Monday, March 17, 2008

KEPUTUSAN PRU 12: IMPIAN BN KELANTAN TIDAK KESAMPAIAN

Melihat kembali kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Barisan Nasional (BN) di negeri Kelantan seolah-olah menunjukkan Kerajaan PAS Kelantan akan jatuh pada PRU 12. Bermula dengan pelancaran kempen “pade doh 18 tahun, ambo nok BN” oleh Khairy Jamaluddin bersama Pemuda UMNO Kelantan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pelancaran kempen ini memperlihatkan kesungguhan BN untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS. Seterusnya pelancaran manifesto “Kelantan Baru Kelantan Maju” yang menjanjikan pelbagai tawaran kepada rakyat Kelantan.

Selain itu, kesungguhan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak serta Khairy Jamaluddin turun ke Kelantan beberapa kali dan menjanjikan pembangunan untuk Kelantan juga membuktikan keyakinan BN untuk menawan Kelantan. Setiap hari RTM, TV3, Berita Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan berita dan propaganda BN berpeluang cerah untuk menawan Kelantan pada kali ini. Tidak cukup dengan itu, BN juga awal-awal lagi mengumumkan bakal Menteri Besar sekiranya BN menang di Kelantan iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin (gambar).
Namun apabila keputusan PRU 12 di umumkan pada malam pengiraan undi (8/3/08) perkara sebaliknya yang berlaku. PAS Kelantan dapat mengekalkan kerajaan apabila berjaya memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1 kerusi berbanding BN hanya menang 6 kerusi sahaja. Keputusan tersebut bagaikan kejutan kepada semua pemimpin utama BN samada di peringkat negeri Kelantan mahupun peringkat pusat.

Dengan keputusan ini bermakna impian Dr. Awang Adek Hussin untuk menjadi Menteri Besar juga tidak kesampaian. Bukan setakat itu, beliau sendiri tewas di Parlimen Bachok dan DUN Perupok. Di Parlimen Bachok beliau tewas kepada calon PAS yang juga Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan majoriti 2,901 undi. Manakala di DUN Perupok beliau tewas kepada Datuk Omar Mohamad, calon PAS dengan majoriti 1,270 undi. Beliau kelihatan bersedia daripada awal lagi untuk meraikan kemenangan BN kerana kebanyakkan media perdana bertumpu di pusat pengiraan undi Palimen Bachok.

Selain beliau, pemimpin utama UMNO Kelantan yang lain juga tumbang iaitu Datuk Seri Annuar Musa tewas di Parlimen Ketereh kepada calon PKR, Ab Aziz Abdul Kadir dengan majoriti 400 undi dan Datuk Sazmi Miah tewas di Parlimen Machang kepada Saiffudin Nasution Ismail (PKR) dengan majoriti 1,460 undi. Bagaimanapun dua orang kuat BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamad berjaya mengekalkan kemenangan di Parlimen Jeli dan Tengku Razaleigh Hamzah menang di Parlimen Gua Musang.

Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan