Tuesday, February 23, 2010

ULASAN BUKU PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA

Buku yang ku miliki terbitan ITNM


Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) kerana Berjaya menerbitkan buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791- 1965 (Old Treaties & Documents of Malaysia 1791-1965). Moga dengan terbitnya buku dokumentasi perjanjian lama negara kita ini memberi manfaat kepada kita semua. Sekadar makluman, buku ini saya beli pada 2 Ogos 2008 dan saya juga sempat menghadiri pelancaran buku ini di lobi Parlimen pada tahun lepas.

Satu perkara yang harus dipuji adalah penerbitan buku ini dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta yang pertama dalam bahasa Melayu. Sebelum ini buku-buku berkaitan perjanjian dan dokumen lama negara kita diterbitkan dalam bahasa Inggeris seperti hasil dokumentasi Maxwell & Gibson pada tahun 1924 (London), Allen, Stockwell & Wright (1981, New York) dan Gallop, A.T (1994, London). Maka kita boleh katakan terbitan sebelum ini adalah diluar negara dan dilakukan oleh bukan rakyat negara kita.

Antara dokumen dan perjanjian yang dimuatkan dalam buku ini adalah Persetiaan dengan Sultan Kedah pada tahun 1791, Persetiaan dengan Naning (1801), Perjanjian Sir Stamford Raffles (1819), Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824), Ordinan Peraturan Darurat (1948), Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (1957), Pemasyhuran Kemerdekaan (1957), Perjanjian Berhubung dengan Malaysia (1963), Pemashhoran Malaysia (1963), Akta Perlembagaan dan Malaysia (pindaan Singapura) pada tahun 1965 serta banyak lagi.

Saya berpandangan dengan penerbitan dokumen-dokumen penting ini memudahkan lagi untuk kita mengetahui beberapa perkara dalam aspek sejarah, perundangan, politik dan sebagainya selain memudahkan warga kampus, iaitu mahasiswa dan pensyarah membuat rujukan. Mungkin sebelum ini, bahan-bahan seperti boleh dijumpai di arkib negara Malaysia atau perpustakaan-perpustakaan universiti, tetapi dengan adanya buku ini memudahkan lagi untuk membuat rujukan kerana telah digabungkan dokumen-dokumen penting dan masyhor dalam sebuah buku.

Dengan memiliki buku ini, saya juga dapat menambah pengetahuan dan maklumat sebenar tentang sejarah negara kita, istilah-istilah baru, nama-nama penting dan banyak lagi. Sebagai contoh, dalam buku ini memaklumkan perjanjian dan dokumen lama ini secara khususnya dikenali sebagai triti (treaties), perjanjian (agreements) dan persetiaan. Dalam buku ini editor menerangkan maksud triti, ia ditakrifkan sebagai perjanjian bertulis antarabangsa antara dua buah Negara (triti dwipihak) atau dalam kalangan beberapa buah Negara (triti berbilang pihak). Perjanjian sedemikian juga dikenali sebagai konvensyen (contoh Konvensyen Geneva) atau protokol (misalnya Protokol Kyoto) atau pakatan seperti Pakatan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Pact).

Antara maklumat baru yang saya perolehi adalah latar belakang Maxwell dan Gibson, dua individu yang banyak terlibat dalam menerbitkan dokumen-dokumen lama negara kita sebelum ini. Maxwell dan Gibson masing-masing merupakan Ketua Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-undang Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Untuk makluman rakan-rakan, Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824) dan Perjanjian Belanda (1824) merupakan dokumen penting untuk keterangan dalam pendengaran tuntutan bertindih Malaysia-Singapura berhubung Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda yang bermula 6 hingga 23 November 2007. Satu perkara yang mengejutkan saya, antara dokumen atau perjanjian ini terdapat dokumen yang tidak pernah ditandatangani oleh mana-mana pihak dan telah disalah anggap sebagai suatu perjanjian penyerahan Pulau Pinang oleh Sultan Kedah kepada British.

Akhirnya, saya mengharapkan pihak ITNM dapat menerbitkan banyak lagi dokumen-dokumen penting negara yang tidak termasuk dalam kategori Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk tatapan umum dan memudahkan rujukan dalam bidang ini. Saya juga mencadangkan pihak ITNM dapat menerbitkan artikal-artikal lama yang penting berkaitan kerajaan dahulu dalam aspek pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“ MINDA KELAS PERTAMA BERMULA DARI PEMBUDAYAAN ILMU “

2 comments:

Unknown said...

adakah tahu tentang latar belakang perjanjian london 1824?

Cute Nyer said...

Where can i get @ buy this document?

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan