Pendidikan Islam. Setelah berusaha dan berbincang dengan Dr. Habib, pensyarah subjek tersebut, Alhamdulillah selesai juga akhir. Semester ini juga, saya mengambil subjek ‘Kepimpinan Diri & Organisasi’ di Fakulti Pendidikan. Pensyarah bagi subjek ini ialah Prof Dr. Sufean Hussin, bekas Dekan Fakulti Pendidikan. Pada pandangan saya, beliau bijak menghuraikan teori-teori mengenai kepimpinan dengan merujuk kepada situasi yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Menyentuh mengenai jenis modal insan, beliau mengaitkan dengan beberapa individu dalam kepimpinan negara pada hari ini untuk dijadikan contoh.

Melawat Mangsa Kebakaran Kg. Kerinchi
YDP PMIUM, Sdr. Haafizuddin sedang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran
Tempat kebakaran di Kg. Kerinchi

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan pimpinan Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kg. Kerinchi. Mangsa-mangsa kebakaran tersebut ditempatkan di Stadium Hoki Bangsar berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) dari Kuala Lumpur. Saudara Haafizuddin Abirerah mewakili PMIUM dan saudara Ridhwan Bakar mewakili Maaruf Club UIAM telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Kebakaran yang berlaku pada 12 Julai itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal. Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar juga sempat melawat mangsa kebakaran itu pada masa tersebut.
Berjumpa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Minggu lepas juga, saya dan beberapa orang rakan saya berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Idris Haron. Perjumpaan tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka berdekatan KL Central. Perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaan tersebut adalah mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sebelum perjumpaan itu, pada sebelah paginya YB Dato’ Idris Haron baru sahaja membuat pembacaan kali pertama pindaan AUKU dalam Dewan Parlimen. Saya memuji keterbukaan beliau dalam membincangkan isu ini. Selain beliau, terlibat sama dalam perjumpaan tersebut, Pengerusi BN BBC yang juga Ahli Parlimen Bintulu, YB Dato’ Seri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Muar, YB Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Semasa mengiringi YB Dato’ Idris berjalan ke kenderaan beliau, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai isu Sturbucks yang ingin dibawa masuk ke dalam kampus. Beliau menjawab, media memutarbelit kenyataan beliau mengenai isu tersebut. Beliau hanya mencadangkan supaya kemudahan wi-fi dan tempat lepak yang selamat untuk dikunjungi oleh pelajar. Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau itu, saya memuji sikap beliau yang mudah mesra untuk dibawa berbincang dalam pelbagai perkara mengenai mahasiswa.

Berjumpa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen
Bergambar bersama ahli parlimen Rasah dan Serdang dari DAP

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan saya dari kampus UIAM dan UPM pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Perjumpaan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai pindaan AUKU. Semasa di lobi parlimen, YB Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempat meluangkan masa untuk berjumpa dengan kami sebelum membuat kenyataan akhbar bersama mengenai isu AUKU. YB Nurul Izzah terpaksa pulang awal disebabkan ada sidang media mengenai isu bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai membuat kenyataan akhbar, kami terus ke tingkat 13 parlimen untuk berjumpa dengan beberapa Ahli Parlimen DAP di pejabat pembangkang bagi DAP. Perbincangan mengenai AUKU tersebut memakan masa selama 45 minit. Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Parlimen Serdang terlibat dalam perjumpaan tersebut. Banyak lontaran idea dan pandangan mereka mengenai isu AUKU.

Kemudian setelah selesai solat zohor, kami terus ke Kafe Parlimen untuk makan tengahari sambil menunggu kehadiran YB Solahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian untuk mewakili PAS. Kami sangat terharu kerana kesanggupan YB Solahudin untuk keluar dewan sementara, semata-mata untuk berbincang dengan kami mengenai isu AUKU. YB Solahudin berjanji untuk terus memperjuangkan isu ini semasa perbahasan dalam persidangan ketiga Dewan Rakyat nanti.

Mengiringi Pasukan Futsal PMIUM ke UPM
pasukan PMIUM


pasukan SUKSIS UM

Pada hari Sabtu (19 Julai 2008), saya mengiringi pasukan futsal PMIUM yang bertanding dalam pertandingan futsal Inter-Varsity Kosmo yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah selesai mendaftar pasukan, kami terus ke papan jadual untuk melihat siapa lawan kami nanti. Setelah diteliti, kami diundi dalam kumpulan M bersama pasukan ‘Acah-Acah FC’ dan ‘Helang Rentung’ kedua-dua pasukan ini, saya tidak pasti dari kampus mana.

Selesai majlis perasmian, sementara menunggu perlawanan pasukan PMIUM yang dijadualkan perlawanan ke-19, kami menuju ke gelanggang kedua dalam dewan untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan Suksis UM. Suksis UM berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-0. Namun dalam perlawanan kedua pasukan Suksis UM, tercetus satu pergaduhan setelah pemain pasukan Suksis UM dikasari. Nasib baik pergaduhan tersebut sempat dikawal dan dua pemain pasukan Suksis UM telah dilayan kad merah.

Penyertaan pertama kali pasukan PMIUM dalam kejohanan ini, nyata tidak bernasib baik setelah tumpas 2-4 kepada pasukan ‘Helang Rentung FC’ dan 0-1 kepada ‘Acah-Acah FC’. Apapun pujian wajar diberikan kepada pemain-pemain pasukan PMIUM kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dalam dua perlawanan tersebut.

Tuesday, July 15, 2008

EKSPO BUKU DBP DI UM DAN BUDAYA MEMBACA

Penerbit UM: " Menjana Imprin Ilmiah"
Gambar. ehsan blog Rabiatul Adawiyah

Minggu ini bermulanya Ekspo Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di tempat letak kereta Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya (UM). Ekspo yang bermula 14 hingga 25 Julai itu menawarkan pelbagai tawaran menarik untuk mahasiswa. Buku terbitan tahun 1996-2000 diberi diskaun 60%, buku terbitan tahun 2001-2002 sebanyak 40% dan diskaun 20% bagi buku terbitan tahun 2003-2008.

Semalam (14/7/08), setelah selesai kuliah di Fakulti Pendidikan saya terus ke ekspo ini untuk melihat buku apa yang menarik untuk dibeli. Setelah tawaf dan membelek beberapa buah buku, hanya empat buah buku sahaja yang berkenan untuk dibeli. Pertama, buku tulisan Dr. Wahbah al-Zuhaili, ‘Fiqh & Perundangan Islam’ jilid 1, kedua, buku ‘Kegawatan Ekonomi, Impak Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah’ hasil tulisan Noraini Haji Idris et al.

Buku ketiga yang saya beli, juga hasil tulisan Noraini Haji Idris et al. ‘Malaysia Ke Arah Hab Makanan Halal Dunia’ dan terakhir, Kamus Dewan DBP edisi keempat yang sebelum ini tertangguh untuk dibeli kerana masalah kewangan. Berfikir sejenak, bijak juga strategi DBP ini membuka ekspo ketika awal sesi baru bermula. Apa tidaknya, mahasiswa baru sahaja mendapat pinjaman dan biasiswa selain semangat berkobar-kobar mahasiswa tahun satu untuk menambah ilmu. Tidak salah kita keluarkan sedikit duit untuk perkara berfaedah ini daripada digunakan untuk perkara yang sia-sia.

Minggu lepas saya sempat membeli dua buah buku di Pekan Buku UM, buku pertama Jurnal Pemikir Utusan Karya bertajuk ‘UMNO Selepas Pilihan Raya Ke-12’ dan buku ‘Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) 2006-2010’. Bagi saya, kedua-dua buah buku ini sangat menarik untuk diketahui isinya kerana melibatkan analisis PRU ke-12 dan untuk mengetahui sejauh mana hasil pelaksanaan RMK 9 setakat ini.

Petang tadi (15/7/08), selepas kuliah Dr. Suffean Hussin bagi subjek Kepimpinan Dalam Organisasi, saya terus ke Akademi Pengajian Islam (API) untuk membeli sebuah buku mengenai Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya membeli tersebut yang bertajuk ‘Pemikiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad’ hasil tulisan Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. Antara kandungan menarik dalam buku tersebut ialah perjalanan politik Mahathir, retorik dalam komunikasi, persoalan ekonomi dan banyak lagi.

Selain buku tersebut, saya juga membeli sebuah buku pandang sisi Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘Belajar Dari Dua Umar, Kenyangkan Perut Rakyat’ dan sebuah novel Habiburrahman El-Shirazy, ‘Ketika Cinta Bertasbih’ episod 2. Membelek novel ini teringat saya kepada Encik Henri Nurdi dari Indonesia.

Sebelum ini, saya berkesempatan berjumpa dengan beliau yang juga editor Majalah Sabili dari Indonesia. Pertemuan tersebut diatur oleh seorang sahabat saya, Zulzaidi. Banyak pengalaman dan ilmu yang diberikan oleh beliau menyebabkan saya dan beberapa sahabat saya yang ikut serta pertemuan tersebut bersemangat untuk menambah ilmu melalui pembacaan buku. Bagi saya, beliau individu yang sangat menarik, kerana mencabar kami untuk menambah pembacaan selepas pertemuan tersebut.

Thursday, July 10, 2008

DEBAT PERDANA: ANWAR IBRAHIM LAWAN SHABERY CHEEK!


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Chik akan beraksi atas pentas debat pada 15 Julai nanti. Debat tersebut yang membincangkan isu kenaikan harga minyak akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada jam 9 malam. Datuk Johan Jaafar, pengerusi DBP akan bertindak sebagai moderator debat pada malam itu.

Dato’ Seri Anwar telah membuat permintaan supaya Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri yang berdebat dengan beliau. Permintaan tersebut dibuat selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) di kediaman beliau. Setakat ini, tidak ada jawapan dari pihak PM ataupun TPM terhadap pelawaan Dato’ Seri Anwar. Namun begitu, Dato’ Seri Anwar tetap akan menyertai debat tersebut walaupun permintaan beliau tidak disambut oleh PM dan TPM. Pada masa yang sama, Datuk Shabery menyatakan isu minyak seharusnya di bincangkan dalam program tersebut bukannya di buat bantahan di jalan raya.

Pimpinan PR meminta supaya debat tersebut di buat secara langsung melalui stesen TV seperti TV3 dan RTM. Difahamkan pihak Astro Awani dan TV3 sudah bersetuju untuk menyiarkan program tersebut secara langsung. Manakala RTM1 pula difahamkan akan membuat siaran tertunda debat tersebut atas nama rancangan “ Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak”. Pihak penganjur, agendadaily.com hanya membuka 200 orang untuk masuk termasuk 50 jemputan dari Anwar dan 50 dari Shabery.

Debat mengenai kenaikan harga minyak telah diadakan sebelum ini, debat pertama antara YB Solahuddin Ayub, ahli parlimen Kubang Kerian merangkap Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan YB Datuk Shahrir Samad, Menteri Hal Ehwal Pengguna yang disiarkan secara langsung oleh RTM1. Debat yang kedua melibatkan ahli parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar dengan YB Datuk Mohamad Aziz, ahli parlimen Sri Gading yang disiarkan oleh TV9 melalui rancangan “Hujah”.

Anwar seharusnya menjadikan medan ini untuk meyakinkan rakyat berkenaan agenda pembaharuan yang dibawa oleh beliau. Rakyat akan menilai kemampuan kedua-dua wakil dari Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam berhujah. Sekiranya Anwar gagal mempamer aksi sebagaimana yang sepatutnya, rakyat akan hilang keyakinan terhadap beliau. Keterbukaan media sejak akhir-akhir ini wajar dipuji dan pimpinan PR seharusnya mengambil manfaat ruang yang ada untuk mempamer kemampuan memimpin dari segi berhujah.

Friday, July 4, 2008

FILEM ‘Farzand-e Sobh’ MENGISAHKAN PERJUANGAN IMAM KHOMEINI


Behrouz Afkhami, pengarah filem dari Iran sedang menyiapkan sebuah filem mengenai perjuangan Imam Khomeini. Filem tersebut yang memulakan pengambaran pada tahun 2004 dijangka ditayang kepada umum pada bulan Februari tahun 2009 bersempena ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. Watak Imam Khomeini telah ditugaskan kepada aktor Iran, Abdol Reza Akbari. Filem kisah perjuangan Bapa Revolusi Islam Iran itu yang berjaya menumbangkan Rejim Shah Iran bertajuk ‘Farzand-e Sobh’ (The Morning’s Son).

Presiden Iran sekarang, Mahmoud Ahmadinejad merupakan salah seorang murid yang dilatih oleh Imam Khomeini sebelum berlakunya Revolusi Iran. Imam Khomeini atau Ayatullah Ruhullah Khomeini mengidamkan sebuah pemerintahan Islam yang menggunakan Quran sebagai panduan. Selain Ahmadinejad, murid beliau yang lain ialah Murthada Mutahhari, Ali Khameni Mohammad Bahesti dan Hasyemi Rafsanjani. Murid-murid beliaulah yang banyak memainkan peranan semasa beliau diusir ke luar negara.

Ceramah beliau yang popular semasa berada di Najaf, Iraq iaitu ‘Velayate Faqih’ dianggap sebagai manual revolusi telah dibukukan untuk disebar menjelang tahun 1978 hingga 1979. Kekuatan pergerakan strategi murid-murid beliau dan semangat berteraskan kerohanian telah menjatuhkan pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlevi. Revolusi yang berlaku pada tahun 1979 itu mengubah sistem pemerintahan negara Iran daripada monarki kepada sistem Rebuplik Islam.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan