Saturday, February 16, 2008

Solat hajat pohon pemerintahan PAS di Kelantan dilanjutkan

KOTA BAHARU 16 FEB: Pemimpin PAS Kelantan hari ini, Sabtu mengadakan solat hajat memohon pemerintahan parti itu terus kekal pada pilihan raya umum kali ini. Program anjuran Dewan Ulama PAS Kelantan itu yang berlangsung di dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV diketuai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program itu dimulakan pada kira-kira 4 pagi dengan solat sunat tahajud diimamkan Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas dan diikuti solat hajat yang diimamkan Nik Abdul Kadir Nik Mohammad manakala solat Subuh diimamkan Nik Abdul Aziz. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mac sebagai tarikh mengundi manakala penamaan calon pada 24 Februari. Pada pilihan raya umum yang lepas, PAS menang di Kelantan dengan majoriti satu kerusi mengatasi Barisan Nasional (BN).
PAS menguasai 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN 22 kerusi DUN. BERNAMA

Thursday, February 14, 2008

SPR Tetapkan Tarikh Pencalonan, Pengundian Pilihan Raya Umum Hari Ini


PUTRAJAYA 13 Feb -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-12, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini.Beliau berkata SPR akan membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan kedua-dua tarikh itu, termasuk keadaan negara dan keselamatan masyarakat."SPR akan memberikan ruang yang sesuai untuk tempoh pencalonan dan seterusnya tempoh berkempen sebelum pengundian diadakan," katanya dalam wawancara secara langsung dengan RTM di sini.Wawancara itu disiarkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen, berkuatkuasa hari ini bagi mengadakan pilihan raya umum.Rashid berkata SPR akan mengkaji keadaan semasa bagi menentukan pilihan raya diadakan dalam keadaan yang selamat dan kondusif.-- BERNAMA

PARLIMEN MALAYSIA BUBAR

Oleh: Mohd Ridzuan Mohammad

Setelah sekian lama kita menunggu tarikh pembubaran Parlimen, hari ini (13/2/08) Parlimen Malaysia di bubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari. Pengumuman tersebut di buat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di Putra Jaya hari ini. Serentak dengan itu juga semua Dewan Undangan Negeri (DUN) turut di bubarkan kecuali Sarawak. Semasa sidang media tersebut beliau ditemani oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Pengumuman tersebut di buat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini bagi mendapat perkenan Seri Paduka.

Saturday, February 9, 2008

PRU 12: RAKYAT WAJAR PILIH PEMIMPIN BERWIBAWA

OLEH: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 semakin dirasai, Kerajaan dan Pembangkang sudah rancak menyusun strategi, Pak Lah sudah kata Pilihan Raya semakin hampir. Tidak kurang juga sudah ada individu melobi untuk menjadi calon dan mungkin beberapa tokoh politik sudah merancang untuk menjadikan Pilihan Raya kali noktah terakhir karier politik mereka.

Rakyat seharusnya sedar Pilihan Raya kali ini patut di jadikan medan untuk memilih pemimpin yang berwibawa dan berkaliber untuk memimpin mereka dalam tempoh 4 atau 5 tahun akan datang. Agenda dan Manifesto setiap Parti serta individu yang akan menjadi calon mestilah dinilai sebaik mungkin agar mereka dapat membuat pemilihan yang tepat.

Antara perkara yang mesti di fikirkan oleh rakyat secara serius adalah kriteria pemimpin yang hendak di pilih nanti. Sifat amanah dan bertanggungjawab merupakan kriteria terpenting selain berilmu dan berjiwa rakyat untuk rakyat jadikan sebagai pemimpin.

Sebagaimana yang kita ketahui ada di sebilangan pemimpin pada hari ini memandang remeh aspek amanah dalam kepimpinan mereka. Perkara ini dapat di buktikan dengan adanya beberapa pendakwaan di mahkamah terhadap pemimpin yang terlibat dengan kes rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Selaku rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, kita mestilah berfikir adakah kita mahu menjadikan mereka yang terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa dan mempunyai masalah moral sebagai pemimpin kita nanti.

Selain itu, pemimpin yang terlalu eksklusif dan tidak merakyat juga wajar diketepikan oleh rakyat untuk menjadi Yang Berhormat pada Pilihan Raya nanti. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi serta tidak menjiwai keluhan dan tangisan masalah rakyat mestilah di beri pengajaran dengan tidak memilih mereka sebagai YB.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan