Thursday, December 13, 2007

ERA WALISONGO DALAM LIPATAN SEJARAH...


Oleh: MOHD RIDZUAN MOHAMMAD

Ruangan kali ini saya cuba berkongsi dengan sahabat-sahabat mengenai ulama’ besar di Nusantara suatu ketika dahulu iaitu Walisongo. Walisongo atau Walisanga yang bererti “sembilan orang wali” yang terkenal sebagai penyebar agama Islam di Tanah Jawa pada abad ke-17. Mereka juga merupakan intelektual yang menjadi pencetus perubahan kehidupan masyarakat pada zaman tersebut dan berperanan penting dalam mendirikan Kerajaan Islam di Tanah Jawa. Era Walisongo mengakhiri penguasaan kebudayaan Hindu- Buddha dalam budaya Nusantara dan digantikan dengan kebudayaan Islam. Kebanyakkan mereka tinggal di Surabaya- Gresik- Lamongan di Jawa Timur, Demak- Kudus- Muria di Jawa Tengah dan Cirebon di Tanah Barat. Nama-nama besar yang dikatakan Walisongo ialah Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Kalijaga, Sunan Bonang, Sunan Grisek, Sunan Drajat, Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Gunung Jati.
Namun begitu, untuk kali ini kita cuba mengenali salah seorang daripada mereka iaitu Sunan Gresik. Nama asal Sunan Gresik ialah Maulana Malik Ibrahim atau dikenali sebagai Syekh Maghribi dan sebahagian rakyat memanggil beliau sebagi Kakek Bantal. Mungkin sahabat-sahabat tidak percaya sekiranya saya katakan beliau bukan asli orang Jawa, disebabkan beliau terkenal di Tanah Jawa, hakikatnya beliau bukan keturunan Jawa. Walaubagaimanapun, perkara tersebut tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk menyebarkan ajaran Islam di Tanah Jawa, bahkan beliau banyak memberi sumbangan dan berjasa kepada masyarakat di negeri tersebut.
Selain itu, beliau juga dikenali dengan nama Makdum Ibrahim As-Samarqandy dikatakan lahir di Samarkand, Asia Tengah pada awal abad ke-14. Adik beliau, Maulana Ishak (ayah Sunan Giri), ulama’ terkenal di Samudera Pasai. Beliau dan Maulana Ishak di bawa ke Tanah Jawa oleh bapanya yang juga seorang ulama’, Maulana Jumadil Kubro yang diyakini sebagai keturunan ke-10 dari Saidina Husein, cucu Nabi Muhammad SAW. Setelah itu mereka berpisah, bapanya kekal di Pulau Jawa, adiknya, Maulana Ishak ke Samudera Pasai manakala beliau berhijrah ke Champa.
Beliau menetap di Champa selama 13 tahun sejak 1379 dan berkahwin dengan Puteri Raja. Hasil daripada perkahwinan tersebut beliau dikurniakan 2 orang putera, Raden Rahmat (Sunan Ampel) dan Sayid Ali Murtadha (Raden Santri). Pada tahun 1392 beliau berhijrah ke Pulau Jawa dan meninggalkan keluarganya. Destinasi pertama yang beliau tuju ialah Desa Sembalo, Daerah Leran Kecamatan Manyar, 9 kilometer utara Kota Gresik, yang mana ketika itu di bawah kekuasaan Majapahit.
Situasi di Desa Sembalo pada ketika itu, berlaku perang saudara dan krisis ekonomi. Misi Pertama beliau di desa tersebut ialah untuk mendapat tempat di hati masyarakat sekitar untuk memudahkan penyebaran agama Islam dengan menggunakan starategi berniaga, menjadi tabib dan mengajar cara bercucuk tanam. Selain itu, beliau juga berbudi bahasa, ramah dan mesra serta berakhlak mulia dalam pergaulan seharian menyebabkan beliau di senangi oleh masyarakat. Beliau tidak menentang secara agresif agama dan kepercayaan hidup penduduk asal di desa tersebut termasuk tidak mempertikai adat istiadat yang ada dalam kehidupan masyarakat. Sebaliknya beliau memperlihatkan keindahan dan ketinggian ajaran-ajaran yang di bawa oleh Islam. Berkat usaha pendekatan dan strategi beliau menyebabkan masyarakat desa tersebut ramai memeluk Islam.
Misi beliau seterusnya ialah untuk mempersiapkan Kader Umat atau generasi pelapis yang terdidik untuk meneruskan perjuangan Islam. Maka beliau menubuhkan pesantren-pesantren (pondok-pondok agama) untuk mendidik dan membentuk para siswa sebagai bekal pendakwah Islam masa depan. Kerja-kerja tersebut dilakukan sehingga beliau wafat pada tahun 1419 dan dikebumikan di Kampung Gapura, Gresik, Jawa Timur.
 
Copyright 2009 Dari Minda Anak Muda. Powered by Blogger Blogger Templates create by Deluxe Templates. WP by Masterplan